Saturday, April 28, 2007

Bisik Hati a.k.a Intuisi

Cenderung kepada sesuatu kebaikan merupakan suatu fitrah bagi makhluk yang bernama manusia. Mengapa ianya menjadi fitrah? Itu soalan yang saya tidak mampu untuk jawab, kerana saya juga seorang manusia.

Maka oleh itu, untuk mengetahui tentang fitrah, anda disarankan untuk mempersoalkannya kepada yang menciptanya. Mengapa sunnatullah itu selalu terjadi, dan mengapa perempuan cenderung kepada lelaki. Itu adalah persoalan fitrah.


Tetapi, fitrah kepada kebaikan yang lahir dari hati manusia itu boleh untuk kita kaji. Salah satu perkara y
ang kita perlu tahu dalam kecenderungan manusia kepada kebaikan adalah fungsi gerak hati.

Gerak hati, jika kita rujuk di dalam
buku-buku yang berbicara tentangnya, maka kita akan kenalinya seperti yang disebut sebagai ’intuisi’, kalau di dalam bahasa arab pula ia lebih dikenali dengan 'dhamir'.

Dhamir inilah yang selama ini bekerja untuk mencenderungkan manusia kepada kebaikan. Islam sama sekali tidak menolak konsepnya. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t menerangkan dalam suatu ayat :

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

(Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya) Qaaf : 16

Nah, kalau yang bermazhab zohiriyyah yang membaca ayat ini, sudah pasti kerjanya
mensabitkan Allah itu tempatnya lebih dalam dari urat leher manusia. Sangat cantiklah tu kalau manusia yang mengikuti metodologinya, entah apa yang digambarkan tika membaca ayat ini....

Walau apapun, kita perlu ketahui bahawa Islam mengiktiraf intuisi sebagai sesuatu metafizika
l yang wujud dalam hidup manusia. Dr Ali Ma’bud Faraghali dalam kitabnya Akhlak Islamiyah Wal Insaniyah menerangkan bahawa intuisi bukanlah lahir daripada kronologi akal atau fikiran manusia. Ianya seakan-akan suara ketuhanan ataupun ilham dari Allah untuk menggerakkan hati-hati manusia.

Intuisi ini seharusnya dipisahkan konsep pemahamannya dari akal. Kerana intuisi lahir dari sesuatu yang tertutup, yang menyebabkan ia memulakan amali terhadap perkara-perkara kebaikan.


Sedangkan akal manusia lahir dari kematangan diri dan pembelajaran antara sebab dan punca. Mudah ceritanya, akal manusia melahirkan pemikiran yang saintifik untuk membezakan sesuatu yang
bersifat baik atau buruk.Maka itu, dengan akal, ilmu, dan kefahaman, manusia hanya mampu menilai sesuatu sifat itu sama ada ia baik atau buruk berdasarkan logik akal saintifik manusia, tetapi hakikatnya ia tidak mampu membawa manusia kepada amali kebaikan.

Contohnya, manusia boleh menilai bahawa sesungguhnya perangai membid’ahkan manusia dalam perkara-perkara furu’ itu boleh mengundang perpecahan dalam Islam. Mereka mampu berfikir dan menilai, tetapi belum mampu melakukan amalinya.

Berfikir dan memahami konsep baik dan buruk tidak membawa kepada pembinaan struktur amali. Malah ada manusia punya Phd, punya ilmu banyak dalam agama, berkedudukan mufti (sensitif), menghafal hadis-hadis, dan memahami kosep dakwah Nabi s.a.w, tetapi ianya bukanlah kepastian bahawa ilmu dan jawatannya mampu membawa kebaikan pada akhlak.


Tanpa intuisi, segala aset dalam dirinya tidak mampu diterjemah ke dalam falsafah akhlaknya. Dia sedar itu buruk, tetapi disebabkan kebejatan intuisi, dia tak mampu melakukan amali kebaikan, tak mampu keluar dari kepompong songsang, tak mampu menjauhi yang buruk, lantas berakhlak dengan akhlak yang menjengkelkan.


