Thursday, August 16, 2007

Bijaksana Yang Dungu

Barangkali amat sukar untuk menerima idea ataupun prinsip yang dikemukakan oleh Niccolo Machiavelli di dalam bukunya The Prince. Beliau menyarankan cara bagaimana seorang raja harus mengekalkan kuasa.

Menurutnya kerajaan merupakan matlamat raja. Jika raja mendapati kedudukannya tergugat disebabkan oleh penasihatnya yang tidak jujur, raja harus mengorbankannya demi kepentingan diri sendiri.

Secara kasarnya, penulis melihat idea ini di’klise’kan dan persis pernah berlaku di tanah air kita, jika tidak silap pada sekitar penghujung tahun 90-an dimana seorang menteri kanan digugurkan oleh ’perdana’nya atas sebab-sebab yang tidak masuk akal. Dan sehingga menteri kanan itu dibebaskan kini, masih belum terdapat lagi bukti kukuh yang boleh membenarkan tuduhan yang berlaku 7-8 tahun yang lalu itu.

Walaupun kisah yang berlaku itu bukan dikalangan raja dan penasihatnya, tetapi gagasan idea yang dibawa Machiavelli sejak beratus-ratus tahun itu telah digunapakai dengan jayanya. Idea garapan seperti ini sebenarnya telah menimbulkan kebencian dan halilintar peperangan antara penduduk dunia sejak zaman dahulu hingga kini.

Dari kacamata sejarah, konsep idea yang dimajukan ini sudah membuka jalan kepada penubuhan beberapa buah negara bangsa di Eropah, antaranya England, Sepanyol dan Perancis.

Hakikatnya, idea-idea yang gila-gila, songsang, tidak praktikal dan tidak diterima akal ini boleh dikategorikan sebagai antilogik ataupun neo-antilogic kerana ia bukan sahaja bersifat generatif bahkan juga bersifat provokatif. Contoh yang mudah untuk memisalkan perkara ini adalah kisah seorang jurutera syarikat pembuat kereta yang mengemukakan idea agar syarikat itu mencipta dan menjual roda-roda empat segi.

Walaupun idea ini pelik, tetapi hasilnya terciptalah sistem teknologi suspension hidraulik yang akhirnya berjaya dipatenkan. Antara contoh lain idea gila-gila yang bersifat provokatif ialah; semua kilang perusahaan diminta mengeluarkan produk haiwan dan tumbuhan baru. Ataupun, semua kereta akan dibuat dengan getah bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Kesongsangan idea yang bersifat provokatif pula boleh dicerna dan menghasilkan seperti contoh berikut; Penjual barang sepatutnya memberi barang-barang jualannya secara percuma dan membayar harganya sekali pada para pelanggan. Ataupun, guru-guru sepatutnya diajar oleh murid-muridnya.

Dari sudut garapan, idea-idea ini ada kalanya boleh timbul dalam apa juga situasi dan ada ketikanya membawa kepada bentuk lelucon. Penulis pernah berbual bersama seorang teman sewaktu sedang bersarapan di sebuah restoran. Dia berkata, ’mengapa kita perlu membancuh kopi dengan gula dan susu sebelum meminumnya. Kan mudah jika minum sahaja kopi kosong itu, kemudian baru makan gula dan susu. Proses yang berlainan tetapi kuantiti yang masuk ke dalam perut adalah sama!’.

Saya terdiam berfikir sejenak, kemudian membalas dengan jawapan beranalogi; ’Kalau begitu mengapa saja kau tak ke kedai ayam. Memilih seekor dan menelannya, kemudian di dalam perut baru kamu sembelih ayam itu!’. Dua-dua ketawa besar. Dua idea songsang yang berbentuk lelucon berjaya menyedarkan fikiran disamping mencuit hati kami.

(bersambung)

No comments: