Monday, July 16, 2007

Ole-Ole Dari Pulau Tinggi

(Perjalanan menghabiskan waktu cuti melawat ke Pulau Aur, Pulau Dayang, Pulau Pemanggil dan Pulau Tinggi sangat meninggalkan kenangan manis)


Dari jauh saya perhatikan. Saya fikir inilah kali pertama saya melihat pokok yang punya buah-buah besar berwarna hitam itu. Buah yang aneh, satu pokok sahaja mempunyai berpuluh-puluh buah yang besar dan lebat.


Setelah didekati, rupa-rupanya si 'Kluang Man' ni sedang tidur beramai-ramai. Masakan dapat memetik buah, binatang pula yang dikacipnya. Saya jarang bertemu dengan spesis ini. Kalau kelawar tu boleh kata sudah banyak kali saya tangkap dengan raket badminton. Tetapi kalau kluang ini mahu ditangkap dengan alat yang sama, berlubanglah. Hampir 6-7 kali ganda lebih besar dari kelawar biasa.

Ini ole-ole dari Pulau Tinggi untuk semua....

Thursday, July 12, 2007

Penulis dan Sumber Idea

Oleh : Shaharom TM Sulaiman

Michael Crichton, seorang novelis tersohor yang menulis Jurassic Park pernah ditanya oleh peminatnya: “Dari manakah anda mendapat idea untuk menulis?” Secara bergurau, Crichton menjawab, “Saya mendapat seluruh idea daripada nombor 0800. Anda pun boleh, hanya tinggal menelefon nombor tersebut dan segera anda mendapatkan sejumlah gagasan idea.” Crichton memang hanya bergurau, meskipun hal itu mampu terjadi. Lantaran dia terus menjawab, ”Saya sendiri tidak tahu dari mana idea-idea itu datang”.

Idea memang ajaib, sekali gus bagai misteri. Ia datang secara tiba-tiba entah dari mana;
mungkin dari langit, mungkin dari minda bawah sedar. Boleh pula ia muncul ketika seseorang terlibat dalam percakapan, membaca buku, mendengar bisikan suara, menyaksikan kesesakan lalu lintas, sewaktu makan, minum, dan sebagainya. Dalam kata-kata Crichton, ”Segala-galanya terjadi sekali gus sama ada cerita, latar belakang, watak-watak, dan seterusnya.”

J.K Rowling, seorang penulis yang terkenal dengan siri novel Harry Potter juga mengaku gagasan ideanya tentang tokoh utama dalam novel itu datang secara tiba-tiba. Dalam perjalanan kereta api antara Manchester dan London, tokoh-tokoh, latar cerita, dan bahkan jumlah siri (3
siri) kisah Harry Potter muncul bertubi-tubi dalam benaknya. Dan, boleh jadi ketika turun dari kereta api, Rowling tidak menyangka bahawa Harry Potter bakal ’meletup’ dan digilai ramai.

Namun, apakah idea, jalur fikiran, dan latar cerita, benar-benar muncul tiba-tiba? Penulis percaya semua itu datang melalui pengalaman, pengetahuan dan fikiran yang tersimpan lama, dan kemudian meletup ke permukaan manakala ’tersentuh’ atau termotivasi oleh ’sesuatu’ yang lain seperti: buku, peristiwa, idea yang lain, percakapan dan sebagainya. Tanpa
’penyimpanan’ lama, tidak akan terjadi ’ledakan tenaga’ yang begitu dahsyat seperti dalam Jurassic Park, Harry Potter, Bumi Manusia, The Firm ataupun Imam.

Menulis melepaskan tenaga atau energi, tidak hairanlah suatu hasil penyelidikan menunjukkan bahawa menulis merupakan kegiatan positif yang mampu mengurangkan stres seseorang. Karya penulisan yang hebat merupakan buah pelepasan energi yang dahsyat. Tidak akan ada yang ditulis jika tidak ada yang dibaca. Sama seperti tidak akan ada darah yang mengalir ke seluruh tubuh jika tidak ada makanan dan minuman yang masuk dan dicerna oleh usus.


Crichto
n mengucapkan hal yang sama, terutama melalui pembacaan, ketika ditanya bagaimana dia mendapatkan maklumat teknik untuk menciptakan kisah-kisah tentang DNA dinosaur, perjalanan menembus waktu mahupun rekayasa genetik. Tentu sekali kesemua hal ini dibantu oleh bakat dan imaginasi Crichton. Penulis percaya membaca dalam pengertian teks dan mengeja kata-kata laksana sejenis ’bahan bakar’ yang sekali gus peransang imaginasi, emosi dan fikiran.

Saling mempengaruhi antara idea, sebagai kesan kegiatan membaca, merupakan hal yang jamak (pelbagai). Gagasan idea yang asli sekalipun nescaya tidak akan terlepas daripada dialetika antara gagasan yang telah wujud. ”Kita ini berdiri di atas pundak-pundak raksasa terdahulu,” kata orang bijak. Namun begitu, sentiasa sahaja ada ruang, ceruk, dan celah-celah di mana ’keaslian’ gagasan masih dapat ditemukan. Idea dan keasliannya merupakan tema besar yang tidak unjung padam diperbincangkan. Ketika Albert Einstein ’menemukan’ Teori Relativiti, beliau telah membaca karya-karya sebelumnya, paling tidak beliau tentu memahami idea, umpamanya idea-idea Issac Newton. Tatkala membaca ’teori umun relativiti’ Einstein, tentu kita menemukan sesuatu yang baru yang berbeza daripada Newton.

Oleh itu segala buku, isi cerita, pelbagai tulisan dan percakapan merupakan idea bagi ’isu pokok’. Tanpa idea, kesemuanya absurd belaka. Dan, idea berkembang manakala imaginasi tidak dibatasi. Pada masa yang sama, teks hanyalah alat untuk menyampaikan idea. Tanpa idea, teks hanyalah rangkaian huruf semata-mata. Dan, tanpa teks atau simbol, idea mungkin kehilangan makna.

Friday, July 06, 2007

My Syndrome

(Iklan)

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim...

Saya merasmikan laman fotopages peribadi di - http://tapioka.fotopages.com


Thursday, July 05, 2007

Optimus Prime

Seperti taufan. Hari ini betul-betul hari yang gembira tetapi menduga. Selepas solat subuh, tiba-tiba pemikiran saya seperti mahu kembali ke 15 tahun yang lalu. Saya bersiap-siap dengan pakaian dan beg mahu ke Batu Pahat. Sudah lama tidak ke sana.

Jika di rumah Zahra’, ketuk sahaja pintu bilik sebelah dan sebut filem terbaru apa yang anda mahukan. Selepas beberapa jam, anda sudah boleh menonton beramai-ramai di hadapan desktop. Berbanding di Malaysia, orang yang tidak mempunyai akaun torrent seperti saya ini amat sukar untuk menyedut, apatah lagi melihat senarai cerita yang terbaru.

Sebetulnya, saya pada hari ini telah menghabiskan lapan jam perg
i dan balik dari Mersing ke Batu Pahat dengan menaiki bas sangkut-sangkut hanya kerana mahu menonton cerita kegemaran saya pada 15 tahun yang lalu, Transfomers. Dan pada akhirnya, hasil menjadi tidak berbaloi kerana saya terlambat hanya 10 minit selepas tayangan bermula, dan menyebabkan saya menukar pelan terus ke kedai buku.

Di dalam hati kecil saya, tidak ada orang lain lagi yang layak untuk saya salahkan melainkan apek pemandu bas Johore Motor dari Kluang ke Batu Pahat itu. Sepanjang dua jam perjalanan (sepatutnya boleh menjadi satu jam), saya tidak memikirkan yang lain melainkan tentang falsafah apek tua ini dalam memandu bas. Cukup lambat dan memang menyakitkan. Saya fikir kelajuannya hanya dalam sekitar 25-40 kmj.


Walaupun begitu, Tuhan menyelamatkan saya kerana walaupun tidak dapat menon
ton, sejurus kemudian di kedai DVD, sudah keluar cetakan filem Transfomers walaupun dengan punyai kualiti gambar yang agak ’ceroi’ dan membosankan.

Pun begitu, keterlambatan itu sebenarnya membawa saya berjumpa dengan empat orang rakan lama, di berlainan tempat, yang hampir 2-3 tahun tidak bertemu, malah saya seakan-akan tidak percaya pertemuan ini menjadi sebuah kebetulan buat kami. Sungguh tidak percaya, kerana ia seperti seakan-akan dirancang oleh konduktor masa.

Maka, pemergian saya ke Batu Pahat kali ini sekadar beromong kosong dengan rakan-rakan lama, dan selebihnya saya ke kedai buku memborong novel-novel terbaru yang belum lagi dimiliki. Antaranya, Memeluk Gerhana (Isa Kamari), Bila Tuhan Berbicara (Faisal Tehrani), Ayat-ayat Cinta & Pudarnya Pesona Cleopatra (Habiburrahman El-Shirazy) dan Sangeetha (Azizi Hj Abdullah)

*/ Teramatlah letih....

HHhaisudbaidbfcobqbM Z

Wednesday, June 27, 2007

Bukan Ayat Lelucon

Ibu mentertawakan saya ketika mana saya mengatakan bahawa orang perempuan yang tua dan belum berpasangan harus menca lelaki-lelaki muda sebagai pasangan. Argumen yang saya berikan adalah, lelaki-lelaki muda lazimnya kuat-kuat dan bertenaga. Makcik-makcik dan nenek saya hampir terlekek-lekek ketawa.

Salahkah apa yang saya katakan? Atau berlaku di situ beberapa ’falasi’
terhadap apa yang saya sebutkan? Mungkin juga falasi yang berlaku adalah disebabkan oleh tahap umur mereka yang terlalu tinggi, sehingga apa yang mereka fikirkan lebih jauh dari apa yang saya fikirkan, melangkaui segala jenis kekuatan dan tenaga yang ada pada laki-laki muda.

O
rang-orang tua dahulu kala ada berkata bahawa tahap umur manusia yang paling kritikal sekali adalah sekitar umur 15-20 tahun. Kalau zaman ’tok kaduk’ dahulu, umur itu lazimnya sudah memangku seorang anak, tetapi hari ini umur muda setaraf itu masih lagi terpaksa ke sekolah, menuntut ilmu, bertahan nafsu, malah ada sebahagiannya menghabiskan masa di pusat permainan video.

Oleh itu, maka tidak hairanlah mengapa Tun Syed Nasir didalam amanatnya berkata:


”Saya sendiri dan kawan-kawan saya yang sebaya umurnya dengan saya sudah pu
n melalui zaman-zaman tersebut dan berpengalaman menghadapi cabaran zaman itu. Pengalaman-pengalaman itu dirasai benar bahawa zaman itu adalah amat penting kerana ia boleh menjadi sebab bagi sesiapa sahaja sama ada ia hidup berjaya atau kecewa di masa dewasanya atau tuanya. Hal ini bergantung kepada sejauh mana seseorang itu dapat menguasai dirinya ketika berada dalam lingkungan umur tersebut (15-20 tahun)”

Dalam usia mudalah waktu pertum
buhan pemikiran seseorang manusia berkembang dengan pesatnya. Sebab itu tidak hairan jika di sekolah-sekolah menengah, tingkatan yang paling kerap ’buat hal’ dalam sekolah kebanyakannya adalah terdiri dari pelajar-pelajar tingkatan 3. Tingkatan umur ini dirasakan begitu ke’abang’an dan ke’akak’an sehingga sudah berani panjat pagar dan layak mengurat anak dara orang.

Waktu semuda ini adalah waktu yang paling segar sekali, semangat inquiry begitu mendesak di dalam minda dan sanubari. Sehinggakan inquiry ini yang sepatutnya berlaku dalam pencernaan ilmu remaja sering disalahgunakan oleh individu berumur tersebut untuk mencuba-cuba gam tikus mana yang paling ’syok’, dan pil jenis apa yang paling ’mamai’ sekali untuk dibuat ujikaji.


Ya, per
ihal hari depannya bergantung lansung pada sejauh mana dia dapat menguasai dirinya ketika berada dalam lingkungan umur 15-20. Walaupun bukan menjadi prasyarat bagi kejayaan hari tua, tetapi ia ibarat tebing gunung yang dilalui oleh para pendaki. Jika para pendaki terdedah dengan tebing yang curam, dan selamat sampai ke atas, maka halnya mereka itu mendapat pengalaman dan cabaran yang lebih berbanding si pendaki yang melalui tebing yang sedikit mendatar dan kurang kepayahannya.

Ditahap umur ini, manusia mudah terpengaruh dan akalnya mudah ditewaskan. Sebab itu tak
ramai wanita yang mengandung luar nikah berumur 30 tahun keatas. Kalau sekiranya adapun, maka itu adalah syaitan betina yang masih hidup lagi di permukaan planet bumi ini. Akal remaja ketika ini mentah, kelat dan belum matang. Syaitan mudah menjengah lantas mengetuk pintu hati dan nafsunya untuk melakukan kemungkaran.

Walaupun mengalami pertumbuhan yang pesat dan janaan struktur IQ yang tertekan tinggi, namun me
reka masih kurang janaan EQ. Pengalaman mereka kurang lantas kecundang seperti mana halnya anak-anak muda yang mencipta mercun buatan sendiri ketika musim perayaan. Alhamdulillah, teknik dan kreativiti dalam mencipta mercun memang dialu-alukan kementerian pertahanan dengan harapan prototaip itu boleh diselenggara dalam membikin bom. Tetapi akhirnya ke kamar hospital juga gara-gara akal dan pengalaman yang masih mentah.

Ini semua adalah contoh mudah bagaimana usia remaja sekitar umur ini harus diberi perhatian dengan begitu kritikal.

Begitu pun Islam sudah merangka cara didikan anak-anak dalam jangka umur seawal yang mungkin. Seperti mana Nabi s.a.w mengajar ibu bapa supaya menyuruh anak-anak mereka bersolat seawal umur tujuh tahun, dan memerintahkan agar dipukul jika anak itu enggan bersolat setelah menjangkaui umur 10 tahun. Bukan menafikan hak untuk anak-anak bermain bola lisut di petang hari, tetapi ia menjadi tanggungjawab yang selayaknya untuk para ibu bapa lakukan setelah dianugerahkan dengan rezeki kurniaan Tuhan.

Maka itu, peranan keluarga amat penting dalam proses tarbiyah anak-anak. Umur muda mereka patut dimanfaatkan dengan serapan islamisasi dan juga proses memantapkan jiwa dan minda anak-anak dengan kekuatan setaraf dengan umur mereka. Malah PS2 dan buku mewarna perlu
dijadikan perkara nombor dua selepas diajarkan mereka mengenai cara menyebut huruf-huruf al-Quran.

