Friday, October 31, 2008

Antara Pizza dan Roti

Baru beberapa minggu pulang dari tanah air, saya telah mencuba-cuba dalam perniagaan roti canai. Masih baru dan banyak yang perlu saya pelajari. Ini adalah sebahagian dari ekonomi, kata sebahagian orang.

Dari segi teori, perekonomian ternyata hal yang sangat menguntungkan. Menjual roti canai, bahkan mengambil upah menghantar pizza pun adalah sistem ekonomi yang sangat jelas manfaatnya dalam kehidupan seseorang individu. Berekonomi ibarat bercatur dengan kehidupan, bahkan boleh tercapai kepada tilik penentuan lapar dan dahaga, juga antara hidup dan mati.

Situasi ekonomi dunia pada kaca mata saya kini (meliputi hal ehwal kenegaraan) jelas sekali menjadi mangsa turun naik roller-coster. Sinar kemegahan kapitalisme barat yang yang selama ini menjadi 'Tuhan' kepada para ekonomisnya tiba-tiba menjadi sangat lara dan mendukacita. Seakan-akan seorang tua yang disakat, dengan disepak hujung tongkatnya. Tersungkur lalu mencium tanah, patah juga alur tulang rusuknya.

Bencana ini sedang memeningkan dunia. Bukan alam hakikatnya yang dibencanai, tetapi ekonomi. Baru-baru ini, Lehman Brother dan Bear Stearns yang jatuh bankrap telah menjadi kepeningan dunia.

Bahkan gergasi dunia Amerika Syarikat terpaksa mengambil beberapa lagi syarikat-syarikat yang bermasalah sehingga terpaksa mengeluarkan bajet sebesar 700 juta hingga 1 trilion untuk membendung krisis teruk yang melandai negara mereka.

Beberapa pusat kewangan dan bank-bank besar juga 'bungkus jajan' dan gulung tikar. Kejatuhan indeks harga saham (Wall street dan bursa-bursa utama dunia) betul-betul membawa kepada krisis yang maha buruk dalam sejarah ekonomi dunia.

Kemunduran atau Kejatuhan?

Sebahagian dari pemerhati dengan sinis berkomentar 'inilah bencana dan bala yang berlaku terhadap kapitalisme'. Sistem ekonomi bebas yang yang selama ini 'menzalimi kita dan membuncitkan perut' mereka telah makan tuan!

Ini semua bertitik-tolak dari pemain-pemain ekonomi. Apabila kapitalisme telah merajai ekonomi, maka hidangannya tidak lain tidak bukan adalah bentuk monopoli dan spekulasi.

Sekilas pandang, saya tertarik dengan apa yang disebutkan oleh beberapa penganalisis ekonomi seperti Paul Omerod dalam 'The Death of Economic' dan Umar Vadillo dalam 'The Ends of Economics'.

Kritikan tajam Umar misalnya tertumpu kepada mekanisme kapitalisme yang zalim dan tidak adil, yang diamalkan ekonomi dunia ketika ini.

Umar berkomentar bahawa kapitalisme kini telah melakukan banyak rompakan terhadap kekayaan negara-negara berkembang melalui sistem 'fiat money' yang sesungguhnya adalah riba.

Kejatuhan ekonomi barat kini dilihat sebagai kejatuhan sistem kapitalisme yang mereka amalkan selama ini. Terbukti kapitalisme tidak mampu membawa perimbangan terhadap pola ekonomi dunia semasa dan kapitalisme juga tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan yang menghantui banyak negara dunia hingga kini.

Kapitalisme VS Syariah

Ada baiknya kita menilai semula komentar dari seorang tokoh ulama Islam yang terkenal, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam ucaptamanya ketika menghadiri seminar yang diadakan di Doha.

Katanya, "Keruntuhan sistem kapitalis yang berlandaskan wang kertas dan spekulator antarabangsa dan bukannya dagangan barang di pasaran, telah menunjukkan bahawa sistem tersebut dilanda krisis dan ia turut membuktikan bahawa falsafah ekonomi Islam adalah kukuh".

Beliau menambah "Semua kekayaan dimiliki oleh kita (umat Islam). Negara- negara Islam memiliki hampir semua minyak dan kita memiliki falsafah ekonomi yang tidak dimiliki oleh orang lain".

Perekonomian Islam secara mudahnya berbeza dengan kapitalisme dalam dua perkara utama. Pertamanya, sistem ekonomi Islam tidak mengiktiraf 'interest' atau riba dalam proses pinjaman. Kedua, ekonomi berlandaskan syariah tidak membenarkan berlakunya spekulasi, sebaliknya menganjurkan mekanisme perkongsian untung-rugi antara pihak bank dan peminjam.

Dalam tiga dekad kebelakangan ini, sistem kewangan Islam telah berkembang pesat melebihi 300 institusi meliputi 75 buah negara. Aset terkumpul pula melebihi 300 bilion dolar dan semakin menigkat saban tahun sebanyak 15 peratus mengikut kajian yang dijalankan.

Bagi kebanyakan para ulama dan pemikir ekonomi, perekonomian Islam berlandaskan syariah kini menjadi sebuah alternatif yang sangat berkesan bagi menggantikan sistem ekonomi yang digunapakai dunia dekad ini. Secara teorinya, mekanisme ekonomi yang ditawarkan oleh syariah Islam sangat solid dan sempurna kerana ia berasaskan fitrah manusiawi.

Cumanya dari sudut pengalaman dan latihan, sistem ini masih lagi belum matang dan universal kerana kekurangan dalam sudut praktikal. Namun bagi Dr Fahmi Howaidi, seorang pemikir Mesir, berpendapat bahawa sistem yang dibawa oleh syariah mampu untuk menjadi penyelesaian masalah kepada ekonomi dunia kini, namun ia bukanlah sebatang 'kayu sakti' yang mampu menukarnya sekaligus.

Moga-moga tugas kita menjadi lebih luas untuk mentajdid perekonomian dunia yang kian barah kini.

Wednesday, October 22, 2008

cebisan - Demam Konvo dan Lara Konserto

Saya diberi sebuah tag pas masuk oleh pengarah Festival Konvokesyen PMRAM 2008 untuk membuat liputan (ambil gambar) pada majlis tersebut yang berlansung hari ini. Juga pada malam hari akan diadakan Konsert Apresiasi Graduan di Nadi Syabab, Haiyu Thamin, Kaherah.

Malangnya, saya ditakdirkan tidak dapat melaksanakan tugas tersebut. Persiapan yang beria-ria pada malam hari dengan kelengkapan kamera dan pengecasan bateri yang mencukupi tidak memberi sebarang makna.

Saya dilanda kedemaman pada hari ini. Dari pagi hingga petang tempat saya hanya di atas katil, berehat dan tidur. Setelah satu hari kebah dan mengeluarkan peluh di bawah 'saratoga', akhirnya keadaan menjadi semakin bertambah baik. Namun saya terlepas beberapa peluang penting.

Mengambil gambar untuk pesta konvokesyen amat memberi pengalaman pada hakikatnya. Juga saya begitu kepingin untuk shooting dalam mana-mana konsert. Pengalaman shooting dalam dewan konvo dan konsert sebegini begitu mengujakan saya, kerana ia bukan suatu kerja yang mudah. Saya terlepas banyak pengalaman hari ini.

Manusia menghendaki sesuatu, Allah juga menghendaki sesuatu. Justeru kehendak Allah s.w.t lebih utama untuk berlaku barang sesuatu.

*/ moga pengarah memaafkan saya.

Tuesday, October 21, 2008

Friday, October 17, 2008

Yang Digelarkan Cinta

Untuk pengetahuan pengunjung laman blog ini, terdapat 3 karya saya yang dimuatkan dalam antologi terbaru 'Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta';


1. Khabar Dari Kota Metafisika

Sebuah cerpen yang bersifat eksperimental dan fantasi. Pengembaraan Badar dan Sulaiman di alam roh yang membawa mereka melihat sebuah kota kehidupan setelah alam kematian, yang keberadaannya diceritakan melalui al-Quran. Cerpen ini sarat dengan perbahasan ilmu kalam dan dunia kefalsafahan.

2. Biasan Prisma

Cerpen ini terbangun berlatar-belakangkan kota Vatican City, bumi suci masyarakat Kristian Katholik. Ianni Amedeo bergelumang dengan keyakinan terhadap kepercayaannya. Sesungguhnya hidayah dan petunjuk Tuhan itu tidak akan sesekali mengenal pada siapa ia akan tuju dan dari siapa ia akan hilang. Cahaya hidayah yang datang sekelip mata boleh mengubah sebuah dunia.

3. Mungkin Di Sana Tempatnya

Kisah diantara Man dan datuknya yang melalui kehidupan berdua tanpa siapa-siapa lagi. Tanpa disedari, Man kini sedang melalui tahap kematangan hidupnya dan begitu terkesan dengan hikmah-hikmah yang terdapat dalam masyarakat yang hidup di kampung. Cerpen ini penuh dengan hikmah yang mengajar erti kebahagiaan dalam kehidupan dalam erti kata yang sebenar.

Naskhah 'Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta' ini boleh di dapati di sini.

