Friday, October 31, 2008

Antara Pizza dan Roti

Baru beberapa minggu pulang dari tanah air, saya telah mencuba-cuba dalam perniagaan roti canai. Masih baru dan banyak yang perlu saya pelajari. Ini adalah sebahagian dari ekonomi, kata sebahagian orang.

Dari segi teori, perekonomian ternyata hal yang sangat menguntungkan. Menjual roti canai, bahkan mengambil upah menghantar pizza pun adalah sistem ekonomi yang sangat jelas manfaatnya dalam kehidupan seseorang individu. Berekonomi ibarat bercatur dengan kehidupan, bahkan boleh tercapai kepada tilik penentuan lapar dan dahaga, juga antara hidup dan mati.

Situasi ekonomi dunia pada kaca mata saya kini (meliputi hal ehwal kenegaraan) jelas sekali menjadi mangsa turun naik roller-coster. Sinar kemegahan kapitalisme barat yang yang selama ini menjadi 'Tuhan' kepada para ekonomisnya tiba-tiba menjadi sangat lara dan mendukacita. Seakan-akan seorang tua yang disakat, dengan disepak hujung tongkatnya. Tersungkur lalu mencium tanah, patah juga alur tulang rusuknya.

Bencana ini sedang memeningkan dunia. Bukan alam hakikatnya yang dibencanai, tetapi ekonomi. Baru-baru ini, Lehman Brother dan Bear Stearns yang jatuh bankrap telah menjadi kepeningan dunia.

Bahkan gergasi dunia Amerika Syarikat terpaksa mengambil beberapa lagi syarikat-syarikat yang bermasalah sehingga terpaksa mengeluarkan bajet sebesar 700 juta hingga 1 trilion untuk membendung krisis teruk yang melandai negara mereka.

Beberapa pusat kewangan dan bank-bank besar juga 'bungkus jajan' dan gulung tikar. Kejatuhan indeks harga saham (Wall street dan bursa-bursa utama dunia) betul-betul membawa kepada krisis yang maha buruk dalam sejarah ekonomi dunia.

Kemunduran atau Kejatuhan?

Sebahagian dari pemerhati dengan sinis berkomentar 'inilah bencana dan bala yang berlaku terhadap kapitalisme'. Sistem ekonomi bebas yang yang selama ini 'menzalimi kita dan membuncitkan perut' mereka telah makan tuan!

Ini semua bertitik-tolak dari pemain-pemain ekonomi. Apabila kapitalisme telah merajai ekonomi, maka hidangannya tidak lain tidak bukan adalah bentuk monopoli dan spekulasi.

Sekilas pandang, saya tertarik dengan apa yang disebutkan oleh beberapa penganalisis ekonomi seperti Paul Omerod dalam 'The Death of Economic' dan Umar Vadillo dalam 'The Ends of Economics'.

Kritikan tajam Umar misalnya tertumpu kepada mekanisme kapitalisme yang zalim dan tidak adil, yang diamalkan ekonomi dunia ketika ini.

Umar berkomentar bahawa kapitalisme kini telah melakukan banyak rompakan terhadap kekayaan negara-negara berkembang melalui sistem 'fiat money' yang sesungguhnya adalah riba.

Kejatuhan ekonomi barat kini dilihat sebagai kejatuhan sistem kapitalisme yang mereka amalkan selama ini. Terbukti kapitalisme tidak mampu membawa perimbangan terhadap pola ekonomi dunia semasa dan kapitalisme juga tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan yang menghantui banyak negara dunia hingga kini.

Kapitalisme VS Syariah

Ada baiknya kita menilai semula komentar dari seorang tokoh ulama Islam yang terkenal, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam ucaptamanya ketika menghadiri seminar yang diadakan di Doha.

Katanya, "Keruntuhan sistem kapitalis yang berlandaskan wang kertas dan spekulator antarabangsa dan bukannya dagangan barang di pasaran, telah menunjukkan bahawa sistem tersebut dilanda krisis dan ia turut membuktikan bahawa falsafah ekonomi Islam adalah kukuh".

Beliau menambah "Semua kekayaan dimiliki oleh kita (umat Islam). Negara- negara Islam memiliki hampir semua minyak dan kita memiliki falsafah ekonomi yang tidak dimiliki oleh orang lain".

Perekonomian Islam secara mudahnya berbeza dengan kapitalisme dalam dua perkara utama. Pertamanya, sistem ekonomi Islam tidak mengiktiraf 'interest' atau riba dalam proses pinjaman. Kedua, ekonomi berlandaskan syariah tidak membenarkan berlakunya spekulasi, sebaliknya menganjurkan mekanisme perkongsian untung-rugi antara pihak bank dan peminjam.

Dalam tiga dekad kebelakangan ini, sistem kewangan Islam telah berkembang pesat melebihi 300 institusi meliputi 75 buah negara. Aset terkumpul pula melebihi 300 bilion dolar dan semakin menigkat saban tahun sebanyak 15 peratus mengikut kajian yang dijalankan.

Bagi kebanyakan para ulama dan pemikir ekonomi, perekonomian Islam berlandaskan syariah kini menjadi sebuah alternatif yang sangat berkesan bagi menggantikan sistem ekonomi yang digunapakai dunia dekad ini. Secara teorinya, mekanisme ekonomi yang ditawarkan oleh syariah Islam sangat solid dan sempurna kerana ia berasaskan fitrah manusiawi.

Cumanya dari sudut pengalaman dan latihan, sistem ini masih lagi belum matang dan universal kerana kekurangan dalam sudut praktikal. Namun bagi Dr Fahmi Howaidi, seorang pemikir Mesir, berpendapat bahawa sistem yang dibawa oleh syariah mampu untuk menjadi penyelesaian masalah kepada ekonomi dunia kini, namun ia bukanlah sebatang 'kayu sakti' yang mampu menukarnya sekaligus.

Moga-moga tugas kita menjadi lebih luas untuk mentajdid perekonomian dunia yang kian barah kini.

No comments: