Saya akan terus menulis untuk mereka yang mahu berfikir.
Seperti dalam artikel saya siri yang pertama bertajuk Sejenak Tentang Pemikiran (1), kita sudah maklum dengan perkembangan revolusi sains di eropah yang telah membawa kepada kemunculan golongan materialis yang menolak agama. Mereka sekular yang hanya mempercayai sesuatu yang bersifat materi (fizikal) dan menolak segala yang berada di balik materi (metafizikal).
Selaras dengan tercetusnya aliran sekularisme, maka telah lahirlah juga konsep dualisme dalam bidang sains. Ini bukan tradisi timur, bahkan ia jelas merupakan tradisi barat yang terkesan dengan proses sekularisme sejak sekian lama.
Dualisme telah berjaya memisahkan antara bidang sains tabi'i dan sains kemasyarakatan sepertimana terpisahnya urusan duniawi dan urusan ukhrawi dalam pemahaman sekularisme.
Revolusi sains yang berlaku di eropah telah berkembang hingga akhirnya membawa kepada kemunculan satu aliran dalam dunia sains moden yang dinamakan aliran mekanistik. Pandangan-dunia mekanistik (mechanistics worldview) ini telah dikemukakan oleh Rene Descartes, dan dimantapkan lagi oleh Isaac Newton dengan konsep alam yang serba tetap, berdasarkan hukum sebab dan akibat (causality).
Mereka percaya bahawa setiap perkara yang terjadi itu adalah dari penyebabnya, dan dengan sebab itu melahirkan suatu akibat. Prinsip dikenali sebagai hukum 'causality' dalam lapangan sains fizik. Ini bermaksud alam semesta bergerak mengikut hukum determinisme (serba tentu) atau serba tetap dan tidak berubah untuk selama-lamanya.
Prinsip mekanik Newton ini dapat digambarkan sebagai sesuatu yang 'predictable'. Ia bukan sahaja dapat diterangkan secara objektif, malah dapat diramalkan kejadiannya. Sejak lebih dua abad lamanya ahli-ahli sains berpegang kepada teori mekanik Newton ini yang menyatakan bahawa setiap objek akan bergerak dengan tenaga selanjar dan berterusan, justeru setiap fenomena yang berlaku akan dapat diramalkan secara pasti dan tetap.
Sebelum penemuan mekanik kuantum, kalangan saintis barat percaya bahawa lapangan fizik sudah lengkap dengan segala hukum fizikalnya, di mana menurut mereka setiap tabi'i alam ini telah mematuhi prinsip kebersebaban (causality) dan segalanya yang terjadi ini hakikatnya bersifat 'serba tentu'.
Apabila munculnya penyelidikan mengenai mekanik kuantum ini pada awal tahun 1900, ia kelihatan seolah-olah telah merombak konsep sains moden yang sebelum itu sering disekutukan oleh sumbangan Rena Descates dan Isaac Newton. Tersentak dengan itu, teori sains mekanik Newton yang selama ini didewakan telah mula dipersoal.
Fizik kuantum pada dasarnya turut dikenali dengan nama mekanik kuantum. Ia merupakan suatu penyelidikan sains fizik yang melibatkan lelaran antara jirim-jirim di dalam kosmologi dan alam semesta. Secara mudah, fizik kuantum dijelaskan sebagai penyelidikan terhadap zarah-zarah yang terdapat dalam alam mikroskpik.
Hakikat kuantum itu sendiri secara fiziknya telah membuktikan bahawa sesetengah kuantiti fizikal (ketulan kecil) tidak bergerak secara selanjar tetapi secara diskret atau terputus-putus. Ia juga telah membuktikan kegagalan fizik Newton-Descartes untuk menghuraikan secara metematik bagaimana berlakunya keruntuhan fungsi gelombang sepertimana yang dipegang oleh pendukung Copenhangenisme.
Copenhangenisme adalah sebuah pegangan yang diasaskan oleh Werner Heisenberg yang pernah bekerja dengan Niels Bohr, dan telah membawa gagasan teori mekanik kuantum berasaskan prinsip indeterministik (tidak tentu).
Dengan prinsip ini, maka semua peristiwa kuantum atau fenomena atom dan juzuk-juzuknya tidak mungkin dapat diramalkan secara tepat mengenai tempat ataupun waktu berlakunya fenomena dan peristiwa itu. Pegangan copenhangenisme waktu kini dikatakan adalah pegangan yang paling kuat dan berasas sekali untuk menggambarkan hakikat kuantum.
Oleh itu, nyata kebenarannya kini bahawa konsep deterministik (serba tentu) yang didasari prinsip sebab-akibat (causality) oleh Newton secara separa sedar telah diruntuhkan oleh kemunculan teori fizik kuantum ini!
Di barat, mekanik kuantum diungkapkan dalam buku 'The World’s 20 Greatest Unsolved Problems', bahawa tanpa idea yang dikemukakan melalui mekanik kuantum, maka tidak akan ada telefon bimbit, pemain CD dan komputer riba. Mekanik kuantum bukanlah satu cabang daripada fizik. Ia merupakan hakikat fizik itu sendiri.
Justeru, apakah kaitannya keruntuhan mekanik Newton (yang sekular itu) dengan lapangan metafizik? Bagaimana pula fizik kuantum mampu membawa sains berjenama sekular ini kepada suatu bentuk sains yang mengiktiraf iradat Tuhan, seterusnya membuktikan kekeramatan sufistik sebagai sesuatu yang bukan sekadar cerita-cerita kosong?
Saya akan menulis untuk mereka yang mahu berfikir.
(bersambung)
1 comment:
dengan nama allah
assalamualaikum...bagus sekali tulisan kamu...tentang teori mekanik kuantum yang diterangkan adalah benar sama sekali...dimana sumbernya...tentang itu kamu student bukan belajar dimana ya??..kamu minat tentang mekanik kuantum???bagaimana jika kita sama berkongsi maklumat..untuk keterangan lanjut hubungi kami di muhammadsyaher@gmail.com...
Post a Comment