Cebisan

Banyak perkara yang telah berlalu;

Semalam (16 Oktober) ada majlis sambutan hari raya peringkat BKPJM. Melihat muka-muka hadirin dalam dewan macam meriah. Masing-masing bergelak sakan. Tapi penat diri semacam jadi malas mahu masuk ke dalam dewan. Duduk minum kopi 'o di sutuh barangkali lebih santai.

Inilah pertama kali berjumpa dengan ramai kawan-kawan selepas pulang dari Malaysia. Begitu menghargai, ramai juga yang dapat datang. Yang belum pulang dari Malaysia pun masih ramai. Kebanyakannya pulang bulan Nonember nanti.

Ramai orang bertanya, termasuk ibu dengan ayah, kenapa kawan-kawan yang lain pulang ke Mesir november nanti? itu pastinya agak lewat, memandangkan pertengahan bulan Oktober ini sebahagian kelas sudah bermula.

Soalan itu sepatutnya dinilai. Bahkan rakan-rakan yang bercuti di Malaysia pula selalu bertanya, kenapa pulang awal sangat?

Dalam 10


'Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta' adalah tajuk bagi sebuah kumpulan cerpen dan puisi. Antologi ini telah berada di pasaran Mesir seawal minggu ini lagi.

Terkumpul di dalamnya 15 buah cerpen dan 10 buah puisi yang ditulis oleh mahasiswa penuntut di Universiti al-Azhar, Mesir. Lima penulis tersebut adalah Hanri, Mohd Zaki M.Noor, Sammaituha Najwa, Syafiq Zulakifli dan Ishaq Hanis.

Harga di Mesir sekitar LE 10 dan jika dipasarkan di Malaysia nanti sekitar RM 10. Jangan ketinggalan untuk mendapatkan naskhah ini. Pasti berbaloi.

Kelas dan Kuliah

Sebahagian kelas di kuliah al-Azhar sudah bermula. Berita gembira bagi penghafal yang malas, silibus hafalan sudah dikurangkan bermula tahun ini di seluruh cawangan. Namun penurunan silibus hafalan ini pastinya mempengaruhi pemarkahan subjek-subjek lain.

Semester ini ada kelas dengan Dr. Abdul Mu'ti Bayoumi lagi. Tahun lepas beliau mengajar subjek Falsafah Islam dan saya begitu menggemari kuliahnya. Beliau seorang yang sangat memahami falsafah islam dan dunia kefalsafahan dengan begitu dalam.

Beliau berjaya menggunakan teknik dakwah yang berkesan dalam kelas, iaitu menyampaikan sesuatu yang sukar dan kompleks dengan ayat yang sangat mudah, hingga menyebabkan saya terpesona dengan hikmah dan kebijaksanaanya. Beliau adalah seorang filosofis (ahli falsafah) dan guru yang sangat-sangat saya hormati.

Kesibukan semakin terasa seperti bahang api yang mula menyala. Moga diri ini diajar lagi dengan adab dan taqwa.

Monday, October 13, 2008

Nasihat Buat Penidur


Jika Tuhan menakdirkan saya lambat bangun dari tidur dalam jangka masa lebih kurang seminit, mungkin saya belum sampai di tanah Kaherah jam ini.

Perangai sebegini memang bahaya kalau transit di mana-mana airport. Perangai tertidur sememang merbahaya jika anda mempunyai penerbangan di tengah malam. Waktu yang begitu selesa untuk lelapkan kelopak mata, tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan terakhir kemasukan ke pesawat.

Saya jadi bingung kerana masih khayal dengan tidur, sebahagian orang kata 'mamai'. Tetapi apabila melihat jam di tangan tinggal sepuluh minit waktu penerbangan, biasanya waktu sebegini pintu perlepasan sudah ditutup.

Mujurnya, saya selamat. Full stop. Kuasa Tuhan lebih besar, dan saya dikejutkan tepat pada masanya. Jika terlambat seminit, mungkin terpaksa menunggu penerbangan di Changi Airport januari nanti.

Dalam kerepotan transit di Changi airport juga, saya sempat mendapatkan beberapa buku yang penting. Saya sempat menukar duit untuk membeli 'The Clash of Civilizations' dari Samuel P. Huntington dan 'Man Are from Mars, Women Are From Venus' tulisan Dr. John Gray. Akhirnya dapat juga dua naskhah ini setelah lama mengidam.

Udara kaherah panas-panas segar, dan saya begitu bersemangat sekali.

Monday, October 06, 2008

Nakal-nakal Raya


Inilah makhluk paling nakal sekali sepanjang raye aidilfitri tahun ni...
Cayang nazmi....