al-fatihah.
Bagi anda yang selalu ke rumah saya dan kerap singgah di masjid bersebelahan melalui jalan celah-celah pokok, ada berita yang menyedihkan.
Dua hari lepas, kucing gemuk yang selalu bermain di taman celah-celah rimbunan pokok di situ telah mati. Saya amat sedih. Perutnya kembung dan bau amat menusuk hidung. Saya tak tahu apa punca kematiannya. Tetapi yang paling menyedihkan adalah saya tak dapat bermain-main lagi dengan kucing berwarna kelabu itu.
Kucing yang penuh lemak ini sering didengki oleh saya setiap kali saya ada peluang. Mendengki bukan bererti tak suka. Kadang-kadang ia lebih membawa kepada kemesraan dan persahabatan. Ia adalah seekor kucing yang malas dan lembap. Saya tak pasti usianya, namun pastinya ia merupakan seekor kucing tua yang sangat 'otai'.
Biasanya kalau saya berjalan melalui celah taman itu untuk ke masjid, pasti kucing-kucing lain lari. Namun ia tidak berlaku bagi kucing montel dan gemuk ini. Malah dia boleh segera terlena apabila nampak saya lalu. Ini ciri-ciri seekor kepimpinan yang 'otai'...!
Namun, siapalah yang mampu menjangkakan ajal. Ia bukan kuasa makhluk. Apabila telah sampai waktu ajalnya, tiada yang mampu untuk mempercepatkan malah tidak mampu juga untuk melambatkan ajal itu. Ia telah pergi.
Peperiksaan
Fakulti Usuluddin di Kaherah sudah memulakan peperiksaan seminggu yang lalu. Namun jabatan saya baru memulakan peperiksaan pada 19hb Mei yang lepas dan bakal berakhir pada 9hb Jun nanti.
Namun, peperiksaan adalah peperiksaan. Tak lebih dari menjawab segala soalan yang dikemukakan dalam kertas soalan. Selepas itu pulang, dan bersiap untuk kertas yang akan datang.
Namun, bila pulang dari peperiksaan, saya jarang untuk terus pulang. Antara kegemaran saya adalah singgah di kedai buku. Baru dua hari peperiksaan diadakan, saya telah pun membeli 4-5 buah buku, khususnya saya cari untuk dibawa pulang ketika cuti nanti.
Saya suka untuk berkongsi buku-buku yang bagus kepada anda semua.
Antara buku yang menyelerakan saya telah jumpa adalah 'Thawali' ul-Anwar min Mathali' il-Anzhar'. Kitab ilmu tauhid ini ditulis oleh Imam al-Baidhawi dan di'tahqiq' oleh dekan fakulti usuluddin ketika ini yang merupakan guru saya, Dr Muhammad Rabie' al-Jauhari. Tahqiq ini juga adalah merupakan thesis kedoktoran (PhD) beliau yang diperoleh pada tahun 1976.
Selain itu, kitab al-Fikr al-Maddiy al-Hadis (The Modern Materialisme) juga merupakan antara kitab yang amat berharga yang saya jumpai setakat ini. Ia juga merupakan merupakan thesis kedoktoran (PhD) yang ditulis oleh Prof Mahmud Abdul Hakim Atman, seorang profesor di kuliah aqidah dan falsafah universiti al-Azhar, kaherah.
Saya tak pasti adakah sudah ada terjemahannya dalam bahasa inggeris, namun jujurnya saya memang begitu teruja dengan kitab ini. Ia mengolah pembaca kepada pemikiran materialisme dalam bentuk moden dan kedudukan Islam dalam menilai baik-buruk pemikiran 'dajjal' ini.
Sebuah lagi buku, adalah yang tebal sedikit berbanding dua buku yang saya sebut sebelum ini, sekitar 700 muka. Tajuknya 'Syeikhul Islam Abdul Halim Mahmud'. Saya memang begitu menghendakkan buku ini kerana ia memuatkan perkara yang sangat penting mengenai salah seorang daripada idola yang saya sangat kagumi iaitu Prof Dr Abdul Halim Mahmud.
Jangan mengaku anda pelajar al-Azhar sekiranya anda tidak kenal dengan Dr Abdul Halim Mahmud. Seorang tokoh yang banyak berjasa dengan al-Azhar dan namanya diambil untuk dipakai di salah sebuah dewan di fakulti Usuluddin.
Apa yang menarik dalam buku ini adalah ia merupakan koleksi pemikiran dan penulisan peribadi yang diutarakan oleh Dr Abdul Halim Mahmud sepanjang hidupnya, pemikirannya tentang al-Azhar, pandangannya tentang Islam dan penduduk Eropah, juga tentang falsafah ilmu.
Tidak ramai tokoh-tokoh ulama yang mempunyai pandangan luas tentang Eropah. Namun Dr Abdul Halim Mahmud adalah tokoh yang paling layak memberi pandangan tentang eropah kerana beliau telah menghabiskan masa menulis thesis master dan kedoktoran (PhD) di Perancis.
Saya ada lagi lima kertas untuk diduduki. Tidaklah banyak, namun tidak juga mudah. Yang pasti cuti musim panas ini saya akan pulang bersarapan roti canai di Malaysia lagi. Walaupun masih di awal peperiksaan, namun lagu raya sudah pun seminggu berkumandang di rumah saya!
No comments:
Post a Comment