Wednesday, March 17, 2010

Adakah Islam Itu Penyelesaian?

Pastinya anda pernah mendengar kalimah ini:

" الإسلامُ هو الحَلّ "


Laungan ini hampir-hampir sudah menjadi sebuah syiar dalam dunia harakah Islamiyah (gerakan Islam). Kalimah ini ibarat sebuah azan yang memperingatkan manusia agar berdiri dan datang mengadap Tuhan. Ia merupakan keramat bagi manusia yang mahu mencari kunci dalam masalah yang melanda diri mereka.

Namun kita tidak dapat menolak bahawa ada juga dikalangan manusia yang tidak percaya bahawa agama dapat menyelesaikan masalah mereka.

Saya tidak mahu bercakap mengenai Ikhwan atau gerakan Islam yang lain, tetapi mahu mencadangkan kepada pembaca blog ini supaya membaca sebuah buku yang berkisar tentang tajuk 'Islam sebagai penyelesaian'. Iaitu sebuah buku bertajuk:

'هل الإسلام هو الحَل، لماذا وكيف؟' - [Hal al-Islam Huwa al-Hal, Limaza wa Kaifa?] (Adakah Islam Merupakan Jalan Penyelesaian? Mengapa dan Bagaimana)

Buku ini merupakan tulisan seorang ahli akademik yang saya sangat kagumi iaitu Dr Muhammad Imarah. Beliau seorang yang diiktiraf keilmuannya, menguasai aliran pemikiran semasa dan merupakan salah seorang dari anggota Majma' Buhuth Islamiyah di Mesir, iaitu sebuah majlis yang bertanggungjawab melakukan kajian mengenai isu-isu akademik dalam dunia Islam.
Justify Full
Buku kecil ini adalah terbitan pustaka Darul Syurouk, ia mudah dibawa namun jangan sesekali kita sangka ia dari kalangan kutayyib (kitab-kitab mini) yang biasa.

Buku ini membukakan akal dan idea kita kepada sebuah pandangan politik yang lebih luas dan universal, merangkumi kerangka sosial manusia sebagai khalifah di muka bumi yang dipertanggungjawabkan oleh Allah S.W.T untuk mentadbir ummat manusia.

Dr Muhammad Imarah membawa kita kepada isu politik Islam yang sebenar dan membiarkan seketika pemikiran cliche kebanyakan orang Islam terhadap politik.

Pecahan-pecahan tajuk dalam buku ini serta huraian isu yang diketengahkan pastinya mampu memberi kefahaman yang jelas mengenai politik Islam sebenar yang diajarkan oleh Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A tanpa perlu bergantung kepada istilah-istilah seperti 'demokrasi' dan 'parti' seperti mana yang difahami oleh kebanyakan umat Islam pada zaman ini.

Buku tersebut membawakan kepada kita sebuah persoalan, iaitu mengenai bagaimana agama Islam dengan mekanisme dan sistemnya yang diteladani daripada Nabi Muhammad S.A.W dan para Sahabat R.A dapat menjadi penyelesaian kepada kehidupan pada zaman ini.

Jelasnya, persoalan mengenai penubuhan parti politik yang beliau sebut sebagai 'persoalan ijtihadi' perlu difahami dengan masak oleh anggota gerakan Islam.

Umat Islam pada hari ini perlu sedar mengenai prioriti yang harus dipilih tanpa perlu terus dipermain-mainkan oleh demokrasi yang sememangnya dicipta untuk memenuhi nafsu dan keinginan manusia.

Saya cuma mengagak berapa ramai yang selesai membacanya, kemudian dapat menerima huraian yang dikemukakan oleh penulis dengan hati yang terbuka dan positif.

Standard yang telah kita letakkan sekian lama terhadap istilah 'politik' sering menghalang kita untuk cuba berdamai dengan idea baru yang barangkali lebih baik berbanding standard yang kita letakkan pada hari ini.

Perjuangan mesti diteruskan. Kejayaan hanya akan dicapai sekiranya kita memilih untuk barada pada jalan yang benar dan tepat.

Friday, February 05, 2010

Sharing Is Caring?

Budak-budak sekarang (sambil geleng kepala), akaun peribadi semua nak dikongsi-kongsi. Konon 'sharing is caring' lah ya? Mereka fikir bila sudah mengelamun cinta sakan, semua perkara-perkara peribadi wajib dikongsikan.

Macam mana kalau hubungan kemonyetan itu tak menjadi nanti? Mahu orang lain @ luar ambil kesempatan atas emel dan akaun facebook anda?

Kalau ya pun agak-agaklah sikit. Orang yang dah berkahwin pun tak buang air atas jamban yang sama. Masing-masing ada hal ehwal peribadi. Masing-masing ada waktu dan tempat yang perlu dihormati. Yang boleh dikongsi maka silakanlah berkongsi.

Anda juga kena hormatkan privacy anda sendiri, takut kelak memakan diri. Hehe, jangan marah ya..!! =D

p/s: Perkataan "Budak-budak sekarang..." menunjukkan saya sudah tua..!! (walaupun belum sangat, hehe)

Wednesday, February 03, 2010

Cairo Book Fair 2010

Sudah dua hari berturut-turut saya mengunjungi Cairo Bookfair 2010. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kedudukan kedai-kedai dan susunan buku masih lagi pada keadaan yang sama dan tak banyak yang berubah.

Dua tiga hari ini keadaan kelihatan stabil, aman dan tidak ada yang beratur panjng memasukinya.

Pada tahun lepas mungkin berjuraian juga peluh saya kerana mengangkat kotak-kotak buku. Alhamdulillah segala set buku berjilid yang saya idamkan sudah pun dibeli pada bookfair yang lepas. Pada tahun ini saya hanya berlenggang kangkung memburu buku-buku kecil yang bermanfaat. (Adakah kangkung berlenggang seperti saya?.. musykil).

Seperti biasa tiap-tiap tahun ada saja yang bertanya buku apa yang bagus untuk dibeli. Soalan ini memang soalan popular terutama untuk mahasiswa yang baru dan masih berkebat-kebat lagi duit dolar dalam poket mereka (hehe).

Saya menolak untuk bercakap dalam forum pengenalan Maarad Kutub yang akan pada hari Khamis ini (4 Februaru 2010) di dewan Rumah Johor, atas beberapa keuzuran. Namun saya tidak lokek untuk memberi beberapa tips yang bagus terutama untuk mereka yang masih baru.

Buat permulaan, antara kitab yang saya cadangkan untuk mereka yang fresh ini ialah kitab al-Feqh al-Islamiy Wa Adillatuhu. Ia sebuah kitab karangan Dr Wahbah Az-Zuhailiy, seorang ulama dari Syria yang diakui keahliannya dalam ilmu feqah.

Kitab ini agak mahal namun berbaloi. Harga di Mesir sekitar LE 510. Peluh dan keringat yang menitis ketika mengangkatnya pulang pasti memberi anda kepuasan kelak apabila telah memilikinya.

Ada beberapa kelebihan kitab ini berbanding kitab lain. Antara yang utama ialah kitab ini mengeluarkan hukum dan pendapat yang muktamad dari empat mazhab yang muktabar dalam Islam, iaitu Syafi'e, Maliki, Hambali dan Hanafi. Justeru anda tidak lagi perlu susah-susah untuk merujuk kitab-kitab lain dalam mazhab-mazhab tertentu untuk mengeluarkan hukum dengan pantas.


Masalah yang sering dihadapi kerap kali wujud di dalam kitab-kitab intra-mazhab, apabila terdapat pendapat-pendapat yang saling rajih merajihi antara satu sama lain. Misalnya, terdapat ramai ulama dalam mazhab as-Syafi'e yang berijtihad dalam sesuatu masalah.

Dalam beberapa masalah, pendapat orang-orang lama (qadim) dalam mazhab Syafi'e lebih rajih berbanding yg baru (jadid), begitu juga terdapat sebaliknya. Maka kelebihan kitab ini ialah ia hanya mengeluarkan qaul yang muktamad dalam sesuatu masalah.

Selain itu, kitab ini juga mengandungi pelbagai isu dan masalah kontemporari dalam dunia feqh. Susunan dalam kitab ini juga tidak kurang menarik, disertakan dengan fihris (index), laras bahasa yang mudah difahami, serta sesuai untuk rujukan dalam pelbagai peringkat.

Kitab kedua yang harus dimiliki pada pandangan saya ialah kitab 'Tafsir al-Wasit' karangan Syaikh al-Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi, mengandungi 15 jilid, harga sekitar Le 160 (cetakan Darul Sa'adah yang saya miliki).

Seperti mana kitab Feqh Islami karangan Dr Wahbah, kitab tafsir ini mengeluarkan qaul dan pendapat yang terpilih dari kitab-kitab tafsir yang ada. Laras bahasanya yang mudah membolehkan tafsiran difahami dengan mudah dan pantas.

Ulasan dan tafsiran bagi sesuatu ayat al-Quran disertakan juga dengan pendapat imam-imam tafsir yang pelbagai, merangkumi sudut bahasa, falsafah, balaghah, hukum dan pengajaran yang diperoleh dari ayat tersebut.

Dua buah buku ini cukup hebat dan sangat bermanfaat untuk mereka yang baru dalam dunia ilmu Islam. Bukan kitab-kitab lain tidak bermanfaat, tetapi dua buku berjilid ini sangat baik bagi seorang pemula yang tidak tahu buku apa yang terbaik untuk mereka beli di bookfair.

Apa yang saya khuatiri ialah kita selalu membeli sesuatu kitab kerana orang lain juga turut membelinya. Dapat mengumpulkan kitab yang berjilid-jilid memang sesuatu kepuasan, tetapi sangat menyedihkan apabila ia tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Saya khuatir kalau-kalau anda membeli kitab seperti 'Siyar' az-Zahabi lantas ia tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana kitab ini pada pengamatan saya adalah pilihan terbaik untuk mereka yang berada dalam bidang hadis ataupun untuk mereka yang sudah memasuki ijazah lanjutan bermethodkan kajian.

Membeli kitab yang terbaik dan memberi manfaat untuk diri sendiri adalah yang paling dialu-alukan.

Selain membeli kitab-kitab yang mahu anda talaqqikan, saya juga cadangkan supaya kita tidak mengenepikan kitab-kitab pemikiran bersifat kontemporari. Darul Syurooq adalah sebuah maktabah yang baik untuk anda singgah. jaraknya tak jauh dari pintu masuk utama.

Nama-nama penulis seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Muhammad Al-Ghazali dan Dr Muhammad Imarah adalah begitu sinonim dengan Darul Syurooq. Banyak buku-buku terkini yang diterbitkan malahan tidak kalah juga dengan manfaat yang kita peroleh ketika membacanya.

Jangan lupa untuk singgah di kedai-kedai buku bundle (belakang dewan 4B) sekiranya anda mahu mencari bahan bacaan alternatif di dalam bahasa Inggeris dan Perancis dengan harga yang sangat murah. Buku-buku rujukan dalam bidang perubatan, politik, kejuruteraan dan seni juga sangat mudah didapati dan murah jika dibandingkan dengan buku asal yang baru.

Selamat membeli belah di Cairo Bookfair 2010. I'm the fan of Darul Syurooq and the bundle bookstore.... =)