Ba
hkan suatu keluarga yang berjaya yang dapat menghasilkan anak-anak yang bertuah adalah keluarga yang dapat menguasai anak-anak mereka terutama ketika anak-anak itu berada di dalam peringkat umur tadi. Pada peringkat itulah anak-anak dikatakan murahaqah (iaitu yang baru sahaja akil baligh menurut istilah ilmu feqh). Sebagai orang yang baru, maka sudah tentu jiwa dan fikirannya sentiasa dilambung ombak atau terapung-apung seperti awan kerana ingin mencari tempat pergantungan yang lebih sempurna bagi masa depan mereka.

Dengan ibu bapa yang sibuk dengan urus niaga lantas melupakan perihal anak-anak mereka, akan menjadikan setiap apa yang difikirkan oleh para pemikir suatu kerja yang gila dan sia-sia.


*/ Hanya mampu buat bunga pot puri... huhuhu

Friday, June 22, 2007

Bau Nasi Minyak...

(Ini perlakuan gusar)
"dia kembali lagi"...


Aku pulang kerana seruan,
oh, tidak... ini adalah tanggungjawab yang teramatlah berat,
aku penuhinya dengan nada kecemasan,
kerana seorang jurufoto amat diperlukan...


*/ Selamat menjamu selera...

Thursday, June 21, 2007

Bila Gerhana


Mengapa tatkala matahari mucul
bulan hilang takkan bersama
mengapa tika sabit malam tersenyum
mentari berlari-lari jauh darinya
mereka tidak akan mampu bersama-sama
kerana gelap gelita tidak akan bererti jika hadirnya cahaya
kerana siang terasa malu apabila gelap mendahuluinya

Kecuali bila ditakdirkan ia gerhana
dua ini akan saling bersembunyi
ketika itu langit bumi kelam dan suram
seakan-akan cahaya Islam yang sedang gerhana
nyawa-nyawa bercahaya yang dicantas-cantas
lemah dan ditindas bayang-bayang bulan
setelah lama ia terang menerik di suffah Madinah,
dan dilorong kecil kota Baghdad, dilantai masjid Kufah,
dibutiran pasir Mesir dan digerbang Andalusia
cahayanya kini gerhana

aku berbaring di atas padang lalang ini
sambil kornea mata memerhati gerhana
menantikan bilakah bulan akan pergi
dan menghitung bila cahaya mentari akan muncul kembali
kerana saudara-saudaraku
sudah tidak tertahan lagi dengan ujian ini...

*/ Saya karang khas untuk Sukej 111 yang akan keluar tak lama lagi....

Monday, June 18, 2007

Menghormati Buku Untuk Barakah Ilmu

Oleh: Shaharom TM Sulaiman

CUBALAH anda tengok sejenak almari atau rak buku di rumah anda? Bagaimana anda menyusun buku di rak atau di almari? Apakah anda menyusun mengikut sesuka hati? Atau anda menyusun mengikut peraturan atau sistem tertentu yang memudahkan anda untuk mengesan dan mendapatkan buku yang disusun itu?

Sekiranya koleksi buku anda masih kecil, anda tidak akan menghadapi masalahnya, tetapi kalau koleksi buku anda cukup 'besar' seperti yang sering terjadi kepada pencinta buku atau 'ulat buku', anda akan menghadapi masalah yang besar. Lebih canggih lagi, anda menyusun buku berdasarkan sistem klasifikasi tertentu Klasifikasi Desimal Dewey (DDC).

DDC adalah sistem utama pengelasan buku yang digunakan oleh perpustakaan-perpustakaan di seluruh dunia, yang dikembangkan pada tahun 1873 oleh Melville Dewey, seorang perpustakawan dari Amerika dan diterapkan untuk pertama kalinya di Kolej Amherst.

Sekiranya anda tidak berdasarkan sistem klasifikasi tertentu, anda perlu mempunyai `sistem anda' sendiri yang sistematik yang dalam masa jangka panjang tidak akan menyusahkan anda khususnya bila koleksi perpustakaan peribadi atau perpustakaan rumah semakin membesar.

Keperluan pada sistem klasifikasi yang piawai sebenarnya merupakan satu adab untuk menjaga dan menghormati buku. Dalam sejarah tradisi ilmu silam, sama ada Islam, Yunani, China, terdapat tradisi adab menghormati buku.

Dalam tradisi-tradisi ini, kita diajar adab menghormati ilmuwan, orang bijak pandai, alim ulama dan secara logiknya ia juga menggambarkan akan perlunya penghormatan pada buku.

Buku dihormati bukan kerana fizikalnya tetapi isi dalamannya yang mencerdaskan umat manusia. Tidak hairanlah dalam tradisi ilmu Islam, adab menjaga dan menghormati buku amat ditekankan.

Mungkin ada baiknya kita mendengar saranan Musa Al-Almawi (meninggal 1573) sepertimana yang dikutip oleh Franz Rosenthal dalam buku klasiknya The Techniques and Approach of Muslim Scholarship (1947) (Teknik dan Pendekatan Keilmuwan Islam) :

"Buku-buku harus disusun menurut subjeknya dan buku yang paling penting, harus ditempatkan paling atas. Susunan berikut harus dipatuh, pertama, adalah al-Quran, lalu kitab hadis, selanjutnya tafsir al-Quran, berikutnya komentar terhadap kitab hadis, diikuti kitab-kitab usuluddin, kitab fekah dan seterusnya buku-buku tata bahasa, puisi dan ilmu-ilmu yang lain''.

Ibn Jamaah pula menambahkan saranan yang lebih terperinci, "Jika ada dua buah buku tentang subjek yang sama, maka buku yang lebih banyak mengandungi kajian al-Quran atau hadis hendaklah di tempatkan di atas.

Jika dalam hal ini keduanya sama, maka tingkat pentingnya pengarang yang lebih tua umurnya dan lebih dicari ilmunya di tempat lebih atas. Kalaupun dalam hal ini keduanya sama, maka buku yang lebih benar penulisannya harus di tempatkan di atas.''

Ibn Jamaah seterusnya menambah lagi. "Buku-buku berukuran besar hendaknya tidak diletakkan di atas buku-buku berukuran kecil, agar tumpukan buku tidak sering roboh. Judul buku hendaklah ditulis pada pinggir luarnya. Sebuah daftar judul bab harus ditulis dalam sampul yang berhadapan dengan lidah jilidan. Jika tidak, maka penulisan daftar tersebut akan terbalik.''

Begitulah perkara tempat-menempatkan buku di dalam rak atau almari ternyata tidak luput daripada perhatian para sarjana Muslim zaman silam. Bukan hanya itu, urusan 'remeh-temeh' pun juga dibahas, seperti bagaimana meraut hujung pena agar tulisan menjadi lebih baik. Tidak perlu hairan sebab dalam tradisi Islam, buku memang menjadi alat utama penyebaran ilmu pengetahuan.

Mari kita perdengarkan lagi beberapa nasihat Musa Al-Almawi, "Buku tidak boleh dijadikan tempat menyimpan lembaran-lembaran kertas atau benda-benda lain yang serupa. Buku tidak boleh dijadikan bantal (rupanya Al-Almawi telah menjangkakan tabiat buruk sebahagian di antara kita), dijadikan kipas, sandaran punggung atau alas berbaring, atau digunakan untuk membunuh lalat".

Untuk menandakan halaman yang sedang dibaca, pinggir atau sudut halaman buku tidak boleh dilipat. Orang-orang bodoh sering melakukan hal itu (Sekali lagi Al-Almawi sudah menjangka kebiasaan buruk kita). Untuk penanda bacaan harus digunakan selembar kertas atau yang serupa itu, tetapi tidak boleh daripada potongan kayu atau apa pun yang dibuat daripada bahan yang keras.''

Dalam bab mengenai peminjaman buku, Al-Almawi mengatakan buku pinjaman tidak boleh disalin (Baik seluruhnya atau sebahagiannya) tanpa izin daripada pemilik.

Jika sebuah buku telah diwakafkan dan tanpa peraturan-peraturan lebih lanjut, dibiarkan digunakan oleh mereka yang berkepentingan, maka tidak menjadi kesalahan untuk mereka menyalin dengan sepenuhnya.

Begitu juga buku yang dipinjam hendaklah dipulangkan segera sekiranya diperlukan oleh pemilik. Rupanya ulama zaman silam menghadapi masalah besar dalam hal-hal peminjaman buku, tetapi malu untuk memintanya kembali daripada peminjam, sehingga mereka sering menyindir peminjam secara halus khususnya melalui puisi, syair.

Dalam kaitan ini, Al-Almawi pernah membacakan syair berikut:

Wahai engkau yang meminjam buku dariku,
Ingatlah bahawa perlakuanmu terhadap buku pinjaman,
Akan menyenangkan hatiku jika ia juga menyenangkan dirimu sendiri...

Dalam bab penyalinan buku (Ketika itu tiada alat fotokopi), seorang penyalin yang menyalin halaman-halaman daripada sesebuah buku haruslah suci daripada hadas dan menghadap kiblat.

Badan, pakaian, tinta serta kertas yang digunakannya harus bersih. Setiap manuskrip harus bermula dengan Bismillah. Si penyalin harus menambahkan jika pengarang asalnya lupa. Selanjutnya, si penyalin hendaklah menuliskan: "Telah berkata Syaikh'' atau "pengarang mengatakan.'' Selanjutnya dia harus menyalin teks buku sebagaimana yang ditulis oleh pengarangnya.

Setelah ditulis, buku atau jilid buku harus 'ditutup' dengan pujian kepada Allah serta selawat kepada Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya Musa Al-Almawi telah menulis satu bab khusus tentang adab terhadap buku dan fungsinya dalam menyebarkan pengetahuan, dalam bukunya Mu'id fi Adab Al-Mufid wa Al-Mustafid, sepertimana yang dikutip oleh Franz Rosenthal.

Dalam konteks hari ini, khususnya kursus-kursus penulisan, kita terlalu ditekankan dengan tenik-teknik menulis tetapi tidak diajar adab-adab menulis bahkan dalam kursus kepustakawanan sekalipun, kita juga tidak diajar adab menghormati buku.

Kerana itulah, ada sarjana mengatakan kehilangan adab merupakan krisis dalaman manusia moden termasuklah 'orang Islam yang moden'.

Cerita Musa Al-Almawi dan penerangan Ibn Jamaah menunjukkan kepada kita bahawa memang perlu pada tatacara mengenai buku khususnya dalam konteks menjaga dan menghormati buku.

Mungkin hal-hal sebegini sering dilupakan atau dipinggirkan, namun adab menghormati buku mengajar kepada kita bahawa kita perlu sensitif pada soal-soal barakah atau keberkatan ilmu, sesuatu yang sering dilupakan oleh 'orang Islam yang moden'.

*/ Saya ditekan masa untuk menyiapkan SUKEJ...

Wednesday, June 13, 2007

Kasihanku Jahilnya Sedikit

Menidaktamadunkan diri bukan gimik...

Mafhumnya :
Yey, kepala licinku telah berada di muka hadapan koran-koran akhbar. Ya, sungguh ia bukan gimik saya. Cuma aksi dua minit itu mahu saya tunjukkan bahawa saya orang yang bebas. Bebas melakukan apa-apa sahaja, saya tidak hidup dalam peraturan dunia. Dan sebagai pelakon saya perlu melakukan sesuatu bagi memajukan diri dalam kerjaya saya.

Mafhumku :
Uih, gentarnya aku. Cik
Natalie Portman Melayu sudah mahu bawa arus gerakan pemikirannya pada anak-anak muda bangsa Melayu. Maklumlah orang dah tak reti cakap Melayu! Kini mahu mengajar pula anak-anak Melayu tentang cara hidup?

Tapi syukur hatiku ini tak selalu berperasangka buruk yang bukan-bukan pada makhluk yang bergelar insan. Mungkin diri kerdilnya itu berhajat mahu mengajar anak-anak kita nanti cara dandanan rambut yang paling berkesan dan memudahkan urusan. Atau juga, dia mungkin sekadar mahu mendidik manusia
tentang kaifiyat yang paling afdhal bagi tahallul umrah dan haji bagi mereka-mereka yang mengerjakan haji untuk tahun ini dan hadapan.

Mafhumnya lagi :
Oh tidak, itu bukan gimik saya...

Friday, June 08, 2007

Balik Lagi?


Beberapa
hari lalu, saya sempat singgah di sebuah maktabah (kedai buku) dan mencapai beberapa buah buku di atas rak. Saya sekadar ingin mensasar beberapa buah buku untuk dibawa pulang ke Malaysia ketika cuti musim panas nanti. Azamnya agar dapat melangsaikannya sepanjang tempoh bergoyang kaki ketika berada di Malaysia.

Tangan gatal ini asyik menyelak-menyelak beberapa naskhah buku sambil melihat tajuk-tajuk fokusnya dan tuan kedai dari tadi asyik memerhatikan saya. Akhirnya saya terjumpa sebuah buku bertajuk Advocate of Dialogue, tulisan Fethullah Gulen. Saya masih teringat berjumpa dengan buku-buku Mr. Gulen ini ketika berlansungnya Ma’rad Kutub tahun lepas, tetapi tidak bertemu dengan yang ini. Akhirnya ketika ma’rad itu saya hanya membeli The Essential of The Islamic Faith.

Saya menyelak-menyelak beberapa helaiannya dan membaca beberapa buah fragmen serta subtopik, sungguh mengujakan. Terlakar disitu beberapa juzuk penting mengenai dialog dan toleransi yang patut dianjurkan dalam monopoli medan dakwah. Saya mengambilnya dari rak dan terus membayar tanpa ingin bertolak ansur tentang harganya.

Bagi sesetengah negara, saya yakin mereka punya corak dakwahnya yang berlainan antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Di Malaysia, kita jarang untuk mendengar berkaitan dengan perihal dialog antara agama kerana keperluan dakwah tidaklah terlalu mendesak ke arahnya.

Jikalau adapun, ia hanya seruan-seruan menjurus kepada idea perlaksanaan dialog itu, tetapi masyarakat Malaysia jarang-jarang sekali terdedah kepada perkara ini melainkan diantara kalangan ahli-ahli akademik yang sudi untuk berpanas punggung mendengar. Justeru amat jarang sekali untuk menarik dan melibatkan orang-orang awam mengikutinya.

Misi-misi dakwah di Malaysia lazim tertumpu kepada masalah-masalah fikah dan akidah yang disampaikan oleh para pendakwah. Kerana masyarakat muslim di Malaysia umumnya masih lagi haus dari sudut pemantapan pegangan akidah. Mereka tahu mereka itu orang Islam, tetapi sayang sekali amat buta lansung mengenai apa itu Islam, prinsip dan dasarnya.

Ayat yang lebih sesuai untuk menerangkan tentang mereka adalah, mereka ini hanya orang Islam atas tag nama sahaja, tetapi jauh sekali untuk menamakan Islam dalam cara hidup dan tingkah laku kehidupannya. Akidah? Kosong. Fikah? Lagilah jauh. Pendek kata, Islamnya mereka adalah disebabkan dia lahir dari perut seorang perempuan yang bernama Islam, tidak lebih dari itu.

Kalau tidak masakan makcik kampung tu boleh mudah berkata ”kita ada nabi... awak mane ade nabi, kita semua dah dijamin oleh nabi kita untuk masuk syurga” (suara ala-ala kanak-kanak 4 tahun). Itu adalah diantara kata-kata makcik tua pengikut rasul melayu, Si Kahar sesat yang amat hauskan pegangan akidah Islam. Itu baru sedikit yang kita tahu!

Begitulah misi dominan dakwah di Malaysia. Islam sudah ada, tetapi pengikutnya masih kontang pengisiannya.

Adapun di dunia barat dan negara bukan Islam, bentuk dakwahnya amat berbeza. Memerlukan daya tahan jiwa dan kekuatan intelektual, barulah anda mampu untuk survive di sana. Tribulasi terlalu banyak malah sehingga kadang-kala terlalu rigid dan sukar untuk dipertahankan. Anda perlu berhadapan dengan audiens yang rata-ratanya dogmatik dan tentu sekali berpegangan selain daripada Islam. Malah mungkin juga ada dikalangan mereka yang tidak mempercayai agama dan Tuhan.

Di sinilah peluang mereka iaitu para pendakwah di sana menggunakan sebaik mungkin platfom hak kebebasan bersuara dan bertukar-tukar fikiran juga idea. Di sinilah kelebihan dialog antara agama yang boleh diguna pakai. Dialog disisi mereka begitu teramat penting yang menjadi asas dalam membawa mesej Islam ke barat.

Justeru, dengan hanya bermodalkan seorang pendakwah, anda mungkin sekali boleh melakukan islamisasi dikalangan berjuta-juta manusia yang tidak tahu lansung tentang agama. Sebab itu, dialog ini begitu amat ditekankan di sana untuk menjentik fikiran masyarakat di sana yang hampir majoritinya gemarkan hujah secara intelektual. Anda mampu menang di sana jika hikmah kena pada tempatnya.

Hal ini sama juga berlaku dalam kehidupan Gulen. Beliau berhadapan dengan sirkit sekularisme yang melampau di Turki. Sekularisme telah menyebabkan rakyat negara tersebut seperti tidak beragama walaupun rata-rata antara mereka beragama Islam. Sekularisme yang telah membunuh lencana agama Islam di negara Daulah Uthmaniyah itu, malah hampir menukarnya seakan-akan negara bukan Islam.

Bagi peminat-peminat tulisan pemikir dan pendakwah kelahiran Erzurum, Turki ini, anda tidak harus untuk terlupa dari membelinya. Bagi para pendakwah yang mahu cuba-cuba mengambil tahu gerakan dakwah di Turki khasnya dan secara global umumnya. Anda harus mendapatkan naskhah ini.

Apa yang menariknya, Gulen tidak pernah lupa untuk membawa mesej sufism yang digambarkan sebagai ’Teacher of Minds and Hearts’. Beliau begitu menegaskan betapa pentingnya nilai kesufian dalam kehidupan seorang Muslim dan beliau tidak lupa juga untuk membawa nilai dari Risale-i Nur, karya Badiuzzaman Said Nursi, dan konsep cinta yang dibawa Mawlana Jalaluddin ar-Rumi.

Buku Advocate of Dialogue setebal 380 muka adalah naskhah yang setiap para pendakwah harus miliki. Ini adalah sebahagian dari promosi-promosi luar. Sungguh, saya tidak ambil sedikit pun komisien untuk promosi buku ini dari syarikat Fountain. Jom, siapa yang mahu bersama saya untuk melangsaikannya sepanjang cuti musim panas ini!

Friday, June 01, 2007

Mencari Matahari

(Edisi Khas)

”Kalau semua manusia ma
hu jadi matahari, maka bumi akan menjadi sunyi dek kerana bosan yang amat kritikal. Malam tak akan muncul lagi, sebab bulan sudah melepaskan jawatan pentingnya. Angin pun sudah malas untuk bertiup, sebab manusia sudah tidak lagi mahu menilainya. Ianya berlaku kerana semua manusia mahu menjadi matahari. Dan dunia bukan lagi sesuatu yang boleh dikongsi”...

Allah s.w.t menyebut dalam kitabNya :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

(Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir) Ar-Ruum : 21

Ini adalah merupakan entri ucapan personal buat saudara lelaki @ abang kandung sendiri. Selamat mendirikan rumah tangga untuk kali pertama (moga tak ada yang keduanya) dengan pilihan hati orang Johor Bharu.

Dengan berlansungnya akad pernikahan pasangan muda ini, maka tugasku menjadi semakin lebih mudah untuk menghantar ’proposal’ bagi projek mesjid yang seterusnya kepada kedua orang tua. Semalam dia memberitahu aku betapa gementarnya detik-detik sebelum menghadapi hari pernikahan. Aku kata, tenang-tenang sahaja. Semua manusia pun akan menghadapi perihal yang sama.

Perkahwinan eksklusif memang lazimnya mencabar jiwa. Tanggungjawab pun lebih besar dan nilai kasih sayang harus menjadi pokok utama. Bila berbicara tentang ini, terfikir juga bagaimana untuk mencorak sebuah keluarga yang ideal. Dalam The Republic, Plato sering membawa bicara Socrates dan murid-muridnya berkaitan dengan sebuah nusa kerajaan yang ideal.

Namun Plato perlu sedar bahawa nilai sesebuah pemerintahan yang ideal itu berkait rapat dengan aspek nilai sosial sesebuah masyarakat. Apakah definisi ideal itu ada pada krisis budaya yang menular pada anak-anak kita kini? Atau juga pada darah-darah remaja yang mengalir bersama kuman-kuman HIV?

Justeru untuk menghasilkan pucuk yang baik dan elok, maka aspek akar adalah keutamaannya. Ya, akar yang ideal adalah asas bagi pucuk yang ideal yang lazat, yang boleh dibuat ulam cecah sambal air asam (perah limau sikit). Dan akar itulah hakikat sebenarnya yang dimaksudkan dengan sistem-sistem kekeluargaan yang akhirnya muncul menjadi sebuah kerajaan.

Teori kuno yang nampak mudah bukan? Nampak mudah jika dilakar diatas kertas, namun untuk menukar sebuah fantasi kepada realiti, ia seakan-akan memanjat anak tangga untuk menggapai langit. Namun bukan mustahil. Bukan hanya Akademi Fantasia sahaja yang mampu menukar mimpi anda menjadi realiti, malah keterbukaan kita untuk berubah adalah punca segalanya. Bukankah bermimpi minum air itu tidak akan menghilangkan rasa haus!

Kuncinya bagaimana ya? Jawapan yang amat mudah. Iaitu agama menjadi praktikal sebagai teras hidup. Bukankah ad-din itu an-nasihah? Dan pakejnya mudah diaplikasi dalam ruang lingkup yang santai-santai sahaja. Mudah bukan? Ia mudah jika agama menjadi teori dalam kehidupan seharian. Dan lagi, ianya menjadi lebih signifikan apabila kekuatan jiwa menjadi baja dalam merangupkan tarbiyah keluarga.

Firman Allah s.w.t :

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

(Dan bergaullah dengan mereka (isterimu) secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak) An-Nisa’ : 19

Sebab itu dalam masyarakat, masing-masing ada peranan yang tersendiri. Suami mencari rezeki, bekerja untuk memberi nafkah. Isterinya pula punya tanggungjawab menjaga milikan suami serta keluarga, dan anak-anak pula menjadi penghibur dalam rumah tangga dan jiwa ibu bapa.

