Thursday, March 22, 2007

Menerakakan Manusia

(Catatan Penat Selepas Bazaar)

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

(Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri"). (Fussilat : 33)

Trend masyarakat Malaysia akhir-akhir ini memang semakin menjadi-jadi dan meruncingkan. Mana tidaknya, kalau dahulu tok-tok guru dihormati, diberi salam dan senyuman ketika berselisih, dan dihadiri kelas pengajiannya, tetapi hari ini lansung tidak membalas senyuman, bahkan guru-guru agama sering menjadi bahan umpatan, cercaan dan hinaan termasuk oleh anak muridnya sendiri.

Menghormati guru-guru agama, atau bahasa mudahnya iaitu pendakwah, menjadi tuntutan agama. Kerana dalam sebuah ayat dari Surah Fussilat, iaitu ayat ke-33, Allah s.w.t meletakkan martabat du'ah (pendakwah) pada martabat yang paling tinggi sekali disisiNya. Kata-kata mereka adalah yang paling mulia dan paling berharga disisi Allah s.w.t dan mereka wajar untuk dihormati.

Kerana itu di dalam ayat tersebut Allah menggunakan lafaz isim tafdhil (lafiz melebihkan) iaitu أَحْسَنُ yang bererti lebih baik. Bermaksud, tiada kata-kata yang lebih baik disisi Allah melainkan kata-kata orang yang berdakwah kepada jalan Allah s.w.t berbanding kata-kata orang yang selain daripada itu.

Saya cukup tertarik untuk menulis berkenaan ayat ini kerana situasi di Malaysia kerap meminggirkan konklusi daripada ayat ini. Ada segelintir manusia sanggup tampil kehadapan manusia menghina, memfitnah dan mengkeji para pendakwah untuk mendapatkan sesuap nasi.

Alasan mereka mudah sahaja. Pendakwah ini salah, dan pendakwah itu ahli neraka. Pendakwah ini jahil, dan pendakwah itu tidak punyai critical thinking. Golongan agamawan sering menjadi kambing hitam daripada hunusan tajam dan kerasnya lidah mereka memfitnah.

Perkara ini wajar untuk kita sedihi. Mana tidaknya, kebanyakan fitnah itu datang dari orang-orang agama sendiri. Seolah-olah mendabik dada kononnya dia yang membawa kebenaran yang sebenar. Orang lain salah kerana tidak kritikal, jahil dan tidak mahu belajar hingga Phd sepertinya. Kemudian beria-ia menulis sajak dengan nada kesedihan, dengan alasan perjuangan, agar mengharapkan orang yang membacanya jatuh simpati terhadap perjuangannya.

Kemudian apabila ditegur, mula mencari alasan dengan Al-Quran dan Hadith. Segala macam bentuk kaitan daripada hadis akan dikaitkan untuk membela diri sendiri. Sehingga sanggup berkubu dibelakang nama ulama-ulama besar supaya sasaran tidak mengenainya, tetapi melukai ulama-ulama besar itu. Lantas fitnah lagi ke atas ulama-ulama besar menjadi bisul dalam barah.

Saya sebenarnya hanya suka untuk berdiri diatas pagar kalau kerbau berlaga dengan kerbau. Tapi dalam situasi sebegini, saya tidak boleh terus berdiri. Saya perlu turun sama ada ke kiri atau ke kanan untuk membantu, dan apa yang perlu saya perhatikan ialah kerbau mana yang gila, dan saya perlu berada diantara kerbau dua kerbau untuk menghentikan naik syeh kerbau gila itu.

Memang tidak dinafikan, ada segelintir pendakwah yang bukan ahli untuk berdakwah. Itu juga tidak menafikan bahawa semua orang boleh jadi pendakwah. Seperti doktor dan jurutera, ada juga doktor yang jahil ilmu kedoktoran dan ada juga engineer yang jahil tentang ilmu kejuruteraan. Tetapi kalau menyapu bersih untuk menghina semua doktor perubatan dan semua jurutera, itu adalah suatu kesalahan jenayah ilmiah terancang dari orang yang jahil.

Setiap manusia tidak dapat lari dari kesalahan, dan tugas ahli agama dan pendakwah adalah sama-sama berganding bahu mendidik umat dan masyarakat mengenal Tuhan. Mencari pelbagai alasan menjatuhkan orang lain bukan jalan yang terbaik. Mereka sebenarnya boleh menegur para pendakwah ini dengan teguran yang baik dan berhikmah. Dan menghamburkan kesalahan manusia di hadapan orang ramai bukanlah suatu bentuk teguran yang baik.

Justeru, adakah 'berterang-terangan' memberitahu kesalahan pendakwah lebih baik dari 'bersenyap-senyap' tentang jiran sebelah rumah yang bersedudukan? Semata-mata untuk menutup aib manusia! Ataupun adakah lebih baik me'neraka'kan saudara semuslim yang lain itu lebih baik daripada meletakkan nama semuslim dengan nama anak tuhan Hindu? Semata-mata untuk memelihara ikatan persaudaraan! Fikirkan...

Trend-trend seperti fitnah memfitnah dan suka mencari kelainan dalam urusan agama ini sebenarnya semakin berleluasa dan seluruh masyarakat perlu menyedarinya. Trend ini tidak lari dengan belia yang menyertai punk, skinhead dan lain-lain lagi, kerana kebanyakan mereka ini ingin mencari kelainan dan yang menjadi penggeraknya adalah dikalangan orang-orang muda yang sinonim dengan kependekan akal dan kemiskinan al-hikmah. Itulah persamaan mereka.

Walau apapun, berkat hidayah Allah, jika kita lihat para pendakwah ini mereka cukup tenang dan tidak mudah melenting dengan fitnah-fitnah sebegini. Mereka kebanyakannya tidak mengambil cakna fitnah ini dan terus istiqamah melakukan amal kebaikan dengan mengajar manusia mengenal Tuhan tanpa menyimpan sebarang dendam apa lagi mengherdik semula.

Ingatlah bahawa penghormatan kepada para pendakwah ini adalah sebuah nilai keikhlasan, terima kasih dan kemuliaan disisi Allah, kerana sesungguhnya kata-kata dan usaha mereka itu lebih baik dan terpuji disisiNya dari kata-kata manusia lain, dan tugas kita bukanlah untuk mencela mereka.

Dan untuk para pendakwah, ini ada dua ayat dari Al-Quran yang Allah telah turunkan untuk menggembirakan hati anda sekalian bila mana difitnah :

* وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيم

(Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang setia * Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar *)
(Fussilat : 34 : 35)

Monday, March 12, 2007

Membukukan Minda

Menghidupkan bidang perbukuan sesuatu masyarakat adalah ibarat menghidupkan tamadun dan empayar pemikiran mereka yang tersendiri. Tak dinafikan bahawa buku atau kata lainnya karya ilmiah, merupakan sesuatu yang sub-wajib dalam menyampaikan displin keilmuan.

Mahu tidak mahu, sejarah telah banyak mencatit tentang pertolongan buku dalam menghidupkan tradisi ketamadunan manusia. Tamadun Islam misalnya melalui zaman perbukuan yang unik. Beratus ribu buku dan karya ilmiah telah dihasilkan oleh tangan-tangan mereka yang ajaib. Itupun belum dikira lagi yang dibakar dan dibuang di dalam laut oleh manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab.

Daripada orang Arab, Eropah, sehinggalah kepada orang Parsi, menghasilkan buku ibarat melatih otak mereka untuk menghafal dan mengulangkaji semula tentang apa yang dipelajari. Tetapi bukan mudah untuk menghasilkan sebuah karya ilmiah. Menulis sebuah buku ilmiah bukanlah semudah melahap mi ramen dengan sup bebola udang, ianya memerlukan tumpuan, komitmen dan bahan yang mencukupi.

Menulis buku atau karya ilmiah adalah merupakan intepretasi para penulis terhadap ilmu yang dikaji dan dikuasainya. Minat ini sebenarnya adalah hobi yang tidak asing bagi seseorang pencinta ilmu. Buku pada mereka adalah ibarat ibu, dadah atau juga daun marijuana pada pandangan mata para pencintanya. Kadang-kala dalam sesetengah kes, buku sering dijadikan isteri pertama berbanding isteri mereka yang sedia ada.

Dakwah

Pada zaman ini, banyak konsep dakwah diperluaskan dalam bidang yang pelbagai. Ada yang berbentuk nasyid, kempen, Akademi Fantasia, blogging, fitnah dan sebagainya. Tetapi kita perlu tahu bahawa bapa kepada segala cabang dakwah ini adalah buku. Sama ada dakwah yang menyesatkan mahupun yang benar, buku menjadi suatu yang sangat penting dalam menyebakan agama Islam.

Dalam kelas Adab Arabiy yang saya hadiri semalam, Dr Fathi Hijazi ada menyebut tentang uniknya para ulama menghasilkan buku. Ada tiga golongan ulama dalam menyampaikan dakwah mereka. Sama ada dia hanya memberi kuliah, tanpa menulis. Atau dia hanya menulis, tanpa memberi kuliah. Ataupun dia menulis dan memberi kuliah. Yang anehnya, ketiga-tiga golongan ini menghasilkan begitu banyak kuantiti buku beserta dengan kualitinya.

Syeikh Mutawalli Asy-Sya'rawi adalah contoh manusia yang tidak pernah menulis buku, tetapi bukunya penuh dipasaran. Pernah beberapa kali beliau cuba untuk menulis, tetapi gagal, sehingga akhirnya beliau sendiri berkata pada dirinya bahawa 'Sesungguhnya engkau tidak boleh menulis, engkau hanyalah seorang pemberi kuliah'. Anak-anak muridnya yang begitu gigih menulis apa yang dikuliahkannya.

Begitu juga dengan Imam Ibnu Kathir, sesetengah guru-guru saya menceritakan bahawa Tafsir Quran ul-Azim itu tidaklah ditulis olehnya, bahkan dicatit sendiri oleh anak muridnya sehingga catitan tadi dikumpulkan menjadi sebuah buku.

