Tuesday, September 23, 2008

Catatan

1. Kini sudah memasuki perkarangan akhir bulan puasa. Tidak sampai 10 hari lagi Ramadhan berbaki. Malam-malam terakhir begini, jemaah tarawikh di mesjid semakin hari semakin berkurangan. Selepas lapan rakaat, jemaah yang masih berdiri tak sampai satu saf penuh pun (ni kat mesjid tangkak la ni).

2. Cuti-cuti Malaysia untuk tahun ini pun semakin hampir ke penghujung. InsyaALLAH, mungkin berpeluang menyambut hari raya sebentar di tanah air (dalam seminggu lebih) kemudian akan terus pulang ke lapangan akademik.

3. Cuti kali ini memang cukup bermakna :-)

4. Selamat bertunang kepada Along yang dilansungkan pada 2 Ogos 2008 lalu. (ketawa) berita dah lapuk dah, baru teringat nak 'wish'. Kalau roti ni comfirm dah expired dan bercendawan, dan cendawan tu mungkin dah besar dan boleh potong buat masak sup.

5. Alhamdulillah. Kesihatan ibu makin beransur pulih. Tak rugi pulang ke Malaysia, kerana dapat lihat ibu yang semakin pulih dari uzurnya sejak sekian lama.

6. Tahniah kepada ayah yang semakin hampir pencen.

7. Selamat hari raya untuk Angah yang buat pertama kali beraya di perantauan, dan untuk Kak Alia juga. InsyaAllah kalau ada rezeki tahun depan uda akan travel ke sana. Salam hari raya aldilfitri dari kami di Malaysia kepada angah dan kak alia di Australia.

8. Nabila, belajar rajin-rajin. Tahun depan mahu SPM.

9. Tahun ini sepertinya ada berkilo-kilo buku baru yang ingin dibawa pulang. Namun takut tak lepas di airport nanti.

10. Fakta yang orang ramai tak ketahui; 'aku sudah lama tak memegang DSLR aku nih'. Comfirm merajuk budak hitam 'olympus' sorang ni.

11. Selamat menyambut hari raya aldilfitri. Bulan syawal adalah bulan kemenangan hanya bagi mereka-mereka yang gigih berjuang.

Saturday, September 13, 2008

al-Muntazhar (siri 2)

Kecenderungan saya untuk cuba-cuba menulis tentang sains politik agak ketara sejak akhir-akhir ini. Mungkin juga dikatakan kerana situasi politik tempatan yang agak tidak stabil menyebabkan saya tergerak untuk mengomen tentang perkara ini.

Namun realitinya saya bukanlah terkesan dengan politik tempatan (politik BN-PR), tetapi akhir-akhir ini saya cukup terkesan dengan beberapa tanda dan hint-hint yang benar-benar memberikan kesan yang cukup signifikan dalam diri saya dan apa yang telah bermain-main di fikiran saya selama ini.

Saya nampak beberapa perkara.

Pertama, saya kira bahawa detik waktu yang berlalu saat ini, hari ini dan zaman ini, sangat begitu hampir waktunya dengan apa yang dikatakan sebagai akhir zaman. Period waktu yang berlalu antara zaman Rasulullah S.A.W dan ruang waktu akhir zaman yang disebut-sebut Baginda S.A.W dalam hadisnya sangat menunjukkan beberapa ciri yang positif (mungkin kita telah berada di penghujung period ini).

Ketika mendengar berita tentang tiga gempa bumi direkodkan telah berlaku dalam tempoh satu hari, hati saya jadi kacau lagi. Beberapa sumber menyatakan gempa bumi yang berlaku di Iran, Jepun dan Indonesia itu berlaku dengan serentak.

Suku abad ini begitu banyak kejadian gempa bumi termasuk bencana alam yang lain telah berlaku. Tsunami yang begitu kerap melanda daratan beberapa tahun lalu dan ribut taufan yang agak kerap menyerang eropah dan Amerika kebelakangan ini adalah sebagai contoh yang begitu untuk meransang intuisi saya untuk mengatakan bahawa suatu petanda besar (yang akan berlaku) telah pun muncul.

Saya tidak mahu menjadi Nostradamus yang dikatakan bijak meramal, sedangkan ramalan ini telah lama diberitahu oleh junjungan besar Rasulullah S.A.W pada zaman baginda lagi. Dilaporkan juga bahawa antara tahun 1960-an hingga 1990-an, kadar bencana alam yang berlaku telah meningkat 10 kali ganda berbanding sebelumnya.

