Wednesday, February 06, 2013

Tiga Semester

Tanam benih harapan memang kedengaran mudah. Namun membajainya bukan main susah lagi. Macam itulah analogi yang sesuai untuk si penulis blog ini. Disebabkan kekangan masa (walaupun tidaklah terkekang sangat), namun bila sudah berehat lama agak sukar untuk memulai kembali.

Minggu ini sudah memasuki minggu-minggu di Februari, untuk tahun 2013. Rasanya tak perlu lagi menutup sawang yang daku telah melalui 2 semester dalam kuliah per'master'an, dan minggu depan bakal memasuki semester yang ketiga.

Jauh dan jenuh melalui kepayahan ini. Walau tak terluah dengan warna wajah, namun hijau hutan sukar untuk disembunyikan. Memang benar kata orang, komitmen yang banyak akan mematikan semangat belajar. Bukanlah bermaksud semangatku untuk meluaskan lagi perspektif ilmu sudah kabur, tetapi motivasi kadangkala hadir dan pergi, lantas membuat diri sepi. Macam lirik lagu lah!! Hehe.

Dengan prasarana (ayat tak agak-agak) dan teknologi yang ada, daku harap kesedapan menghirup budaya ilmu dan keseronokannya dapat aku hirup dan dengar dengan penuh merdu. Kesyahduan irama listrik memanggil motivasi untuk datang dan muncul sebagaimana dahulu amat aku hauskan.

Written with my mini iPad.. :)

Monday, July 23, 2012

Kupunya Translasi


Kesempatan cuti semester ini, saya mahu guna seluas-luasnya untuk menyiapkan terjemahan sebuha kitab yang ditulis di dalam bahasa Arab ke bahasa Melayu. Sungguh, ia bukan semudah yang disangka.


Untuk menterjemah/menulis sesuatu, anda perlu :-

Pertama : Anda perlu ada masa. Termasuk juga nikmat kesihatan yang dikurniakan.
Kedua : Perlu ada ilmu alat, iaitu kemahiran yang membolehkan anda mengusai sesuatu bahasa itu.
Ketiga : Keazaman. Ini yang paling utama untuk mengukur sama ada karya anda mampu siap atau sekadar berbual kosong.
Keempat : Keikhlasan hati. Hanya dengan ini pembaca akan merasai izzah dan pancaran daripada penulisan anda.

Semoga saya dapat menyiapkan terjemahan kitab 'Fatwa-fatwa Aqidah Islam' yang ditulis oleh guru saya, Dr Muhammad Sayyid Ahmad Musayyar, dalam jangka waktu terdekat ini. InsyaAllah. Sangat mahu untuk mohon doa dari anda semua para pembaca blog ini.

Saya yakin anda tidak rugi memiliki dan menghadami kitab yang penuh makna ini. :)

Saturday, June 09, 2012

Mula Dari Dalam Gua

Alhamdulillah, mungkin ini ucapan yang paling layak diucap bibir. Beriya-iya hati mahu mula menulis semula. Tapi macam biasalah, ucapan tak akan dapat membuatkan kita jadi penulis yang baik, hanya semangat dan istiqamah yang mampu mencabar jiwa dan rasa seseorang penulis.

Dahulu, masih segar dalam ingatan. Sewaktu dunia blog mula keluar perut dan melihat dunia, inilah taman-taman yang mana manusia menghabiskan masa libur mereka, membaca dan meluncur dari muka ke muka laman web yang lain. Tujuannya satu, mahu berkongsi apa yang orang lain rasa, dan apa yang mereka ingin kongsikan.

Kali pertama berblog, wah.. begitu teruja. Lagi bergelojak bila ramai yang singgah ke laman kita membaca apa yang kita tulis. Masih ingat saya diawal-awal entri, saya menulis tentang membuat donut untuk ahli bait (housemate). Sangat seronok bila hampir kesemua ahli bait datang membaca apa yang kita (hakikatnya) ingain berkongsi tentang donut yang saya buatkan untuk mereka.

Namun itu 5-6 tahun yang dulu, dunia barubah begitu cepat sekali. Bila lahir (keluar dari perut) medium-medium baru seperti facebook, twitter dan lain-lain, dunia blog seakan sepi. Tak salah kalau saya kata yang blog hanya dijenguk bila ada yang mahu mencari resepi, kemahiran, kongsi kedai makan pilihan, dan yang paling terkini ialah jual-jual produk.

Bila fikir bagaimana liatnya saya untuk memahamkan ciri-ciri yang ada dalam rangkaian Twitter, maka tak dapat digambarkan pula bagaimana pakcik makcik dari generasi sebelum kita (yang dimaksudkan ialah generasi mak, ayah datuk dan nenek). Namun ada juga sebahagian dari atuk nenek kita yang serasi dengan teknologi, namun dari segi statistiknya sangat sedikit yang mampu ikut.

Mudah-mudahan, pembaca dapat mendoakan semangat istiqamah untuk penulis blog ini. Saya mahu bina semula blog ini supaya ada manfaatnya. Ketemu lagi.

Wednesday, February 08, 2012

Turning Obstacle Into Chances

Huh, it's a real satisfaction. Today was a great day however, even when i had been facing every single colourful setback that i thought it was a devastating moment in the journey to pursue my goal.

At the beginning of the day, i'm very sure this would be the fantastic moment in my life, facing new experience and standing in the mid of the world. But then i found the hurdles came to me very strong, thundering my physical and mental strength.

Alhamdulillah by the way, at the end of the day Allah has given me the real relief and kindly did not forget me though i'm not His best servant.

Thank you Allah. The Almighty.

I'm better now. In seconds, i can turn the obstacles into opportunities. What a great deal, right? Tie your rope, then put your trust in Allah, He will give you the sakeenah, insyaAllah.

Friday, February 18, 2011

Mari Kita Ke Ladang

Hah, rasa seronok separuh syurga dapat update blog yang tak lama lagi umurnya hampir genap setahun kesepian. Lihat tarikh pada entri di bawah.

Kejam bukan ?

Kata si isteri "bile blog tu nak di update" ? Secara tiba-tiba muka berubah, termalu sendiri... :)

Wednesday, March 17, 2010

Adakah Islam Itu Penyelesaian?

