Friday, March 30, 2007

Berlagak Tuhan

Saya tidak menyibuk, tetapi dia yang bertanya pada saya.

Salafi : Awak tahu apa itu Syi'ah?
Saya jawab : Tahu, satu jemaah daripada orang Islam.

Salafi : Mereka itu orang-orang yang bagus ataupun tidak? (Tersengih)
Saya jawab : Mereka bagus, walaupun ada beberapa perkara yang kurang.

(Si Salafi itu terbeliak biji mata memandang saya, dia mula naik angin. Dia pasti tidak sangka pertanyaan main-main dia dijawab sebegitu oleh saya. Sebetulnya, saya sengaja mengatakan orang Syi'ah bagus walaupun tidak bermaksud begitu, supaya perbualan ini boleh menjadi lebih panjang. Jika saya katakan tidak, saya fikir dia akan berhenti bertanya lagi).

Salafi : Mengapa kamu kata mereka orang-orang Syi'ah bagus?
Saya jawab : Sebab mereka orang-orang yang berani. Mereka berani untuk menentang Amerika. Kamu tengok orang-orang Sunni, mereka penakut dan tunduk dengan Amerika.

Salafi : Jadi, kamu ini ahli Sunnah atau Syi'ah?
Saya jawab : Tentu sekali saya Ahli Sunnah. (Ketawa)

(Dia menarik tangan saya. Membawa saya ke bahagian tepi kedai).

Salafi : Jadi, kamu kata orang yang mencela para sahabat, menuduh isteri Nabi s.a.w berzina, dan tidak mengiktiraf hadis dalam Sunan Sittah, kamu kata mereka baik?
Saya jawab : Tidak, itu perkara yang tidak baik. Itu adalah pegangan dan kefahaman mereka. Tetapi mereka tetap orang Muslim, dan mereka saudara kita dalam agama.

Salafi : Orang yang mengingkari Al-Quran, kamu kata mereka orang Islam?
Saya jawab : Mereka bukan mengingkari Al-Quran, cuma Al-Quran disisi mereka, mereka gelarkan sebagai Mashaf Fatimiyah, berbeza pada beberapa tempat dengan Al-Quran yang kita gunakan. Tetapi kamu tidak boleh mengkafirkan mereka.

Salafi : Mereka jelas tidak menerima hadis dari Bukhari, Muslim dan Sunan Sittah, kamu kata mereka bukan kafir?
Saya jawab : Jadi, mengapa pula saya perlu katakan mereka itu kafir. Mereka ahlul qiblah, mereka solat, mereka berpuasa, mereka bayar zakat, mereka mengerjakan haji, dan paling penting mereka mengaku tiada Tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruhnya (cukup rukun Islam yang lima). Mereka tidak mempersekutukan Allah. Tidak ada sebab untuk aku mengkafirkan mereka.

Salafi : Habis, bagaimana dengan seribu satu macam perkara yang melanggari syara' yang mereka lakukan?
Saya jawab : Itu memang suatu kesalahan, itu dosa mereka atas kesalahan mereka. Kalau berdosa pun, tentu antara mereka dengan Allah. Tak ada sebab untuk kamu mengkafirkn mereka.

Salafi : Hish kamu ni...

Si Salafi tadi keluar. Pergi ke maktabah (kedai buku) sebelah untuk mengambil beberapa buku, mahu ditunjukkan pada saya beberapa kesalahan Syi'ah, untuk menambahkan lagi yakin saya yang syi'ah itu kafir. Akhirnya dia datang semula dan kali ini dia dihalau oleh tuan maktabah tempat saya membeli.

"Kamu mengganggu pelanggan saya!".

Wah, habis semua orang hendak dikafirkan oleh si syeikh Salafi ini. Kamu fikir kamu berjanggut panjang dan berjubah, kamu sudah boleh berlagak Tuhan, menghantar dan mengagihkan-agihkan manusia, sama ada ke syurga atau ke neraka?

Saya bukan membela Syi'ah, tetapi cukup kesal dengan sebahagian golongan dalam masyarakat Sunni kita ini. Memperjuangkan Sunnah katanya, tetapi tidak mengamalkan Sunnah langsung dalam berdakwah.

Mereka ini boleh saya katakan sebagai buta dan separa munafiq. Mana tidaknya, menganggap orang yang Islam (walaupun ada sedikit lari fahamannya), lebih kafir daripada orang yang betul-betul kafir. Yalah, orang yang agak berbeza fahaman mereka ini, sebenarnya mereka ini 'commit' pada agama.

Tetapi mungkin kejahilan dan kelemahan orang yang terdahulu menyebabkan mereka tersasar dari matlamat yang sebenar. Bahkan masih ramai lagi manusia yang berlencanakan Islam, tetapi langsung tidak melakukan amali Islamnya. Mereka berterang-terangan melakukan dosa-dosa besar, dan hampir-hampir boleh terkeluar dari Islam. Orang seperti itu jika kita fikirkan lebih layak untuk kita kafirkan berbanding orang-orang yang 'commit' ini.

