Friday, February 22, 2008

Antara Berus Gigi & Pintu-Pintu Damascus

Berus gigi. Salah satu benda paling penting dalam hidup manusia. Kalau dikatakan agama itu yang paling penting dalam kehidupan manusia, maka berus gigi barangkali menjadi perkara yang kedua terpenting dalam diri manusia selepas agama. Saya sebutkan ‘barangkali’, mungkin saja ia boleh berlaku.

‘Jangan lupa bawa berus gigi’. Itu adalah pesanan dari ibu saya setiap kali mahu balik kampung atuk. Hatta hingga umur saya hampir suku abad ini sekalipun, pesanan itu tidak dapat dielakkan. Bukanlah saya tidak rajin menggosok gigi, tetapi disebabkan faktor suka melengah dan ‘pelupa’, menyebabkan saya lalai membawanya kemana-mana.

Dan kalau sudah tertinggal, alamatnya perlu dibeli dengan berus gigi baru. Sebab itu bukan ibu saya sahaja yang gemar mengingatkannya, bahkan ayah saya juga turut selalu campur tangan sama untuk mengingatkan. Mungkin kerana ayah malas mahu turun singgah di kedai runcit untuk beli berus gigi baru. Justeru, pesanan ini mungkin boleh sahaja diturunkan oleh ibu kepada isteri saya kelak jika perkara tertinggal berus gigi ini tidak hilang.

Tetapi untuk kali ini mereka tidak usah khuatir. Berus gigi adalah perkara pertama sekali yang saya kumpulkan dalam beg. Walaupun di Jordan dan Syria nanti terdapat beribu-ribu kedai runcit yang menawarkan penjualan berus gigi, namun saya tak perlu risau kerana ia sudah dibawa dan dikumpul sejak awal lagi.

Antara Jordan dan Syria, kalau diikut hati, saya lebih ghairah pada Syria. Bukan kerana gadis-gadisnya yang sememangnya comel, tetapi sejarah lalu telah menghambat saya untuk menyintai negara pemisah antara Syam dan Hijjaz itu. Damascus atau Dimasyq hakikatnya lebih saya cintai berbanding Amman. Bukan bermaksud memperkecil-kecilkan dan mencari beza dengan Amman, tetapi seperti yang saya katakan sebentar tadi, sejarah silam telah memahat faktor percintaan ini.

Kedua-dua ibu kota ini amat bernilai disebabkan oleh zaman lalunya. Syria terutamanya suatu ketika dulu menjadi antara kawasan petempatan yang terawal dicatatkan di dalam sejarah ketamadunan manusia justeru sungai Euphrates dan sungai Tigris menjadi lambang kehidupan empayar Assyria.

Saya memancing rakan sepermusafiran. Saya bilang, kalau sudah ke Syria, amat rugi kalau tak singgah ke Aleppo atau dikenali sebagai Halab. Dan kalau sudah ke Halab, lebih rugi kalau tidak hirup kabus-kabus pagi di Turkey, kerana Halab sudah betul-betul bersempadan dengan Turkey. Mereka menggigit bibir, tanda turut berfikir. Hasutan saya betul-betul masuk ke telinga mereka.

Walaupun pada hakikatnya kos perjalanan dan survival hidup di Turkey agak mahal, namun Turkey adalah sebuah lagi negara yang telah menghambat hati saya untuk ‘jatuh cinta’. Sekurang-kurangnya jika tidak dapat ke Istanbul, dapat meluangkan masa ke wilayah Konya pun sudah memadai, tempat cinta saya berputik.

Setidak-tidaknya waktu pagi disana dapat diluangkan mencicip kopi emas turkey di antara kabus dingin, juga dapat waktu emas menziarahi pemilik ‘republik cinta’ Mathnawi, Maulana Jalaluddin ar-Rumi. Rasanya itu pun sudah cukup untuk melegakan hati. Lagi untung kalau dapat menonton ritual putaran Sema ‘The Whirling Dervishes’ oleh para sufi Maulawi dengan tarbus tinggi mereka itu di negara tempat jatuhnya khilafah Islamiyah yang telah berlalu hampir tiga suku dekad yang lalu.

Saya mahu bermusafir. Seboleh-bolehnya mahu menggali segala sejarah yang ada di sana, menziarahi rumah-rumah para solihin. Gadis-gadis comel di sana bukanlah faktor utama, saya telah jatuh cinta dengan sejarahnya. Sejarah kegemilangan yang hanya tinggal di dalam buku. Walhal di negara sebelah, Israel, saudara-saudara saya juga hanya mampu menatap sejarah itu, sedangkan mimpi mereka selalu merah, penuh dengan warna darah. Damascus. Ya, sejarah hanya tinggal untuk ditertawa.

No comments: