Wednesday, March 29, 2006

:: Malam di Attaba ::



Melihatnya dari dagu tingkap
terpaku
mata terpusat di mulut
pilu
mengunyah halawah
dipinggiran jalan
mata ini berair
buntu,

mengapa?
dan kenapa?
muka kau itu muram lesu
bagai dipanah
seribu satu masalah
isterimu?
anak-anakmu?
ayah ibumu?
rakan-rakanmu?

aku berkenderaan ini tidak tahu
cermin pantul ini menghijabmu
masalah itu beribu di benakmu
mata ini basah layu
kau termenung jauh
matamu kau tumpu
entah memecahkan tembok-tembok masalah mungkin
kunyahan perlahan
mangkuk dilepaskan
berjalan...

Tuesday, March 28, 2006

Clash of The Week

Terima kasih buat ibu yang selalu lontarkan idea dan kritikan pada blog ni. Sekarang sudah dibesarkan tulisan agar mudah untuk dibaca.

Kepada tulip nanti InsyaALLAH saya cuba buatkan kerana memang saya mahu menulis tentang Tamadun Andalus sejak dari dahulu lagi. Cuma diharap bersabar kerana dalam fatrah (jangka masa/waktu) ini (peperiksaan) saya agak kesibukan.

22hb April adalah tarikh peperiksaan syafawi Al-Quran dan Tauhid. Doakan kejayaan saya semuanya.


/* Tidak... malam ini Arsenal bertemu Juventus.
/* This is the big clash of this month... watch out !!!!...

Sunday, March 19, 2006

:: Cerna Lagi ::

Hari ini agak letih. Semalam baru pulang dari Shibin el-Koum, menghadiri slot penulisan sehari suntuk bersama Zaki M.Noor. Ini adalah kali pertama ke Shibin, muhafazah kedua yang telah dilawati selepas Iskandariah. Huh?

Tidak lupa juga ingin mengucapkan tahniah buat Seluruh calon SPM dan STAM 2005 yang berjaya dalam dua peperiksaan tersebut.

Dalam pada itu, apa yang saya masih lagi fikirkan tentang situasi ini (iaitu kejayaan pelajar-pelajar dalam dua peperiksaan ini) adalah sejauh mana kayu ukuran diantara kejayaan mereka dengan kekuatan ilmu yang mereka ada.

Mungkin agak kabur lagi penyataan saya. Tapi saya akan cuba membawa pembaca kepada realiti situasi yang sebenar.

Saban tahun kejayaan calon dua peperiksaan ini semakin meningkat. Saya seperti tidak percaya. Persoalan yang kerap bermain di fikiran saya adalah adakah calon-calon pelajar semakin bijak dewasa ini ataupun soalan peperiksaan yang semakin mudah? Cuba fikirkan?

Jika di era 80an atau 90an, dikatakan soalan cukup sukar. Para pelajar yang boleh lulus dengan cemerlang adalah pelajar yang begitu hebat, genius dan bijak. Malah disesetengah sekolah, kadar peratusan pelajar yang mendapat agreget 1 adalah boleh dikira dengan jari !



Perbandingan ini saya bawa dalam situasi hari ini dimana pelajar yang mendapat 'A' atau Mumtaz dalam semua kertas peperiksaan adalah boleh dianggap sebagai bersepah-sepah, dan kalau setakat 2-3 'A' atau Mumtaz itu, orang tidak pandang. Sesetengahnya agak malu untuk memberitahu kepada orang lain keputusan mereka yang 'sedikit A' itu.

Masalah yang berada disini bukanlah banyaknya 'A' atau Mumtaz yang seseorang miliki, tetapi sejauh mana 'A' atau Mumtaznya itu menjadi kayu ukur bagi kekuatan ilmu yang calon tersebut ada.

Saya tertarik beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Emiritus Dr. Khoo Kay Kim, seorang sejarawan yang saya kagumi dan saya hormati. Beliau meluahkan tentang anak bangsa yang belajar sekarang ini tidak berkualiti.

Sebabnya mereka belajar hanya pakai hafal dan bukannya pakai otak. Berbeza dengan ketika zaman beliau belajar. Pelajar semua pakai otak bukan hafaz dan sebab itu dia pilih bidang sastera ketika di universiti kerana kos itu banyak menggunakan akal.

Penulis sebenarnya tidak hairan kalau sekiranya pelajar terutamanya dari sekolah di kawasan bandar boleh mendapat kejayaan yang 'gila-gila'.

Salah satu sebabnya, gurunya dilatih untuk melatih pelajar cara menjawab soalan. "Jika soalannya begini, cara menjawabnya begini". Apa lagi jika wujudnya syarikat 'perunding ilmu' seperti 'Easy Math' dan lain-lain lagi.