Sebab itu, semua manusia jangan jadi matahari, biarlah jadi benda-benda lain. Kerana jika semuanya mahu jadi matahari, bumi akan terasa bosan, dan bulan tidak lagi akan kelihatan kerana manusia sudah tidak mahu menilainya.

Kesimpulannya, abang aku mungkin akan ketawakan aku bila dia membaca entri ini. Sebab adiknya yang belum berkahwin itu mahu cuba-cuba bermain dengan falsafah tentang perkahwinan dan alam rumah tangga! Ok, ok... baiklah, aku mengalah (sambil mengangkat kedua tangan). Walaupun aku masih bujang tapi aku ini berjiwa orang beranak lima tahu!!! huhuhu...


Bersama keluarga baru...
- Special credit untuk sepupu2 yang upload gambar-gambar ni -

- Special credit juga untuk Dato' Mufti Noh Gadot yang tolong bacakan khutbah -

Monday, May 28, 2007

Haus


Apabila engkau memakan manisan
Dan daging bakar
Atau meminum anggur asli
Engkau akan bermimpi
Meminum air.
Tetapi engkau akan terbangun
Dari mimpimu sambil kehausan
Bermimpi air tidak akan menghilangkan rasa haus.

(Matsnawi)

Friday, May 25, 2007

Materi

Pagi ini sejuk dan sayu. Hati saya yang kosong itu tiba-tiba dijentik dengan suara rindu. Gusar entah mengapa. Rindu yang menyapa datang dari hujung sana. Jauh, di sebuah kawasan Kaherah lama. Tubuh yang sedang dibuai angin pagi yang sejuk ini tiba-tiba jadi rindu padanya. Seingat saya kali terakhir terasa sebegini sewaktu tiga empat bulan lalu, sebelum pulang ke tanah air.

Pagi Jumaat ini manusia tidak ramai. Hari cuti lazimnya dimanfaatkan untuk tidur di rumah. Saya bangkit seusai menggosok gigi, keluar dan menaiki bas. Bas yang tidak pernah kosong itu hari ini lengang, bahkan saya duduk keseorangan kerana tempat duduk lain pun tidak bertuan. Matahari juga masih belum bersedia lagi untuk muncul. Pagi rindu itu menemukan saya lagi dengan personaliti unggul ini.

Bagi saya dia tidak pernah mati. Dia sentiasa hidup. Orang selalu berkata bahawa mereka ingin menziarahi maqamnya, tetapi saya selalu berkata bahawa saya ingin menziarahinya. Saya tidak mengatakan yang saya ingin ke maqamnya, sebab dia tidak pernah mati. Orang
yang tidak mati maka tiada maqam atau kubur. Dia masih hidup lagi. Setiap hari dia mangajar saya dan anda sekalian mengenal Tuhan.

Saya amat percaya dengan kata-kata Allah, bahawa ada dikalangan hamba-hambanya yang berjasad kaku, tapi hakikatnya hidup disisi Allah s.w.t:


وَلا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

(Dan janganlah kamu menyangka bahawa mereka yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup disisi Tuhan mereka, mereka itu diberi rezeki)
Al-Baqarah : 169

Imam asy-Syafi’e tidak pernah berhenti mengajar saya dan kalian semua mengenal Tuhan, kerana namanya tidak akan padam. Anda boleh membubuh liquid paper pada namanya dalam kitab anda, tetapi pasti anda tidak mampu untuk memadam namanya pada seluruh kitab di dunia ini. Namanya tidak akan padam sama sekali, ilmunya akan sentiasa bercurah untuk setiap generasi. Dan pagi rindu itu berhati sebak kerana sudah lama saya tidak menziarahinya. Kali terakhir pun sebelum pulang ke Malaysia tiga empat bulan lalu.

Dalam perjalanan pulang, saya bernasib baik kerana bertemu Sabri ketika sedang menziarahi Imam Waqie’, guru kepada Imam asy-Syafi’e. Sabri datang setiap minggu untuk membersihkan maqam seorang guru ini. Kali ini dia mengajak saya masuk. Saya tersenyum kerana selalu hanya berdiri di luar maqam setiap kali menziarahinya, tetapi ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam ruang maqam tersebut.

Saya melihat disisi maqamnya ada syair popular yang ditulis Imam asy-Syafi’e di dalam diwannya:

شكوت الى وكيع سوء حفظي * فأرشدنى الى ترئ المعاصى

وأخبرنى بأن العلم نور * ونور الله لا يهدى لعاصى

Ia betul-betul begitu menyentuh hati. Mengingatkan kembali kisah seorang insan ajaib yang tiba-tiba celaru hafazannya hanya kerana terpandang dengan tidak sengaja aurat hanya sebesar ibu jari.

Saya minta izin keluar dan melangkah kaki lagi untuk menunggu bas di hadapan Masjid Sayyidah Aisyah, untuk pulang. Tetapi perut berkeroncong lagu cindai malam dan saya singgah sebentar di kedai untuk
membeli makanan untuk ahli rumah. Asyik kerana layan berbual dengan penebar fatirah (roti canai), saya hampir-hampir mendapat 10 keping fatirah percuma. Penebar itu berkata ini kali pertama saya datang ke gerainya. Tetapi saya terpaksa menolak kerana sememangnya adab mereka disini memuliakan orang luar.

Musim panas semakin menuju ke puncak. Di dalam bas ketika pula
ng, saya sudah melihat kedai-kedai buah di tepi jalan sudah menyidai buah anggurnya, hijau dan unggu di bakul-bakul mereka. Kalau ikut pengalaman lalu, dimusim panas seperti ini kami akan makan anggur seperti makan nasi. Anggur murah dan bersepah-sepah.

Di awal ini biasanya akan dimulakan dengan anggur 'banatiy'. Asal perkataan 'banat' adalah perempuan ataupun wanita. Saya pernah bertanya kepada seorang pekedai, mengapa dinamakan 'anggur banatiy'. Dia pantas menjawab, sebab anggur ini tiada biji. Saya mencelah, ohh... begitu, jadi kiranya anggur yang ada biji dipanggil 'anggur rijaliy' lah? (anggur lelaki), begitu? Kami ketawa. Jahat sungguh. Lihatlah, bukan sahaja manusia yang menjadi mangsa labelisma, bahkan buah-buahan seperti anggur juga turut terlibat sama dilabel.

/* Tak sabar meratah anggur banatiy...

Sunday, May 20, 2007

Dehidrasi Musim Peperiksaan

Musim tetap juga akan bertukar musim. Mahu tidak mahu, sang burung tetap perlu meneruskan kembaranya ke jelapang lain seakan musim-musim yang lalu. Dingin sejuk yang menghentam kulit pipi dahulu kini sudah pun sunyi dihimpit celahan terik mentari dalam silau ungu. Juga dedaun pokok setia gugur gemalai sambil terumbang-ambing, dan seakan-akan menurut perintah taat dari Yang Satu.

Dan akan tiba suatu ujian dasyat dalam perjuangan ilmu. Perjuangan merit yang bertalu-talu, berminggu-minggu. Padanya itu terdapat suatu monolog citra, manifestasi tentang korban cinta. Fasal Thani kini muncul lagi untuk ditamati. Di pinggirnya ada sinar-sinar imtihan, dan ia telah dimulai. Ia telah dimulai untuk sekian kali...