Ramai orang membuat prediksi berkenaan perkara ini. Mereka kira ini adalah disebabkan oleh kemurkaan Tuhan atas dosa dan kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia. Mungkin sahaja ianya benar, kerana di dalam al-Quran disebut bahawa:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia ( timbulnya yang demikian) kerana allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"
(Surah Ar-Rum : 41)


Namun, saya fikir ini bukanlah sekadar bencana-bencana kosong yang disebabkan oleh kemaksiatan manusia semata-mata, tetapi membawa mesej yang sangat penting kepada umat Islam. Ia bahkan, pada perkiraan saya, adalah sebuah mesej dan tuntutan agar perlunya ummat Islam bersatu di bawah paksi dan sentrik agama. Kerana pemimpin-pemimpin akhir zaman telah bersedia untuk muncul.

Sewaktu berbual, saya katakan pada ayah saya yang mungkin sahaja kelansungan umur dunia ini tidak lama. Mungkin 200-300 lagi, atau mungkin lebih sedikit dari itu, atau mungkin juga kurang dari jumlah agakan saya itu. Saya hanya beragak, sedangkan pengetahuan mutlak itu hanya ada pada Allah S.W.T.

Saya katakan lagi bahawa kejadian yang berlaku di sekeliling telah banyak meransang naluri ini untuk menerima kenyataan bahawa period zaman yang dikatakan oleh Nabi S.A.W itu sangat begitu rapat, sehinggakan realiti kehidupan manusia pada hari ini sudah terlalu pening dengan pergolakan yang berlaku dalam dunia kini.

Mungkin zamannya telah tiba untuk putaran itu berubah. Period bahawa kedudukan Islam berada di atas (ketika zaman Nabi S.A.W dan para sahabat) telah pun berlalu.

Kemudian ummat Islam berhadapan dengan putaran (berada dibawah) seperti sebuah roda. Ummat ditindas dan dizalimi pada waktu itu hinggalah saat ini dan barangkali kita kini sedang berada pada penghujung zaman kezaliman itu.

Perbantaian umat Islam di Iraq, Afghanistan dan merata-rata tempat lagi menjadi suatu tekanan yang cukup besar bagi ummat Islam. Ia akan menekan lagi sedikit demi sedikit. Tekanan itu ditambah lagi dengan kuasa politik Amerika yang memegang nadi kehidupan umat Islam kini, dan akhir-akhir ini gergasi kafir itu bermain-main pula dengan harga minyak sehingga kehidupan manusia umumnya merana.

Tekanan-tekanan yang berlaku ini meluap-meluap sifatnya dan berlaku sedikit demi sedikit, bagaikan lava gunung berapi. Hanya tunggu waktu yang tepat untuk meletus. Realiti ini jika berlaku memberi khabar bahawa gerhana yang berlaku dalam dunia Islam bakal berakhir, dan cahaya matahari yang cerah akan muncul dengan sempurna.

Persoalannya kini, adakah perubahan ini akan berlaku secara natural atau ia akan disusuli dengan kedatangan 'the man' sebagai pemimpin dalam era kebangkitan ini?

Ya, insan tersebut pernah disebut Nabi S.A.W dalam hadisnya dan ianya pasti kan muncul. Cuma waktunya bila? bilakah dia akan muncul? atau sebenarnya telah muncul, cuma belum dikenali lagi? Itu semua masih dalam persoalan, dan persoalan itu bakal terungkap satu-persatu kelak.

Hanya saya yang kini masih lagi berfikir, adakah 'al-Mahdi al-Muntazhar' itu akan muncul ketika zaman huru-hara seperti yang sedang kita tempuhi ketika ini? Tanda-tanda bahawa kita seakan mahu melangkah masuk ke 'period baru' itu sudah banyak kelihatan, namun ramai yang masih belum sedar kerana mengejar dunia meterial mereka.

Manusia kini ramai yang sudah lupa akan realiti dunia mereka. Akhir zaman itu pastinya akan tiba dan medan politik waktu itu pasti akan dipimpini oleh seorang lelaki seperti mana yang telah dijanjikan.

Salam yang penuh pujian untuk menyambut kehadirannya.

Mungkin saat tibanya nanti akan mencantas segala teori Fukuyama yang saya telah sebut-sebutkan pada artikel bertajuk al-Muntazhar (siri 1) yang lalu.

(bersambung)

Tuesday, September 09, 2008

Ulam dan Sambal Belacan

Masing-masing kini sedang sibuk. Orang Melayu sibuk bergaduh, orang Islam pun sama juga, orang bukan Melayu pula sibuk menuntut hak. Orang politik pula, di suatu pihak ada yang sedang pening kepala, dan di satu pihak lain pula ada yang sedang merancang kuasa.