Sepatutnya mereka(guru) mengajar pelajar hakikat sebenar pelajaran itu dalam kehidupan dan mengajar pelajar cara dan kaedah berfikir. Dalam erti kata yang lain, mengajarkan anak bangsa falsafah ilmu itu yang sebenar.

Ketika di sekolahlah pelajar perlu dilatih berfikir. Bukan menghafal. Supaya mereka ini boleh menggunakan ilmu berfikir itu ketika memasuki pintu gerbang universiti kelak.

Kesan menghafal ilmu ini jelas kita lihat di sekitar universiti-universiti tempatan, yang kononnya digelar taman ilmu dan budi (bukan hanya UIA sahaja). Gejala ini mereka praktikkan hingga mereka berjaya memperoleh ijazah, dan akhirnya semakin ramailah graduan yang tidak berkualiti 'dikilangkan' oleh universiti.

Tidak hairanlah jika kita perhatikan diantara keluhan majikan yang ingin mengambil calon graduan, mereka agak memilih untuk mengambil pekerja bekerja dengan mereka. Dan ini juga mungkin menjadi sebab mengapa terjadinya lambakan graduan menganggur di tanah air. Kebanyakan mereka ini (minta maaf saya katakan) tidak berkualiti.

Mungkin sekali jika saya katakan memberi 'A' yang keterlaluan kepada calon adalah sesuatu yang bahaya. Pertama, calon yang cemerlang akan terasa dirinya hebat dan pandai sedangkan ilmunya tidak seberapa.

Kedua, nilai 'A' akan menjadi rebutan oleh calon peperiksaan, bukannya ilmu yang bermanfaat yang ada di persekitaran sekolah.

Ketiga, lama-kelamaan nilai 'A' dalam peperiksaan menjadi tidak bernilai. Terlalu mudah untuk diperoleh oleh sesiapa yang menghafal kaedah menjawab peperiksaan.

Berbalik kepada calon yang cemerlang dalam peperiksaan mereka. Sedarlah, ijazah itu hanya secebis kejayaan kamu yang tidak seberapa. Dihadapan kamu terlalu jauh perjalanannya dan terlalu banyak liku-liku yang perlu kamu lalui.

Gunakan kejayaan kamu yang sedikit itu untuk menjadi peransang kamu berjaya dimasa hadapan. Janganlah terlalu berbangga kerana mungkin rakan kamu yang gagal dalam peperiksaan itu akan menjadi 'bos' kamu ketika kamu bekerja kelak.

Kejayaan kamu itu terlalu jauh untuk dibandingkan dengan ilmu kamu. Kamu hanya beruntung kerana apa yang kamu baca dan hafal itu terkeluar soalannya dalam kertas peperiksaan.

Dan kepada yang gagal, usahlah bersedih. Gagal kamu itu bukan gagal yang selama-lamanya. Mungkin kamu lebih hebat dari mereka yang berjaya, tetapi Tuhan memberi kamu peransang agar kamu terus berjaya di kemudian hari.

Berapa banyak orang yang berjaya dalam peperiksaan, tetapi tidak berjaya dalam hidup. Tetapi berapa banyak orang yang gagal dalam peperiksaan, telah berjaya dalam hidup. Peliharalah ilmu kamu...

/* Kalau fikiran dah tercerna, segala-galanya boleh dicerna.

Friday, March 17, 2006

Tidak Berwaktu

Seminggu ini masa agak sibuk dan jadual agak padat. Bunyinya macam sibuk tapi sebenarnya tidak juga. Cuma ada beberapa kerja yang perlu di siapkan.

Esok (18hb Mac) kalau diizinkan akan ke Sibin El-Koum. Ada program penulisan di sana, dan juga menemankan Zaki ke sana.


Mungkin setelah pulang dari Shibin, InsyaALLAH akan ada penulisan baru. Lebih-lebih lagi tentang beberapa keputusan sijil pelajaran yang baru dikeluarkan baru-baru ini.

Monday, March 13, 2006

Sakit Otot

Hari ini seluruh badan terasa sakitnya. Mana tidaknya, semalam dari pagi sudah turun ke Suq Saiyarat (pasar kereta) dan menghabiskan masa lebih separuh hari di sana bermain 'street soccer'. Memang memenatkan.

Semakin lama semakin sibuk. Peperiksaan penggal akhir semakin terasa bahang kepanasannya, dan hampir membakar bulu-bulu roma dimuka. Banyak juga kata-kata yang keluar dari mulut kawan-kawan sealiran.

" Alar... 'stareh' jer...".

Ada juga yang berkata:

" Hah, sebulan setengah... lame lagi woi!!!".

Nah ambil ini jawapan dari aku untuk semua yang berkata begitu:

" Tengkorak korang lar...!!!! ".

***

Bergurau senda musim-musim periksa ini 'best' juga. Lagi-lagi kalau dapat menenangkan pemikiriran yang selalu bercelaru ini. Tambah lagi dapat makan mee bandung yang Fairuz (ahli bait) buat.

Sudahlah minggu ini otot-otot seluruh badan dilanda kesakitan dek penangan 'street soccer' Sabtu lepas, ahli bait pula semua 'bakal' sibuk gara-gara 'Muktamar Sanawi PMRAM' minggu ini. Bagus, bolehlah membaca buku di rumah.

Untuk ahli bait semua, selamat bertugas. Pastikan jangan ada yang mencuri ikan di dapur....

/* Wah sedapnya mee bandung ya Fairuz...
/* Lain kali bolehlah dibuat lagi...

Sunday, March 05, 2006

Mengapa Saya Benci Masjid

Mengapa saya benci masjid? Bukan ini kata-kata saya, tapi kata-kata seorang penulis yang sempat saya baca di sebuah laman web tempatan dan di'copy-paste'kan dalam web ini. Semoga pemikiran kita dicerna selalu. Saya memang selalu tersengih apabila membaca artikel beliau. Selamat membaca...

Oleh: Maszlee Malik

Di dalam salah sebuah kuliah saya di universiti, saya sempat bertanyakan kepada anak-anak murid saya: “Di masjid manakah kamu menjadi AJK?”, bagaikan tsunami yang melanda mereka dikejutkan dengan soalan tersebut. Bunyinya teramat aneh, janggal lagi pelik. Sama ada yang bertanyakan itu seorang yang kurang waras, atau jahil dan bingung, ataupun yang ditanyakan itu yang tidak faham soalan. Secara ijmak mereka menjawab, “Kami bukannya orang tua!”.

Hanya orang tua sahajalah yang layak memakmurkan masjid? Hanya orang-orang tua sahajalah yang berhak menentukan hala tuju sesebuah masjid? Hanya orang-orang tua sahajalah yang berhak memonopoli pentadbiran sesebuah masjid? Walaupun di antara mereka itu tidak pernah muncul ke masjid kecuali menjelang pemilihan AJK sahaja? Lebih lucu lagi, di salah sebuah masjid, Jawatankuasa pembangunan belia dan remajanya, adalah seorang yang telah pun berusia 60 tahun... mungkin dia masih terasa dirinya remaja!

Ya, inilah realiti membosankan yang berleluasa di tanah air kita tecinta ini. Entah dari syariat mana mereka warisi tidak pula diketahui. Hanya orang-orang tua sahaja yang berhak berkuasa di masjid. Hanya orang-orang tua sahaja yang berhak menjadi pelanggan setia masjid. Hanya orang-orang tua (old guards) sahajalah yang berhak menentukan hala tuju sesebuah masjid.

Jikalaulah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat tinggal di Malaysia di zaman ini, nescaya, bukan hanya sekadar para sahabat yang muda-muda seperti Ali, Ibnu Abbas, Ibnu Omar, Anas bn Malik sahaja yang tidak berhak untuk mentadbir masjid, malah Rasulullah S.A.W. juga pun tidak akan dapat diberikan ruang untuk mentadbir masjid, kerana bginda belum mencapai umur pencen ketika mendapat wahyu.

Fenomena ini tidak sekadar terhenti pada ruang pentadbiran masjid sahaja, malah dalam menentukan program-program masjid juga. Jika ada orang-orang muda yang nak berikan pendapat sedikit, pastilah mereka akan dilihat sebagai kurang ajar dan melebih-lebih. Doktrin “makan garam lebih dahulu” lebih didaulatkan daripada konsep syura yang diperkenalkan oleh Islam. Sebab itulah sering kia dengar pertentangan di antara golongan muda dengan golongan tua di masjid-masjid, samada di bandar-bandar mahupun di kampung-kampung.



Pada pemikiran majoriti rakyat Melayu Muslim Malaysia, orang-orang muda hanyalah buruh-buruh kasar masjid yang kerjanyan hanya untuk menurut patuh perintah golongan-golongan tua kariah. Bagaimana pula dengan golongan remaja pula?, mereka hanyalah pelanggan program-program masjid yang langsung tidak menepati selera generasi MTV yang diaturkan hasil idea lapisan Tok Wan dan Nyang mereka sahaja.

Itu tidak termasuk jerkah, tengking, sumpah seranah dan wajah-wajah bengis orang-orang tua terhadap mereka dan juga golongan kanak-kanak. Jika mereka tidak ke masjid pula, mereka akan dipersalahkan sebagai golongan yang bermasalah, bermoral rendah dan juga tidak mempunyai kesedaran.

Keadaan ini amat berlainan dengan keadaan muslim di negara-negara maju. Masjid menjadi pusat komuniti masyarakat muslim di sana. Para remaja, muda-mudi bersama-sama golongan tua memeriahkan masjid yang sama-sama mereka miliki. Tidak pelik jika didapati jawatankuasa khas untuk remaja yang dianggotai oleh para remaja sahaja, pentadbiran oleh golongan-golongan muda, dan juga golongan tua pula bertindak sebagai penasihat.

Tidak perlu pergi jauh, di negara jiran kita, Singapura sahaja sudah cukup. Masjid-masjid di sana meriah dengan program-program untuk golongan muda dan juga remaja. Tidak pelik bagi mereka bagi sebuah masjid untuk mempunyai seorang manager dari kalangan orang muda, barisan AJK dari golongan profesional muda, youth developement officer bagi golongan remaja. Lebih menarik lagi, mereka mereka juga mempunyai acara sukan tahunan untuk para remaja secara “inter-masjid” yang melibatkan para remaja muslim dari seluruh Singapura. Sesuatu yang pelik bin ajaib bagi rakyat Muslim melayu Malaysia untuk mempercayainya.

Bukan hendak menafikan wujudnya usaha baik sesetengah masjid- masjid di ibu kota menganjurkan program-program untuk para remaja dan belia. Sayangnya, para remaja dan belia tersebut hanyalah sekadar menjadi peserta yang akan dipandang sepi selepas selesai sahaja program. Adapun masjid, ianya tetap kekal dimonopoli oleh golongan tua yang gila kuasa, terutamanya di tempat-tempat yang terdapat ramainya para Dato’ dan Tan Sri.

Lebih memilukan lagi apabila golongan-golongan ini mempolitikkan jawatan-jawatan pentadbiran masjid. Akhirnya muncullah mereka-mereka yang kononnya berpengaruh di mata masyarakat kariah untuk mentadbir masjid, tetapi jahil tentang hukum-hakam agama. Maka timbullah pentadbiran masjid ala korporat, ala pejabat kerajaan dan malah ala sebuah parti politik. Akhirnya masjid terus malap daripada dimakmurkan kerana banyak sangat protokol, birokrasi dan politik.

Itulah realiti yang tidak boleh dinafikan berlaku di sekitar masjid-masjid di Lembah Kelang. Kadang-kadang saya tefikir, agaknya wujud atau tidak perebutan kuasa terhadap jawatan-jawatan “minister” di gereja-gereja milik orang Kristian. Ataupun jawatan sami-sami di kuil-kuil Buddha atau Hindu, ataupun jawatankuasa pentadbiran Guldhwara oleh orang-orang Sikh. Jika tidak wujud, alangkah malunya kita sebagai orang Islam yang menggunakan masjid untuk memuaskan nafsu politik dan gila kuasa kita.

Mentaliti ini perlu diubah segera. Seleras dengan kemajuan semasa, sistem pentadbiran masjid perlulah dirombak juga. Sepatutnya ada umur siling untuk para AJK masjid. Sepatutnya keutamaan diberkan kepada golongan muda untuk mempunyai peranan yang lebih demi menarik generasi muda ke masjid. Sepatutnya golongan remaja juga dilibatkan di dalam proses membuat keputusan bagi apa-apa program yang berkaitan dengan mereka. Sepatutnya para imam semua dibukakan minda mereka agar tidak terlalu tunduk kepada telunjuk golongan AJK-AJK masjid yang tua, gila kuasa dan terlalu tegar dengan idelisme pemikiran “outdated” mereka.

Sepatutnya, tidak berlaku apa yang tidak sepatutnya berlaku seperti di Malaysia sekarang ini. Semua pihak perlu memainkan peranan mereka, terutamanya para aristokrasi di jabatan-jabatan agama yang masih berfikiran ala 60’an lagi.

Persoalannya, adakah ide semacam ini akan diterima oleh masyarakat Malaysia?, saya teringat seorang rakan saya, seorang penceramah dan juga seorang ustaz yang sudah agak mula dikenali ramai, pernah bertanyakan kepada saya apabila saya mengutarakan pendapat semacam ini, “Ada dalil dalam al-Quran ke?” Saya lantas tersenum sinis mengiktiraf kedangkalan otak beliau yang dililit kemas di sebalik serban besarnya. Apatah lagi masyarakat awam dan golongan old guards.