Thursday, July 26, 2007

Inilah Dunia

Selama seminggu lebih saya berantakan. Berhadapan dengan buku dasar yang tebal-tebal dan membujur duduk berhadapan komputer memeningkan kepala saya. Mana tidaknya, saya terpaksa mengulangkaji buku Rancangan Malaysia Ke-9 yang sebegitu tebal untuk memahami situasi. Dan ada ketikanya saya terpaksa membuka buku pengajian am dan dasar-dasar perkhidmatan awam di Malaysia untuk memanipulasi cerita.

Jikalau saya dipanggil untuk temuduga pegawai tadbir diplomatik, sudah tentu dasar-dasar kerajaan ini sudah lekat berada di benak kepala saya. Dalam satu situasi sememangnya ia amat sulit dan memenatkan, tetapi dalam aspek yang lain ia suatu pengalaman dan ilmu bantu baru yang saya dapat.


Inilah yang berlaku selama seminggu lebih ini menyebabkan blog ini dimaki umpat kerana tidak ber'update', malah komen-komen pengunjung juga tidak dibalas dengan sebegitu hormatnya.


Bukan apa, hakikatnya saya punya tugasan yang berlabelkan 'kerajaan' yang tidak boleh dihebah-hebahkan (tersenyum). Bukanlah terlalu sulit untuk diberitahu, tetapi ia lebih
melibatkan urusan perorangan yang perlu untuk saya bantu. Mana tahu, mungkin jika tertumpahnya rezeki dari hasil usaha itu akan menambahkan lagi wang saku saya, (huhuhu...) siapa tahu?

Saya sudah berkeyakinan dan sudah mula bernafsu semula untuk
menulis memandangkan tugasan tersebut telah hampir selesai. Sejujurnya, sejak membeli sebuah kamera awal tahun lalu, minat menulis saya telah dikikis hari demi hari.

Semacam orang berbini baru! Tumpuan saya lebihkan pada kemahiran melaras kemera dan teknik mem'photoshop' gambar daripada membelangkaskan diri dalam menulis. Setiap hari saya belajar teknik-teknik dari jurugambar-jurugambar profesional di laman fotopages. Semacam disihir. Tidak bernafsu untuk menulis, ataupun kata lainnya mengalami disfungsi nafsu keghairahan tahap kedua terhadap bidang penulisan. Inilah dunia.


Saya sudah berazam mahu menulis semula.
Mahu jadi pencungkil idea seperti Shaharom. Doakan idea dan ghairah menulis untuk dapat kembali semula. Hanya dengan menulis, anda akan berfikir, membaca dan mengkaji. Ia akan datang secara semulajadi bila anda bersedia mahu manulis. Hanya Syafiq Zulakifli yang tahu siapa itu ’Shaharom’, si pencinta buku...

Monday, July 16, 2007

Ole-Ole Dari Pulau Tinggi

(Perjalanan menghabiskan waktu cuti melawat ke Pulau Aur, Pulau Dayang, Pulau Pemanggil dan Pulau Tinggi sangat meninggalkan kenangan manis)


Dari jauh saya perhatikan. Saya fikir inilah kali pertama saya melihat pokok yang punya buah-buah besar berwarna hitam itu. Buah yang aneh, satu pokok sahaja mempunyai berpuluh-puluh buah yang besar dan lebat.


Setelah didekati, rupa-rupanya si 'Kluang Man' ni sedang tidur beramai-ramai. Masakan dapat memetik buah, binatang pula yang dikacipnya. Saya jarang bertemu dengan spesis ini. Kalau kelawar tu boleh kata sudah banyak kali saya tangkap dengan raket badminton. Tetapi kalau kluang ini mahu ditangkap dengan alat yang sama, berlubanglah. Hampir 6-7 kali ganda lebih besar dari kelawar biasa.

Ini ole-ole dari Pulau Tinggi untuk semua....