Pastinya anda pernah mendengar kalimah ini:

" الإسلامُ هو الحَلّ "


Laungan ini hampir-hampir sudah menjadi sebuah syiar dalam dunia harakah Islamiyah (gerakan Islam). Kalimah ini ibarat sebuah azan yang memperingatkan manusia agar berdiri dan datang mengadap Tuhan. Ia merupakan keramat bagi manusia yang mahu mencari kunci dalam masalah yang melanda diri mereka.

Namun kita tidak dapat menolak bahawa ada juga dikalangan manusia yang tidak percaya bahawa agama dapat menyelesaikan masalah mereka.

Saya tidak mahu bercakap mengenai Ikhwan atau gerakan Islam yang lain, tetapi mahu mencadangkan kepada pembaca blog ini supaya membaca sebuah buku yang berkisar tentang tajuk 'Islam sebagai penyelesaian'. Iaitu sebuah buku bertajuk:

'هل الإسلام هو الحَل، لماذا وكيف؟' - [Hal al-Islam Huwa al-Hal, Limaza wa Kaifa?] (Adakah Islam Merupakan Jalan Penyelesaian? Mengapa dan Bagaimana)

Buku ini merupakan tulisan seorang ahli akademik yang saya sangat kagumi iaitu Dr Muhammad Imarah. Beliau seorang yang diiktiraf keilmuannya, menguasai aliran pemikiran semasa dan merupakan salah seorang dari anggota Majma' Buhuth Islamiyah di Mesir, iaitu sebuah majlis yang bertanggungjawab melakukan kajian mengenai isu-isu akademik dalam dunia Islam.
Justify Full
Buku kecil ini adalah terbitan pustaka Darul Syurouk, ia mudah dibawa namun jangan sesekali kita sangka ia dari kalangan kutayyib (kitab-kitab mini) yang biasa.

Buku ini membukakan akal dan idea kita kepada sebuah pandangan politik yang lebih luas dan universal, merangkumi kerangka sosial manusia sebagai khalifah di muka bumi yang dipertanggungjawabkan oleh Allah S.W.T untuk mentadbir ummat manusia.

Dr Muhammad Imarah membawa kita kepada isu politik Islam yang sebenar dan membiarkan seketika pemikiran cliche kebanyakan orang Islam terhadap politik.

Pecahan-pecahan tajuk dalam buku ini serta huraian isu yang diketengahkan pastinya mampu memberi kefahaman yang jelas mengenai politik Islam sebenar yang diajarkan oleh Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A tanpa perlu bergantung kepada istilah-istilah seperti 'demokrasi' dan 'parti' seperti mana yang difahami oleh kebanyakan umat Islam pada zaman ini.

Buku tersebut membawakan kepada kita sebuah persoalan, iaitu mengenai bagaimana agama Islam dengan mekanisme dan sistemnya yang diteladani daripada Nabi Muhammad S.A.W dan para Sahabat R.A dapat menjadi penyelesaian kepada kehidupan pada zaman ini.

Jelasnya, persoalan mengenai penubuhan parti politik yang beliau sebut sebagai 'persoalan ijtihadi' perlu difahami dengan masak oleh anggota gerakan Islam.

Umat Islam pada hari ini perlu sedar mengenai prioriti yang harus dipilih tanpa perlu terus dipermain-mainkan oleh demokrasi yang sememangnya dicipta untuk memenuhi nafsu dan keinginan manusia.

Saya cuma mengagak berapa ramai yang selesai membacanya, kemudian dapat menerima huraian yang dikemukakan oleh penulis dengan hati yang terbuka dan positif.

Standard yang telah kita letakkan sekian lama terhadap istilah 'politik' sering menghalang kita untuk cuba berdamai dengan idea baru yang barangkali lebih baik berbanding standard yang kita letakkan pada hari ini.

Perjuangan mesti diteruskan. Kejayaan hanya akan dicapai sekiranya kita memilih untuk barada pada jalan yang benar dan tepat.

Friday, February 05, 2010

Sharing Is Caring?

Budak-budak sekarang (sambil geleng kepala), akaun peribadi semua nak dikongsi-kongsi. Konon 'sharing is caring' lah ya? Mereka fikir bila sudah mengelamun cinta sakan, semua perkara-perkara peribadi wajib dikongsikan.

Macam mana kalau hubungan kemonyetan itu tak menjadi nanti? Mahu orang lain @ luar ambil kesempatan atas emel dan akaun facebook anda?

Kalau ya pun agak-agaklah sikit. Orang yang dah berkahwin pun tak buang air atas jamban yang sama. Masing-masing ada hal ehwal peribadi. Masing-masing ada waktu dan tempat yang perlu dihormati. Yang boleh dikongsi maka silakanlah berkongsi.

Anda juga kena hormatkan privacy anda sendiri, takut kelak memakan diri. Hehe, jangan marah ya..!! =D

p/s: Perkataan "Budak-budak sekarang..." menunjukkan saya sudah tua..!! (walaupun belum sangat, hehe)

Wednesday, February 03, 2010

Cairo Book Fair 2010

Sudah dua hari berturut-turut saya mengunjungi Cairo Bookfair 2010. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kedudukan kedai-kedai dan susunan buku masih lagi pada keadaan yang sama dan tak banyak yang berubah.

Dua tiga hari ini keadaan kelihatan stabil, aman dan tidak ada yang beratur panjng memasukinya.

Pada tahun lepas mungkin berjuraian juga peluh saya kerana mengangkat kotak-kotak buku. Alhamdulillah segala set buku berjilid yang saya idamkan sudah pun dibeli pada bookfair yang lepas. Pada tahun ini saya hanya berlenggang kangkung memburu buku-buku kecil yang bermanfaat. (Adakah kangkung berlenggang seperti saya?.. musykil).

Seperti biasa tiap-tiap tahun ada saja yang bertanya buku apa yang bagus untuk dibeli. Soalan ini memang soalan popular terutama untuk mahasiswa yang baru dan masih berkebat-kebat lagi duit dolar dalam poket mereka (hehe).