Imam Ar-Rafi'e pula adalah contoh insan yang hanya manulis dan tidak pernah memberi kuliah. Ini kerana beliau yang tidak mampu mendengar ketika berumur belasan tahun, tidak dapat mengetahui tahap bahasa manusia disekelilingnya. Dengan sedikit ilmu yang dipelajari ketika usia kecilnya (sebelum kehilangan pendengaran), Imam Ar-Rafi'e mampu belajar dan mengajar melalui penulisannya. Sebab itu tidak semua yang mampu untuk faham apa yang ditulisnya kecuali orang-orang yang betul-betul menguasai sastera arab.

Akhir sekali Dr. Fathi Hijazi meletakkan nama Syeikh al-Ghazali sebagai penulis dan pemberi kuliah yang terbaik. Sehinggakan para pembaca bukunya berkata bahawa 'Seakan-akan saya mendengar dia memberi kuliah sewaktu membaca bukunya'.

Walaupun begitu menurut Dr. Fathi, masing-masing mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Ada yang mampu menulis dan ada yang tidak. Ada juga yang penulisannya lebih baik dari kuliahnya, dan sebaliknya. Tetapi visi dan matlamat mereka tidaklah lari dari tujuan sebenar mereka iaitu berdakwah kepada Allah dan agamanya.

Sub-Budaya

Zaman kini telah berubah dan realitinya juga turut berubah. Boleh dikatakan bahawa bidang perbukuan sekarang ini telah dimonopoli oleh Barat. Walaupun rujukan-rujukan agama Islam masih lagi pada tangan masyarakat Arab, tetapi perihal orientalisme sedikit sebanyak telah menukar qiblat rujukan ini dari timur ke barat.

Fakulti pengajian Islam dan yang berkaitan dengan Oriental Studies, telah membuka ruang dan menarik begitu ramai sarjana ke Eropah. Tidak kira di Oxford, Cambridge, mahupun di Glasgow, kajian ilmiah semakin hari semakin merancakkan lagi persaingan. Para graduan lepasan ijazah dalam bidang pengajian Islam kini lebih gemar ke Eropah berbanding ke timur, dan universiti-universiti hebat itu sering dijadikan pilihan utama dalam membuat thesis dan kajian.

Dengan rujukan yang lebih liberal dan global, kajian-kajian di barat ini nampaknya semakin menjadi perhatian ramai berbanding di timur. Lantas perspektif dan kecenderungan masyarakat Islam yang mula menjeling-jeling kearah barat telah menjadikan institusi pengajian Islam di timur tengah mula dipinggirkan sedikit demi sedikit.

Ditambah lagi dengan puak-puak yang bertelagah seperti Wahhabi dan fanatisme lain di dunia arab, lebih memeningkan kepala masyarakat jika dibandingkan dengan tradisi liberalis barat yang lebih bertolak ansur dan berbahas dalam ruang lingkup ilmiah. Itupun belum ditambah lagi dengan buku-buku ilmiah mereka yang dipasarkan di seluruh pelusuk dunia.

Pendek kata, dalam senyap-senyap masyarakat Islam telah jauh ketinggalan dalam bidang ini lantas berada semakin jauh daripada apa yang disasarkan Islam. Bagi orientalis, buku dan penulisan mereka adalah senjata terbaik yang paling tajam untuk menusuk pemikiran orang-orang Islam. Memang benar bahawa mereka menulis berdasarkan fakta dan dalil, tetapi hikmahnya jauh sekali tersasar dan juga maqasid ilmiah mereka bertentangan dengan kehendak Islam.

Membukukan Orang Malaysia

Di Malaysia, buku bukanlah sesuatu yang istimewa bagi kebanyakan orang. Bidang perbukuan masih lagi belum boleh dijadikan bidang pekerjaan dan pemenuhkan poket para penulis. Jika ada pun, hanya beberapa orang sahaja yang mampu berbuat begitu. Itupun kerana mereka memang mempunyai nama besar dalam bidang ini. Kebanyakan orang Malaysia masih lagi takut-takut untuk menceburkan seluruh tenaganya untuk menulis. Menulis buku hanyalah dijadikan sumber tepi atau juga sebagai hobi mengisi kekosongan waktu mereka sahaja.

Walaupun ketinggalan, tetapi akhir-akhir ini ada sedikit berubah gaya langkahnya. Sayangnya, berubah langkah itu hanyalah novel-novel cinta yang laris di kedai buku. 'Asmara Ini', 'Cinta Tak Keruan', 'Kau Tak Sayang Aku' dan macam-macam lagi adalah contoh novel-novel cinta yang laris dipasaran. Lihat sahaja carta 'top ten' buku-buku Malaysia di dinding kedai buku, masih lagi dikuasai oleh novel.

Amat malanglah nasib bagi penulis-penulis karya ilmiah di Malaysia. Buku yang dipasarkan hanya dibeli orang satu dua untuk rujukan berbanding novel-novel ghairah cinta yang macam pisang goreng panas. Sampai bila agaknya kita mahu bermalu di hadapan Karen Armstrong dan rakan-rakan orientalis lain, yang mana mereka makan duit hasil penulisan buku sendiri....

Monday, March 05, 2007

Citra Parsi

(Kepada yang tidak menyenangi tulisan ini, usah pakaikan tag nama syi'ah pada kocek saya, modal tu dah busuk)

Dua tiga minggu kebelakangan ini, ura-ura tentang bakal terletusnya siri perang ala-ala salibi kerap menjadi tajuk tumpuan di ruang akhbar seluruh dunia. Kongkang-kongkang putih (US) telah mula melancarkan provokasi murahan dan propaganda terhadap kempen meraka untuk menyerang Iran.

Perempuan hitam berdahi jendul (Condolezza Rise) dan tukang karutnya (Dick Cheney) itu pun sekarang ini sedang giat dalam promosinya menyerang Iran, kesana-sini menjaja berita palsu murahan dengan tanda harga 'nuklear dan uranium' kepada negara-negara Eropah yang lain.

Tetapi sedarkah kongkang putih itu tentang mangsa mereka kali ini? Bukankah orang-orang Parsi mempunyai rekod cemerlang dalam sejarah tamadun manusia? Baik dari segi ketenteraan mahupun ilmu pengetahuan.

Keilmuan

Tanah Arab, seperti yang diketahui umum, adalah tapak asas penubuhan daulah Islamiyyah yang terawal sekali. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di kota Mekah bemakna telah bermulalah episod kelahiran agama Islam dalam sejarah dunia. Selepas beberapa tahun, Kota Madinah telah menjadi kerajaan Islam yang pertama ditubuhkan didunia apabila berlakunya peristiwa penghijrahan Nabi s.a.w bersama para sahabat ke Kota Madinah.

Selepas kewafatan Nabi s.a.w, zaman era sahabat dan tabi'en diteruskan, dan ketika ini begitu banyak negeri dan wilayah di sekitar semenanjung tanah Arab dibuka oleh masyarakat Islam yang terdiri dari kalangan sahabat, tabi'en dan tabi'nya.

Selepas zaman pasca-Khulafa'Ar-Rasyidin, kemunculan Daulah Islamiyyah Umayyah, Abasiyyah, Fatimiyyah, Uthmaniyyah dan lain-lainnya mengalami era kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan sepertimana yang tercatat di dalam sejarah tamadun Islam. Kemasukan ilmu dari luar, seperti dari tamadun Yunani dan sebagainya, telah membantu merencam pemikiran intelektual orang Islam dalam pelbagai displin ilmu pengetahuan yang menjadi rujukan ilmuan dan saintis diseluruh dunia termasuk Eropah.

Cordova, Baghdad, Andalusia, Kaherah, Basrah dan Kufah. Masing-masing mencatatkan sejarahnya sendiri dengan melahirkan cendekiawan perintis era zaman keemasan Islam. Tetapi tahukah anda, siapakah yang menjadi tulang belakang pemangkin pada era kegemilangan ini?

Anda pernah mendengar nama Ibn Sina? Ibn Rusyd? dan bapa optik moden iaitu Ibn Al-Haitami? Mungkin kita selalu mendengar nama mereka ini dalam buku sejarah. Tetapi bukan sekadar dalam buku sejarah sahaja, bahkan nama mereka di'inggeris'kan dan tercatat di dalam buku-buku falsafah dan sains perubatan dengan nama Avicenna, Averrous dan AlHazen!!! Mengapa dengan mereka?

Meraka itu adalah berbangsa Parsi.

Tidak ketinggalan juga kepada saintis dan ahli falsafah berbangsa Parsi yang lain seperti al-Kindi, Omar al-Khayyam, al-Khawarizmi (ahli fizik, astronomi dan matematik), Abd Rahman al-Biruni, Imam al-Gazali, Jabir Bin Haiyam (bapa kimia), al-Mawardi (muhaddis dan tokoh feqh), al-Razi (falsafah, perubatan dan astronomi) dan ramai lagi.

Jangan lupa juga kepada bapa Nahu dan Sorof iaitu Sibawaih adalah berbangsa Parsi. Sasterawan ulung, Jalaluddin ar-Rumi. Pencetus idea Taj Mahal iaitu Mumtaz Mahal. Wanita bijak dalam Kisah Seribu Satu Malam iaitu Shaharzad. Meraka semua ini adalah berbangsa Parsi.

Ramai lagi tokoh-tokoh hadis dan ulama'-ulama' muktabar, baik dalam ilmu agama mahupun dalam ilmu nasional, yang berbangsa Parsi, telah menjadi figura utama yang memainkan peranan ketika era 'The Islamic Golden Age' suatu ketika dahulu. (anda boleh merujuk Muqaddimah Ibn Khaldun dalam bab ke-2, Ilmu Bumi)

Ahli sejarah menulis beberapa sebab mengenai kekuatan ilmu pengetahuan bangsa Parsi. Antaranya adalah orang-orang Arab hanya lebih memberi tumpuan dalam sistem politik dan dan tampuk pemerintahan, sedangkan orang-orang Parsi lebih gemar mengkaji dan mendalami ilmu pengetahuan. Sebab itu sesetengah ahli sejarah menulis bahawa bangsa Parsi telah menyokong meralihan takhta kerajaan Abasiyyah dari tangan Umayyah, kerana segelintir pemimpin kerajaan Umayyah melakukan diskriminasi tehadap bangsa Parsi.

Walau apapun yang dicatat oleh sejarah (sama ada betul ataupun tidak), kita tidak mampu untuk menafikan kekuatan ilmu dan kepandaian bangsa Parsi dalam tamadun peradaban manusia.

Bangsa Perang dan Ahli Strategi

Tidak dinafikan, bangsa Parsi adalah bangsa yang suka berperang dan dikenali dengan bangsa penakluk. Parsi telah memulakan tradisi penaklukannya sejak sebelum kedatangan Islam lagi, iaitu ketika bermulanya empayar Achaemenid di bawah pemerintahan Cyrus The Great dan juga Darius of Persia. Empayar ini memperluaskan kuasa hingga menakluki Sungai Indus dan sekitar Eropah.

Setelah itu empayar Parsi melalui era Hellenistik, Parthian dan Sassanid, hinggalah ditakluki oleh kerajaan Islam Umayyah (650-1037 M). Bangsa Parsi diIslamkan dan kerana penaklukan Umayyah ini bangsa Parsi begitu tidak selesa dengan kerajaan Umayyah atas nama diskriminasi bangsa. Corak pemerintahan kerajaan Umayyah sedikit sebanyak dipengaruhi corak pemerintahan orang-orang Parsi dan pemerintahan Byzantium.

Ketika ini Bahasa Arab menjadi lingua franca dan Agama Islam bertapak menggantikan kepercayaan Zoroastrianism. Kerana itulah munculnya para intelektual Parsi yang mahir dalam bahasa Arab dan beragama Islam.

Peralihan kuasa kerajaan Abasiyyah menyaksikan bangsa Parsi memainkan peranan penting dalam bidang pentadbiran. Sehinggakan kota Damascus yang menjadi pentadbiran kerajaan Umayyah, ditukar ke Baghdad pada zaman pemerintahan Bani Abasiyyah. Kerajaan Uthmaniyah berlalu sehinggalah diakhiri dengan pemerintahan Shah ketika mana berlakunya Revolusi Iran (1979-1988), dimana pemerintahan boneka Amerika, iaitu oleh Shah Reza Pahlavi digulingkan oleh Parti Islam yang dipinpim Ayatullah Khomeini.

Anda juga jangan terlepas pandang dengan sejarah Rasullullah s.a.w di dalam perang Khandak. Siapa lagi yang memulakan taktik perang berparit kalau bukan dari idea perang orang-orang Parsi yang dicadangkan oleh sahabat Salman al-Farisi r.a (al-Farisi adalah gelaran para sahabat pada Salman yang berbangsa Parsi). Sehingga Nabi s.a.w menerima cadangannya, dan Allah mengurniakan kemenangan untuk ummat Islam ketika itu bersebab dari kebijaksaan yang dikurniakan pada bangsa Parsi ini.

Jelas orang-orang Parsi ini kehidupan mereka penuh dengan strategi perang dan penaklukan. Bukan masanya untuk mendewa-dewakan Syi'ah yang rata-ratanya berbangsa Parsi, tetapi mereka ini adalah sebahagian ahli qiblat yang tidak patut untuk kita kafirkan, dan mereka mempunyai peranan yang begitu penting dan signifikan dalam perjuangan Islam.

Dan ingatan ikhlas untuk kongkang putih, jangan terlalu ghairah menjatuhkan musuh satu persatu, takut-takut nanti dahan yang dicapai tak dapat, jatuh tersungkur disebabkan tersilap langkah. Inilah dia sejarah dan kekuatan bangsa Parsi yang istimewa yang perlu kita ketahui. Mereka sudah memberi tag dalam sejarah Islam sejak dahulu lagi. Orang-orang Melayu pula bagaimana?...

Thursday, March 01, 2007

Tips Orang Dewasa

Bungkusan pertama dibuka. Isinya ialah set minuman yang mengandungi sebiji teko, enam cawan dan enam piring. Cantik dan memang diperlukan oleh pasangan yang baru memulakan alam rumah tangga.

Bungkusan kedua pula dibuka. Isinya juga set minuman. Hadiah ketiga dan keempat yang dibuka juga sama, set minuman. Setelah semua hadiah dibuka, pengantin baru itu ada 17 set minuman.

Selain berdozen set minuman, turut dikumpul pada hari membuka hadiah itu ialah sembilan periuk elektrik, tujuh seterika, enam mesin pengisar (blender), lima kipas angin, empat lampu meja, empat pembakar roti, dua cerek elektrik dan tiga jam dinding.

Bukanlah tidak menghargai barang-barang yang diterima, tetapi jika terlalu banyak barang yang sama, ia sudah menjadi suatu pembaziran. Sebagai pasangan baru, bilakah agaknya hendak digunakan kesemua 17 set minuman ini?

Sejak dulu lagi memberi hadiah adalah salah satu ciri khas dalam perkahwinan. Selain sumbangan wang ringgit, hadiah adalah pemberian yang ikhlas kepada pasangan pengantin. Sumbangan wang tidak kira berapa jumlahnya memang amat dialu-alukan oleh tuan rumah. Sebenarnya, ini yang paling praktikal, sekurang-kurangnya boleh menampung perbelanjaan kenduri.

Pemberian hadiah juga amat dihargai. Tetapi, kalau kena caranya, hadiah-hadiah ini akan menjadi lebih bererti. Tentulah dua set minuman akan lebih digunakan, jika 17 set mungkin banyak yang akan disimpan di bawah katil. Apa perlunya sembilan periuk elektrik untuk pasangan baru yang memasak mungkin hanya dua atau tiga kali seminggu? Ini kerana mereka lebih banyak makan diluar kerana mudah dan murah.

Satu pembakar roti sudah mencukupi, yang selebihnya mungkin akan berkarat di stor. Sebuah seterika sudah memadai untuk menggosok baju, yang selebihnya mungkin jadi perhiasan. Batapa halnya enam mesin pengisar dan lain-lain barang yang sama itu? Ada kemungkinan barang-barang yang terlebih itu akan dibungkus semula untuk dihadiahkan di majlis perkahwinan orang lain pula!

Masanya sudah tiba untuk kita menghentikan pembaziran dan merancang sebelum membeli hadiah untuk perkahwinan. Satu cara yang mudah ialah berpakat dengan kawan-kawan yang hendak membeli hadiah.

Katakan ada 10 orang kenalan untuk memberi hadiah seorang kawan yang menjadi raja sehari. Ada kemungkinan semua sepulah kenalan itu akan membeli hadiah yang sama iaitu cerek elektrik.Tentulah lebih baik dan lebih bijak, sekiranya mereka berpakat untuk membeli hanya satu hadiah. Jika sebuah cerek harganya RM30, kali sepulah sudah jumlahnya RM300.

Wang yang dikumpul oleh sepuluh orang itu boleh digunakan untuk membeli satu yang harganya lebih mahal dan mungkin lebih diperlukan. Dengan RM300 mungkin boleh dibeli sebuah ketuhar. Kalau tidak sepuluh, dua tiga orang pun boleh berpakat untuk membeli sejenis hadiah. Kalau tidak berpakat, kemungkinan pengantin akan menerima tiga pembakar roti.

Entah kenapa dari dulu hingga sekarang, orang kita tertarik betul untuk menghadiahkan benda-benda seperti set minuman, seterika, periuk elektrik dan jam dinding.

Mungkin kita boleh cuba hadiah lain yang lebih praktikal. Contohnya, set alat pertukangan, sangkar burung (untuk yang meminati burung), set memancing, pakaian dan set sukan, atau mesin pemotong rumput. Untuk pasangan yang minat menjahit, mungkin kawan-kawan boleh berpakat menghadiahkan mesin jahit automatik. Atau, jika diketahui pengantin meminati haiwan, boleh hadiahkan kucing siam, ikan koi atau kura-kura.

Dan, tentu tidak salah menghadiahkan pengantin baru dengan bonsai, pohon cempaka atau lain-lain tumbuhan taman yang boleh menghias rumah. Juga tidak salah menghadiahkan anak duriah baka terbaik. Atau kalau hendak kelainan tetapi bermanfaat untuk santapan minda pengantin, hadiah berbentuk langganan majalah boleh dicuba. Langganan majalah PESONA PENGANTIN cuma RM100 untuk 12 keluaran. Setiap bulan apabila majalah dihantar ke rumah, pengantin pasti akan teringat dan menghargai pemberian hadiah itu.

Pendek kata, jangan asyik dengan set minuman atau pembakar roti. Kalau banyak sangat cawan, pengantin pun susah hendak mengingat siapa pengirimnya. Hadiahkan sesuatu yang ada sedikit kelainan dan boleh membangkitkan kenangan kepada pengantin tersebut.

Bagaimanapun suka diingatkan, janganlah demi untuk mencari kelainan, diberikan pula hadiah yang bukan-bukan. Contoh: kalau pengantin meminati haiwan, jangan pula dihadiahkan anak harimau atau badak sumbu. Walaupun pengantin mempunyai kolam ikan yang besar dan cantik, janganlah dihadiahkan buaya tembaga atau ikan paus dan ular sawa. Cukuplah hadiahkan ikan koi dan kura-kura.

Amaran: jangan sesekali menghadiahkan kapak, lembing, pedang samurai atau bom tangan buatan sendiri. Tidak digalakkan juga menghadiahkan keris, walaupun hanya untuk hiasan dinding. Tidak baik juga malah boleh dianggap kurang ajar menghadiahkan sesuatu seolah-olah mencabar atau memperlekeh kejantanan pengantin lelaki, seperti kapsul Tongkat Ali.

Pendek kata, bukan mudah memilih hadiah untuk pengantin. Kalau tersilap beri boleh disalah tafsir dan menyinggung perasaan. Kalau diberi barang yang sama dan tidak dimanfaatkan, membazir pula jadinya.

Cara yang terbaik dan pasti akan disukai oleh pengantin ialah dengan bertanya bakal pengantin sebelum membeli hadiah. Memang tidak biasa dilakukan, tetapi tidak salah sekiranya kita bertanya. "Saya nak beri awak hadiah, apa yang rasanya awak perlukan?"

Kalau semua bertanya begitu pengantin boleh menentukan apa yang diperlukan: peralatan memasak, mini TV, set hi-fi, perisian komputer, akuarium, set permainan karum, pencukur janggut dan sebagainya yang berpatutan. Tetapi, mentang-mentang ada yang bertanyakan hadiah, janganlah pula meminta sesuatu yang diketahui di luar kemampuan orang yang bertanya. Janganlag suka mengambil kesempatan, nanti kena penendang. Contoh: tentu tidak munasabah sekiranya pengantin meminta kereta Produa Kelisa atau meminta sebuah apartment mewah. Kalau dia tergamak meminta TV 29 inci atau peti sejuk berukuran besar, pun sudah dikira melampau.

Akhir kalam, amalan memberi hadiah kepada pengantin perlu diteruskan. Ini adalah cara kita meraikan dan menghormati pasangan yang baru memasuki alam rumah tangga. Bagaimanapun, cara kita memberi hadiah dan apa hadiah yang hendak diberi perlu disesuaikan dengan keperluan pengantin. Pembelian hadiah pun boleh dirancang dan boleh dikongsi bersama.

Tuesday, February 27, 2007

- Pelancaran -

Dengan lafaz BismillahirRahmanirRahim...

Saya melancarkan sub-blog untuk laman ishaqhanis.blogspot.com. Ini adalah sebuah laman galeri yang bebas memuatkan beberapa hasil seni fotografi yang diambil oleh saya sendiri.

http://www.galerifotografi.blogspot.com


BLOGGER



Gambar yang dimuatkan adalah hanya sekadar untuk tontonan dan perkongsian kreativiti manusia dalam bidang fotografi. Semoga memberi manfaat kepada pengunjung galeri.

Sekian Terima Kasih,

Falsafah: "Gambar memberitahu anda 1001 perkara berbanding mulut"...

Friday, February 23, 2007

Antara Dua...

Saya tidak pernah termimpi untuk berkahwin awal. Apatah lagi mendirikan rumah tangga dalam jangka umur yang sangat muda ini. Umur saya belum mencecah suku abad lagi, tetapi ramai yang memberitahu bahawa jodoh itu di tangan tuhan. Kadang-kadang ia datang dengan tak disangka-sangka.

Saya mengenali 'A' sejak dari sekolah menengah lagi. Kali pertama ketemunya adalah di kedai gambar berhadapan dengan Wetex Parade, di Muar, Johor. Tauke kedai itu yang memperkenalkan saya dengannya. Memang saya menyukainya sejak dari pandang pertama lagi. Mereka kata itu adalah cinta pandang pertama. Tapi bagi saya cinta itu bukanlah apa yang dipandang, tetapi ia adalah apa yang dipupuk.

Setelah tamat sekolah menengah, saya berkenalan dengan 'E' pula. Kali ini melalui internet. Kemaruk saya pada 'A' kini beralih arah pula pada 'E'. Saya kerap menghabiskan masa untuknya berjam-jam dengan alasan untuk berkenalan lebih dekat. Rupanya saya dapat tahu yang si 'E' ini mengenali 'A'. Mereka rupanya kerap bersama ke kedai gambar. Habislah....

Akhirnya saya buat keputusan untuk berdiam diri, hinggalah saya ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

Tetapi ketika saya pulang ke tanah air kali ini, si 'A' dan 'E' memang membuatkan saya betul-betul berfikir tentang hidup. Memang betul. Pasangan itu berdua. Saya dan pasangan saya itu. Tetapi mana mungkin saya memilih si 'A' dan 'E' sekaligus. Gila. Mana saya ada wang untuk mengambil mereka berdua sekali gus menjadi teman hidup. Orang lain mungkin boleh, tetapi tidak bagi saya.

Saya ada pendirian dan prinsip saya yang tersendiri. Kasih sayang itu tidak boleh dikongsi dengan dua teman yang berbeza dalam neraca kezaliman. Kalau saya rasa saya tidak mampu, maka tidak perlu saya menggatal untuk berkongsi kasih. Tetapi persoalan yang paling teruja adalah mahukah si 'A' dan 'E' ini bermadu? dan saya terfikir berapakah hari untuk saya bersama dengan 'A'? dan berapa hari pula masa yang terluang untuk berada disisi 'E'.

Saya telah berbincang dengan ibu dan ayah saya. Tetap sama, mereka berdiam sahaja. Dari awal lagi saya sudah jangkakan yang mereka pasti tidak gembira. Alasan mereka hanyalah saya masih belajar lagi. Ini pun sudah kali yang ke berapa saya minta izin dengan mereka, saya pun sudah tak ingat. Tetapi kali ini nasib saya bertuah. Mereka senyum bersetuju.

Lagi indah khabar yang saya dengar adalah mereka akan membantu saya dari segi kewangan! Ibu berjanji akan keluar wang lebih untuk saya. Entah apa rahmat yang datang, saya pun tidak mengetahui. Hanya DIA yang tahu.

Ditambah lagi pula, mereka inginkan ianya berlansung sederhana dan kalau boleh sebelum saya pulang ke sana untuk menyambung pelajaran. Mungkin mereka mahu saya bawanya sekali ke sana. Mereka kata takut saya terasa kesunyian. Saya tidak ada masalah. Orang sorong bantal, lagi cepat kita lelapkan mata.

Tetapi masalah masih tak selesai. Saya tidak mahu salah pilih. Saya tidak sanggup untuk melihat diantara mereka ada yang kecewa. Ketika ini teringat pula lagu 'Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu' dari Ukays. Oh... saya begitu tidak mampu untuk mengambil kedua-duanya.

Semalam, saya ke Jusco Tebrau. Bertemu dengan 'A'. Petangnya pula saya berjumpa dengan 'E' di tempat yang sama. Kami bersua muka setelah lama tidak ketemu. Hilang rasa rindu yang selama ini kegersangan. Cukup lama kami bersua muka. Kulit si 'A' semakin gelap, katanya selalu terdedah pada cahaya. Cermin mata lensa si 'E' pula tetap tidak berubah seperti dulu. Tetapi mereka dua-dua masih 'okey' lagi.

'Alpha' dari Sony dan 'EOS' dari Canon adalah dua siri kamera digital yang menarik, yang membuatkan saya rambang mata dan teruja untuk memilih. Kepala saya pening untuk memilih antara dua ini walaupun ibu saya bersedia untuk 'support' separuh dari harganya.

Tetapi saya tidak akan tunggu lebih lama. Majlis pembelian ini harus berlansung sebelum saya pulang ke sana. Mereka kata biarlah sederhana dalam memilih, tidak mahal dan tidak murah kerana yang murah lazimnya cepat rosak dan yang mahal selalunya terasa merugikan.

Jangankan kerana Sony Alpha dan Canon EOS kerap diletakkan bersebelahan di dalam kedai gambar, saya sudah rambang mata untuk memilih antara keduanya. Jadilah pemilih dan pencinta yang bijak...

Tuesday, February 13, 2007

Aku, Cinta dan Air Mata...

(Penulisan ini tidak ada kena mengena langsung dengan Valentine's Day yang dicipta orang-orang dungu itu)

Seni cinta, adalah sesuatu yang abstrak. Tidak dapat disentuh dengan tangan dan tidak dapat dirasai kewujudannya oleh pancaindera yang lima. Tetapi cinta adalah seni halus yang bermain di jiwa, bercorak pada mata hati, berbuai-buai dengan buaian mesra dan kasih sayang. Cukup asyik.

Dalam konteks cinta manusia, selalunya berkaitan rapat dengan perhubungan kekal atau perkahwinan. Tetapi bagaimana pula istilah cinta dengan selain dari manusia? Adakah ia sama sepertinya cinta manusia atau ia mempunyai skema yang tersendiri?

Istilah cinta monyet, beruk atau beruang selalunya mengiring manusia pada proses menempiaskan hawa nafsu. Perlu diketahui, bahawa ramai manusia buta tentang cinta, hawa nafsu dan perbezaan antara dua istilah ini. Manusia kerap kali mengonotasikan hati yang berdebar-debar bila berdekatan dengan orang yang disukai adalah cinta. Karut. Cinta bukanlah hati yang berdebar-debar. Cinta adalah ketenangan, cinta adalah sakinah.

"Dan diantara tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kami cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantara kamu mawaddah (rasa kasih sayang) dan rahmat..." - Surah ar-Rum Ayat 21.

Perkahwinan adalah suatu manifestasi daripada frasa cinta dan kasih sayang. Tetapi adakah ianya benar? dan semua orang yang berkahwin melalui frasa cinta dan kasih sayang?

Saya pernah bertanya kepada beberapa orang rakan sewaktu di sekolah menengah dahulu. Ketika itu saya fikir mereka masih belum matang sepenuhnya untuk berbicara tentang cinta. Namun saya cuba membawa pemikiran cinta yang sebenar pada mereka. Persoalan saya pada kawan-kawan saya itu adalah 'Apakah sebenarnya matlamat yang paling utama manusia berkahwin? Adakah kerana cinta, atau kerana sekadar mengikut sunnah, ataupun sebab nafsu semulajadi manusia, ataupun lainnya untuk perkembangan zuriat?'

Ada yang memberi jawapan kesemuanya. Namun saya menolak kerana kerana itu jawapan diatas kertas periksa. Saya mahu jawapan itu dijawab dengan ikhlas dari sumber hati rakan saya yang disoal itu. Masing-masing memikirkannya untuk mencari satu jawapan yang tepat. Ada yang memberikan jawapan kerana zuriat, ada pula yang menjawab kerana nafsu manusiawi, dan jawapan-jawapan lain. Tetapi jawapan cinta amat sedikit yang saya dengari. Saya membuat kesimpulan awal, mereka masih belum kenal erti cinta mungkin, ataupun memang remaja selalunya menipu apabila mereka ditanya tentang cinta kerana mereka belum faham erti cinta.

Cinta Mengubah Dunia

Cinta adalah sesuatu yang agung dan dahsyat. Semalam ia mengubah dunia, hari ini ia mampu mengembalikan semula dunia kepada asal. Semalam boleh berlalu tanpa apa-apa, tetapi hari ini ia boleh mengubah segala-galanya dek penangan cinta.

Taj Mahal yang terletak di Agra, India adalah suatu simbol erotik cinta sejati Mumtaz Mahal dan Shah Jahan. Cinta dan lara pemerintah kerajaan Moghul itu kepada seorang wanita dimanifestasikan dalam seni binaan yang tidak ternilai oleh akal manusia. Ini adalah dekorasi hasil cinta yang disemadikan dalam seni bina sejarah yang tidak akan hilang dalam sejarah dunia, ia adalah hanya sebuah citra cinta.

Kisah cinta Jalaluddin al-Rumi dalam kitabnya Masnawi. Cinta Rasulullah s.a.w pada umatnya dengan hadith-hadith yang ditinggalkan. Bahana cinta Rabiatul Adawiyah pada Allah s.w.t dengan mengorbankan dunianya. Manifestasi cinta seorang ibu sanggup mengorbankan diri untuk kelahiran anaknya. Romeo dan Juliet beradu cinta dan lara. Laila dan Majnun merana dalam rindu kasih cinta mereka dikuburan lembah pasir. Cinta kembara agung putera raja Qamaruzaman dengan Puteri Budur dalam kisah seribu satu malam dan banyak lagi dalam bingkisan sejarah dunia adalah jagoan-jagoan kisah cinta yang berputik dari kehalusan hati mereka.


Kecintaan kepada ilmu telah mewujudkan ketamadunan manusia sejak berpuluh ribu tahun yang dahulu. Orang-orang Islam dan Greek masing-masing berlumba-lumba mengembangkan ilmu pemikiran dan sains falsafah kerana kehidupan mereka yang penuh kecintaan terhadap ilmu. Buktinya, balai cerap dibina untuk meneroka ruang angkasa dan kitab-kitab ulung yang ditulis sebagai bukti sejarah kecintaan masyarakat Islam pada bidang astrologi dan ilmu-ilmu lain. Ilmu logik berpindah dari satu generasi ke satu generasi dan sekolah 'Academy' yang didirikan Plato menjadi kegilaan orang Greek terutamanya di Athens. Kisah cinta ilmu ini pula menjadi subtopik dalam seni falsafah cinta sepanjang hidup manusia.

Air mata

Cinta... cinta.... Sudah berapa galen air mata engkau keluarkan dari mata-mata manusia sejak Nabi Adam dilahirkan hingga sekarang disebabkan oleh cinta yang dusta. Berapa ramaikah hati dan perasaan wanita yang telah engkau pasrahkan bermula sejak manusia mengenal erti cinta? Lantaran hati wanita yang sensitif, engkau mudah memperkosa hati mereka hingga hilang mahkota cintanya pada seorang lelaki hingusan. Amat menghairankan.

Memang air mata adalah penawar dan kesudahan bagi episod cinta yang berakhir terlalu awal. Hawa nafsu, permainan lidah dan kebobrokan hati menjadi kunci beracun cinta yang durjana. Air mata selalu dikaitkan dengan wanita. Sebagai rakan karib, wanita sering ditemani air mata kesedihan setelah cintanya ditolak atau dipermainkan oleh lelaki. Apa kurangnya dengan lelaki. Hero kampung pun boleh menitiskan air mata kalau sekiranya penolakan cinta itu yang menjadi bahannya.

Cintailah makhluk lain. Kerana sesungguhnya sesiapa yang tidak menyintai, dia tidak akan dicintai. Rindu, gelisah dan nafsu adalah permainan cinta. Kalau anda sanggup berkorban untuk cinta, maka cinta akan menjadi sesuatu kuasa yang amat luar biasa dalam sejarah hidup anda. Ia adalah kuasa ultra. Cintailah Allah dan agamanya...
*/ Tahniah pada Ibrahim Adham dan Nur Alia bt Mohd Ali di atas majlis pertunangan kalian.
*/ Kesibukan di JB amat melalaikan...

Monday, February 05, 2007

Gigi Acha (2)

Bagi apa jua jenis benda yang kita namakan sebagai makanan, termasuk buah-buahan dan kuih-muih, maka tentu sekali gigi menjadi musuh atau ketakutan bagi mereka. Tidak kiralah gigi manusia ataupun haiwan, gigi menjadi suatu fungsi utama dalam proses pemakanan manusia.

Saya cuba untuk membawa kepada pembaca memahami hakikat gigi dalam konteks manusia kerana saya yakin lebih dari 70% daripada pembaca entry ini adalah manusia. Maaf jika yang membaca blog ini adalah haiwan kerana saya tidak memfokus kepada gigi haiwan, tetapi manusia.

Kebanyakan dari manusia tahu tentang fakta bahawa gigi adalah sebahagian dari anggota badan yang paling keras dan paling kuat sekali. Tetapi tahukah kebanyakan manusia bahawa gigi adalah anggota yang hidup dan mengalami tumbesaran berperingkat-peringkat disebabkan ianya mempunyai saluran darah dan urat?

Gigi melalui proses pertumbuhan awal seawal 6 hingga 7 bulan umur manusia. Jadi, bayi seawal 6 hingga 7 bulan akan mula gatal-gatal di bahagian gusi depan dan atas mereka disebabkan gigi yang mahu tumbuh keluar. Mereka akan mengalami kehilangan gigi susu yang pertama seawal umur 7 tahun.

Mahkota

Rambut sering dikatakan sebagai mahkota bagi manusia. Jika anda tiada rambut sudah pasti terasa janggal dan canggung di hadapan manusia. Tetapi bagaimana pula dengan gigi? Adakah ia tidak layak berada disisi rambut untuk diiktiraf sebagai mahkota manusia?

Cuba anda bayangkan seseorang lelaki muda yang berkepala botak. Ia tidaklah terlalu canggung sangat kerana gaya botak dan tiada rambut sering menjadi trend pilihan remaja masa kini. Ia bukan sahaja berlaku pada lelaki, malahan di barat gadis-gadis muda termasuk artis wanita sering berfesyen dengan membotakkan kepala sebagai menunjukkan kebebasan mereka daripada pengaruh gender.

Justeru, masih layakkah lagi rambut bergelar mahkota jika dibandingkan dengan gigi?

Setakat ini trend tidak bergigi masih belum diamalkan di barat mahupun di timur, apalagi di utara dan selatan. Malahan manusia mula mempunyai rasa tanggungjawab yang lebih untuk menjaga gigi mereka. Gigi digosok berulang kali setiap hari berbanding dengan rambut yang kadang-kadang dicuci 2 hari sekali. Gigi yang kuning dan coklat diberikan rawatan pemutihan berbanding dengan rambut yang beruban kadang-kadang tidak mahu diwarnakan. Gigi yang sudah rongak lazimnya diganti dengan gigi palsu dibandingkan dengan rambut yang telah gugur tidak diganti terutamanya di bahagian hadapan kepala.

Persoalannya sudah berubahkah realiti manusia untuk memahkotakan sesuatu di kelas kedua berbanding sesuatu yang layak diberi prioriti?

Baizura vs Acha

Mungkin segelintir pembaca ada yang tidak gemar penulisan di bawah tajuk ini. Tetapi sebagai penulis, saya ingin berkongsi beberapa individu yang saya rasakan mempunyai gigi yang cantik.

Sebelum itu perlu saya definisikan istilah 'cantik' supaya nanti tidak ada orang yang berbalah dek kerana kecantikan yang berbeza.

Cantik adalah 'subjective argument' yang berbeza menurut jenis manusia yang pelbagai. Kesubjektifan ini kadang kala sering menjadi bahan perbalahan manusia. Contoh ini berlaku dimana-mana. Ada yang berkata jenis baju sekian cantik sedangkan orang lain menganggap tidak cantik, begitu pula sebaliknya.

Malahan pernahkan anda mendengar tentang seorang pemuda berkepala botak dari Johor, berketurunan jawa, tidak pandai bergaya, pemalu, dilabel sebagai jejaka paling hensem bagi kebanyakan gadis-gadis di Malaysia? Sedangkan ramai lagi gadis yang menafikan label ini pada jejaka tersebut. Ini adalah suatu contoh berbezanya istilah cantik dan hensem bagi manusia.

Begitu pun haruslah kita ketahui bahawa perbezaan kecantikan ini merupakan seni penciptaan oleh yang Maha Pencipta. Dengan perbezaan ini menjadikan manusia lebih aman dan bahagia.

Berbalik kepada isu individu yang saya rasa mempunyai gigi yang cantik. Saya gemar untuk membawakan contoh gigi 2 orang penggiat seni baru tanah air dan seberang. Bagi saya Baizura Kahar dan Acha Septriasa mempunyai jenis bentuk gigi dan rahang yang sama yang boleh saya lebelkan sebagai gigi yang cantik.

Ciri-cirinya gigi mereka adalah tersusun rapi, seimbang, dan rahang yang atas agak terkedepan sedikit berbanding rahang bawah. Kalau istilah kampungnya kita gelar 'jongang', tetapi bukanlah jongang yang keterlaluan. Bila individu yang mempunyai jenis gigi dan rahang sebegini tersenyum dan tersengih, ia benar-benar membuatkan orang yang melihatnya kaget. Saya memberi interpretasi berdasarkan gigi, bukan orangnya.

Senyum

Oleh yang demikian, gigi merupakan kurniaan Tuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan pada diri manusia. Kepelbagaian guna ini menjadikan ianya sesuatu yang penting dan berharga bagi manusia, dan penting sekali untuk ia dipelihara sebagai bukti kita menghargai dan bersyukur dengan pemberian Tuhan ini.

Oleh itu hargailah gigi anda, gosoknya setiap hari dan lakukan pemeriksaan setiap 6 bulan sebagai bukti anda menghargai pemberian yang Maha Esa ini. Selain itu berilah senyuman anda kepada semua orang dan peliharalah gigi anda ketika tertawa seperti peliharanya Baginda Rasulullah s.a.w terhadap gigi Baginda sewaktu tertawa.

Sunday, February 04, 2007

Thursday, February 01, 2007

Enigma

Ketika saya di sekolah menengah dahulu, saya adalah 'sajak-maniac'. Bermacam-macam sajak saya karang dan coret. Segala yang terlintas saya akan sajakkan. Sajak untuk pokok, sajak cinta, sajak kemanusiaan, sajak kecelaruan fikiran dan macam-macam sajak lagi.

Kalau Mohd Hanis (tempat duduknya dalam kelas bersebelahan saya) terbaca entry ini pastinya dia akan terpecah perut sebab ketawa. Ketawa kerana terkenangkan kegilaan saya ini.

Saya ada bermacam-macam nama pena yang saya pun tak tahu bagaimana nama-nama ini boleh tercipta. Antaranya adalah 'tikar mengkuang', 'kalipso', 'kalikausar', 'kasa kencana', 'karma gempita' dan 'lagam jargon'. Sebab itu jika Mohd Hanis yang duduk di sebelah saya itu mendengar nama-nama ini, pasti berulat perutnya sebab ketawa. Ketawa sebab terkenang kegilaan nama ini. (Nasib baik laman web ini tidak dibikin dengan nama lagamjargon.blogspot)

Inspirasi dalam kecenderungan ini sebenarnya datang dari dua orang insan yang saya rasa menjadi candu kegilaan saya, iaitu Datuk Usman Awang dan M.Nasir. Buku-buku Datuk Usman Awang dan koleksi-koleksi album M Nasir sentiasa dalam simpanan saya. Saya tidak tahu inspirasi apa ini, cukup menakjubkan.

Selepas saya membaca karya mereka berdua, pasti keinginan saya untuk berpuisi membuak-buak. Idea-idea datang spontan. Seakan-akan api kecil yang disimbah minyak petrol. Karya-karya mereka telah berjaya menembusi pintu sempadan hati-hati manusia.

Saya menulis tentang puisi ini sebaik sahaja menjejak kaki pulang bercuti di Malaysia. Sampai di rumah baru di Mersing, saya terus mengemas bilik. Dalam episod kemas-mengemas itulah saya terjumpa kembali buku-buku koleksi sajak saya. Entah berapa ratus sajak di dalamnya, tapi yang pasti memang cukup banyak.


Memori-memori lalu datang semula. Pernah guru menegur saya kerana tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Ketika itu saya sedang asyik mencari idea untuk berpuisi. Saya suka akan puisi pokok kerana pokok mempunyai banyak makna tersirat yang sukar dihuraikan oleh keberadaan manusia. Kebetulan pokok-pokok banyak terdapat betul di kawasan luar kelas 5A yang mana berhadapan dengan saya.

Memang seronok sekali-sekali pulang ke kampung halaman. Mengorek semula memori-memori berharga dan kenangan yang tidak boleh dilupakan ketika usia-usia muda. Usia yang dipenuhi kebodohan dan kecerdikan yang melampau. Usia jiwa-jiwa yang 'sceptical' dengan dunia. Sentiasa dipenuhi dengan semangat ingin tahu dan mencuba sesuatu, syak wasangka dan curiga dengan keseronokan dunia.

Mersing

Jarang sekali saya ke daerah Mersing, apa lagi memahami jalan rayanya yang memeningkan. Daerah 'cowboy' ini tetap menyimpan rahsia unggul. Saya sempat bersiar-siar bersama 'orang lama' di sini. Pakcik Md.Zin yang telah lama tinggal di sini menunjukkan kepada saya beberapa buah pulau di persisiran pantai Mersing. Dia seronok menunjukkan saya sebuah pulau yang dinamakan Pulau Cawan. Bukan pulau itu dipenuhi penjual cawan, tetapi pulau kecil itu berbentuk cawan batu yang ditangkainya telah patah.

Pak Zin : Dulu tangkainya ada, tapi sekarang sudah patah. Kena hakis. Dalamnya ada ruang kosong berlubang. Memang betul-betul macam cawan.

Saya mengangguk, menunjukkan kagum dengan keajaiban alam dan semangat ingin tahu.

Pak Zin : Pernah tengok cerita Sri Mersing?

Filosofis : Ohh... ya... (Wat-wat tau... walhal saya sudah tak ingat ceritanya, ataupun yang seingat saya, saya tak pernah menonton cerita itu... hehehe)

Pak Zin : Kan perasankan, sewaktu Demak hendak memulakan pelayaran, dia melalui pulau cawan ini.

Filosofis : Ermmm... (mengangguk...)

Saya mengangguk pura-pura kagum. Walaupun memang kagum dengan keselarian sejarah yang berlaku antara Pulau Cawan dan cerita Sri Mersing, saya menginsafi diri kerana kedunguan dalam sejarah di tempat sendiri dan tidak ambil tahu dengan sejarah tanah air sendiri. Saya sibuk menelaah idea-idea sejarah Islam dan Eropah, sedangkan telah melalaikan diri dengan sejarah tempatan.

Cerita klasik sejarah sepatutnya dijadikan hidangan bagi anak-anak muda generasi baru untuk memahami sejarah di tempat sendiri, bukan asyik terlena disajikan dengan siri-siri realiti yang pelbagai.

Kalau anda impikan untuk berada di sebuah rumah yang mana apabila anda buka pintu dan tingkapnya anda akan diperlihatkan dengan keindahan ombak pantai dan kulit pipi anda dihembus dengan angin bayu laut, maka datanglah ke rumah saya.

*/ Untuk ahli bait, saya telah selamat sampai jam 12.30 tgh hari 29hb lalu.
*/ Susah nak contact lar, tepon x de... internet pon x de... hehehe...

Wednesday, January 24, 2007

Tuesday, January 16, 2007

Coretan Pulang Dari Pikse

Hampir setiap hari saya mendengar laungan tajdid ke udara. Tajdid... tajdid... proses pemurnian... proses penulenan...

Ah... saya hampir lumpuh. Malu menyebut saya seorang Islam pada orang bukan Islam. Sebab apa? Sebab mereka (sebahagian orang Islam sendiri) kata Islam saya bukan Islam yang sebenar. Sebab selama ini Islam yang saya guna pakai telah salah, telah silap, ternoda oleh dosa, dan yang lebih teruk aqidah dan kepercayaan saya telah terpesong oleh takrifan bid'ah yang mereka jajakan.

Ini menguatkan kesungguhan saya untuk mendaftar pengkhususan di syu'bah aqidah kelak jika Allah mentakdirkan saya lulus tahun ini. Saya ingin belajar semula aqidah. Adakah aqidah saya selama ini telah silap? Adakah saya berpegang pada konsep trinitarian dan tri-hypostasis selama ini, seperti sesetengah umat Islam yg digelar shibih trinitarian dengan mengatakan unsur ketauhidan ada tiga?

Adakah aqidah saya selama ini telah terpesong? Adakah selama ini saya berpegang yakin pada tuhan Vishnu dan Siva yang banyak tangan itu, seperti sesetengah umat Islam yang mujassim (menyamakan tangan Allah dengan tangan manusia) terhadap ayat-ayat mutasyabih??? ah... seperti mahu lumpuh kembali.

Tajdid dan tajdid. Apa yang mahu ditajdid? Adakah aqidah dan kepercayaan umat Islam Malaysia sudah terpesong lantas menjaja aqidah salaf sebagai barang dagangan?

Aqidah salaf atau khalaf bukanlah ukuran. Belum pun saya mendengar dari lidah ulama muktabar yang aqidah khalaf silap dan terpesong. Salafkah kita atau khalafkah kita bukanlah maqasid diutuskan Nabi S.A.W kepada manusia. Salafkah kita atau khalafkah kita masih tetap keduanya mempercayai tuhan yang satu (monotheism), dan masih lagi mengakui Muhammad itu Rasulullah yang terakhir diutuskan. Salafkah kita atau khalafkah kita bukan jaminan tempat kita di syurga.

Tauhid adalah tauhid dan aqidah adalah aqidah. Aqidah dan tauhid adalah sesuatu yang tunggal. Tiada tri-tunggal atau dwi-tunggal. Tiada yang salaf dan tiada yang khalaf. Janganlah kerana pergelinciran kecil pada bab ta'wil sudah menjurangkan umat Islam kepada dua golongan ini. Setakat yang saya mengaji, tiada bukti lagi dalam al-Quran dan al-Hadith yang Asya'ariyyin sesat dan tidak boleh dibuat menantu pengikutnya !!!

Apa yang perlu dilakukan? Tajdid ataupun Tafhim...???

Kita imbas kembali cerminan sejarah. Khalaf itu adalah salaf, dan salaf itu adalah khalaf.

Wednesday, January 10, 2007

Lara Imtihan

Tenang... tenang... innalALLAH ma'ana...
(Allahumma faqqihna fiddin, Wahdina ila siraatak al-mustaqim... Ameen)

Doakan saya...