Tetapi ingat! bukan kerja kita untuk mengagih-agihkan hak kafir dan Islam pada manusia. Syurga dan neraka itu kerja Allah. Dia memasukkan hambaNya ke dalam syurga atas tiket rahmatNya, bukan tiket mazhab. Tak perlulah mengambil alih kerja Tuhan. Sudah cukup bagiNya mentadbir alam, syurga dan neraka, tanpa perlukan bantuan manusia.

Double Standart

Double standart. Itu mungkin lebih tepat untuk menggambarkan tentang mereka ini, iaitu mereka yang berdakwah pada bukan Islam dengan begitu lemah lembut dan berhikmah sekali, tetapi berdakwah pada orang Islam yang tersasar ini dengan kalimah takfir dan tabdi'. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula mereka yang tersasar ini pada jalan kebenaran.

Jadi dimanakah letaknya Feqh Dakwah anda? Di lutut? Atau di celah punggung? Tidakkah anda tahu bahawa dakwah itu untuk dua ummat sasaran; ummatul dakwah (orang kafir), dan ummatul ijabah (orang yang telah menerima Islam)? Mereka kedua-dua ini berhak untuk mendapatkan layanan yang setara dan berhikmah dari orang yang berdakwah.

Pendek kata, orang-orang yang berkepentingan ini selalu sahaja menambah minyak pada bakaran api yang kecil. Sekecil-kecil perkara yang boleh diselesaikan dalam masa tiga saat, dijadikan minyak untuk membakar dan menyemarakkan api perpecahan berabad-abad. Mungkin itu realiti perkara yang berlaku antara Sunni dan Syi'ie di timur tengah yang tak berkesudahan.

Bagaimana kita mahu melihat konfrontasi Sunni dan Syi'ie ini akan berakhir, kalau sekiranya kedua-dua belah pihak keras kepala dan taksub, tidak mahu mengalah. Sebagai seorang Sunni, dirasakan kita perlu lebih terbuka dan berhemah, disamping menunjukkan adab dan tata susila dalam menarik mereka kepada kebenaran. Biarlah mereka berkerasan, kita tidak perlu balas dengan kekerasan, bahkan lebih cantik membalas mereka dengan senyuman.

*/ Selamat menyambut Maulidur Rasul.
*/ Kelahiran Rasul s.a.w adalah lambang kelahiran Islam di dunia ini.

Wednesday, March 28, 2007

Maaf Cikgu Hamsan

Bismillah.

Alhamdulillah, dua hari berhempas pulas, tergolek dan tertonggeng mencari idea. Tadi baru tersiapnya sebuah cerpen. Nah, cerpen pertama dari seorang buta cerpen yang berasal dari Pontian, Johor. 'Biasan Prisma'.

Tapi buat sementara belum boleh dikeluarkan, sedang dalam proses pembetulan dan pengeditan. Ataupun mungkin tidak akan diterbitkan disini. Tak pasti lagi. Takut jugak kalau ada yang gatal-gatal copy, dan mengada-ngada pastekan kat mana-mana. Ish ish ish... haram tu. Ingat, setiap penulis perlu bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis. Alah, kalau hantar kat majalah, bukan boleh terbit keluar pun, maklumlah cerpen yang masih 'buah cempedak di luar pagar'.

Sebenarnya ada banyak kekurangan. Plot cerita yang mendatar, menyebabkan mungkin ada sesetengah orang yang malas untuk meneruskan pembacaan. Biasalah, pertama kali menulis, pasti banyak kesilapan dan kesalahan. Itu pun belum diceritakan lagi tentang tanda baca yang hentam keromo.

Maaflah pada Cikgu Hamsan, aku tidak dapat mempraktikkan tanda baca yang cikgu ajar sewaktu di sekolah menengah dulu walaupun dapat satu. Berangan banyak sangat agaknya.

Harap saudara Zaki M.Noor dan Ustzh Khadijah boleh tolong tengok-tengokkan.

'Kami budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan'

Thursday, March 22, 2007

Menerakakan Manusia

(Catatan Penat Selepas Bazaar)

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

(Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri"). (Fussilat : 33)

Trend masyarakat Malaysia akhir-akhir ini memang semakin menjadi-jadi dan meruncingkan. Mana tidaknya, kalau dahulu tok-tok guru dihormati, diberi salam dan senyuman ketika berselisih, dan dihadiri kelas pengajiannya, tetapi hari ini lansung tidak membalas senyuman, bahkan guru-guru agama sering menjadi bahan umpatan, cercaan dan hinaan termasuk oleh anak muridnya sendiri.

Menghormati guru-guru agama, atau bahasa mudahnya iaitu pendakwah, menjadi tuntutan agama. Kerana dalam sebuah ayat dari Surah Fussilat, iaitu ayat ke-33, Allah s.w.t meletakkan martabat du'ah (pendakwah) pada martabat yang paling tinggi sekali disisiNya. Kata-kata mereka adalah yang paling mulia dan paling berharga disisi Allah s.w.t dan mereka wajar untuk dihormati.

Kerana itu di dalam ayat tersebut Allah menggunakan lafaz isim tafdhil (lafiz melebihkan) iaitu أَحْسَنُ yang bererti lebih baik. Bermaksud, tiada kata-kata yang lebih baik disisi Allah melainkan kata-kata orang yang berdakwah kepada jalan Allah s.w.t berbanding kata-kata orang yang selain daripada itu.

Saya cukup tertarik untuk menulis berkenaan ayat ini kerana situasi di Malaysia kerap meminggirkan konklusi daripada ayat ini. Ada segelintir manusia sanggup tampil kehadapan manusia menghina, memfitnah dan mengkeji para pendakwah untuk mendapatkan sesuap nasi.

Alasan mereka mudah sahaja. Pendakwah ini salah, dan pendakwah itu ahli neraka. Pendakwah ini jahil, dan pendakwah itu tidak punyai critical thinking. Golongan agamawan sering menjadi kambing hitam daripada hunusan tajam dan kerasnya lidah mereka memfitnah.

Perkara ini wajar untuk kita sedihi. Mana tidaknya, kebanyakan fitnah itu datang dari orang-orang agama sendiri. Seolah-olah mendabik dada kononnya dia yang membawa kebenaran yang sebenar. Orang lain salah kerana tidak kritikal, jahil dan tidak mahu belajar hingga Phd sepertinya. Kemudian beria-ia menulis sajak dengan nada kesedihan, dengan alasan perjuangan, agar mengharapkan orang yang membacanya jatuh simpati terhadap perjuangannya.

Kemudian apabila ditegur, mula mencari alasan dengan Al-Quran dan Hadith. Segala macam bentuk kaitan daripada hadis akan dikaitkan untuk membela diri sendiri. Sehingga sanggup berkubu dibelakang nama ulama-ulama besar supaya sasaran tidak mengenainya, tetapi melukai ulama-ulama besar itu. Lantas fitnah lagi ke atas ulama-ulama besar menjadi bisul dalam barah.

Saya sebenarnya hanya suka untuk berdiri diatas pagar kalau kerbau berlaga dengan kerbau. Tapi dalam situasi sebegini, saya tidak boleh terus berdiri. Saya perlu turun sama ada ke kiri atau ke kanan untuk membantu, dan apa yang perlu saya perhatikan ialah kerbau mana yang gila, dan saya perlu berada diantara kerbau dua kerbau untuk menghentikan naik syeh kerbau gila itu.

Memang tidak dinafikan, ada segelintir pendakwah yang bukan ahli untuk berdakwah. Itu juga tidak menafikan bahawa semua orang boleh jadi pendakwah. Seperti doktor dan jurutera, ada juga doktor yang jahil ilmu kedoktoran dan ada juga engineer yang jahil tentang ilmu kejuruteraan. Tetapi kalau menyapu bersih untuk menghina semua doktor perubatan dan semua jurutera, itu adalah suatu kesalahan jenayah ilmiah terancang dari orang yang jahil.

Setiap manusia tidak dapat lari dari kesalahan, dan tugas ahli agama dan pendakwah adalah sama-sama berganding bahu mendidik umat dan masyarakat mengenal Tuhan. Mencari pelbagai alasan menjatuhkan orang lain bukan jalan yang terbaik. Mereka sebenarnya boleh menegur para pendakwah ini dengan teguran yang baik dan berhikmah. Dan menghamburkan kesalahan manusia di hadapan orang ramai bukanlah suatu bentuk teguran yang baik.

Justeru, adakah 'berterang-terangan' memberitahu kesalahan pendakwah lebih baik dari 'bersenyap-senyap' tentang jiran sebelah rumah yang bersedudukan? Semata-mata untuk menutup aib manusia! Ataupun adakah lebih baik me'neraka'kan saudara semuslim yang lain itu lebih baik daripada meletakkan nama semuslim dengan nama anak tuhan Hindu? Semata-mata untuk memelihara ikatan persaudaraan! Fikirkan...

Trend-trend seperti fitnah memfitnah dan suka mencari kelainan dalam urusan agama ini sebenarnya semakin berleluasa dan seluruh masyarakat perlu menyedarinya. Trend ini tidak lari dengan belia yang menyertai punk, skinhead dan lain-lain lagi, kerana kebanyakan mereka ini ingin mencari kelainan dan yang menjadi penggeraknya adalah dikalangan orang-orang muda yang sinonim dengan kependekan akal dan kemiskinan al-hikmah. Itulah persamaan mereka.

Walau apapun, berkat hidayah Allah, jika kita lihat para pendakwah ini mereka cukup tenang dan tidak mudah melenting dengan fitnah-fitnah sebegini. Mereka kebanyakannya tidak mengambil cakna fitnah ini dan terus istiqamah melakukan amal kebaikan dengan mengajar manusia mengenal Tuhan tanpa menyimpan sebarang dendam apa lagi mengherdik semula.

Ingatlah bahawa penghormatan kepada para pendakwah ini adalah sebuah nilai keikhlasan, terima kasih dan kemuliaan disisi Allah, kerana sesungguhnya kata-kata dan usaha mereka itu lebih baik dan terpuji disisiNya dari kata-kata manusia lain, dan tugas kita bukanlah untuk mencela mereka.

Dan untuk para pendakwah, ini ada dua ayat dari Al-Quran yang Allah telah turunkan untuk menggembirakan hati anda sekalian bila mana difitnah :

* وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيم

(Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang setia * Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar *)
(Fussilat : 34 : 35)

Monday, March 12, 2007

Membukukan Minda

Menghidupkan bidang perbukuan sesuatu masyarakat adalah ibarat menghidupkan tamadun dan empayar pemikiran mereka yang tersendiri. Tak dinafikan bahawa buku atau kata lainnya karya ilmiah, merupakan sesuatu yang sub-wajib dalam menyampaikan displin keilmuan.

Mahu tidak mahu, sejarah telah banyak mencatit tentang pertolongan buku dalam menghidupkan tradisi ketamadunan manusia. Tamadun Islam misalnya melalui zaman perbukuan yang unik. Beratus ribu buku dan karya ilmiah telah dihasilkan oleh tangan-tangan mereka yang ajaib. Itupun belum dikira lagi yang dibakar dan dibuang di dalam laut oleh manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab.

Daripada orang Arab, Eropah, sehinggalah kepada orang Parsi, menghasilkan buku ibarat melatih otak mereka untuk menghafal dan mengulangkaji semula tentang apa yang dipelajari. Tetapi bukan mudah untuk menghasilkan sebuah karya ilmiah. Menulis sebuah buku ilmiah bukanlah semudah melahap mi ramen dengan sup bebola udang, ianya memerlukan tumpuan, komitmen dan bahan yang mencukupi.

Menulis buku atau karya ilmiah adalah merupakan intepretasi para penulis terhadap ilmu yang dikaji dan dikuasainya. Minat ini sebenarnya adalah hobi yang tidak asing bagi seseorang pencinta ilmu. Buku pada mereka adalah ibarat ibu, dadah atau juga daun marijuana pada pandangan mata para pencintanya. Kadang-kala dalam sesetengah kes, buku sering dijadikan isteri pertama berbanding isteri mereka yang sedia ada.

Dakwah

Pada zaman ini, banyak konsep dakwah diperluaskan dalam bidang yang pelbagai. Ada yang berbentuk nasyid, kempen, Akademi Fantasia, blogging, fitnah dan sebagainya. Tetapi kita perlu tahu bahawa bapa kepada segala cabang dakwah ini adalah buku. Sama ada dakwah yang menyesatkan mahupun yang benar, buku menjadi suatu yang sangat penting dalam menyebakan agama Islam.

Dalam kelas Adab Arabiy yang saya hadiri semalam, Dr Fathi Hijazi ada menyebut tentang uniknya para ulama menghasilkan buku. Ada tiga golongan ulama dalam menyampaikan dakwah mereka. Sama ada dia hanya memberi kuliah, tanpa menulis. Atau dia hanya menulis, tanpa memberi kuliah. Ataupun dia menulis dan memberi kuliah. Yang anehnya, ketiga-tiga golongan ini menghasilkan begitu banyak kuantiti buku beserta dengan kualitinya.

Syeikh Mutawalli Asy-Sya'rawi adalah contoh manusia yang tidak pernah menulis buku, tetapi bukunya penuh dipasaran. Pernah beberapa kali beliau cuba untuk menulis, tetapi gagal, sehingga akhirnya beliau sendiri berkata pada dirinya bahawa 'Sesungguhnya engkau tidak boleh menulis, engkau hanyalah seorang pemberi kuliah'. Anak-anak muridnya yang begitu gigih menulis apa yang dikuliahkannya.

Begitu juga dengan Imam Ibnu Kathir, sesetengah guru-guru saya menceritakan bahawa Tafsir Quran ul-Azim itu tidaklah ditulis olehnya, bahkan dicatit sendiri oleh anak muridnya sehingga catitan tadi dikumpulkan menjadi sebuah buku.

Imam Ar-Rafi'e pula adalah contoh insan yang hanya manulis dan tidak pernah memberi kuliah. Ini kerana beliau yang tidak mampu mendengar ketika berumur belasan tahun, tidak dapat mengetahui tahap bahasa manusia disekelilingnya. Dengan sedikit ilmu yang dipelajari ketika usia kecilnya (sebelum kehilangan pendengaran), Imam Ar-Rafi'e mampu belajar dan mengajar melalui penulisannya. Sebab itu tidak semua yang mampu untuk faham apa yang ditulisnya kecuali orang-orang yang betul-betul menguasai sastera arab.

Akhir sekali Dr. Fathi Hijazi meletakkan nama Syeikh al-Ghazali sebagai penulis dan pemberi kuliah yang terbaik. Sehinggakan para pembaca bukunya berkata bahawa 'Seakan-akan saya mendengar dia memberi kuliah sewaktu membaca bukunya'.

Walaupun begitu menurut Dr. Fathi, masing-masing mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Ada yang mampu menulis dan ada yang tidak. Ada juga yang penulisannya lebih baik dari kuliahnya, dan sebaliknya. Tetapi visi dan matlamat mereka tidaklah lari dari tujuan sebenar mereka iaitu berdakwah kepada Allah dan agamanya.

Sub-Budaya

Zaman kini telah berubah dan realitinya juga turut berubah. Boleh dikatakan bahawa bidang perbukuan sekarang ini telah dimonopoli oleh Barat. Walaupun rujukan-rujukan agama Islam masih lagi pada tangan masyarakat Arab, tetapi perihal orientalisme sedikit sebanyak telah menukar qiblat rujukan ini dari timur ke barat.

Fakulti pengajian Islam dan yang berkaitan dengan Oriental Studies, telah membuka ruang dan menarik begitu ramai sarjana ke Eropah. Tidak kira di Oxford, Cambridge, mahupun di Glasgow, kajian ilmiah semakin hari semakin merancakkan lagi persaingan. Para graduan lepasan ijazah dalam bidang pengajian Islam kini lebih gemar ke Eropah berbanding ke timur, dan universiti-universiti hebat itu sering dijadikan pilihan utama dalam membuat thesis dan kajian.

Dengan rujukan yang lebih liberal dan global, kajian-kajian di barat ini nampaknya semakin menjadi perhatian ramai berbanding di timur. Lantas perspektif dan kecenderungan masyarakat Islam yang mula menjeling-jeling kearah barat telah menjadikan institusi pengajian Islam di timur tengah mula dipinggirkan sedikit demi sedikit.

Ditambah lagi dengan puak-puak yang bertelagah seperti Wahhabi dan fanatisme lain di dunia arab, lebih memeningkan kepala masyarakat jika dibandingkan dengan tradisi liberalis barat yang lebih bertolak ansur dan berbahas dalam ruang lingkup ilmiah. Itupun belum ditambah lagi dengan buku-buku ilmiah mereka yang dipasarkan di seluruh pelusuk dunia.

Pendek kata, dalam senyap-senyap masyarakat Islam telah jauh ketinggalan dalam bidang ini lantas berada semakin jauh daripada apa yang disasarkan Islam. Bagi orientalis, buku dan penulisan mereka adalah senjata terbaik yang paling tajam untuk menusuk pemikiran orang-orang Islam. Memang benar bahawa mereka menulis berdasarkan fakta dan dalil, tetapi hikmahnya jauh sekali tersasar dan juga maqasid ilmiah mereka bertentangan dengan kehendak Islam.

Membukukan Orang Malaysia

Di Malaysia, buku bukanlah sesuatu yang istimewa bagi kebanyakan orang. Bidang perbukuan masih lagi belum boleh dijadikan bidang pekerjaan dan pemenuhkan poket para penulis. Jika ada pun, hanya beberapa orang sahaja yang mampu berbuat begitu. Itupun kerana mereka memang mempunyai nama besar dalam bidang ini. Kebanyakan orang Malaysia masih lagi takut-takut untuk menceburkan seluruh tenaganya untuk menulis. Menulis buku hanyalah dijadikan sumber tepi atau juga sebagai hobi mengisi kekosongan waktu mereka sahaja.

Walaupun ketinggalan, tetapi akhir-akhir ini ada sedikit berubah gaya langkahnya. Sayangnya, berubah langkah itu hanyalah novel-novel cinta yang laris di kedai buku. 'Asmara Ini', 'Cinta Tak Keruan', 'Kau Tak Sayang Aku' dan macam-macam lagi adalah contoh novel-novel cinta yang laris dipasaran. Lihat sahaja carta 'top ten' buku-buku Malaysia di dinding kedai buku, masih lagi dikuasai oleh novel.

Amat malanglah nasib bagi penulis-penulis karya ilmiah di Malaysia. Buku yang dipasarkan hanya dibeli orang satu dua untuk rujukan berbanding novel-novel ghairah cinta yang macam pisang goreng panas. Sampai bila agaknya kita mahu bermalu di hadapan Karen Armstrong dan rakan-rakan orientalis lain, yang mana mereka makan duit hasil penulisan buku sendiri....

Monday, March 05, 2007

Citra Parsi

(Kepada yang tidak menyenangi tulisan ini, usah pakaikan tag nama syi'ah pada kocek saya, modal tu dah busuk)

Dua tiga minggu kebelakangan ini, ura-ura tentang bakal terletusnya siri perang ala-ala salibi kerap menjadi tajuk tumpuan di ruang akhbar seluruh dunia. Kongkang-kongkang putih (US) telah mula melancarkan provokasi murahan dan propaganda terhadap kempen meraka untuk menyerang Iran.

Perempuan hitam berdahi jendul (Condolezza Rise) dan tukang karutnya (Dick Cheney) itu pun sekarang ini sedang giat dalam promosinya menyerang Iran, kesana-sini menjaja berita palsu murahan dengan tanda harga 'nuklear dan uranium' kepada negara-negara Eropah yang lain.

Tetapi sedarkah kongkang putih itu tentang mangsa mereka kali ini? Bukankah orang-orang Parsi mempunyai rekod cemerlang dalam sejarah tamadun manusia? Baik dari segi ketenteraan mahupun ilmu pengetahuan.

Keilmuan

Tanah Arab, seperti yang diketahui umum, adalah tapak asas penubuhan daulah Islamiyyah yang terawal sekali. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di kota Mekah bemakna telah bermulalah episod kelahiran agama Islam dalam sejarah dunia. Selepas beberapa tahun, Kota Madinah telah menjadi kerajaan Islam yang pertama ditubuhkan didunia apabila berlakunya peristiwa penghijrahan Nabi s.a.w bersama para sahabat ke Kota Madinah.

Selepas kewafatan Nabi s.a.w, zaman era sahabat dan tabi'en diteruskan, dan ketika ini begitu banyak negeri dan wilayah di sekitar semenanjung tanah Arab dibuka oleh masyarakat Islam yang terdiri dari kalangan sahabat, tabi'en dan tabi'nya.

Selepas zaman pasca-Khulafa'Ar-Rasyidin, kemunculan Daulah Islamiyyah Umayyah, Abasiyyah, Fatimiyyah, Uthmaniyyah dan lain-lainnya mengalami era kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan sepertimana yang tercatat di dalam sejarah tamadun Islam. Kemasukan ilmu dari luar, seperti dari tamadun Yunani dan sebagainya, telah membantu merencam pemikiran intelektual orang Islam dalam pelbagai displin ilmu pengetahuan yang menjadi rujukan ilmuan dan saintis diseluruh dunia termasuk Eropah.

Cordova, Baghdad, Andalusia, Kaherah, Basrah dan Kufah. Masing-masing mencatatkan sejarahnya sendiri dengan melahirkan cendekiawan perintis era zaman keemasan Islam. Tetapi tahukah anda, siapakah yang menjadi tulang belakang pemangkin pada era kegemilangan ini?

Anda pernah mendengar nama Ibn Sina? Ibn Rusyd? dan bapa optik moden iaitu Ibn Al-Haitami? Mungkin kita selalu mendengar nama mereka ini dalam buku sejarah. Tetapi bukan sekadar dalam buku sejarah sahaja, bahkan nama mereka di'inggeris'kan dan tercatat di dalam buku-buku falsafah dan sains perubatan dengan nama Avicenna, Averrous dan AlHazen!!! Mengapa dengan mereka?

Meraka itu adalah berbangsa Parsi.

Tidak ketinggalan juga kepada saintis dan ahli falsafah berbangsa Parsi yang lain seperti al-Kindi, Omar al-Khayyam, al-Khawarizmi (ahli fizik, astronomi dan matematik), Abd Rahman al-Biruni, Imam al-Gazali, Jabir Bin Haiyam (bapa kimia), al-Mawardi (muhaddis dan tokoh feqh), al-Razi (falsafah, perubatan dan astronomi) dan ramai lagi.

Jangan lupa juga kepada bapa Nahu dan Sorof iaitu Sibawaih adalah berbangsa Parsi. Sasterawan ulung, Jalaluddin ar-Rumi. Pencetus idea Taj Mahal iaitu Mumtaz Mahal. Wanita bijak dalam Kisah Seribu Satu Malam iaitu Shaharzad. Meraka semua ini adalah berbangsa Parsi.

Ramai lagi tokoh-tokoh hadis dan ulama'-ulama' muktabar, baik dalam ilmu agama mahupun dalam ilmu nasional, yang berbangsa Parsi, telah menjadi figura utama yang memainkan peranan ketika era 'The Islamic Golden Age' suatu ketika dahulu. (anda boleh merujuk Muqaddimah Ibn Khaldun dalam bab ke-2, Ilmu Bumi)

Ahli sejarah menulis beberapa sebab mengenai kekuatan ilmu pengetahuan bangsa Parsi. Antaranya adalah orang-orang Arab hanya lebih memberi tumpuan dalam sistem politik dan dan tampuk pemerintahan, sedangkan orang-orang Parsi lebih gemar mengkaji dan mendalami ilmu pengetahuan. Sebab itu sesetengah ahli sejarah menulis bahawa bangsa Parsi telah menyokong meralihan takhta kerajaan Abasiyyah dari tangan Umayyah, kerana segelintir pemimpin kerajaan Umayyah melakukan diskriminasi tehadap bangsa Parsi.

Walau apapun yang dicatat oleh sejarah (sama ada betul ataupun tidak), kita tidak mampu untuk menafikan kekuatan ilmu dan kepandaian bangsa Parsi dalam tamadun peradaban manusia.

Bangsa Perang dan Ahli Strategi

Tidak dinafikan, bangsa Parsi adalah bangsa yang suka berperang dan dikenali dengan bangsa penakluk. Parsi telah memulakan tradisi penaklukannya sejak sebelum kedatangan Islam lagi, iaitu ketika bermulanya empayar Achaemenid di bawah pemerintahan Cyrus The Great dan juga Darius of Persia. Empayar ini memperluaskan kuasa hingga menakluki Sungai Indus dan sekitar Eropah.

Setelah itu empayar Parsi melalui era Hellenistik, Parthian dan Sassanid, hinggalah ditakluki oleh kerajaan Islam Umayyah (650-1037 M). Bangsa Parsi diIslamkan dan kerana penaklukan Umayyah ini bangsa Parsi begitu tidak selesa dengan kerajaan Umayyah atas nama diskriminasi bangsa. Corak pemerintahan kerajaan Umayyah sedikit sebanyak dipengaruhi corak pemerintahan orang-orang Parsi dan pemerintahan Byzantium.