Thursday, July 12, 2007

Penulis dan Sumber Idea

Oleh : Shaharom TM Sulaiman

Michael Crichton, seorang novelis tersohor yang menulis Jurassic Park pernah ditanya oleh peminatnya: “Dari manakah anda mendapat idea untuk menulis?” Secara bergurau, Crichton menjawab, “Saya mendapat seluruh idea daripada nombor 0800. Anda pun boleh, hanya tinggal menelefon nombor tersebut dan segera anda mendapatkan sejumlah gagasan idea.” Crichton memang hanya bergurau, meskipun hal itu mampu terjadi. Lantaran dia terus menjawab, ”Saya sendiri tidak tahu dari mana idea-idea itu datang”.

Idea memang ajaib, sekali gus bagai misteri. Ia datang secara tiba-tiba entah dari mana;
mungkin dari langit, mungkin dari minda bawah sedar. Boleh pula ia muncul ketika seseorang terlibat dalam percakapan, membaca buku, mendengar bisikan suara, menyaksikan kesesakan lalu lintas, sewaktu makan, minum, dan sebagainya. Dalam kata-kata Crichton, ”Segala-galanya terjadi sekali gus sama ada cerita, latar belakang, watak-watak, dan seterusnya.”

J.K Rowling, seorang penulis yang terkenal dengan siri novel Harry Potter juga mengaku gagasan ideanya tentang tokoh utama dalam novel itu datang secara tiba-tiba. Dalam perjalanan kereta api antara Manchester dan London, tokoh-tokoh, latar cerita, dan bahkan jumlah siri (3
siri) kisah Harry Potter muncul bertubi-tubi dalam benaknya. Dan, boleh jadi ketika turun dari kereta api, Rowling tidak menyangka bahawa Harry Potter bakal ’meletup’ dan digilai ramai.

Namun, apakah idea, jalur fikiran, dan latar cerita, benar-benar muncul tiba-tiba? Penulis percaya semua itu datang melalui pengalaman, pengetahuan dan fikiran yang tersimpan lama, dan kemudian meletup ke permukaan manakala ’tersentuh’ atau termotivasi oleh ’sesuatu’ yang lain seperti: buku, peristiwa, idea yang lain, percakapan dan sebagainya. Tanpa
’penyimpanan’ lama, tidak akan terjadi ’ledakan tenaga’ yang begitu dahsyat seperti dalam Jurassic Park, Harry Potter, Bumi Manusia, The Firm ataupun Imam.

Menulis melepaskan tenaga atau energi, tidak hairanlah suatu hasil penyelidikan menunjukkan bahawa menulis merupakan kegiatan positif yang mampu mengurangkan stres seseorang. Karya penulisan yang hebat merupakan buah pelepasan energi yang dahsyat. Tidak akan ada yang ditulis jika tidak ada yang dibaca. Sama seperti tidak akan ada darah yang mengalir ke seluruh tubuh jika tidak ada makanan dan minuman yang masuk dan dicerna oleh usus.


Crichto
n mengucapkan hal yang sama, terutama melalui pembacaan, ketika ditanya bagaimana dia mendapatkan maklumat teknik untuk menciptakan kisah-kisah tentang DNA dinosaur, perjalanan menembus waktu mahupun rekayasa genetik. Tentu sekali kesemua hal ini dibantu oleh bakat dan imaginasi Crichton. Penulis percaya membaca dalam pengertian teks dan mengeja kata-kata laksana sejenis ’bahan bakar’ yang sekali gus peransang imaginasi, emosi dan fikiran.

Saling mempengaruhi antara idea, sebagai kesan kegiatan membaca, merupakan hal yang jamak (pelbagai). Gagasan idea yang asli sekalipun nescaya tidak akan terlepas daripada dialetika antara gagasan yang telah wujud. ”Kita ini berdiri di atas pundak-pundak raksasa terdahulu,” kata orang bijak. Namun begitu, sentiasa sahaja ada ruang, ceruk, dan celah-celah di mana ’keaslian’ gagasan masih dapat ditemukan. Idea dan keasliannya merupakan tema besar yang tidak unjung padam diperbincangkan. Ketika Albert Einstein ’menemukan’ Teori Relativiti, beliau telah membaca karya-karya sebelumnya, paling tidak beliau tentu memahami idea, umpamanya idea-idea Issac Newton. Tatkala membaca ’teori umun relativiti’ Einstein, tentu kita menemukan sesuatu yang baru yang berbeza daripada Newton.