Sebab itu, dalam kajian ini, saya lebih cenderung untuk meletakkan intuisi itu berkait ra
pat antara hidayah, akhlak dan iman.

Sejak zaman berzaman, manusia yang lahir ke dunia sangat cenderung kepada agama.
Mengapa? Kerana falsafah agama selalu membawa manusia kepada kebahagiaan hidup melalui metodologi amali. Sama ada agama samawi atau agama wad’ie (agama ciptaan manusia yang lazimnya dipengaruhi pemikiran falsafah seperti Buddha dan Confucius), manusia akan cenderung pada agama disebabkan oleh ajaran-ajaran kebaikan yang terdapat di dalamnya.

Sebab itu jangan terperanjat sekiranya masyarakat di negara-negara seperti China, Jepun dan Korea, mereka mengaku mereka adalah bangsa yang tidak beragama secara formalnya. Ini kerana, mereka lebih berpegang kepada konsep beragama secara adat dan kepercayaan sahaja, meliputi pemikiran-pemikiran tokoh failasuf seperti Confucius, Gautama Buddha dan ritual-ritual agama secara adat turun-temurun.


Sebagai contoh, perkara kebaikan dan adat ini terdapat banyak dinyatakan dalam The Analects, sebuah kitab karangan Confucius. Mengapa begitu ramai manusia cenderung memandang ajaran Confucius sebagai ajaran agama? Ia disebabkan oleh kecenderungan ajarannya membentuk jun zi iaitu ideal person yang mempengaruhi manusia dalam aspek ketinggian moraliti dan pembentukan etika dalam kehidupan.


Selain itu, konsep ’xiao’ (filial piety) telah banyak menarik manusia pada zamannya untuk beragama dengan apa yang diajari olehnya dalam aspek Qanun Akhlakiy (ethical code).
Adeline Yen Mah dalam buku tulisannya Watching The Tree menukilkan :

“We Chinese try to live by the ethical code contained in the tao and attempt to become an ideal person of noble character with honor and integrity”.

Maka tidak hairan sekiranya kita melihat mengapa manusia itu cenderung kepada ajaran agama. Intuisi sebenarnya telah memainkan peranan penting dalam mengajak manusia untuk cenderung kepada ajaran agama melalui gerak hati terhadap aspek nilai baik dan buruk.


Al-Quran dan kitab-kitab agama lain pun sebenarnya mengutaranya perihal yang sama, sehinggakan manusia atheis sekalipun akan bosan dengan kehidupnya lantaran pemikiran yang kosong tanpa rasa kekuatan hati dan naluri kebaikan. Maka, ada antara mereka yang akhirnya kembali memilih kehidupan beragama setelah sekian lama menafikannya. Ya, manusia akan tetap kembali kepada perkara kebaikan, kerana itu adalah fitrah mereka.


P/s : Untuk Pak Ary, mungkin boleh menambah lagi kaitan fungsi intuisi terhadap God Spot dalam cabang spiritual equotion untuk ceramah 'ESQ'nya... huhuhu...

Saturday, April 21, 2007

Rahsia Dalam Filsafat

Rahsia itu merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Tanpa rahsia, dunia akan menjadi bosan, hidup akan jadi pasiran gersang, dan dataran akan menjadi kontang.

Nah, sebab itu cinta yang indah bermula dengan segala kerahsiaan. Mengungkap tabir demi tabir satu persatu, merungkai hijab yang menyilangi pandangan mata. Itulah tugasnya. Oleh kerana itu, mencari rahsia dalam segala pintu kerahsiaan umpama memilih kunci sebelum mengetuk pintu cinta.

Percintaan yan
g bermula dengan kronologi ’tahu’ dan ’tiada rahsia’ lazimnya menghadapi kesukaran di kemuncaknya, disebabkan oleh faktor psikologi yang difitrahkan untuk manusia. Sebab itu Maha Pencipta tidak memberitahu segala-galanya kepada makhluk, iaitu sang hamba.

