Tuesday, July 08, 2008

Jangan Tanya Nostradamus

Orang yang sedang menonton drama, jarang punya masa mahu berhenti sebentar untuk melakukan kerja lain. Fokusnya hanya pada drama dan jalan ceritanya. Kesinambungan plot sentiasa berada dalam mindanya dan dia tidak mahu sekali-kali terlepas menonton adegan-adegan yang begitu penting.

Mungkin secara jujurnya begitulah saya ketika ini, sedang asyik menonton drama politik Malaysia yang mengagumkan. Jauh lebih kagum dari drama yang terbit pada tahun 1998 dahulu.

Apabila saya menonton sesebuah cerita, saya suka mengkritik jalan ceritanya tetapi jarang untuk saya membuat tafsiran dan andaian awal.

Seperti juga saya menonton hasil buah tangan Kabir Bhatia yang terbaru iaitu 'Sepi' baru-baru ini, buah tangan Kabir Bhatia jarang ada yang mengecewakan saya. Sinematografinya yang superb membuatkan saya telah jatuh cinta dengan filem 'Cinta'nya. Dan 'Sepi' adalah sebuah lagi hasil karya yang mengagumkan walaupun pada saya tidaklah sehebat 'Cinta'.

Walau terdetik dihati, namun saya tidak membuat prediksi awal terhadap jalan cerita ini sehinggalah filem ini ditonton sampai habis. Khusyuk menonton drama (apa-apa cerita pun), saya jarang mahu membuat agakkan awal atau ramalan melulu terhadap drama itu ataupun 'ending'nya. Ianya pasti sekali hanya membawa sekadar agakkan atau ramalan yang mungkin betul atau mungkin tidak.

Justeru sesuatu ramalan itu hanya boleh mendatangkan prasangka yang bukan-bukan termasuk juga khabar angin dan fitnah. Dalam erti kata lain, peramal boleh sahaja terlibat dalam dosa-dosa besar dan juga umpatan-umpatan yang tercela dan kemurkaan ALLAH s.w.t jika ia termasuk di dalam cerita-cerita yang membawa kebinasaan dan kemungkaran.

Konsep tidak membuat prediksi awal inilah yang saya suka ambil dalam menonton apa juga drama. Ianya lebih selamat dan saya akan mula mengkritik ketika drama ini apabila sudah selesai kelak.

Meramal

Bagi mereka yang suka meramal, inilah waktunya. Warung kedai kopi ketika ini sangat mengujakan untuk para peramal menilik kehebatannya. Ada kalanya mereka ini betul dan kebanyakan waktunya mereka ini salah. Mereka gemarkan publisiti hingga membawa kepada cakap-cakap kosong dan memfitnah. Ia tidak ubah seperti gosip-gosip liar terhadap artis.

Membuat dan mendengar ramalan merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Prediksi demi prediksi boleh membuatkan hati anda melonjak-lonjak gembira dan kadang-kadang begitu kecewa. Dan akhirnya; the ending of the story will upset you and changing our minds.

Tak salah untuk meramal atau untuk membuat cerita tetapi biarlah berpada-pada. Harus berdasarkan bukti-bukti dan 'hint' yang ada. Tak usah menjadi produser untuk menambah-nambahkan cerita, bahkan bersenyap merupakan jalan yang lebih baik dari mereka-reka cerita.

Ramai yang percaya, tetapi ramai juga yang tidak percaya perliwatan telah berlaku. Persoalan inilah yang menimbulkan banyak andaian. Jangan terlalu banyak mengandai-andai dan bersangka kerana aidaian dan sangkaan itu selalu akan disusuli hasutan syaitan. Ia akan memesongkan langkah kita jika kita mudah dan terlalu percaya dengan khabar angin.

Memerhati

Sudah lama saya tidak meng'update' blog ini walaupun setiap hari saya melayari internet. Terus terang saya katakan yang drama ini begitu hebat, malah ia layak dianugerah cerekarama terbaik dalam sejarah politik Malaysia. Kehebatannya membuatkan saya terhenti menulis seketika untuk mengkaji perkara ini sedalam dalamnya. Saya tidak mahu ketinggalan walau secebis cerita.

Saya suka untuk tidak membuat prediksi awal kerana akan menjadikan jiwa dan gerak hati ini cenderung dan memberi sebuah ketidak-adilan terhadap realiti. Saya pasti setiap orang ada ramalan tersendiri dalam hati masing-masing dan itu sesuatu yang tidak mampu untuk kita halang. Namun secara dasarnya kita perlu sedar bahawa sesunguhnya sebarang kemungkinan boleh sahaja berlaku.

Kita harus terima nanti sama ada perliwatan itu benar-benar berlaku, atau juga ianya benar-benar sebuah fitnah. Semua itu berkemungkinan yang tidak mustahil berlaku kerana tidak ada kesempurnaan dan kemaksuman bagi seseorang manusia melainkan mereka itu dari kalangan para Nabi-Nabi Allah a.s.

Mungkin hari ini kita melihat jiran kita menghantar makanan dan bersedekah kepada fakir. Itu perkara yang baik lagi terpuji, namun bukan menjadi satu jaminan dia itu seorang jiran yang baik. Bahkan apabila kelak nanti ditangkap kerana mencuri, kita akan menepuk dahi dan mengatakan andaian kita selama ini telah tersilap sama sekali.

Andaian dan ramalan selalu didorong oleh hawa nafsu. Kita selalu tersilap dalam menghukum kerana kerap menggunakan undang-undang nafsu. Kita akan kata dia benar kerana dia memimpin kita dan kita akan kata dia salah kerana dia memimpin musuh kita. Ini kaedah yang salah kerana benar dan salah itu bukan dihukum berdasarkan dia pemimpin kumpulan mana, tetapi perbuatannya itu yang dilakukan sama ada salah atau betul.

Perkara yang terbaik adalah kita harus selalu bersangka baik dan perlu saling hormat menghormati walaupun mereka itu pernah menjadi seorang pelaku salah. Biarlah yang menghukum dan mengadilinya itu diserahan kepada mereka yang selayaknya. Mereka lebih tahu mengenai kaedah-kaedah sebenar seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.

Bersumpah adalah sebagai langkah yang terakhir setelah analisis dilakukan dengan kaedah-kaedah saintifik terhadap bukti-bukti yang zahir. Sumpahan atas nama ALLAH s.w.t itu merupakan suatu ikrar batin yang dianjurkan sebagai simbol penyerahan diri terhadap bagi keadilan Tuhan yang Maha Adil.

Syariah adalah sebuah undang-undang zahir dan hukuman yang dijalankan adalah berdasarkan bukti-bukti melalui kaedah saintifik yang zahir. Seperti yang berlaku pada al-Hallaj yang dihukum sesat oleh para ulama disebabkan dia itu secara zahirnya telah berlaku sesat dan menyesatkan, walhal dari suatu sudut pandang yang lain (batin), hukumnya adalah antara dia dengan ALLAH s.w.t.

Ramalan : Jangan bertanya pada Nostradamus...!!

No comments: