Saya fikir, apabila telah tamat peperiksaan nanti sudah tentu ada ruang untuk melegakan fikiran lantaran cuti yang sedikit panjang. Namun, ianya terbukti salah dan menyimpang. Ia bahkan lebih sibuk dan teruk jika dibandingkan ketika minggu peperiksaan berlalusebelum ini.
Buat pertama kalinya dalam sejarah di tanah orang ini saya dipanggil untuk membuat pembentangan. Pertama, di Kem Penulisan anjuran PMRAM yang berlansung di rumah Johor minggu lalu. Dan yang kedua, saya diajak sama oleh Syafiq untuk mendiskusikan dan memimpin bengkel penulisan ilmiah yang diadakan di rumah
Sungguh, ini adalah pengalaman baru dan sudah tentu saya tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan cemas dan kaget dengan sebaiknya!
Memberi ucapan dihadapan khalayak dan audiens yang ramai bukanlah sesuatu yang mampu dilakukan oleh semua orang saya fikir. Banyak kejadian aneh yang pernah saya lihat. Termangu-mangu, menggigil, kaget, merepek entah apa-apa, mungkin lebih teruk dari ini muka akan kelihatan bertukar kemerah-merahan dan kadangkala kekuningan pucat jadinya!
Saya tidak tahu apa yang pendengar umpatkan ketika saya sedang memberi ucapan barangkali. Pendek kata, apabila anda diminta untuk berucap maka anda juga sebenarnya diminta untuk berhadapan dengan psikologi diri anda sendiri. Cemas dan menggigil adalah perkara yang biasa dan lazim berlaku. Namun kekuatan untuk menghadapinya adalah sesuatu yang sangat mahal dan berharga dalam pengalaman hidup manusia.
Selama ini saya hanya berteori sahaja di dalam subjek khitobah ataupun ‘rhetoric’ di kuliah. Bahkan untuk menjadi seorang pendakwah, displin ilmu ucapan ini adalah sesuatu yang perlu dan sukar untuk dipisahkan. Memberi ucapan dan ceramah adalah sebahagian dari kehidupan dan kerja seorang pendakwah walaupun ramai yang mahu lari darinya.
Dalam menghadapi situasi yang cemas dan perasaan gemuruh apabila berhadapan dengan khalayak ramai, saya selalu menggunakan kunci-kunci istimewa untuk menangani perasaan campur baur ini.
Tasawwuf
‘Barangsiapa yang mengenali dirinya, maka dia mengenali Tuhannya’. Kunci utama untuk menangani perasaan yang berlubuk dalam diri adalah dengan mengenal diri sendiri. Manusia terdiri dari 2 bahagian utama; pertama, tubuh jasmani yang nampak secara zahir, dan yang kedua adalah jiwa yang terdiri dari ruh.
Apa yang di dilihat, dirasa, dihidu dari pancaindera adalah dari tubuh jasmani yang bekerja. Dan yang melibatkan hati dan perasaan pula adalah perkara yang terkait rapat dengan jiwa. Jika seseorang itu merasa cemas, takut dan gementar, punca utamanya bukanlah lahir dari tubuh jasmani. Ia pada hakikatnya adalah sesuatu yang lahir dari suara jiwa dan muncul dari arus psikologi.
Nah, masakan dapat dibendung perasaan gemuruh ini dengan panadol? Atau dua tablet Uphamol?
Masalah yang berlaku dari lapangan jiwa adalah berpunca dari jiwa, dan sudah tentu ubatnya juga adalah jiwa. Anda harus kenal diri sebelum berhadapan dengan diri orang lain. Ini adalah persoalan siapa kita dan apa tugas kita. Siapa kita dan untuk apa kita berhadapan sambil berdiri memberi ucapan di hadapan khalayak yang ramai?
Jika matlamat yang dimaksudkan selari dengan hati yang ikhlas dan suci, maka sudah tentu tiada masalah lagi untuk berhadapan dengan khalayak ramai, bahkan dengan sesiapa sahaja sekalipun. Kuncinya adalah pembersihan diri dan tazkiyatul nafsi, yang memberi kelapangan jiwa kepada sesiapa jua yang berusaha kepadanya.
Benarlah sepertimana yang disebut di dalam al-Quran. Tatkala Nabi Musa a.s berdoa agar Allah S.W.T memberi kelancaran pada lidah baginda, maka permintaan baginda didahului dengan kelapangan hati dan jiwa, kemudian disusuli dengan kelancaran lidah dan kata-kata. Firman Allah S.W.T :
(Berkata Musa: "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku)
Thaaha : 25-28
No comments:
Post a Comment