Oleh itu segala buku, isi cerita, pelbagai tulisan dan percakapan merupakan idea bagi ’isu pokok’. Tanpa idea, kesemuanya absurd belaka. Dan, idea berkembang manakala imaginasi tidak dibatasi. Pada masa yang sama, teks hanyalah alat untuk menyampaikan idea. Tanpa idea, teks hanyalah rangkaian huruf semata-mata. Dan, tanpa teks atau simbol, idea mungkin kehilangan makna.

Friday, July 06, 2007

My Syndrome

(Iklan)

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim...

Saya merasmikan laman fotopages peribadi di - http://tapioka.fotopages.com


Thursday, July 05, 2007

Optimus Prime

Seperti taufan. Hari ini betul-betul hari yang gembira tetapi menduga. Selepas solat subuh, tiba-tiba pemikiran saya seperti mahu kembali ke 15 tahun yang lalu. Saya bersiap-siap dengan pakaian dan beg mahu ke Batu Pahat. Sudah lama tidak ke sana.

Jika di rumah Zahra’, ketuk sahaja pintu bilik sebelah dan sebut filem terbaru apa yang anda mahukan. Selepas beberapa jam, anda sudah boleh menonton beramai-ramai di hadapan desktop. Berbanding di Malaysia, orang yang tidak mempunyai akaun torrent seperti saya ini amat sukar untuk menyedut, apatah lagi melihat senarai cerita yang terbaru.

Sebetulnya, saya pada hari ini telah menghabiskan lapan jam perg
i dan balik dari Mersing ke Batu Pahat dengan menaiki bas sangkut-sangkut hanya kerana mahu menonton cerita kegemaran saya pada 15 tahun yang lalu, Transfomers. Dan pada akhirnya, hasil menjadi tidak berbaloi kerana saya terlambat hanya 10 minit selepas tayangan bermula, dan menyebabkan saya menukar pelan terus ke kedai buku.

Di dalam hati kecil saya, tidak ada orang lain lagi yang layak untuk saya salahkan melainkan apek pemandu bas Johore Motor dari Kluang ke Batu Pahat itu. Sepanjang dua jam perjalanan (sepatutnya boleh menjadi satu jam), saya tidak memikirkan yang lain melainkan tentang falsafah apek tua ini dalam memandu bas. Cukup lambat dan memang menyakitkan. Saya fikir kelajuannya hanya dalam sekitar 25-40 kmj.


Walaupun begitu, Tuhan menyelamatkan saya kerana walaupun tidak dapat menon
ton, sejurus kemudian di kedai DVD, sudah keluar cetakan filem Transfomers walaupun dengan punyai kualiti gambar yang agak ’ceroi’ dan membosankan.

Pun begitu, keterlambatan itu sebenarnya membawa saya berjumpa dengan empat orang rakan lama, di berlainan tempat, yang hampir 2-3 tahun tidak bertemu, malah saya seakan-akan tidak percaya pertemuan ini menjadi sebuah kebetulan buat kami. Sungguh tidak percaya, kerana ia seperti seakan-akan dirancang oleh konduktor masa.

Maka, pemergian saya ke Batu Pahat kali ini sekadar beromong kosong dengan rakan-rakan lama, dan selebihnya saya ke kedai buku memborong novel-novel terbaru yang belum lagi dimiliki. Antaranya, Memeluk Gerhana (Isa Kamari), Bila Tuhan Berbicara (Faisal Tehrani), Ayat-ayat Cinta & Pudarnya Pesona Cleopatra (Habiburrahman El-Shirazy) dan Sangeetha (Azizi Hj Abdullah)

*/ Teramatlah letih....

HHhaisudbaidbfcobqbM Z