Tuesday, January 02, 2007

Tazkirah Tahun Baru (2007)

Bismillah

Selamat tahun baru (masehi) 2007 bagi diri saya dan juga rakan-rakan. Meninggalkan seribu satu sejarah dibelakang, menelusi sejarah dan mengukirnya. Itulah sebenar hakikat yang seluruh manusia hadapi ketika ini di tahun baru.

Bagi setiap manusia, lazimnya di awal tahun barulah bermula segala azam dan cita-cita baru. Apa tidaknya, bermacam-macam perkara yang difikirkannya. Ada yang mahu berjaya dan cemerlang dalam pelajaran, ada yang mahu skor 20A1 untuk SPM, ada yang mengimpikan tahun ini sebagai tahun 'raja sehari' dan mungkin ada yang ingin tukar kereta baru menggantikan yang lama. Tahun baru tentulah azam baru.

Apapun setiap tahun muncul impian dan azam-azam yang berbeza mengikut individu. Persoalanya, sudahkah anda menilai diri bagi tahun yang sudah berlalu ini? Tercapaikah semua azam dan cita-cita yang anda azamkan pada awal tahun 2006 lalu? Atau adakah azam di tahun 2006 masih lagi sama dengan azam 2007? Ternyata saya tidak mampu menjawabnya.

Tepuk dada tanya diri.

Saya teringat pesanan Syeikh Ahmed Deedat dalam sebuah rencana biografinya. Apabila ditanya tentang rahsia kejayaan dan keberaniannya, beliau menjawab:

"Ballighu 'anni walau aayah"
(Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat) -riwayat Bukhari-

Menurut Ahmed, hadith inilah yang telah menjadi kunci bagi dirinya dan memberi kekuatan yang luar biasa terhadap usaha dakwah yang dilakukan.

Hadith ini sebenarnya memberikan suatu impak yang positif jika dilihat dari sudut pengaplikasiannya. Teorinya mudah. Siapa yang mengajarkan ilmu pada orang lain, bukan ilmunya akan berkurang malah ilmunya akan bertambah dan penguasaan tentang apa yang diajar itu akan lebih dirasai oleh yang mengajarnya dengan rahmat Allah S.W.T.

Ilmu itu adalah hak Allah, bukan kepunyaan manusia. Kadang-kala kita diberi ilmu dan kadang-kala ilmu kita itu ditarik. Itu semua adalah dari kehendakNya jua. Kalau diberi sesuatu, maka bersyukurlah dan gunakannya pada jalan yang sebaiknya. Walhal jika pemberian itu ditarik semula, maka koreksi dan nilailah semula diri anda. Mungkin ada sesuatu kealphaan yang kita lakukan ataupun mungkin ia digunakan pada tempat yang tidak selayaknya.

Saya secara peribadi memang memegang dan mengakui pada teori hadith itu sejak dahulu lagi kerana hasil dan kesannya memang jelas dapat dirasakan. Anda bagaimana???

*/ Kullu sanah wa antum bikhair...

Saturday, December 30, 2006

Akhbar

Klik keratan akhbar untuk dibesarkan...

Ibu saya mengirimkan keratan ini semalam...

Asalnya saya tidak yakin surat ini keluar kerana orang-orang akhbar dikatakan menyebelahi 'tok peti' itu. Tetapi apa pun saya gembira kerana seluruh Malaysia membacanya. Bukan sekadar dibaca, tetapi saya berharap masyarakat dapat berfikir dalang di sebalik segala kekeliruan yang timbul.

Pada 29 Disember 06, dalam akhbar Berita Harian juga, saya dikejutkan dengan seorang mahasiswa Universiti Malaya yang membalas hujah saya. Saya tidak sedikit pun terkilan dan tercabar, malah gembira kerana tulisan saya menjadi perhatian seriusnya.

Untuk membaca maklum balasnya sila klik sini

Untuk Mohd Naqiuddin Husri, terima kasih diatas respon anda. Terus terang saya tidak ingin pun membalasnya semula di akhbar atas perkara sekecil ini. Dan saya begitu yakin anda adalah pembela kuat mufti (kiblat dan dewa orang-orang wahhabi di Malaysia) tersebut.

Saya hanya ada beberapa nasihat untuk Mohd Naqiuddin Husri. Kalau dia tidak singgah di blog saya sekalipun, saya berharap agar yang mengenalinya menyampaikan nasihat ini buatnya.

Nasihat dari saya yang tidak berilmu ini :

"Bukan semua orang cerdik dan pandai seperti anda. Anda boleh yakin yang masyarakat tidak keliru. Tetapi itu hanya di atas pemerhatian anda. Keluarlah pada masyarakat dan bercampurlah dengan mereka. Kenalilah mereka kerana tidak semua terdidik dengan agama hatta ada insan muslim yang tidak pernah dan tahu sembahyang sejak lahir.

Kita manusia bermacam-macam peringkat. Tidak semua cerdik dan bijak seperti anda. Akhbar boleh untuk membincangkan secara terbuka tentang pelbagai 'illah' untuk mensabitkan sesuatu hukum. Tetapi sayangnya ada diantara masyarakat kita yang tidak tahu lansung apa itu maksud 'illah'. Justeru, untuk membincangkan kaedah fiqh dan usulnya tidaklah sesuai di khalayak ramai. Biarlah mereka yang arif sahaja membincangkannya.

Kefahaman agama itu sebaiknya dipelajari berperingkat-peringkat, bukan terus di tahap yang tinggi. Logikkah seseorang untuk mengikuti perbahasan ilmiah berkenaan trigonometri diantara sekumpulan jurutera, sedangkan dia tidak tahu lansung apa itu sinus, kosinus, tangen apatah lagi dengan kotangen, fungsi arccot dan formula carnot. Malangnya insan itu kerana akan terlopong bingung...!!!

Ingat, bukan semua orang yang membaca akhbar 'bijak' dan 'cerdik' seperti anda...!!! "

* P/s : Jika inginkan ilmu, anda boleh turut serta dengan 'Imam' Asri kamu itu dalam majlis mufti nanti...

Sunday, December 24, 2006

The Wahabi's Code (2)

(Siri Penyiasatan 2)

- Membongkar rahsia di sebalik gerakan militan tabdi' semasa... -

Soalan : Darul Sunnah, apakah itu?
Jawapan : Laqab (gelaran) bagi sebuah negeri bermanhaj Salafi.

Soalan : Habis negeri lain bukan Sunnah? mereka negeri apa? Darul Bid'ah?
Jawapan : Entahlah... tetapi saya datang dari negeri Darul Bid'ah Hasanah.

Darul Sunnah

Pertama kali saya melihat tajuk utama di kulit depan Majalah I baru-baru ini, saya tersenyum lebar. Dalam fikiran nakal saya berbunyi "tak habis-habis lagi tentera militan ini melakukan keganasan minda umat Islam di Malaysia".

Saya bingung dan geleng kepala.

Belum habis lagi sikap ta'sub membid'ah masyarakat dan ta'sub neo-asrisme, mereka muncul lagi dengan gagasan as-Sunnah kononnya sebagai alternatif baru kepada aliran tradisional yang sudah lapuk dan diselimuti dengan lihaf (selimut) kebid'ahan.

Saya hairan mengapa manhaj as-Sunnah yang digelarkannya?


Kod Pertama Terbongkar

Masyarakat di Malaysia yang kurang ilmu agamanya pasti mudah sekali terpedaya dan tertewas dengan helah ini. Orang-orang ini begitu cekap dengan meng'kambing hitam'kan perkataan 'as-Sunnah' untuk mengaburi mata masyarakat terhadap fahaman mereka.

Untuk pengetahuan anda, militan ini telah meletakkan topeng 'as-Sunnah' pada wajah 'al-Wahhabiah' mereka...!!!

Saya hairan. Mengapa perlunya bertopeng-topeng dengan nama as-Sunnah itu? Mengapa tidak sebutkan sahaja yang mereka bermanhaj Salaf? Bukankah itu lebih baik, amanah dan lebih jujur? Atau mereka takut bila disebut 'Salaf' masyarakat akan menggelarkan mereka 'Wahhabi' lantas menggunakan perkataan as-Sunnah sebagai topeng?

Sebetulnya saya tidak bersetuju dengan penggunaan nama as-Sunnah ini, sama ada mereka gunakan dalam 'retorik' manhaj mereka mahupun pada nama negeri mereka, walaupun kelihatan 'islamic'...

Pertama. Bilamana mereka mempergunakan nama 'as-Sunnah', maka sudah pasti masyarakat umumnya akan menganggap manhaj mereka inilah yang benar, yang paling betul dan yang mesti mereka ikuti. Sikap sebegini lazimnya menjadi pakaian bagi ummat Islam yang kurang pengetahuannya dalam agama, ataupun yang baru masuk Islam, atau juga yang terkesan dengan bangkitnya polemik manhaj ini dalam masyarakat.

Hakikatnya penggunaan perkataan ini seolah-olah menggambarkan bahawa aliran tradisional berasaskan pondok yang menjadi tunjang utama kepercayaan di negara ini telah terpesong, kotor, dan dicampuri bid'ah berdasarkan fahaman mereka yang sempit dalam masalah khilafiyah (berbeza pendapat) dan furu' (cabang).

Sebenarnya tidak perlu dan bukan kerja saya untuk membahaskan panjang lebar tentang dalil-dalil tersebut. Saya pasti mereka akan membalasnya (dengan alasan kononnya pendapat mereka yang terbaik). Anda boleh merujuk dalil-dalil ini dibeberapa forum dan blog-blog berunsur agama. (search jer kt google...)

Kedua. Berdasarkan pemahaman mereka sempit juga, mereka seolah-olah menolak dan menidakkan aliran tradisional ini dengan melemparkan tuduhan 'tidak Sunnah' terhadap aliran tradisional. Dalam ilmu mantiq, keadaan ini disebut 'naqidul qadiyyah'. Bila mana orang itu meletakkan bahawa dirinya yang Sunnah secara automatik menidakkan ke'Sunnah'an (membid'ahkan) yang lain.