Saya menolak untuk bercakap dalam forum pengenalan Maarad Kutub yang akan pada hari Khamis ini (4 Februaru 2010) di dewan Rumah Johor, atas beberapa keuzuran. Namun saya tidak lokek untuk memberi beberapa tips yang bagus terutama untuk mereka yang masih baru.

Buat permulaan, antara kitab yang saya cadangkan untuk mereka yang fresh ini ialah kitab al-Feqh al-Islamiy Wa Adillatuhu. Ia sebuah kitab karangan Dr Wahbah Az-Zuhailiy, seorang ulama dari Syria yang diakui keahliannya dalam ilmu feqah.

Kitab ini agak mahal namun berbaloi. Harga di Mesir sekitar LE 510. Peluh dan keringat yang menitis ketika mengangkatnya pulang pasti memberi anda kepuasan kelak apabila telah memilikinya.

Ada beberapa kelebihan kitab ini berbanding kitab lain. Antara yang utama ialah kitab ini mengeluarkan hukum dan pendapat yang muktamad dari empat mazhab yang muktabar dalam Islam, iaitu Syafi'e, Maliki, Hambali dan Hanafi. Justeru anda tidak lagi perlu susah-susah untuk merujuk kitab-kitab lain dalam mazhab-mazhab tertentu untuk mengeluarkan hukum dengan pantas.


Masalah yang sering dihadapi kerap kali wujud di dalam kitab-kitab intra-mazhab, apabila terdapat pendapat-pendapat yang saling rajih merajihi antara satu sama lain. Misalnya, terdapat ramai ulama dalam mazhab as-Syafi'e yang berijtihad dalam sesuatu masalah.

Dalam beberapa masalah, pendapat orang-orang lama (qadim) dalam mazhab Syafi'e lebih rajih berbanding yg baru (jadid), begitu juga terdapat sebaliknya. Maka kelebihan kitab ini ialah ia hanya mengeluarkan qaul yang muktamad dalam sesuatu masalah.

Selain itu, kitab ini juga mengandungi pelbagai isu dan masalah kontemporari dalam dunia feqh. Susunan dalam kitab ini juga tidak kurang menarik, disertakan dengan fihris (index), laras bahasa yang mudah difahami, serta sesuai untuk rujukan dalam pelbagai peringkat.

Kitab kedua yang harus dimiliki pada pandangan saya ialah kitab 'Tafsir al-Wasit' karangan Syaikh al-Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi, mengandungi 15 jilid, harga sekitar Le 160 (cetakan Darul Sa'adah yang saya miliki).

Seperti mana kitab Feqh Islami karangan Dr Wahbah, kitab tafsir ini mengeluarkan qaul dan pendapat yang terpilih dari kitab-kitab tafsir yang ada. Laras bahasanya yang mudah membolehkan tafsiran difahami dengan mudah dan pantas.

Ulasan dan tafsiran bagi sesuatu ayat al-Quran disertakan juga dengan pendapat imam-imam tafsir yang pelbagai, merangkumi sudut bahasa, falsafah, balaghah, hukum dan pengajaran yang diperoleh dari ayat tersebut.

Dua buah buku ini cukup hebat dan sangat bermanfaat untuk mereka yang baru dalam dunia ilmu Islam. Bukan kitab-kitab lain tidak bermanfaat, tetapi dua buku berjilid ini sangat baik bagi seorang pemula yang tidak tahu buku apa yang terbaik untuk mereka beli di bookfair.

Apa yang saya khuatiri ialah kita selalu membeli sesuatu kitab kerana orang lain juga turut membelinya. Dapat mengumpulkan kitab yang berjilid-jilid memang sesuatu kepuasan, tetapi sangat menyedihkan apabila ia tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Saya khuatir kalau-kalau anda membeli kitab seperti 'Siyar' az-Zahabi lantas ia tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana kitab ini pada pengamatan saya adalah pilihan terbaik untuk mereka yang berada dalam bidang hadis ataupun untuk mereka yang sudah memasuki ijazah lanjutan bermethodkan kajian.

Membeli kitab yang terbaik dan memberi manfaat untuk diri sendiri adalah yang paling dialu-alukan.

Selain membeli kitab-kitab yang mahu anda talaqqikan, saya juga cadangkan supaya kita tidak mengenepikan kitab-kitab pemikiran bersifat kontemporari. Darul Syurooq adalah sebuah maktabah yang baik untuk anda singgah. jaraknya tak jauh dari pintu masuk utama.

Nama-nama penulis seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Muhammad Al-Ghazali dan Dr Muhammad Imarah adalah begitu sinonim dengan Darul Syurooq. Banyak buku-buku terkini yang diterbitkan malahan tidak kalah juga dengan manfaat yang kita peroleh ketika membacanya.

Jangan lupa untuk singgah di kedai-kedai buku bundle (belakang dewan 4B) sekiranya anda mahu mencari bahan bacaan alternatif di dalam bahasa Inggeris dan Perancis dengan harga yang sangat murah. Buku-buku rujukan dalam bidang perubatan, politik, kejuruteraan dan seni juga sangat mudah didapati dan murah jika dibandingkan dengan buku asal yang baru.

Selamat membeli belah di Cairo Bookfair 2010. I'm the fan of Darul Syurooq and the bundle bookstore.... =)

Thursday, October 22, 2009

4HARI_K6


4 hari bergembira di taman syurga... Jazakumullahu khairan

Wednesday, October 14, 2009

Hampir Mengenali Diri Sendiri

Bukan anda sahaja, saya sendiri pun sudah tidak sabar untuk menantikan blog ini menjadi suam kembali. Hampir setahun lebih saya 'menghilang', seperti sengaja blog ini saya tinggalkan dalam beberapa jangka waktu.

Pernah seorang rakan penulis bertanya tentang mengapa penulisan saya terhenti. Ada sebab tersendiri yang selama ini dirahsiakan. Mungkin kini dan waktu sebegini adalah ruang yang paling sesuai untuk saya beritahu.

Setiap sesuatu yang baik untuk orang lain, tidak mesti baik untuk diri kita. Begitu juga sebaliknya, yang baik untuk diri kita tidak mesti akan baik untuk orang lain. Itu yang saya pelajari.

Walaupun saya menulis sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain, namun saya sendiri belum tentu mendapat kebaikan dari apa yang kita tulis.

Mengapa?

Persoalan inlah yang selalu bermain-main dalam fikiran saya selama lebih setahun ini. Saya telah kehilangan diri sendiri apabila saya gagal nampak tentang kebaikan menulis dalam diri sendiri berbanding kabaikan pada orang lain.

Sehingga pada suatu tahap, saya telah merasakan yang menjadi penulis telah menumbuhkan ego dalam diri sendiri. Inilah yang saya ceritakan pada rakan penulis tadi. Muka beliau mengerut pelik.

Beliau bertanya, bagaimana pula penulisan boleh menumbuhkan ego?

Saya katakan yang ini adalah masalah peribagi, mungkin subjektif untuk diterima oleh orang lain. Saya selalu berfikir, apabila kita menulis, kita selalu mahu orang yang membaca tulisan kita berasa seronok dengan apa yang kita tulis.

Lama kelamaan, timbul satu kekaburan dalam hati bahawa kita menulis untuk orang lain berasa seronok, bukan untuk orang lain bermuhasabah tentang diri sendiri.

Kita seronok buat orang tersenyum dengan tulisan kita, kita rasa bangga bila orang terhibur ketika membaca entry kita. Kita selalu mahu kelihatan gah dengan cerita yang kadang-kala kita reka-reka sendiri.

Mudah kata, kita telah terkeluar dari manhaj rabbani yang perlu berpegang pada prinsip 'berpesan-pesan kepada kebaikan dan berpesan-pesan kepada kesabaran'.

Itulah yang selalu saya fikirkan dalam jangka waktu setahun setengah ini. Saya mentarbiyah diri untuk menjadi penulis yang berakhlak dan tidak meninggi diri. Saya katakan pada diri sendiri bahawa kamu boleh mula menulis setelah kamu telah kenal akan diri kamu sendiri.

Bila kamu sudah sedar siapa diri kamu dan memuliakan hak orang lain, nescaya mulakanlah kembali tulisan kamu kerana kamu akan sentiasa berada di bawah payung naungan Allah SWT.

Namun sesuatu yang kita perlu tahu adalah; setiap sesuatu yang ditakdirkan untuk seseorang hamba adalah yang terbaik buat dirinya walaupun dia merasakan perkara itu sangat buruk.

Saya juga selalu berdoa dan memohon supaya saya segera kenal kembali pada diri sendiri untuk memulakan kembali lontaran idea di dalam blog yang sangat miskin ini. Mudah-mudahan ia segera termakbul.

Saya akan kembali bila sudah bersedia nanti.

Thursday, September 03, 2009

Berteleku di Kubur PPSMI

PPSMI sudah pun dimansuhkan beberapa bulan yang lalu. Ia telah pun masuk kubur dan telah menjadi sebuah lipatan sejarah. Cadangan yang disyorkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu ditolak oleh kebanyakan pihak seperti mana yang kita tahu. Ya, itu juga adalah sebuah fakta dan kisah sejarah.

Namun dalam banyak-banyak mereka yang menentang itu, ada juga kelompok minoriti yang menyokong cadangan tersebut. Salah seorang dari mereka yang menyokong itu barangkali adalah saya.

Bagi saya, ramai yang menentang terdorong atas beberapa faktor yang bermain di sekeliling mereka. Cuma saya mungkin berani katakan bahawa faktor 'sentimen' adalah merupakan faktor terkuat yang memonopoli kebanyakan mereka yang menentang.

Dalam isu ini, saya secara peribadi lebih suka melihat perkara ini bukan dari sudut sentimen, kerana kadang-kala sentimen ini bakal membuatkan langkah kita jadi tidak tentu hala.

Seorang yang melangkah ke mesjid boleh terhenti langkahnya dan berpatah balik kerana sentimen. Ada juga yang tidak menyekolahkan anak mereka dan tidak membenarkan anaknya masuk universiti kerana sentimen. Membenci, sakit hati, hasad dengki, dendam lama; itu semua bakal membuatkan sentimen kita mendidih berbuak-buak, padahal mungkin ianya perkara yang baik, bahkan mungkin suatu keperluan.

Akhirnya ia akan mengatur kita untuk membaca sesuatu dengan silap. Hasilnya kemungkinan kita juga yang akan rugi.

PPSMI bagi saya bukan wadah untuk menjadikan generasi kita cakap berslang 'owreng peuteeh'. Kalau begitu nescaya seluruh subjek di sekolah termasuk sejarah, pendidikan seni, kemahiran hidup dan lain-lain lagi ditukarkan menjadi bahasa Inggeris. Itu kalaulah dasar PPSMI untuk menjadikan mulut kita berslang Inggeris.

Namun apa yang berlaku adalah hanya dua subjek yang diInggeriskan, iaitu sains dan matematik.

Ramai yang berpendapat bahawa kita boleh menguasai sains dan teknologi tanpa perlu belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Sudah banyak pun kita lihat di luar sana saintis anak tempatan yang menguasai sains dan teknologi, namun ketika di sekolah dahulu mereka sekadar belajar sains dan matematik dengan bahasa melayu..!!

Tambahan lagi, negara-negara lain seperti Jepun dan German mampu membina teknologi sendiri tanpa menukarkan subjek matematik dan sains mereka dalam bahasa inggeris.

Hujah itu baik. Namun belum pasti baiknya dimana. Cuba sekali-sekala kita ubah pola hujah dari sudut yang berbeza.

Saya senada dengan syor bekas perdana menteri ini dari sudut PPSMI mampu mewujudkan budaya ilmu yang sihat.

Buktinya apabila kita melihat kembali sejarah lalu ketika mana tamadun-tamadun terdahulu membina kemajuan mereka, ia terikat pada sebuah alat yang dinamakan lingua franca. Setiap tamadun berpusat pada lingua franca mereka dan ia berbeza pada setiap zaman dan tamadun.

Zaman tamadun Islam misalnya, kebanyakan dari ulama dan cendekiawan yang membina sains dan teknologi bukan dari orang Arab, bahkan kebanyakan mereka adalah orang Parsi. Imam al-Ghazali dalam bidang falsafah dan logik, Ibnu Sina dalam lapangan perubatan misalnya, dan ramai lagi. Mereka ini bukan dikalangan orang Arab tetapi disebut orang A'jam (selain Arab).

Walaupun bahasa Arab bukan bahasa ibunda mereka, namun hampir kebanyakan tulisan dan pengkuliahan mereka ditulis dalam bahasa Arab. Bagi saya, itu menunjukkan bahawa lingua franca pada ketika itu menjadi bahasa ilmu dan bahasa dakwah bersesuaian dengan tamadun yang mengusai dunia.

Orang-orang Eropah dalam perang salib juga berkomunikasi dalam bahasa Arab. Buka sejarah dan anda akan jumpai bahawa orang-orang Eropah berpakaian dan bertutur dengan bahasa dan budaya Arab di Andalus dan Sicily. Mereka memasuki madrasah dan universiti yang hampir seluruhnya menggunakan bahasa Arab.

Lantas selepas itu ilmu dipelajari, dibawa dan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris seterusnya menjadikan mereka bangsa yang mengusai sains dan teknologi selepas kejatuhan tamadun Islam. Ini adalah sejarah, ia merupakan fakta yang harus kita terima.

Maka kita harus menerima bahawa sains moden yang dibina hari ini adalah dipelopori oleh orang eropah. Saya tambahkan istilah 'moden' supaya kita dapat bezakan dengan sains dan teknologi secara umum. Ini kerana sains dan teknologi ada pada setiap tamadun, tamadun Islam, tamadun China, Mesir dan sebagainya, masing-masing punyai arkib sains dan teknologi masing-masing.

Cuma bila kita menyebut 'sains moden', ia adalah sains untuk tamadun pada zaman ini yang 'pioneer'nya adalah eropah, iaitu bermula sejak kurun ke-16 dan 17 Masehi lagi.

Maka bagi saya dengan rendah diri kita harus terima untuk dikatakan bahawa lingua franca pada masa dan zaman kini adalah bahasa Inggeris. Ia adalah bahasa ilmu dan bahasa dakwah.

Hari ini memang kita dapati bahawa Jepun merupakan negara yang maju dari segi teknologi, bahkan lebih terkedepan dari eropah. Namun kebanyakan apa yang kita lihat hari ini adalah pengusaan mereka tertumpu pada lapangan teknologi, bukan sains secara keseluruhan.

Sains bukan semata-mata teknologi. Sains adalah sesuatu sangat luas, merangkumi aeroangkasa, metematik, falsafah, biologi, perubatan dan pelbagai lagi. Sains adalah Scientia, dan Scientia bermaksud knowledge, pengetahuan.

Jepun maju kini berfaktorkan sifat kiasu (tak mahu kalah) mereka. Mereka ada semangat untuk berlumba dan displin diri yang tinggi menyebabkan mereka boleh memecut laju ke hadapan dalam bidang teknologi. Ini juga yang dimahukan oleh Dr Mahathir ketika melaksanakan dasar pandang ke timur pada sekitar tahun 80-an dahulu.

Malah ketika buah epal jatuh di atas kepala Sir Issac Newton pada sekitar kurun ke-17 dahulu, Jepun masih lagi berhadapan dengan peperangan antara maharaja. Sehinggalah pada awal kurun ke-20 iaitu sesudah era Meiji, barulah jepun mula mengorak langkah membangunkan sains dan teknologi mereka bermula dengan mencipta senjata api, yang mana ketika itu di eropah sudahpun mempunyai beratus-ratus kajian sains yang dibukukan di arkib mereka.

Jepun kuat dari segi teknologi, namun dari sudut sains moden secara universal, eropah adalah pioneer yang telah bermula sejak dahulu lagi.

Justeru, apa yang disyorkan oleh bekas perdana menteri itu bukanlah bersifat main-main iaitu mahukan orang Malaysia menguasai bahasa Inggeris, tetapi dasarnya adalah mahu mengusai bahasa ilmu dan bahasa dakwah. Kerana kita perlu akur bahawa lingua franca pada zaman ini adalah di eropah.

PPSMI seharusnya tidak dilihat rakyat dari sudut sentimen. Saya melihat pertentangan ini adalah diantara mereka yang memperjuangkan bahasa ibunda dan mereka yang mahukan cepatnya pengusaan ilmu. Yang lain memang turut serta, namun hanya membawa bendera sentimen.

Bagi saya, kerajaan penakut untuk meneruskan PPSMI. Memandangkan situasi politik mereka yang tidak stabil, mereka terpaksa mengalah kerana tidak tahu apakah masih boleh memerintah lagi dalam jangka masa yang tak sampai dua tahun ini. Sikap mahu 'mengambil hati' ini tersangatlah berbau politik dan merugikan bangsa sendiri.

Bukanlah alasan kerana Pak Samad kelihatan lebih tua, maka kita perlu turun berdemo menentang PPSMI. Kalaulah kiranya anda tahu bahawa Dr Mahathir itu umurnya lebih tua 10 tahun dari Pak Samad, nescaya anda juga barangkali akan letakkan sentimen di sebelah sebentar dan kita sama-sama duduk berbincang mengenainya.

Masing-masing ada betulnya. Namun kita perlu ingat bahawa PPSMI bukan mahu tukarkan sekolah kita jadi sekolah Inggeris, tetapi sekadar mahu generasi boleh menguasai sains dan teknologi dengan lebih cepat lagi, hanya dengan menggunakan bahasa ilmu dalam dua subjek ini....

Thursday, August 20, 2009

Universiti Kehidupan


Saya akan memasuki tahun ke-5 berada di Mesir. Cukup mengasyikkan. Walaupun mungkin ada yang kecewa, pastinya jika mereka meredah lorong urat dalam diri saya hingga ke sel hati, pastinya mereka juga akan turut merasa senang kerana mengetahui betapa tenangnya hati saya ketika ini.

Mesir begitu indah kerana dua perkara. Satu, kerana al-Azhar. Dua, kerana budayanya.

Hasil kombinasi dua perkara ini boleh melahirkan manusia yang sangat bijak dan berguna. Mengapa saya kata demikian?

Kerana kombinasi antara al-Azhar dengan budaya Mesir adalah ibarat kombinasi di antara teori dengan praktikal, atau dengan bahasa lain 'antara ilmu dengan pengalaman'.

Gabungan ini adalah universiti kehidupan.

Seseorang yang dikurniakan kebijaksanaan oleh Allah s.w.t akan berupaya menggunakan kelebihannya untuk mengadun ramuan yang dihasilkan oleh ilmu dan pengalaman. Apabila ilmu dan pengalaman sebati, hasilnya nanti akan menjadi sebuah cetusan hikmah yang sangat lazat.

Ilmu boleh dicari di mana-mana. Itu fakta yang amat benar. Namun, nikmat dan kelebihan itu pasti akan seseorang dapati apabila dia dapat memilih dan membeli ilmu dari gedung ilmu.

Pastinya analogi ini tepat apabila anda membeli barang. Pilihan barang yang menarik dengan harga yang murah pasti akan ditawarkan hanya di gedung membeli-belah, bukan di runcit jalanan.

Namun anda akan dapati hal yang berbeza apabila mancari pengalaman. Dunia keseluruhannya adalah gedung pengalaman. Namun lain tempat, lain isinya. Lain orang, lain ragamnya. Cabaran dan kekuatan itu akan anda dapati apabila berhadapan dengan ragam yang bermacam dan menyusahkan.

Sebab itu dikatakan dalam setiap kesusahan itu akan lahir kemenangan jika ujiannya itu dapat dilalui dengan sabar dan redha. Takdir itu diciptakan adalah yang terbaik untuk setiap manusia jika mereka menganggapinya dengan positif.

Berusahalah untuk bersangka baik dengan Allah s.w.t, kerana setiap hambaNya dibesarkan dari dalam rahim yang penuh dengan kelembutan. Rahim ibu adalah menifestasi kasih sayang Tuhan kepada hambaNya.

Pastinya rahim itu sendiri telah membawa maksud rahmat dan kasih sayang pencipta untuk manusia merenungi.

Sangatlah baik jika kehidupan ini menjadi kampus yang bermakna untuk kita pelajari. Pastinya gabungan ilmu dan pengalaman bakal menjadikan kita manusia yang berguna, hamba yang bertakwa dan insan yang mampu merubah dunia.

Ada satu kisah menarik.

Pada suatu hari, beberapa orang datang bertanya kepada Imam al-Syafi'e:

"Apakah bukti yang boleh engkau berikan kepada kami untuk menunjukkan bahawa Allah s.w.t itu wujud?".

Wajahnya berfikir beberapa detik, kemudian dijawab:

"Pokok berry".

Maka berkerut wajah mereka yang bertanya kerana kehairanan. Mereka bertanya lagi:

"Bagaimana pula pokok berry boleh menjadi bukti wujudnya Allah?"

Imam al-Syafi'e menjawab:

"Daun pokok berry itu mempunyai warna, rasa dan bentuk yang tidak berubah. Tetapi apabila ia dimakan oleh ulat sutera, maka akan terhasil darinya benang sutera. Apabila dihinggap oleh lebah pula, akan keluar darinya cecair madu. Apabila dimakan kambing, ia menjadi daging untuk kita makan, dan susu untuk diminum. Dan apabila dimakan oleh kijang, ia menghasilkan wangian kasturi yang harum.

Maka, siapakah yang menjadikan kepelbagaian ini hanya dari sepohon pokok berry...?"

Wednesday, May 06, 2009

CL

Argh, bola kalah....
Kecewa lagi.

* tajuk 2009 tidak lagi menjadi bahan tikaman dari rakan-rakan... he3

Friday, January 16, 2009

2009

Salam. Sudah tiga kertas. Masih gagah. Walau berbaki lima. Peperiksaan memenatkan. Letih. Jawab pun tak berapa. Di hadapan mata. Sudah ada India. Atau ma'rad. Pesta makan dan Kerala. Duit tak cukup. Kalau mahu impi dua-dua. kecuali ada wang. berjuta-juta.

Blog sepi. sebentar sahaja mungkin. Enlightment minda. kaji selidik jiwa. muhasabah kekurangan. dengar radio. makan jujubes. pedas. minum teh hijau. panas. dan roti syamiy. dingin musim sejuk. memamah tulang. telinga berdensing. sudah sihat. tak perlu pergi doktor. sebab yakin. ujian Tuhan.

Evoiz. tak pakai lagi. lembap. tukar voip. dapat percuma sebulan. kongsi tiga rakan.

imtihan. berbaki lima. tabsyir. falsafah eropah. nusus falsafah. falsafah Islam. dan usul feqh. tunggakan. kitab-kitab. padan muka. study lambat. imtihan selang sehari. macam mana. dengan ulang kaji. teringat makan sushi.

Palestin dan Gaza. dicabul lagi. orang Islam bangkit. tapi hanya di mulut. perbuatannya. kosong. tahu enjoy. siang berdemo. petang tido. sampai petang esok. sembahyang tinggal. mahu jadi hero?

'Perjuangan ini hanya untuk kemenangan atau syahid'


bingkisan. pembuka tahun. 2009.

Friday, December 12, 2008

Kenangan Aidil Adha 1429 H

Orang kata, sebahagian dari kenangan yang indah itu ada di dalam sekeping gambar. Otak manusia sangat terbatas, hanya mampu mengingat dan merakam sebahagian kecil dari memori-memori silamnya.

Moga kenangan Hari Raya Aidil Adha tahun ini terpahat sentiasa. Saya menyembelih tiga ekor kambing tahun ini. Ketiga-tiga daripadanya betina dan gemuk-gemuk belaka.


Kenangan di Rumah Tanjung Puteri,
turut bersama Ustaz Ahmad Yusof yang bakal pulang


Kekambing sebelum disembelih, saya punya yang tidak bertanduk

Bismillah... Allahu Akbar

Mengenang manifestasi korban Nabi Ibrahim
terhadap anaknya Nabi Ismail


Biarkan mereka tidur...