Ketika ini Bahasa Arab menjadi lingua franca dan Agama Islam bertapak menggantikan kepercayaan Zoroastrianism. Kerana itulah munculnya para intelektual Parsi yang mahir dalam bahasa Arab dan beragama Islam.

Peralihan kuasa kerajaan Abasiyyah menyaksikan bangsa Parsi memainkan peranan penting dalam bidang pentadbiran. Sehinggakan kota Damascus yang menjadi pentadbiran kerajaan Umayyah, ditukar ke Baghdad pada zaman pemerintahan Bani Abasiyyah. Kerajaan Uthmaniyah berlalu sehinggalah diakhiri dengan pemerintahan Shah ketika mana berlakunya Revolusi Iran (1979-1988), dimana pemerintahan boneka Amerika, iaitu oleh Shah Reza Pahlavi digulingkan oleh Parti Islam yang dipinpim Ayatullah Khomeini.

Anda juga jangan terlepas pandang dengan sejarah Rasullullah s.a.w di dalam perang Khandak. Siapa lagi yang memulakan taktik perang berparit kalau bukan dari idea perang orang-orang Parsi yang dicadangkan oleh sahabat Salman al-Farisi r.a (al-Farisi adalah gelaran para sahabat pada Salman yang berbangsa Parsi). Sehingga Nabi s.a.w menerima cadangannya, dan Allah mengurniakan kemenangan untuk ummat Islam ketika itu bersebab dari kebijaksaan yang dikurniakan pada bangsa Parsi ini.

Jelas orang-orang Parsi ini kehidupan mereka penuh dengan strategi perang dan penaklukan. Bukan masanya untuk mendewa-dewakan Syi'ah yang rata-ratanya berbangsa Parsi, tetapi mereka ini adalah sebahagian ahli qiblat yang tidak patut untuk kita kafirkan, dan mereka mempunyai peranan yang begitu penting dan signifikan dalam perjuangan Islam.

Dan ingatan ikhlas untuk kongkang putih, jangan terlalu ghairah menjatuhkan musuh satu persatu, takut-takut nanti dahan yang dicapai tak dapat, jatuh tersungkur disebabkan tersilap langkah. Inilah dia sejarah dan kekuatan bangsa Parsi yang istimewa yang perlu kita ketahui. Mereka sudah memberi tag dalam sejarah Islam sejak dahulu lagi. Orang-orang Melayu pula bagaimana?...

Thursday, March 01, 2007

Tips Orang Dewasa

Bungkusan pertama dibuka. Isinya ialah set minuman yang mengandungi sebiji teko, enam cawan dan enam piring. Cantik dan memang diperlukan oleh pasangan yang baru memulakan alam rumah tangga.

Bungkusan kedua pula dibuka. Isinya juga set minuman. Hadiah ketiga dan keempat yang dibuka juga sama, set minuman. Setelah semua hadiah dibuka, pengantin baru itu ada 17 set minuman.

Selain berdozen set minuman, turut dikumpul pada hari membuka hadiah itu ialah sembilan periuk elektrik, tujuh seterika, enam mesin pengisar (blender), lima kipas angin, empat lampu meja, empat pembakar roti, dua cerek elektrik dan tiga jam dinding.

Bukanlah tidak menghargai barang-barang yang diterima, tetapi jika terlalu banyak barang yang sama, ia sudah menjadi suatu pembaziran. Sebagai pasangan baru, bilakah agaknya hendak digunakan kesemua 17 set minuman ini?

Sejak dulu lagi memberi hadiah adalah salah satu ciri khas dalam perkahwinan. Selain sumbangan wang ringgit, hadiah adalah pemberian yang ikhlas kepada pasangan pengantin. Sumbangan wang tidak kira berapa jumlahnya memang amat dialu-alukan oleh tuan rumah. Sebenarnya, ini yang paling praktikal, sekurang-kurangnya boleh menampung perbelanjaan kenduri.

Pemberian hadiah juga amat dihargai. Tetapi, kalau kena caranya, hadiah-hadiah ini akan menjadi lebih bererti. Tentulah dua set minuman akan lebih digunakan, jika 17 set mungkin banyak yang akan disimpan di bawah katil. Apa perlunya sembilan periuk elektrik untuk pasangan baru yang memasak mungkin hanya dua atau tiga kali seminggu? Ini kerana mereka lebih banyak makan diluar kerana mudah dan murah.

Satu pembakar roti sudah mencukupi, yang selebihnya mungkin akan berkarat di stor. Sebuah seterika sudah memadai untuk menggosok baju, yang selebihnya mungkin jadi perhiasan. Batapa halnya enam mesin pengisar dan lain-lain barang yang sama itu? Ada kemungkinan barang-barang yang terlebih itu akan dibungkus semula untuk dihadiahkan di majlis perkahwinan orang lain pula!

Masanya sudah tiba untuk kita menghentikan pembaziran dan merancang sebelum membeli hadiah untuk perkahwinan. Satu cara yang mudah ialah berpakat dengan kawan-kawan yang hendak membeli hadiah.

Katakan ada 10 orang kenalan untuk memberi hadiah seorang kawan yang menjadi raja sehari. Ada kemungkinan semua sepulah kenalan itu akan membeli hadiah yang sama iaitu cerek elektrik.Tentulah lebih baik dan lebih bijak, sekiranya mereka berpakat untuk membeli hanya satu hadiah. Jika sebuah cerek harganya RM30, kali sepulah sudah jumlahnya RM300.

Wang yang dikumpul oleh sepuluh orang itu boleh digunakan untuk membeli satu yang harganya lebih mahal dan mungkin lebih diperlukan. Dengan RM300 mungkin boleh dibeli sebuah ketuhar. Kalau tidak sepuluh, dua tiga orang pun boleh berpakat untuk membeli sejenis hadiah. Kalau tidak berpakat, kemungkinan pengantin akan menerima tiga pembakar roti.

Entah kenapa dari dulu hingga sekarang, orang kita tertarik betul untuk menghadiahkan benda-benda seperti set minuman, seterika, periuk elektrik dan jam dinding.

Mungkin kita boleh cuba hadiah lain yang lebih praktikal. Contohnya, set alat pertukangan, sangkar burung (untuk yang meminati burung), set memancing, pakaian dan set sukan, atau mesin pemotong rumput. Untuk pasangan yang minat menjahit, mungkin kawan-kawan boleh berpakat menghadiahkan mesin jahit automatik. Atau, jika diketahui pengantin meminati haiwan, boleh hadiahkan kucing siam, ikan koi atau kura-kura.

Dan, tentu tidak salah menghadiahkan pengantin baru dengan bonsai, pohon cempaka atau lain-lain tumbuhan taman yang boleh menghias rumah. Juga tidak salah menghadiahkan anak duriah baka terbaik. Atau kalau hendak kelainan tetapi bermanfaat untuk santapan minda pengantin, hadiah berbentuk langganan majalah boleh dicuba. Langganan majalah PESONA PENGANTIN cuma RM100 untuk 12 keluaran. Setiap bulan apabila majalah dihantar ke rumah, pengantin pasti akan teringat dan menghargai pemberian hadiah itu.

Pendek kata, jangan asyik dengan set minuman atau pembakar roti. Kalau banyak sangat cawan, pengantin pun susah hendak mengingat siapa pengirimnya. Hadiahkan sesuatu yang ada sedikit kelainan dan boleh membangkitkan kenangan kepada pengantin tersebut.

Bagaimanapun suka diingatkan, janganlah demi untuk mencari kelainan, diberikan pula hadiah yang bukan-bukan. Contoh: kalau pengantin meminati haiwan, jangan pula dihadiahkan anak harimau atau badak sumbu. Walaupun pengantin mempunyai kolam ikan yang besar dan cantik, janganlah dihadiahkan buaya tembaga atau ikan paus dan ular sawa. Cukuplah hadiahkan ikan koi dan kura-kura.

Amaran: jangan sesekali menghadiahkan kapak, lembing, pedang samurai atau bom tangan buatan sendiri. Tidak digalakkan juga menghadiahkan keris, walaupun hanya untuk hiasan dinding. Tidak baik juga malah boleh dianggap kurang ajar menghadiahkan sesuatu seolah-olah mencabar atau memperlekeh kejantanan pengantin lelaki, seperti kapsul Tongkat Ali.

Pendek kata, bukan mudah memilih hadiah untuk pengantin. Kalau tersilap beri boleh disalah tafsir dan menyinggung perasaan. Kalau diberi barang yang sama dan tidak dimanfaatkan, membazir pula jadinya.

Cara yang terbaik dan pasti akan disukai oleh pengantin ialah dengan bertanya bakal pengantin sebelum membeli hadiah. Memang tidak biasa dilakukan, tetapi tidak salah sekiranya kita bertanya. "Saya nak beri awak hadiah, apa yang rasanya awak perlukan?"

Kalau semua bertanya begitu pengantin boleh menentukan apa yang diperlukan: peralatan memasak, mini TV, set hi-fi, perisian komputer, akuarium, set permainan karum, pencukur janggut dan sebagainya yang berpatutan. Tetapi, mentang-mentang ada yang bertanyakan hadiah, janganlah pula meminta sesuatu yang diketahui di luar kemampuan orang yang bertanya. Janganlag suka mengambil kesempatan, nanti kena penendang. Contoh: tentu tidak munasabah sekiranya pengantin meminta kereta Produa Kelisa atau meminta sebuah apartment mewah. Kalau dia tergamak meminta TV 29 inci atau peti sejuk berukuran besar, pun sudah dikira melampau.

Akhir kalam, amalan memberi hadiah kepada pengantin perlu diteruskan. Ini adalah cara kita meraikan dan menghormati pasangan yang baru memasuki alam rumah tangga. Bagaimanapun, cara kita memberi hadiah dan apa hadiah yang hendak diberi perlu disesuaikan dengan keperluan pengantin. Pembelian hadiah pun boleh dirancang dan boleh dikongsi bersama.