Allah berfirman:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلا قَلِيلا
(Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah: Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit sahaja) al-Isra’ : 85

Tiada kemustahilan bagi yang Maha Kuasa untuk memberikan sekelumit dari rahsiaNya pada
hamba-hamba, seperti mana seorang teman memberitahu rahsia kepada teman yang dipercayainya. Itulah tugas sang pencinta. Membuka satu persatu makrifat kecintaannya pada yang dicinta.

Maka itu, rahsia Tuhan adalah merupakan suatu manifestasi cinta pada hamba-hambaNya.


Jikalau sekiranya sang hamba mengetahui segala rahsia tentang Tuhan,
nescaya tiada lagi keperluan dalam hidupnya. Persis, seseorang yang menuntut ilmu, akan merasakan suatu yang asyik sekiranya memahami sesuatu tentang Pencipta. Fahamannya pendek dan cetek. Ya, memang amat sesuai dengan akal yang terbatas dalam memahamiNya. Itulah maksud ’menuntut’. Menuntut bererti meminta. Meminta sekelumit ilmu yang diberikan untuk para hamba.

Itulah, falsafah cinta selalu berkeliru. Sama ada mengelirukan manusia atau makhluk yang keliru tentangnya. Falsafah cinta selalu memberitahu insan bahawa dirinya memerlukan masa untuk bermain dalam
hati dua jenis manusia. Kebenarannya adalah kasih sayang, dan tariqnya (jalannya) adalah hati.

Falsafah cinta selalu memberitahu manusia, bahawa ’tak kenal maka tak cinta’ adalah suatu yang terbukti pada eksperimen melalui deria dan epistemologinya (pengetahuan). Maka beritahulah siapa yang kenal cinta tanpa mengenal penciptanya? Manusia yang bagaimana menghukum cinta tanpa mengetahui namanya?


Zaman orang-orang tua, bermula ikatan cinta setelah bernikah tanpa mengenal erti cinta pasangan
nya. Ikatan perkahwinan yang penuh dengan rahsia. Malam pertama. Itulah kuncinya. Membuka rahsia perkenalan dengan ikatan yang halal, karamah dari Tuhan.

Tidak sama dengan hari ini, saat ini. Ikatan dua insan bermula sebelum ia halal lagi. Mengikatnya dengan tali agama merupakan daruri yang berlalu hanya kerana takutkan penguat
kuasa. Tak lebih dari itu. Khali dari segala yang bernama realiti cinta dan juga falsafah perkahwinan dalam agama. Metafizik cinta hanya laungan semata, dan hakikinya adalah membuka ruang hawa nafsu dengan pengumpil yang tidak punya deria rasa bernama ’responsibility’.

Takkan mahu aku tunjukkan lagi buktinya. Anak buangan dalam plastik sampah dah berpuluh-puluh dijumpa. Yang dibiarkan hidup pula meringkuk dalam penjara rumah anak-anak yatim tanpa kasih sayang ibu bapa. Penyangak bawah jambatan, doktor cucuk sendiri, samseng kaki pukul, dan seribu satu muka surat lagi untuk aku bukukan ia.


Cukuplah kerana ia manusia yang hilang lencana agama. Tak kenal lagi rahsia dan tak mahu lagi mengenalinya. Bernafas dari paru-paru dosa dan dipimpin tuhan hawa nafsu yang bernama SYAITAN....

Tuesday, April 17, 2007

Cerita Atuk

(Asyik-asyik mencerna ajer, kita tukar rentak pada celoteh nenek pulak...)

Memang dugaan bila waktu hampir dengan peperiksaan ini. Musim inilah banyak orang yang sakit-sakit, demam-demam, putus tunanglah, ribut pasirlah, kena sampuk. Pendek kata, angin sepoi-sepoi yang selama ini lalu, tiba-tiba diselangi dengan taufan yang bertalu-talu.

Macam jugalah masa aku tengah study ni. Angin ribut pasir pula datang kacau rambut aku tak henti-henti dari tadi. Habis buku-buku atas meja ni penuh dengan pasir, walhal baru aku buka beberapa saat. Memanglah aku duduk dekat sebelah tingkap, tapi tingkap ni aku tak buka sebab bahaya.

Rumah ardhiyah (tingkat bawah) ni memang senang untuk orang masuk. Kalau dibukakan tingkap, maksudnya sedang menunggu tetamu untuk masuk. Tingkap tertutup pun, pasir masih lagi boleh masuk, pelik. Habis buku-buku depan mata ni berpasir. Kalau ditiup tu, ada semacam cerita-cerita misteri yang jumpa barang-barang lama dekat atas loteng. Sekali tiup, berterbangan kumpulan habuk-habuk pasir yang terbentuk.

Sebulan lagi untuk peperiksaan sem akhir. Kiranya sekarang ini tengah dalam proses mahu habiskan baca kitab. Ada sepuluh madah. Nampaknya, mahu tak mahu kena set masa dari sekarang. Kalau satu madah satu kitab okey lagi, ini satu madah kadang-kadang dua atau tiga kitab kena habiskan. Tapi kira okey lagi, ada student yang kena ambil lagi banyak dari ini.

Dari mula-mula aku beli kitab tauhid ni, aku terfikir, kenapalah tajuknya 'Arjuzah Jauharatul Tauhid'? Apa halnya yang dimaksudkan dengan 'arjuzah' tu? (kalau loghat tempatan disebut 'arguzah'). Belek-belek punya belek kitab ni, tak jumpa. Selak punya selak kat dalam, tak ada. Last-last Zaki beritahu pada aku, "Kau ada study arudh wal qafiyah tak dulu?". "Ada...". "Arguzah tu adalah kumpulan bahar-bahar rajaaz...". Nasib baik ada budak lughah beritahu.

Aku buka balik kitab. Baru ternampak ada matan bahar rajaaz pada setiap topik. Hebat juga Imam al-Laqaani bikin matan macam ni. Senada bunyinya bila dibaca. Ringkas, dah tu semua point ada dalam matan. Sebenarnya masa tengah menulis ni, aku baru habiskan separuh kitab, bajetnya nak habiskan semua sebelum malam. Nanti malam nak pindah kitab lain pula.

Bila baca baru terperasan yang kitab ini agak mudah sikit dan mesra pembaca berbanding 'Taqribul Muram Syarah Tahzib Kalam' yang aku study untuk tahun satu dulu. Kalau kitab yangi tu aku boleh tahan setengah jam saja kalau dibaca terus menerus, lepas tu gerenti tidur. Apa pun moga aku diberi kekuatan untuk habiskan baca kitab-kitab ni sebelum akhir bulan, sebab kalau ikut plan, masuk bulan depan perlu tumpuan untuk Al-Quran pula.

Untuk kawan-kawan, doakan aku sama. Biasanya musim peperiksaan adalah musim yang banyak mengganggu. Musim-musim begini dah punya catatan sejarah yang banyak. Krisis cinta lebih-lebih lagi. Sudah, aku sudah letih menulis, mahu disambung membaca kitab yang baru sampai separuh. Ini pun menulis sebab pasir sedang mengganggu meja belajar aku. Aku rehat kejap, buat kopi, dan terus tulis entri ni.

Wednesday, April 11, 2007

Edisi Korek - Vatican

Saya ada bertanya pada beberapa teman saya ketika waktu santai. Pernahkah mereka mendengar tentang kota Vatican City? Kebanyakan mereka menjawab, pernah mendengar, tetapi tidak pasti di mana letak kawasannya dan setahu mereka ia tidak lebih dari sebuah bandar biasa.

Lebih membuatkan kening saya terangkat lagi adalah ada antara mereka yang menjawab tidak tahu lansung, apatah lagi mendengar tentang namanya. Saya bertanya tentang kota itu pada mereka kerana latar tempat bagi cerpen saya (Biasan Prisma) baru-baru ini adalah di kota Vatican City. Maka, point saya untuk mereka adalah, adakah mereka ada punya gambaran tentang kota kecil itu?

Berkepadatan seramai lebih kurang 800 orang, Vatican City diiktiraf sebagai negara yang terkecil di dunia. Ia terletak di dalam kawasan Rome, Italy.

Vatican City sering dijadikan tumpuan bagi masyarakat beragama Kristian. Selain daripada Baitul Laham ataupun Beth Lahm yang didirikan maharaja Costantine di Jerusalem, kota Vatican City merupakan sebuah lagi kota yang suci dan dipelihara oleh penganut agama Kristian terutamanya bagi penganut mazhab Katolik.

Apakah rahsia disebalik kota utama Christendom ini?

Vatican sebenarnya menyimpan sebuah gereja yang terbesar dalam empayar Christendom, kerajaan dunia Nasrani yang diketuai Pope. Kalau anda ke sana, dari hujung sempadan Vatican sudah kelihatan kubah putih Saint Peter's Basilica. Saint Peter's Basilica adalah sebuah gereja yang menjadi titik tengah dan tumpuan utama bagi pengunjung Vatican City.

Della Consiliazione Road
Laluan Ianni Amedeo ke Saint Peter's Basilica dalam Biasan Prisma

Kalau tepat di bawah kubah hijau Masjidil Nabawiy, Medina al-Munawwarah, bersemadinya jasad mulia baginda Rasulullah s.a.w, maka tepat di bawah kubah Saint Peter's Basilica pula bersemadinya jasad St Peter, salah seorang dari pengikut Nabi Isa a.s daripada dua belas orang pengikutnya.

Pada sekitar tahun 1939 and 1949, para pengkaji arkeologi telah menemukan dengan sebuah kompleks pemakaman manusia di bawah binaan Saint Peter's Basilica itu, yang mana ia menunjukkan tarikh binaan sekitar kurun ke 2-3 selepas tarikh kelahiran Nabi Isa a.s.

Gambaran Bawah Tanah Altar

Dan pada tahun 1950, Pope Pius XII mengumumkan secara rasmi tentang penemuan batu nesan itu setelah hampir sepuluh tahun dilakukan carigali. Penemuan paling berharga yang mereka jumpai di situ adalah sebuah monumen berkedudukan betul-betul di bawah altar (tempat pemujaan) Saint Peter's Basilica yang dipercayai tersemadinya batu nesan Saint Peter.

Pada sebuah tampalan plaster simen dinding berwarna merah dikawasan berkenaan, para pengkaji menemui sebuah torehan yang ditulis dengan tulisan besar Greek "NETPOC ENI" yang bermaksud "Peter di Dalam" seperti dalam di bawah:


Persoalannya, benarkah jasad yang tertanam itu adalah Peter, salah seorang daripada 'Twelve Apostles' dalam Bible atau juga adalah salah seorang dari 'Hawariyun' pengikut setia Nabi Isa a.s yang diceritakan di dalam Al-Quran?

Ibnu Jarir At-Tabari dalam tafsirnya, al-Qurtubi juga di dalam tafsirnya, dan Ibn Kathir dalam kitab sejarahnya al-Bidayah wal-Nihayah ada menyebut tentang Hawariyun yang dua belas ini. Dalam satu athar shahih dari Ibn Abbas r.a, beliau ada menyebut tentang dua belas Hawariyun yang bersama Nabi Isa a.s ketika mana baginda diangkat oleh Allah s.w.t ke langit.

Dan dalam al-Bidayah wal-Nihayah dan kitab Tarikh Ibn Khaldun, ada riwayat lain yang menamakan Hawariyun yang dua belas itu. Mereka adalah Bitris, Ya'akub Bin Zabeeda, Yohanes saudara Ya'akub, Andraus, Filibs, Abrithalma, Matta, Tumas, Ya'akub Bin Halqia, Tadaus, Fatatia, dan Yudas Karyayutoh.