Unta @ Tranfomers yang turut terkorban

Tuesday, December 02, 2008

Puisi - Sebuah Bisikan dan Aku

Terkadang hadirnya hanya dari sebuah bisikan
sesekali lembut menyentuh bibir hati, lalu mekar ia
tersenyum bagai sekuntum kembang pagi yang ceria
lalu aku pasangkan sesayap pada dua hujung dunia
kerana ingin rasanya untuk terbang jauh
mencari wangian cinta dari bunga mimpimu,

Usia mengajarku akan sifir membilang waktu
sedetik berlalu laju melintasi ibu jarumnya
serasa payah menahan empangan janjimu, atau juga
aku perlukan sesaat waktu menunggu
hingga dedaun penantian ini jatuh menggugur,

kau kenalkan aku pada madrasah cinta
waktu rerama senja sedang saling bertaut, dan aku
bagaikan semut yang menanti tumbuh sesungut
kerana sudah lara rindu ingin merasa
akan hebatnya manis gula.

Sebuah puisi untuk insan yang pernah menghadiahkan daku dengan pen ini

*/ Tengah sibuk-sibuk camni, bikin puisi-puisi jiwang menjadi jugak, huhu....

Monday, November 24, 2008

Takde Tajuk

Ini barangkali kali pertama dalam hidup saya, menulis artikel beturut-turut hingga muntah-muntah dan demam. Tak pernah dalam sejarah hidup saya berlaku perkara seperti ini. Mungkin kekurangan rehat.

Agak lama saya tidak update entri dalam blog ini. Mungkin 3-4 minggu kebelakangan ini saya sedikit sibuk dengan urusan Suara Kampus Edisi Johor (SUKEJ) edisi 113 dan 114, ditambah lagi dengan kesibukan kelas. Maklumlah penggal ini sudah naik pangkat jadi pengarah.

Jangan lupa untuk mendapatkan SUKEJ edisi 113, sudah berada dalam pasaran. Hanya terdapat di Mesir sahaja.

Monday, November 03, 2008

Mendungnya Cahaya Siang, 'al-Fatihah'

Semalam, telah kembali rahmatullah guruku, murabbiku, seorang yang banyak berpengaruh dalam perjalanan hidupku, yang mencorakkan sebahagian besar dalam pemikiran dan keintelektualanku, kerana semalam Tuhan lebih menyayanginya dan mencintainya.

Dr Muhammad Sayyid Ahmad Musayyar, semalam adalah tarikh beliau meninggalkan kami. Sesiapa yang pernah menghadiri kuliahnya pasti terkejut dengan kelembutannya berbicara dan ketegasannya dalam mengeluarkan hujah. Beliau mengajarku sejak dari tahun satu sehinggalah aku berada di tahun tiga yang lalu.

Rasa hormat kami padanya tersangat-sangatlah tinggi, sehingga jika beliau tidak membenarkan kami masuk kelas kerana terlambat, akan kami pasang anak telinga di pintu luar. Kuliahnya tidak pernah sunyi dari para pelajar, dan selalunya kelas tidak akan muat lalu meja akan selalu menjadi tempat duduk kami.

Seorang yang sangat aku cintai. Sebahagian dari karyanya selalu mempengaruhi kehidupanku dan perjalanan pemikiranku. Beliau seorang yang sangat merendah diri dan tidak pernah mendabik dada dengan hujah ilmiahnya, dan aku katakan bahawa beliau adalah seorang ulama yang amat luas ilmunya dalam bidang falsafah dan akidah.

Geniusnya dalam berhujah, dan penguasaan ilmunya dalam perbahasan metafizik menyebabkan aku tidak terlepas dari membeli karangannya. Beliau amat masak falsafah barat dan timur, juga menguasai perbandingan antara agama.

Tulisannya tidak jauh bedanya dengan mulut, justeru dihiasi dengan kecermatan dalam menaqalkan dalil. Kerana cermatnya beliau dalam lapangan ilmu menyebabkan kelopak mataku berair sewaktu menyolatkan jenazahnya.

Semalam, jasad beliau disolatkan di masjid al-Azhar sebagai penghormatan terakhir kami kepadanya. Masjid al-Azhar lewat tengah hari semalam dipenuhi para ulama yang turun ingin menunaikan solat jenazah sebagai penghormatan terakhir buatnya.

Ketika imam berbicara tentang dirinya sebelum menunaikan solat, air mata kami basah lagi, terutama rakan-rakannya di kalangan ulama yang tidak dapat menahan linangan air mata. Beliau hanya meninggalkan nama dan mungkin tiada lagi tulisannya di akhbar-akhbar perdana dan majalah di Mesir lagi selepas ini. Yang ada hanyalah nama.

Sesungguhnya di antara tanda-tanda hampirnya hari kiamat adalah dengan dicabutkan ilmu dari manusia, dan tercabutnya ilmu dari manusia itu adalah dengan matinya para ulama.

Moga ruh beliau digolongkan di kalangan hamba-hamba yang dicintaiNya.
Al-Fatihah....

Friday, October 31, 2008

Antara Pizza dan Roti

Baru beberapa minggu pulang dari tanah air, saya telah mencuba-cuba dalam perniagaan roti canai. Masih baru dan banyak yang perlu saya pelajari. Ini adalah sebahagian dari ekonomi, kata sebahagian orang.

Dari segi teori, perekonomian ternyata hal yang sangat menguntungkan. Menjual roti canai, bahkan mengambil upah menghantar pizza pun adalah sistem ekonomi yang sangat jelas manfaatnya dalam kehidupan seseorang individu. Berekonomi ibarat bercatur dengan kehidupan, bahkan boleh tercapai kepada tilik penentuan lapar dan dahaga, juga antara hidup dan mati.

Situasi ekonomi dunia pada kaca mata saya kini (meliputi hal ehwal kenegaraan) jelas sekali menjadi mangsa turun naik roller-coster. Sinar kemegahan kapitalisme barat yang yang selama ini menjadi 'Tuhan' kepada para ekonomisnya tiba-tiba menjadi sangat lara dan mendukacita. Seakan-akan seorang tua yang disakat, dengan disepak hujung tongkatnya. Tersungkur lalu mencium tanah, patah juga alur tulang rusuknya.

Bencana ini sedang memeningkan dunia. Bukan alam hakikatnya yang dibencanai, tetapi ekonomi. Baru-baru ini, Lehman Brother dan Bear Stearns yang jatuh bankrap telah menjadi kepeningan dunia.

Bahkan gergasi dunia Amerika Syarikat terpaksa mengambil beberapa lagi syarikat-syarikat yang bermasalah sehingga terpaksa mengeluarkan bajet sebesar 700 juta hingga 1 trilion untuk membendung krisis teruk yang melandai negara mereka.

Beberapa pusat kewangan dan bank-bank besar juga 'bungkus jajan' dan gulung tikar. Kejatuhan indeks harga saham (Wall street dan bursa-bursa utama dunia) betul-betul membawa kepada krisis yang maha buruk dalam sejarah ekonomi dunia.

Kemunduran atau Kejatuhan?

Sebahagian dari pemerhati dengan sinis berkomentar 'inilah bencana dan bala yang berlaku terhadap kapitalisme'. Sistem ekonomi bebas yang yang selama ini 'menzalimi kita dan membuncitkan perut' mereka telah makan tuan!

Ini semua bertitik-tolak dari pemain-pemain ekonomi. Apabila kapitalisme telah merajai ekonomi, maka hidangannya tidak lain tidak bukan adalah bentuk monopoli dan spekulasi.

Sekilas pandang, saya tertarik dengan apa yang disebutkan oleh beberapa penganalisis ekonomi seperti Paul Omerod dalam 'The Death of Economic' dan Umar Vadillo dalam 'The Ends of Economics'.

Kritikan tajam Umar misalnya tertumpu kepada mekanisme kapitalisme yang zalim dan tidak adil, yang diamalkan ekonomi dunia ketika ini.

Umar berkomentar bahawa kapitalisme kini telah melakukan banyak rompakan terhadap kekayaan negara-negara berkembang melalui sistem 'fiat money' yang sesungguhnya adalah riba.

Kejatuhan ekonomi barat kini dilihat sebagai kejatuhan sistem kapitalisme yang mereka amalkan selama ini. Terbukti kapitalisme tidak mampu membawa perimbangan terhadap pola ekonomi dunia semasa dan kapitalisme juga tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan yang menghantui banyak negara dunia hingga kini.

Kapitalisme VS Syariah

Ada baiknya kita menilai semula komentar dari seorang tokoh ulama Islam yang terkenal, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam ucaptamanya ketika menghadiri seminar yang diadakan di Doha.

Katanya, "Keruntuhan sistem kapitalis yang berlandaskan wang kertas dan spekulator antarabangsa dan bukannya dagangan barang di pasaran, telah menunjukkan bahawa sistem tersebut dilanda krisis dan ia turut membuktikan bahawa falsafah ekonomi Islam adalah kukuh".

Beliau menambah "Semua kekayaan dimiliki oleh kita (umat Islam). Negara- negara Islam memiliki hampir semua minyak dan kita memiliki falsafah ekonomi yang tidak dimiliki oleh orang lain".

Perekonomian Islam secara mudahnya berbeza dengan kapitalisme dalam dua perkara utama. Pertamanya, sistem ekonomi Islam tidak mengiktiraf 'interest' atau riba dalam proses pinjaman. Kedua, ekonomi berlandaskan syariah tidak membenarkan berlakunya spekulasi, sebaliknya menganjurkan mekanisme perkongsian untung-rugi antara pihak bank dan peminjam.

Dalam tiga dekad kebelakangan ini, sistem kewangan Islam telah berkembang pesat melebihi 300 institusi meliputi 75 buah negara. Aset terkumpul pula melebihi 300 bilion dolar dan semakin menigkat saban tahun sebanyak 15 peratus mengikut kajian yang dijalankan.

Bagi kebanyakan para ulama dan pemikir ekonomi, perekonomian Islam berlandaskan syariah kini menjadi sebuah alternatif yang sangat berkesan bagi menggantikan sistem ekonomi yang digunapakai dunia dekad ini. Secara teorinya, mekanisme ekonomi yang ditawarkan oleh syariah Islam sangat solid dan sempurna kerana ia berasaskan fitrah manusiawi.

Cumanya dari sudut pengalaman dan latihan, sistem ini masih lagi belum matang dan universal kerana kekurangan dalam sudut praktikal. Namun bagi Dr Fahmi Howaidi, seorang pemikir Mesir, berpendapat bahawa sistem yang dibawa oleh syariah mampu untuk menjadi penyelesaian masalah kepada ekonomi dunia kini, namun ia bukanlah sebatang 'kayu sakti' yang mampu menukarnya sekaligus.

Moga-moga tugas kita menjadi lebih luas untuk mentajdid perekonomian dunia yang kian barah kini.

Wednesday, October 22, 2008

cebisan - Demam Konvo dan Lara Konserto

Saya diberi sebuah tag pas masuk oleh pengarah Festival Konvokesyen PMRAM 2008 untuk membuat liputan (ambil gambar) pada majlis tersebut yang berlansung hari ini. Juga pada malam hari akan diadakan Konsert Apresiasi Graduan di Nadi Syabab, Haiyu Thamin, Kaherah.

Malangnya, saya ditakdirkan tidak dapat melaksanakan tugas tersebut. Persiapan yang beria-ria pada malam hari dengan kelengkapan kamera dan pengecasan bateri yang mencukupi tidak memberi sebarang makna.

Saya dilanda kedemaman pada hari ini. Dari pagi hingga petang tempat saya hanya di atas katil, berehat dan tidur. Setelah satu hari kebah dan mengeluarkan peluh di bawah 'saratoga', akhirnya keadaan menjadi semakin bertambah baik. Namun saya terlepas beberapa peluang penting.

Mengambil gambar untuk pesta konvokesyen amat memberi pengalaman pada hakikatnya. Juga saya begitu kepingin untuk shooting dalam mana-mana konsert. Pengalaman shooting dalam dewan konvo dan konsert sebegini begitu mengujakan saya, kerana ia bukan suatu kerja yang mudah. Saya terlepas banyak pengalaman hari ini.

Manusia menghendaki sesuatu, Allah juga menghendaki sesuatu. Justeru kehendak Allah s.w.t lebih utama untuk berlaku barang sesuatu.

*/ moga pengarah memaafkan saya.