Ahad (20/5/07) : Al-Quran
Rabu (23/5/07) : Khitobah
Ahad (27/5/07) : Falsafah & Akhlak

Rabu (30/5/07) : Tafsir

Ahad (3/6/07) : Adab & Balaghah
Rabu (6/6/07) : Hadith
Ahad (10/6/07) : Ulum Quran
Rabu (13/6/07) : Tauhid

“Sayang, engkau kepinginku? Tak sabar lagi untuk menunggu aku pulang? Ya, aku sudah tegar bersabar untuk menghadapi musim terik ini. Pula begitu, dehidrasi seakan sudah menghirup serta mencicip cecair dari dalam tubuh badanku. Aku mahu pulang dari Gua Tanah Mustika sebentar ke kampung halaman untuk menuruti perintah kewajiban buat leluhurku di hari persandingan saudara kandungku”.

”Jaga kehormatanmu dari segenap manusia yang hanya ruwet memikirkan menapous dunia. Nanti kita bisa berduet bersama lagi ya? aku dambakan doa kalian”.... -TAMMAT-


/* Sedikit dialog dari cerpen ’acah mak enon’ sebelum pulang ke kampung... huhuhu...
/* Doakan semoga diberi kekuatan dalam peperiksaan...

Thursday, May 17, 2007

Mengentangi Pemikiran Mourinho

(Mengentangi (ciptaan sendiri) : asal perkataan adalah kentang, iaitu sejenis tumbuhan akar yang boleh dimakan seperti ubi. Potato [english], Batotis [arab], Solanum tuberosum [nama biologi])

Ketika saya sedang mengupas kulit kentang untuk dimasak,
saya sering berfikir mengapa kentang begitu penting sekali di dalam kehidupan rumah kami.

Kalau di rumah, dalam bab masak, kentang adalah aset
penting nombor dua selepas bawang. Saya pun tidak pasti mengapa. Masak merah diletak kentang, masak lemak pun diletak kentang, apatah lagi masak kurma, sup dan kari. Semuanya akan diletak kentang. Dan yang paling membimbangkan, nasi goreng dan mee goreng pun tidak akan layak dipanggil makanan sekiranya tidak diletakkan kentang.

Bukan perkara penting pun dalam masakan, tetapi kentang seakan terbiasa untuk dimasukkan dalam setiap masakan. Jika ditanya mengapa? Itu hal peribadi kami (mungkin tak ada apa-apa yang lain hendak dimasukkan agaknya, itu seb
ab kentang menjadi pilihan).

Tetapi sebenarnya, kentang ini seakan-akan ubi. Diam-diam berisi. Makin lama di dalam tanah,
makin besar dan sedap ia jadinya. Sekali dipandang, ia cukup menjengkelkan. Dengan serpihan-serpihan tanah di kulit, dan bentuk-bentuknya yang bulat, kecil, besar, lonjong dan seciput, kentang seakan-akan sesuatu yang buruk dan tidak cantik. Malah dijadikan bahan ejek, ”muka kau macam kentanglah...”, dan pelbagai lagi yang istilah yang menyakitkan hati.

Apabila mengupa
s kulit kentang ini, saya teringat pada seseorang. Budak kelahiran Setubal, Portugal. Kalau anda peminat EPL dan bukan dari peminat pasukan bola sepak Chelsea, pasti anda sudah terbiasa memakinya. Punya gaya selamba yang menggeramkan. Analogi terbaik dari saya untuknya adalah seumpama kentang. Dia adalah pengurus pasukan The Blues – Chelsea sejak Jun 2004, José Mourinho.

Tipu kalau anda mengaku peminat EPL, tetapi tidak kenal dengan anak bekas penjaga gol kebangsaan Portugal ini. Dia dilahirkan bukan untuk menyepak bola, tetapi kebolehannya pada seni menyuruh manusia bermain bola. Daripada menjadi seorang penterjemah kepada Sir Bobby Robson ketika memimpin Sporting Lisbon dan F.C Porto, akhirnya
dia diberi peluang memimpin FC Barcelona B pada sekitar tahun 1996-1997.

Entri saya kali ini
bukanlah untuk mengupas biografi Mourinho, bukan pula untuk menjatuhkannya, apatah lagi memujinya, tetapi saya lebih gemar untuk menfokuskan pada pemikiran dan personaliti yang dibawanya. Saya fikir itu semua adalah sesuatu yang sengaja dilakukan atas sebab-sebab tertentu, iaitu untuk mendidik dunia.

Lihat sahaja bagaimana riak wajahnya ketika di atas padang. Lebih-lebih lagi apabila dia sedar yang kamera sedang fokus pada dirinya, akan bermulalah perang psikologinya dengan penonton televisyen di rumah. Memang sesuai pun dengan lelaki ’psycho’
ini, dia punya ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan fizikal, pengkhususan metodologi dalam bidang sukan. Pasti sekali mampu bermain psikologi dengan para penonton, pemain dan lebih-lebih lagi pengurus pasukan lawan.

Sebelum bertandang ke medan tempur lagi (sebelum memasuki
padang), dia sudah pun mula melancarkan roket psikologinya terhadap lawan. Siapa lawannya yang tidak pernah geram, Alex Ferguson? Arsene Wenger? Martin Jol? Raphael Bennitez? Semua mereka pernah berperang mulut dengannya. Media? Wartawan? Hatta lembaga atasan dalam Liga Perdana Inggeris pun pernah dituduhnya mewujudkan konspirasi untuk memenangkan pasukan Alex Ferguson bagi liga perdana musim 06-07.Dia seorang yang berani dan bongkak. Digelar ’Arrogant’ oleh para wartawan dan jurnalis bola sepak. Keberaniannya pada hakikat sebenar adalah untuk memancung keegoan yang selama ini terbenak di dalam minda orang-orang British. Ya, keegoan orang-orang British yang berdarah penjajah.

Jangan pula pembaca terlupa, orang-orang Portugis juga adalah berdarah penjajah. Tahun 1511? Siapa lagi yang buat onar di perlabuhan Melaka? Kalau bukan si Benggali Putih, pembakar api peperangan yang diketuai Diego Lopez de Sequiera. Nah, sesuai bukan? Buku bertemu ruas. Cucu penjajah ingin memusnahkan sisa-sisa darah takbur dan roh penjajah dalam diri orang-orang British.

Sebagai orang Asia, saya melihat ianya tidak lebih dari semangat berani
seorang Alfonso de Albuquerque di atas bahtera Flor de Mar, di dalam perjalanan untuk membuat onar dalam wilayah Viking yang punya armada terkuatnya di tanah air sendiri!

Walaupun Arsene Wenger merupakan jurulatih luar pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, tetapi dia bukanlah orang yang boleh mengajar, menundukkan, serta mendidik sikap ego orang-orang British. Kedatangan Mourinho telah membantu memudahkan lagi proses tarbiyah terhadap pemikiran bangsa-bangsa penjajah.


Jose Mourinho, dia berperangai bongkak dan sombong untuk mengaja
r bangsa British bahawa mereka bukanlah bangsa yang terhebat di dunia ini. Dan sesungguhnya dia mahu dunia belajar dan mengerti bahawa kehebatan bangsa British selama ini telah pun ditundukkan oleh tangan hina, milik anak seorang penjaga gol yang berdarah Portugis. Ya, tangan hina anak seorang penjaga gol kelahiran Setubal yang berbangsa Portugis!

Saya berfikir dan akhirnya berkonklusi. Dia ibarat kentang. Di luar nampak buruk dan
menjengkelkan terutamanya kotor dengan serpihan tanah, tetapi isi dalamnya berguna, mengenyangkan, dan sedap untuk diratahi jika anda bijak dalam hal memasak.

Sama ada dia kekal dalam pasukan Chelsea selepas ini, kita tidak pasti. Krisis yang berlaku antara dia dan pemilik Roman Abramovich nampak gaya menghimpitnya untuk meninggalkan Chelsea. Tetapi, walau
apapun nasibnya selepas ini, sesungguhnya dia adalah seorang graduan ijazah pendidikan yang telah berjaya menjalankan tugas mendidik terhadap anak-anak muridnya yang cukup ramai, iaitu manusia berbangsa British.

Hati ini berminat sekali untuk menukilkan kata-kata Edmilson, pemain tengah kelab Barcelona, tentang diri pengurus pasukan Chelasea itu:

“The worst thing about playing against Chelsea is to have to listen to the stupidity of Mourinho”

/* Masih terpandang bumbung Stadium Emirates...

Friday, May 11, 2007

Dogmatism Rambut Karat

“Kalau pakai tudung tapi perangai tak senonoh, terkinja-kinja, macam peleset keluar dengan lelaki, serupa aku tak payah pakai tudung. Nanti memalukan agama ajer!!!”....

Selalu juga sebenarnya terdengar ayat semacam ini melalui celah-c
elah lubang telinga, terutamanya ketika di Malaysia. Aku bersetuju!! (angkat tangan). Kerana di sana terdapat kebenarannya. Ya, sangat teruk dan memalukan agama. Tetapi sabar dahulu, jangan terlalu bersikap dogmatik terhadap idea-idea seperti ini.

Walaupun aku bukan
dari jenis kambing, ataupun beberapa lagi spesies beruang, namun kami punya satu persamaan, iaitu tidak ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) untuk memakai hijab, atau kata lainnya ’veil’. Dalam erti kata sebenar, seseorang lelaki tidak diwajibkan untuk memakai hijab, seperti mana orang perempuan diperintahkannya.

Di dalam Al-Quran ada tertulis:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

(Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh badan mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang)
Surah Al-Ahzab : 59

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan betapa sayangnya Maha Pencipta terhadap
hamba-hambanya yang bernama wanita. Diangkatnya martabat kaum wanita daripada eksploitasi maha hina puak-puak jahiliyyah kepada status perorangan dalam kehidupan beragama.

Jelas di dalam ayat ini, Allah s.w.t
menyatakan sekali sebab mengapa diperintahkan wanita agar mengenakan hijab dan sekaligus melabuhkannya; adalah supaya membezakan antara orang yang beriman dan orang yang kufur, dan supaya mereka terpelihara dan tidak diganggu.

Baiklah. Kita berbalik kepada ayat tadi:


“Kalau pakai tudung tapi perangai tak senonoh, terkinja-kinja, macam pelesit keluar dengan
lelaki, serupa aku tak payah pakai tudung. Nanti memalukan agama ajer!!!”....

Setelah kita menilai validitas (kebenaran) yang terdapat di dalam
kata-kata ini, mari nilai kata-kata lain yang setaraf dengannya juga.

”Kalau pergi haji tapi perangai tetap sama begitu, terkinja-ki
nja, macam pelesit dengan lelaki, serupa aku tak payah pergi haji. Nanti memalukan agama ajer!!!”...

Begitu? Ataupun, kan mudah kalau sebut sahaja begini, tak perlu lagi bersusah-susah untuk memikir analogi:


”Kalau jadi orang Islam tapi perangai tetap sama begitu, terkinja-kinja, macam pelesit dengan lelaki, serupa aku tak payah jadi orang Islam. Nanti memalukan agama Islam itu ajer!!!”...


Astaghfirullah. Nah, maka kamu sudah berpuas hati?


Sebetulnya, yang kita perlu lurus
kankan di sini adalah mentaliti dan sikap masyarakat kita yang sudah bengkok, bukan mencari sebab dan seribu alasan untuk mengelak dari kewajiban berhijab. Sebab utamanya adalah, rata-rata yang menggunakan ayat ini adalah mereka yang bukan dari kalangan orang yang berhijab, tetapi golongan yang sebaliknya!

Sikap sebegini s
ebenarnya adalah amat merbahaya, cenderung untuk menggunakan metodologi kiasan ataupun analogi untuk kesenangan hawa nafsu semata-mata.

Berhijab, memakai tudung, pergi haji atau terminologi yang setaraf dengannya pada asalnya adalah bersifat taklifiy, iaitu sesuatu yang menjadi kewajiban keatas orang yang diwajibkan pada diri mereka. Sekiranya tidak melakukan, maka individu yang tidak mengenakannya itu secara sedar telah mendekatkan diri pada pintu-pintu dosa.

Jadi, sudah tentu ia tidak ada kena mengena dengan aspek sikap, perangai dan juga ’attitude’ yang seperti belangkas itu
. Kerana amat jelas, bukan semua orang yang berhijab itu sikapnya terkinja-kinja dan berpele’setan’, bahkan ia terbentuk hasil daripada sikap si pemakai hijab itu secara individu, bukan secara berkumpulan.

Situasi ini tak ubah seperti mana pe
mbayaran cukai. Jika sesuatu cukai itu diwajibkan ke atas seluruh rakyat di sesebuah negara, maka kewajiban itu terletak pada setiap individu. Kalau dah bernama rakyat, maka kewajiban adalah untuk mukallaf yang bernama rakyat. Tak kiralah sama ada individu itu pencuri, perogol, pemain pakau, ketua kampung, imam, tokoh korporat atau menteri, kesemua mereka itu wajib membayar cukai.

Sama juga halnya dengan si pemakai hijab. Kalau sudah ditakdirkan berjantina wanita, maka
kewajibannya memakai hijab adalah kepada semua yang bernama wanita seperti mana perintah Allah s.w.t dalam ayat ke-59, surah al-Ahzab itu tadi.

Soal dia melakukan dosa, atau beberapa lagi kes-kes yang wajar untuk tidak dimaafkan, maka
itu adalah dosa yang perlu ditanggung oleh individu itu sendiri, bukan pada semua pemakai hijab. Oleh itu, mereka yang memakai hijab itu sesungguhnya telah terlepas daripada kemurkaan Allah dalam hal kewajiban memakai hijab dan melaksanakan perintahnya. Mereka itu telah diasingkan daripada dosa orang yang menafikan kewajiban berhijab. Dan sesungguhnya, dia telah pun menyempurnakan sebahagian dari agamanya dan juga perintah dari Tuhannya.

Maka halnya, ayat-ayat yang kerap kita dengar melibatkan golongan yang memakai hijab ini pada pandangan saya adalah sesuatu yang bersifat provokatif dari orang yang prejudis, jahil dan punya kekaratan di dalam hati. Ya, bagi mereka
yang tidak berhijab pula sebenarnya mereka ini lebih kepada terperasan cantik bila mempertontonkan rambut karatnya itu pada manusia di sekitarnya, walhal sesungguhnya mereka itu kufur nikmat dan tidak pernah bersyukur dengan hikmah yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Saya bukanlah orang yang pandai menilai cantiknya rambut, tetapi cukuplah seka
dar menyatakan betapa ingin muntahnya melihat rambut yang berkarat, kerana halnya tuan badan yang tidak pandai jaga. Sepatutnya anda perlu menyapukan minyak gris setiap hari, ataupun menggunakan pelbagai lagi teknik-teknik anti-karat yang lain seperti mengecat ataupun menyadurnya dengan tembaga, besi atau mungkin dengan timah barangkali.

/* Suka rambut hitam, maklumlah orang Asia...