'Twelve Apostles' dalam Bible pula ada menamakan mereka sebagai berikut, Peter, John son of Zabedee, James, Andrew, Philip, Bartholomew, Matthew, Thomas, James son of Alphaeus, Thaddaeus, Simon the Canaanite, dan Judas Iscariot.

Antara Bitris dan Peter ada persamaan dari segi nama. Bahasa arab yang tidak punyai sebutan 'P' lazimnya digantikan dengan 'B'. Ada persamaan jika diinggeriskan nama Bitris, ia mirip Peters.

Al-Quran menyebut :

وَإِذْ أَوْحَيْتُ إِلَى الْحَوَارِيِّينَ أَنْ آمِنُواْ بِي وَبِرَسُولِي قَالُوَاْ آمَنَّا وَاشْهَدْ بِأَنَّنَا مُسْلِمُونَ
"Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada pengikut Isa yang setia : Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku. Mereka menjawab : Kami telah beriman dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh (kepada seruanmu)"
(al-Maidah : 111)


Kesucian kota Vatican City pada kaca mata masyarakat Kristian salah satunya disebabkan oleh Saint Peter's Basilica yang menyimpan jasad Saint Peter dan jasad-jasad Pope yang lain. Sama ada Peter itu adalah Bitris yang disebut Ibn Kathir dalam kitab sejarahnya ataupun bukan, saya bukanlah orang yang layak untuk menyatakan kebenarannya. Hanya Dia Yang Maha Tahu.

Keselarian antara al-Quran dan Bible adalah perkara yang selalu kita dapati terutama dari sudut analisa sejarahnya. Bagi situasi ini, kita harusnya berpegang bahawa segala yang selari dengan al-Quran layak untuk terimanya, tetapi yang bercanggah harus ditolak dan yang tidak disebut di dalam nas, maka harus untuk kita berdiam diri.

Sebagai orang yang tidak hidup pada zaman tersebut dan tidak menyaksikan apa yang berlaku, kita haruslah berpegang pada prinsip 'la nusoddiquha, wala nukazzibuha' (kita tidak membenarkan, dan tidak pula menidakkan) sebagai suatu locus standi terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kitab samawi, dan tidak terdapat di dalam al-Quran kerana yang menurunkan kitab-kitab samawi tersebut bukanlah dari kalangan makhluk.

Ingat, dalam rentetan sejarah, orang yang paling bertanggungjawab dalam merosakkan agama Nabi Isa a.s ini adalah Paul, bukan Peter....

Sunday, April 08, 2007

Joget Berniaga


Berniaga memang syok. Lagi-lagi kalau untungnya pulang. Tapi belum pasti lagi berbaloi, dengan peluh dan kepenatan yang memanjang.

Berniaga memang syok. Lagi-lagi kalau pembeli ramai. Tapi belum pasti lagi berapa banyaknya masa yang terbuang. Tak berbaloi wang yang berikat-ikat.

Berniaga memang syok. Lagi-lagi kalau anak gadis yang membeli ramai. Tapi belum pasti lagi kealphaan pada buku-buku. Tak berbaloi banyaknya duit, tapi tak dapat disatukan dengan amal.

Berniaga memang syok. Lagi-lagi benih sunnah dapai disemai. Tapi belum pasti lagi berapa banyak yang tak sunnah berlaku. Menghormati pelanggan selalu dilupakan.

Berniaga memang syok. Lagi-lagi yang minta diskaun ramai. Kadang-kadang bukan kedekut. Tapi untung pun belum cecah ke lantai.

*ulang sebanyak 23 kali.

Firman Allah :

رِجَالٌ لا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالأبْصَارُ
(An-Nur : 37)

/* Catatan lepas bazar di ARMA.
/* Argh... kepenatan tahap trojan.