Pendek kata yang menguntungkan ialah mereka yang berniaga di bazar Ramadhan. Semua yang sedang sibuk-sibuk tadi singgah untuk membeli juadah berbuka puasa. Sama ada yang tidak berpuasa, muslim atau non-muslim yang sangat sibuk lebih memilih untuk singgah di bazah membeli belah.

tahniah Malaysia khususnya peniaga bazar Ramadhan, anda tetap dihatiku.

Begitu banyak isu-isu dimainkan ketika ini. Nampak sangat sesuatu pergolakan telah berlaku dalam senario politik negara. Para politikus amat-amat runsing dengan hal-hal sebegini.

Walaupun isu-isu berkenaan racism dimainkan dengan alunan tempo yang begitu asyik, namun kalau bukan kerana alat muziknya yang tidak diketuk, sudah pasti ianya tidak akan terjadi.

Sebenarnya bila polemik bersifat perkauman dimainkan, maka kita semua yang akan rugi. Orang bukan Melayu pun sendiri rasa rugi. Kaum bukan Melayu yang mengusai ekonomi nampak ketidakstabilan politik membawa kepada kerugian bisnes mereka. Palaburan dari luar akan tampak mengambil langkah berhati-hati, ini merugikan ekonomi negara sendiri.

Kadang-kadang bila masalah politik yang sebegini tidak sudah-sudah menjadi polemik (walaupun nampak kecil) namun kelihatannya bakal menjadi barah yang lebih besar.

Semua orang rasanya tidak mahu peristiwa 13 Mei kembali. Tetapi kalau sekiranya kekalutan tidak dapat ditangani dengan berkesan, bukan sahaja 14 Mei, malah 25 Julai dan 3 April pun boleh terjadi (tarikh ini dihentam sahaja... huhu).

Ramai juga yang mahu kerajaan ditukar segera. Mungkin sesetengah pihak begitu beria-ia menanti 16 September, kononnya tampuk kepimpinan bakal bertukar kuasa. Sabar dahulu.

Kebanyakan orang Malaysia sudah matang dalam dunia politik, walaupun hakikatnya belum@tidak bijak berpolitik. Sesiapa pun pasti mahukan perubahan kepada yang lebih baik hatta saya sendiri. Tetapi kita perlu berfikir, adakah kerajaan yang mahu ditukarkan itu lebih menguntungkan 'agama' dan bangsa daripada kerajaan yang sedia ada?

Kalau kerajaan yang dikatakan baru itu dilihat mampu mempertahankan tender projek BABI, speaker laungan azan di surau terpaksa diperlahankan dan macam-macam perkara kronik lagi, adakah ia akan MENGUNTUNGKAN AGAMA? Tidakkah Malaysia nanti akan menjadi negara singapore ke-3 setelah Pulau Pinang menjadi yang ke-2?

Hakikatnya orang Malaysia banyak disuap dengan 'sentimen' dalam permainan politik mereka. Memang benar, kadang-kala kita mudah hilang sabar dengan sesebuah gagasan politik yang menjelekkan itu hingga meluap-luap di dada dengan api kemarahan. Kalaupun kebencian kita meluap-luap dengan barisan A, takkan kita sanggup menyokong barisan B yang lebih memburukkan agama dan bangsa kita sendiri?

Politik sentimen inilah yang selalu menjadi barah dalam pemikiran kita.

Mereka kata dalam barisan B ada parti yang menegakkan Islam, parti yang mahu membawa panji Allah dan Rasulnya. Persoalannya pula, adakah parti Islam itu 'mampu' dominan dalam barisan B? Secara idealnya mereka akan kata boleh, tetapi realitinya bagaimana?

Adakah setelah berkompromi menjadi sebuah barisan gabungan, parti itu sudah tidak relevan lagi menyelesaikan isu BABI yang dilaungkan sebelum ini? ataupun menegakkan sebuah negara Islam yang menjadi syariat sebagai akar tunjang utamanya?

Siapalah yang tidak mahu negara ini diperintah oleh kepimpinan Ulama. Hatta saya sendiri pun mahu daulah Islamiyah tertubuh dan ditadbir oleh seorang khalifah mengikut seperti politik ala Rasullullah S.A.W dan para sahabat. Namun persoalannya adakah Islam dan syariatnya itu akan menjadi dominan?

Rakyat biasa seperti saya sangat keliru. Bukan tidak pandai memilih tetapi takut tersalah pilih. Persoalannya bukan pada mampukah mereka memerintah, tetapi persoalannya adakah Islam dan syariatnya akan menjadi DOMINAN apabila mereka memerintah. Kerana di dalamnya ada mata-mata racun yang sememangnya anti-Islam secara jumud. Itulah yang mengusutkan ramai orang.

Selamat Berbuka Puasa.
Tunggu artikel al-Muntazhar (2) selepas ini....