[Ini adalah entri sambungan Sejenak Tentang Pemikiran (1)]
وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya
(An-Nur : 39)
(An-Nur : 39)
Dahulu ketika di awal sekolah menengah, saya gemar membaca buku 'Tazkiratul Auliya'. Saya tidak ingat siapa penyusunnya. Namun buku itu menjadi salah satu buku yang penting dalam hidup saya. Saya banyak mengenal diri dan jiwa, mencari hakikat kehidupan, dan yang paling utamanya saya terpesona dengan hikmah-hikmah dan nasihat yang ditinggalkan oleh puluhan kekasih Allah s.w.t yang dimuatkan di dalam buku kecil itu.
Namun, saya jumpa ramai kelompok manusia yang mengingkari kekeramatan yang dimiliki sesetengah para auliya'. Saya faham, penolakan ini berlaku mungkin disebabkan kekeramatan (khawariqul a'dah) itu tidak berlaku dihadapan mata mereka, atau mungkin juga mereka ini sudah terkesan dengan dalil-dalil saintifik. Selagi mana perkara itu tidak dapat dibuktikan secara empirikal, selagi itu mereka meletakkan ia sebagai sebuah cerita kosong yang tak punya asas apa-apa.
Dalam kelansungan yang berlaku ini, saya begitu tertarik dengan beberapa kajian penting yang dilakukan oleh para ilmuan akhir-akhir ini. Terutamanya bagi kajian yang melibatkan 'fizik kuantum'. Lapangan sains akhir-akhir ini telah membuktikan suatu pencerahan yang amat hebat untuk sekalian manusia-manusia yang mahu berfikir.
Mungkin bagi mereka yang telah biasa dengan asas sains, pasti mengira bahawa fizik adalah sesuatu yang begitu biasa. Namun belum tentu mereka ini sudah terbiasa dengan suatu lafaz yang berlawanan dengan fizik, iaitu 'metafizik'.
Fizik lazimnya digambarkan sebagai sesuatu yang kebendaan dan dihuraikan berlandaskan fenomena alam yang berbentuk fizikal dengan hukum-hukum tabi'i, maka metafizik memberi makna yang sebaliknya.
Metafizik pula secara mudahnya dimaknakan sebagai sesuatu yang bersifat ghaib, tidak mampu dilihat dan dirasa oleh pancaindera. Ia merupakan suatu istilah yang merujuk kepada kegagalan kita (manusia) untuk menerangkan sesuatu fenomena yang berlaku secara empirikal, mantik dan bersistem.
Metafizik bukan sahaja terbatas terhadap malaikat, jin dan syaitan, malah ia merangkumi segala jenis perkara yang tidak terjangkau oleh pemahaman pancaindera manusia. Maka jika sesuatu kejadian itu melibatkan perkara yang tidak tercapai oleh akal manusia, maka boleh kita katakan ia sebagai termasuk dalam kelompok lapangan metafizik.
sebagai contoh, seorang yang mampu berjalan di atas air. Secara hukum fiziknya, seseorang yang cuba berpijak di atas air, pastinya kakinya akan tenggelam ke dasar air. Namun apabila berlaku suatu keanehan atau keajaiban, iaitu dia mampu berpijak di atas air seperti berpijak di atas daratan, maka hukum fizik ketika itu tidak mampu menyelesaikan masalah ini berdasarkan prinsip-prinsipnya. Ianya telah mulai masuk ke suatu lapangan kajian metafizik.
Metafizik bukan membahaskan tentang siapa itu Tuhan, tetapi dalam kes berjalan di atas air, ia membicarakan tentang 'bagaimana ianya boleh berlaku?', 'siapa yang memberi kuasa untuk orang itu berjalan di atas air?', dan kita pasti menakul bahawa ada suatu kuasa ghaib yang 'Maha Kuasa' telah meng'hendak'kan perkara itu untuk terjadi.
Mungkin itu suatu contoh mudah dari saya untuk menggambarkan perihal lapangan metafizik yang amat luas itu kerana ianya suatu perbahasan yang melangkaui hukum fizik kehidupan, dan pastinya perkara yang berada di belakang penglihatan kita itu (yang kita tidak nampak) merupakan suatu daerah yang lebih luas dari daerah yang kita nampak.
Justeru, perbahasan mengenai metafizik ini tidak banyak disentuh dalam kerangka sains dan teknologi, namun ianya lebih popular untuk dibahaskan dalam kerangka falsafah.
Ini disebabkan oleh keinginan manusia yang mahu mencari hakikat sebenar mengenai kehidupan, 'siapa diri mereka?', 'siapa yang menciptakan mereka?' dan 'untuk apa mereka diciptakan?'. Maka, perkara ini lebih cenderung dikupas dalam bentuk falsafah kerana prinsip-prinsip sains dan teknologi tidak mampu untuk menyelesaikannya.
Maka, apakah kaitannya di sebalik metafizik dan teori fizik berkaitan mekanik kuantum ini?
(bersambung)
No comments:
Post a Comment