Perlu diketahui bahawa Sunnah secara ringkasnya adalah apa yang bibawa dan diajar oleh Baginda S.A.W terhadap ummatnya. Oleh itu tuduhan 'tidah Sunnah' terhadap aliran tradisional telah menyebabkan masyarakat merasa sangsi dengan aliran 'lama' ini seolah-olah ianya tidak seperti yang dibawa oleh Baginda S.A.W.

Saya yakin masyarakat yang kurang berpengetahuan dalam agama pasti terpusing dengan kaedah berlawanan (naqidh) ini hanya kerana meng'kambing hitam'kan perkataan as-Sunnah pada manhaj mereka.

Ketiga. Saya khuatir kalau-kalau nama as-Sunnah ini menjadi bahan ejekan mesyarakat suatu hari nanti. Seperti apabila berlaku sesuatu perkara yang buruk pada negeri yang menggelarkan diri mereka sebagai Darul Sunnah. Sebagai contoh, bila sahaja berlaku kadar kenaikan kes jenayah atau rogol dan sebagainya di negeri itu, akan ada ahli politik atau media massa yang akan mudah menyindir dan mengejek perkataan as-Sunnah.

Contohnya, seseorang berkata "nama saja as-Sunnah tetapi jenayah tetap bertambah, adakah itu yang dibawa Islam dan Sunnah Nabi kamu?".

Saya yakin senario seperti ini bisa sahaja berlaku. Di Turki masyarakat mereka tidak mahu menamakan anak mereka dengan nama 'Muhammad', malah diletakkan dengan nama 'Mehmet'. Bukan kerana mereka pelat atau sekular tetapi mereka mengkhususkan nama Muhammad hanyalah untuk Baginda S.A.W sahaja supaya jangan ada nanti yang mengatakan "Muhammad itu pencuri" semata-mata kerana budak yang mencuri namanya Muhammad...!!!

Kesimpulannya adalah mereka meletakkan nama as-Sunnah bukan pada tempat yang sewajarnya. Menutup nama Salafi dan Wahhabi dengan nama as-Sunnah adalah kod yang berjaya saya bongkar dalam entri kali ini. Kalau anda memuji Dan Brown memecahkan kod Priory of Sion (PS) dalam agama Kristian, mengapa anda perlu menghalang saya memecahkan rahsia dan kod skuad militan tabdi' yang membuak-buak naiknya di Malaysia.

*/ Perlu diingat membid'ahkan dan mengkafirkan orang lain bukan ciri-ciri salafus salih...!!!

Tuesday, December 19, 2006

The Wahabi's Code (1)

(Siri Penyiasatan 1)

- Membongkar rahsia di sebalik gerakan militan tabdi' semasa... -

Soalan : Adakah perlu saya menulis tentang perkara ini di dalam blog saya?
Jawapan : Ya, kerana ini blog milik saya.

Soalan : Pastikah nanti ada yang terasa?
Jawapan : Mungkin juga...

Soalan : Tidak takut mereka menghentam semula?
Jawapan : Silakan... saya ok jer...!!!

Mufti Muda

Tahniah alu-aluan saya ucapkan kepada mufti muda kita di atas perlantikannya sebagai mufti rasmi kerajaan negeri 'di hujung sana'. Yang terus menjadi persoalan dalam benak saya ini sejak dari perlantikannya adalah persoalan untuk menteri besarnya :

"Sudah tidak ada calon lain? Adakah si 'dia' yang paling layak dalam berjuta pemimpin agama di Malaysia? Ataukah sekadar untuk test market / power? Ulama'-ulama' kelahiran negeri itu di mana? Adakah semua sudah berkahwin 2,3,4 dan tak layak menjadi mufti? Ataupun orang 'lama' dilihat sebagai tidak berguna (useless), lantas menaikkan orang muda yang se'kepala'?

Terus terang saya katakan bahawa jawapan tentang persoalan itu tiada dalam benak saya. Maklumlah orang 'lama' ini pengalamannya lebih luas, tidak terburu-buru dalam tindakannya, akal dan pemikirannya matang, pengalaman banyak mengajar mereka, dan kata-kata mereka lebih berhikmah.


Tengok sahajalah cara berfikir orang-orang tua Melayu. Mereka bukan 'sengal' untuk tidak memberi anak cucu membuka payung di dalam rumah dengan alasan nanti dimasuk ular. Hikmahnya supaya nanti bucu besi payung tidak memudaratkan orang di dalam rumah. Cukup cantik. Anda hanya mengikuti kata-kata semasa kecil kerana takutkan ular dan apabila anda dewasa anda akan berkata "oh patut la emak aku tak bagi main payung dalam rumah dulu".

Waqie'nya sama sahaja dengan menyabung kaki, bersiul, menyanyi sambil masak, dan wanita bangun tidur lambat . Semuanya dinasihati dengan hikmah kerana kita tidak pandai berfikir dan cara itulah yang terbaik untuk menasihati anak-anak. Begitu cantik mereka memberi nasihat dengan hikmah agar anak-anak mereka jadi manusia yang berhikmah.

Jadi samakah hikmah orang tua dan hikmah orang muda? Anda patut menjawabnya...

Mufti dari segi istilahnya adalah orang yang berfatwa ataupun insan yang bertanggungjawab menaqalkan fatwa-fatwa ulama' terdahulu yang dilihat selari dan bersesuaian denagn waqie' terkini demi kemaslahatan ummah. Dan istilah mufti selama mana saya mengaji ilmu, belum ada lagi ulama-ulama yang mendahulukan syarat PHD ataupun gelaran Dr kepada mereka yang bergelar mufti sebagai syaratnya !!!

Persoalannya, bolehkah bermuftikan orang muda? Jawapannya jelas, boleh.

Pernahkah anda terbayang ulama-ulama yang tua di Malaysia sudah dikebumikan semua, sehingga mana golongan muda 'terpaksa' diangkat menjadi mufti? Adakah mungkin itu yang berlaku di sana (kawasan as-Sunnah digelarnya)???

Bukankah syarat yang diutamakan untuk menjadi mufti adalah yang berilmu. Adakah pula PHD dan Dr merupakan kayu pengukur ilmu?

Nah, saya mengatakan yang lebih ahsan adalah yang lebih ilmunya. Lebih ilmunya itu kerana lebih pengalamannya. Lebih pengalamannya itu kerana lama hidup dan tua umurnya. Belum pernah pun saya terjumpa seorang guru muda lepasan maktab bila minta kerja terus menerus diangkat menjadi guru besar memimpin sekumpulan guru tua.

Sebab itu persoalan saya diawal tadi, sudah tiadakah lagi alim ulama' di Malaysia ini sehingga 'dia' menjadi calon terakhir? Mufti bukanlah atlit renang yang suka-suka boleh dipilih. Mufti adalah tokoh yang menjadi panduan dan rujukan pada masyarakat.


Sekadar gambar hiasan
(tidak mencerminkan pendirian penulis)

Persoalan cemburu atau tidak bukanlah pokok utama saya menulis. Sesungguhnya saya tidak ada bercita-cita pun untuk menjadi mufti apatah lagi menjadi mufti di usia muda. Ditambah lagi dengan bidang syariah dan undang-undang bukan pengkhususan saya.

Kesimpulan apa yang saya tulis ini mudah sahaja. Tidakkah anda terfikir wujudnya ikatan diantara mufti ini denagn menteri besar yang menaikkannya, sehingga orang 'lama' yang lebih layak diketepikan? Adakah mereka mempunyai cita-cita dan propaganda yang sama? Apakah yang sama-sama mereka perjuangkan? Dan apakah sebenarnya ikatan dan persekongkolan yang wujud di antara mereka berdua ini? Siapakah dalang di sebalik fikrah dan hadaf (matlamat) mereka?

Persoalan-persoalan ini saya tinggalkan untuk anda berfikir dan menilainya...!!!

/* Saya tidak menyerang sesiapa... tetapi mengajak pembaca memikirkan tentangnya...
/* Kami dituduh datang dari negeri Darul Bid'ah...!!!

Tuesday, December 05, 2006

The Temporary Stop...

Bismillah.

Writing in the coldness, fever (not at all) and uncomfortable ears are definitely sleepiness. Despite examination is around the corner, the month of December is truly challenging. Oh, what a real Dec.

With the sniper wind whispering every morning in the ground of Zahra', there is no reason to extend my rest. Therefore i should continue my kuliyyah after a week missing it. And 'kerneh' also still in long queue of 'syu'un'. I haven't taking it yet. (Rindu giler woi...)

It is a long time i haven't wrote in English. The environment now needs me to bustle in the middle of plenty arabic books, in fact to concentrate to my 'fasal awal' exam which i have to sit at the end of year 2006 and will be continued in January 2007. I've got seven papers to take for this 'fasal awal' exam so far. Much papers are not the reason. Mind it !...


The schedule for exam was fixed yesterday. It will begin on 26 Dec 06. So the issues of wasting time are not suitable in the time right now. By the way, i have to pay for the great success from now as the arsenal team has to struggle for their EPL and Champion League campaigns... ahaks.... (balik2 arsenal... jawapan: sukati lar)

This is 'fasal awal' schedule for second year students in the Kuliyyah of Usuluddin :

Tuesday (26/12/06) - English
Wednesday (27/12/06) - Mantiq 1 (Logic 1)
Saturday (6/1/07) - Nuzum Islamiyyah (Islamic Regulations and System)
Tuesday (9/1/07) - Tayyarat Fikriyyah (Philosophical Thinking)
Saturday (13/1/07) - Mantiq 2 (Logic 2)
Tuesday (16/1/07) - Ulum Hadith (Studies to Hadith)
Tuesday (23/1/07) - Feqh Muamalat

Pray for me in this coming exam. May Allah give me a successful result. Ameen...

* Take a time for shopping at the end of January.
* Hahaha... ape nak bawak balik untuk org m'sia nanti !!!...