Tuesday, April 29, 2008

Menilai Pada Bayang-bayang

Semakin lama diintai, semakin dekat rupanya bayang-bayang itu datang. Dan ia datang kali ini seperti selalunya, menguji dan terus menguji. Namanya peperiksaan.

Tidak sampai sebulan, malah hampir beberapa minggu sahaja lagi peperiksaan akhir akan bermula. Semester kali ini semacam tidak nampak bumbu-bumbu masalah. Bahkan subjek-subjek kali ini mungkin jumlahnya lebih sedikit berbanding semester yang pertama dahulu walaupun masih terdapat yang sukar.

Cuma apa yang selalu disebut oleh jiwa saya adalah skeptisme yang serupa, bahawa peperiksaan itu adalah perkara yang sama sahaja tidak kira apa jua jenis peperiksaan, sama ada ianya susah atau senang.

Peperiksaan memang selalu ditempias rasa kekesalan dan pandangan serong dari saya. Saya agak tidak berapa suka dan gemar dengan peperiksaan. Itu memang saya akui, bahkan sejak dari dulu lagi.

Saya akui, rasa pesimis dengan peperiksaan bermulanya ketika saya menaiki tangga sebuah pentas, di sebuah dewan sekolah menengah yang serba sederhana beberapa tahun yang lalu. Sekolah Menengah Ulu Tiram barangkali, saya kurang pasti. Ketika itu tangan saya disambut oleh Menteri Pendidikan dan juga Pengarah Kementerian Pendidikan yang berada di sisinya.

Bukan sahaja disambutnya saya dengan jabat tangan, malah dia terus memeluk saya apabila disebut oleh jurucakap mengatakan saya anak kelahiran Johor. Dia cukup berbangga ketika itu kerana dua orang anak kelahiran Johor mengungguli carta pelajar terbaik keseluruhan. Saya bagi pelajar STAM dan Nur Amalina Che Bakri bagi pelajar SPM.

Hakikatnya bermula sejak detik itu. Saya mula berfikir, sekadar dengan peperiksaan itu sahaja saya sudah jadi begini. Beberapa detik selepas itu saya dipanggil lantas wartawan menyuruh saya itu dan ini. Saya semacam bingung waktu itu. Dan akhirnya, ketika gambar saya diambil dan para wartawan dari berita harian mengajak untuk menemu ramah, maka itulah detik permulaan rasa kesal saya terhadap peperiksaan.

Entah kenapa ketika itu saya betul-betul ragu dan malu pada diri saya sendiri. Saya rasa ketika itu seumpama ilmu yang saya ambil dari guru-guru saya telah dijual dengan harga sebuah kemahsyuran yang terlalu murah!

Saya mula bernada kesal dengan peperiksaan semenjak dari detik itu kalau anda semua ingin tahu. Sungguh saya katakana bahawa ini bukan cerita dan karya fiksi saya. Kisah ini telah menjadi sebahagian dari sejarah hidup saya, dan ia sama sekali telah melanggar etika yang telah saya semai dalam jiwa saya.

Saya telah membayangkan harga sebuah kemahsyuran dengan harga beberapa cebis ilmu saya yang sedikit. Saya memang begitu malu walaupun malu itu tidak saya zahirkan hadapan muka.

Saya rasa sangat malu kerana dimayhurkan dengan peperiksaan. Peperiksaan itu pada hakikatnya hanya berlaku 2 minggu sahaja, dan ianya telah mengukur suatu ukuran ilmu yang sama sekali salah dalam pendidikan hidup manusia. Manusia tidak lansung boleh diukur keilmuan dan tahap ‘pelajar terbaik’nya dengan ukuran peperiksaan, kerana peperiksaan selalu menipu.

Mengapa kita selalu ukur nilai pelajar cemerlang itu dengan peperiksaan? Mengapa kita gemar mendakwa orang yang berjaya dalam peperiksaan itu orang yang bijak dan berilmu? Ternyata memang manusia selalu tersilap.

Saya suka apabila membaca sebuah baris ayat karangan Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ‘al-Munqidh Min al-Dhalal’. Katanya:

‘Ilmu itu lebih mudah untuk aku capai berbanding amal’.

Mudah sekali tuan-tuan. Kita selalu menganggap peperiksaan itu adalah sesuatu yang paling sukar. Oleh itu, jika kita selalu mengukur keilmuan dan kebijaksanaan dengan ukuran peperiksaan, maka selayaknya juga kita mengukur ilmu dan bijaksana itu dengan ukuran amalan, kerana sesungguhnya mengamal itu lebih sukar dari menerima ilmu. Ya, pengamalan itu sepatutnya dinilai lebih sukar tahapnya berbanding dengan peperiksaan.

Itu yang sepatutnya. Tetapi yang sering berlaku zaman ini adalah yang tidak sepatutnya. Anak-anak yang cemerlang dinilai dengan ‘A’nya. Pelajar-pelajar yang cemerlang diukur dengan ‘mumtaz’nya. Kemudian diberi anugerah dan kemasyhuran. Sehinggakan kita sering berlumba-lumba untuk lebih masyhur, siapa yang lebih hebat dalam peperiksaannya. Sehingga bila anak yang bijak dan cemerlang itu akhirnya menjadi jalang pelacuran, barulah terjeda dan membeliak mata, ‘ooh, sekarang barulah kami tahu bahawa kami telah salah menilai erti cemerlang’!

Ingatlah firman Allah,

وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

Kami tinggikan derajat orang yang Kami kehendaki; dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.
Surah Yusuf : 76

Sepatutnya, saya tidaklah jadi sampai sebegini negatif terhadap peperiksaan. Mungkin sejarah lalu menyedarkan saya bahawa manusia selalu tersalah dalam menghukum dan menilai manusia. Kalau diikut, saya tidaklah begitu berfikiran negatif (pesimis) terhadap peperiksaan ini. Saya kirakan bahawa peperiksaan cuma sekadar kayu ukur untuk menilai penguasaan seseorang pelajar terhadap apa yang dipelajari. Itu sahaja, tidak lebih dari itu.

Saya pun ada kalanya terasa manfaatnya dari peperiksaan. Dengan peperiksaan, kita dapat sebuah gambaran secara keseluruhan mengenai ilmu yang dipelajari. Ia juga membantu menaikkan semangat belajar apabila bayang-bayang peperiksaan bakal muncul. Selain itu, saya banyak berdiskusi dengan rakan-rakan dan juga mengajar orang lain menjelang musim peperiksaan.

Itu semua manfaat yang baik dari peperiksaan. Cumanya pemahaman salah kita mengenai peperiksaan telah menyebabkan kita mencabuli dunia keilmuan, kerana kita selalu menilai orang yang bijaksana itu melalui peperiksaan. Walhal hasilnya tidak lain hanyalah sekadar sehelai kertas sijil yang tidak menjanjikan apa-apa.

Saturday, April 26, 2008

Hujjatul Islam

Pastinya ramai yang mengenali Imam al-Ghazali. Walau tidak secara detail, justeru apabila disebut dengan gelaran al-Ghazali, pasti ada yang mengangguk dan berbisik ‘saya kenal dengan ulama ini’. Namun belum tentu kita tahu apa yang beliau telah lakukan sehinggakan beliau digelar dengan gelaran ‘Hujjatul Islam’. Kita pasti sudah kenali Imam asy-Syafi’e dengan mazhab feqhnya, Imam al-Bukhari dengan ilmu hadisnya, Imam al-Muhasibi dengan bidang tasawwufnya, namun apakah yang kita tahu mengenai syakhsiyah Islamiyah yang bergelar al-Ghazali ini?

Besar kemungkinan ramai yang mengenali al-Imam al-Ghazali, ulama kelahiran Thus, Khurasan ini melalui ‘magnum opus’nya, iaitu Ihya’ Ulumiddin. Sayyid Muhammad Rasyid Redha ketika berkomentar mengenai kitab Ihya’ dengan mengangkatnya sebagai al-ustaz al-awwal yang bermaksud guru pertama yang mana kitab ini diiktirafnya sangat memberi kesan dalam perjalanan kehidupannya. Begitu tinggi sekali pujian yang diberikan Sayyid Muhammad Rasyid Redha terhadap kitab Ihya’ karangan al-Imam al-Ghazali dalam majalah al-Manar.

Tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikan ruh dan kekuatan yang terdapat dalam magnum opus Imam al-Ghazali ini. Mungkin hanya segelintir Wahhabi jadian (baca: yang buat-buat tahu tentang ilmu agama) yang dengan bangga menolak kitab Ihya’ ini dengan alasan terdapatnya hadis palsu dan dha’if, ditambah lagi dengan semangat anti-sufi dan tasawwuf yang galak membuak-buak dalam hati kotor mereka, yang tidak mampu untuk dibersihkan lagi.

Itu hal mereka. Namun, keistimewaan Ihya’ Ulumiddin ini secara umumnya boleh diletakkan pada intisari kitab, yang mana ia melalui proses penggabungan nilai antara ilmu feqh dan ilmu tasawwuf, antara ilmu syariat dan ilmu hakikat, juga antara pemikiran dan penyucian hati.

Saya pasti anda sedia maklum bahawa Ihya’ adalah sebuah kitab tasawwuf yang menekankan tentang pembersihan jiwa dan kombinasi diantara ilmu dan amal yang membawa kepada matlamat as-sa’adah yang bererti ‘kebahagiaan’, justeru dianggapnya oleh Imam al-Ghazali sebagai matlamat terakhir dalam perjalanan kesufian.

Walaupun kitab Ihya’ diangkat sebagai antara kitab rujukan utama dan terpenting dalam bidang tasawwuf, namun saya fikir ada faktor lain selain Ihya’ yang telah menyebabkan Imam al-Ghazali digelar dan dikenali oleh para ilmuan dengan gelaran Hujjatul Islam.

Kehidupan Imam al-Ghazali dalam saat emasnya boleh dibahagikan dalam dua fasal. Fasal pertama ketika menjadi tenaga pengajar di Madrasah Nizamiyyah, kota Baghdad, ketika zaman pemerintahan Nizam al-Muluk. Dan fasal kedua di akhir hayatnya, ketika beruzlah dan menjadi ahli tasawwuf yang mana ketika itu beliau menulis kitab Ihya’ Ulumiddin.

Mungkin pada zaman moden ini al-Ghazali lebih dikenali ramai kerana tasawwuf dan Ihya’nya. Namun 900 tahun yang lalu, kota Baghdad pasti begitu berbangga kerana Madrasah Nizamiyyah mempunyai seorang ulama ulung yang berjasa membersihkan nama agama dengan ilmu dan kalamnya. Ketika berumur 34 tahun, Imam al-Ghazali telah dilantik untuk mengajar di Nizamiyyah setelah Nizam el-Muluk, pemerintah ketika itu begitu tertarik dengan keilmuan yang dimiliki oleh Imam al-Ghazali.

Keilmuan Imam al-Ghazali banyak diperturunkan daripada gurunya, iaitu Imam al-Haramain al-Juwayni yang mengajar beliau dengan ilmu-ilmu usul dan furu’ termasuk mantik, hikmah dan falsafah. Ketika mengajar di Nizamiyyah, al-Ghazali banyak menumpukan kajiannya dalam ilmu falsafah dan menelaah kitab-kitab falsafah yang terdahulu seperti tulisan-tulisan al-Farabi dan Ibn Sina.

Ketika itulah beliau menulis sebuah kitab ‘Maqasid al-Falasifah’ yang sudah cukup untuk membuktikan penguasaan al-Ghazali di dalam bidang falsafah.

Jelas pada kita bahawa akidah dan ilmu kalam merupakan tunjang utama dalam kefahaman seseorang muslim itu terhadap agamanya. Justeru, jika akidah dan kepercayaan menyimpang, maka hampir pasti boleh menyebabkan individu muslim itu tersasar dari landasan yang sebenar, dan seterusnya hampir-hampir mengheret mereka itu ke neraka Allah s.w.t akibat kekufuran dan kekafiran mereka.

Ketika itulah Imam al-Ghazali bangun dan melihat banyak kekusutan dan kecelaruan telah berlaku dalam ilmu kalam oleh golongan yang terdahulu, terutama sekali apabila prinsip-prinsip falsafah telah masuk ke dalam ilmu kalam untuk membahas tentang ketuhanan. Dalam masa yang sama terdapat kecelaruan lain yang dibawa oleh beberapa golongan yang terdahulu antaranya kelompok muktazilah dan mujassimah yang cuba menyamakan zat Allah s.w.t dengan ciri-ciri makhluk.

Imam al-Ghazali dalam hal ini begitu menentang keras golongan yang membuat cuba menghidupkan reka-rekaan dalam agama ini. Beliau lantang menentang kelompok ahli falsafah yang banyak terpengaruh dengan neo-Platonisme dan pemikiran Yunani ini dengan menulis sebuah kitab yang begitu masyhur hingga ke hari ini, iaitu ‘Tahafut al-Falasifah’.

Tahafut yang bererti keruntuhan atau juga serangan telah membawa 20 fasal masalah yang berkaitan dengan zat Allah s.w.t, alam ciptaan dan nafs. Ia merupakan sebuah kitab yang dianggap telah berjaya meruntuhkan salah faham dan kekalutan yang berlaku dalam ilmu kalam. Imam al-Ghazali sangat hikmah dan memahami golongan ahli falsafah dan muktazilah ini.

Imam al-Ghazali merasakan bahawa golongan yang menggunakan akal ini tidak harus ditumbangkan dengan dalil-dalil nas dan syarak, bahkan kumpulan ini perlu ditumbangkan dengan prinsip-prinsip mantik dan teori-teori falsafah yang mereka dewa-dewakan selama ini. Beliau telah menggunakan ilmu mantik dan kalam untuk menewaskan pencarutan dan pencabulan yang dibawa sendiri oleh golongan mutakallimin yang menyimpang dari manhaj yang sebenar.

Al-Ghazali seterusnya menulis beberapa lagi kitab berkaitan dengan ilmu kalam dan kaedah-kaedah aqli dan naqli yang sesuai untuk dijadikan manhaj atau metodologi bagi golongan ahli sunnah wal jamaah.

Antaranya ditulis kitab ‘al-Iqtisad fil-I’tiqad’ dan ‘Qawaid al-Aqa’id yang menentang kecelaruan yang dibawa oleh beberapa kelompok seperti muktazilah, batiniyyah, mujassimah dan ahli falsafah, seterusnya meletakkan sebuah metodologi yang sesuai dipakai bagi golongan ahli sunnah agar ianya terpelihara dari sebarang dakhil dalam persoalan yang berkaitan dengan aqidah dan pegangan sebagai seorang muslim.

Di penghujung umurnya, al-Ghazali kemudian memutuskan kehidupan dunia demi mencari cintanya. Lalu menulis sebuah karangan agung yang telah membersihkan hati orang-orang mukmin dan meresapkan cinta di atas segala kecintaan, iaitu sejak dari 900 tahun yang lalu hingga kini.

Lalu, apakah jenis kemuliaan yang selayaknya bagi insan yang telah berjuang menyelamatkan aqidah muslimin sejak 900 tahun itu? Iaitu jiwa yang telah menabur jasa menyelamatkan manusia dari hampir-hampir terjerumus ke tebing neraka, iaitu tebing yang dipenuhi dengan nama kekufuran dan kekafiran?

Setelah fikiran saya hampir tepu menghadami pemikiran seorang insan yang digelar al-Ghazali ini, saya gamam dan termenung seketika. Setelah satu persatu hujah-hujahnya saya amati, hati saya bertambah yakin bahawa hujah ini bukanlah hujah-hujah dari ilmu manusia, ia adalah hujah dari penciptanya untuk membersihkan kesucian agama. Hanya air mata ini sahaja yang mampu menggelarkan beliau dengan gelaran ‘Hujjatul Islam’.

Wednesday, April 23, 2008

Monday, April 21, 2008

Mencerna Pemikiran v2

Jangan mempertikaikan kedudukan Kazhimah di mana. Justeru mungkin saya hanya mampu katakan bahawa Kazhimah itu adalah nama sebuah tempat yang terletak di Madinah al-Munawwarah.

Apa rahsianya?

Saya sendiri tidak mengetahui rahsia di sebalik Kazhimah secara total, namun ianya betul-betul telah membuatkan saya menangis. Pergilah ke Iskandariah dan tanya sendiri pada gerangan insan yang mencoret baris-baris keramat ini. Pergilah, dan saya tak mahu menghalang.

Minggu Yang Menekan

Setelah hampir tiga minggu saya membiarkan laman ini menjadi kilang penapaian, saya tiba-tiba berubah hati. Ini adalah kali pertama blog ini bertukar wajah setelah hampir dua tahun berada dalam wilayah coklat. Entah kenapa tiba-tiba terasa bahawa perubahan itu suatu yang memberi inspirasi kepada diri.

Yang pastinya, setiap diri harus berubah. Dan kalau tidak mahu berubah sekali pun, ia telah menjadi hukum alam bahawa seluruh jisim yang bernama makhluk akan berubah. Jika tidak berubah maka kewujudannya itu adalah kewujudan yang wajib. Maka kewujudan yang wajib itu tiadalah haknya keatas diri yang bernama makhluk, kerana kewujudan yang wajib itu adalah zat yang digelar al-Khaliq.

Jika saya meneruskan ayat untuk perenggan di atas, hampir pasti menjadi 2-3 muka panjangnya nanti. Dan anda akan menggelarkan saya pencetus kepada gerakan ilmu kalam.

Cukuplah hanya itu, saya minggu ini cukup-cukup ditekan dengan permasalahan ilmu kalam. Walaupun memberi tekanan yang cukup hebat, namun itu pasti menjadi pencetus yang hebat dalam perbahasan tauhid yang cukup mendalam.

Saya sedang menghadami manhaj dan pemikiran Imam al-Ghazali. Dalam waktu yang sama terkait rapat juga dengan beberapa syakhsiyah Islamiyah, antaranya al-Kindi, al-Farabi dan Ibn Sina yang beberapa potong dari fikrah mereka itu disangkal oleh hujjatul Islam al-Ghazali terutamanya yang berlebih-lebihan dalam permasalahan ketuhanan dan filsafat.

Buat masa ini, saya perlukan masa untuk berselimut dalam ruangan akademik. Mengambil sedikit masa untuk menganalisis, mencerap dan menyimpulkan dengan secukup kudrat yang saya mampu. Bahkan, peperiksaan akhir yang hampir pasti tidak sampai sebulan sahaja lagi pastinya menambah terik keperitan.

Doakan saudaramu ini diberi kekuatan untuk terus berjuang....!

@
:-p Selamat hari lahir yang ke-22 buat **** semalam. Semoga sihat, panjang umur, murah rezeki, dan dikurniakan sakinah oleh ALLAH s.w.t. Moga success selalu!

/* Saya menghadapi masalah tak boleh gunakan huruf besar dalam posting.
/* Ada sesiapa yang boleh bantu?

Tuesday, April 01, 2008

Inflasi Planet Bumi

Setelah selesainya sesi pembentangan kertas kerja modul untuk Adobe Photoshop beberapa hari yang lalu, saya sebagai panel pengisi mengandaikan bahawa - sampai bila kemahiran yang saya turunkan kepada mereka pada hari ini dapat mereka gunakan?

Lalu saya bertanya kepada salah seorang peserta tahun lepas. Jawapan jujurnya sangat lancar.

“Lepas habis kursus tu, boleh la buat sikit-sikit. Tapi lepas dah dua tiga bulan, lupa!”

Ya, itu jawapan yang mudah bagi mereka yang kurang melakukan latihan. Sabtu lepas, sekali lagi saya dijemput untuk mengisi slot berkaitan ‘video editing’. Hasilnya, mereka sangat teruja dan tanpa disuruh pun mereka sudah melangkaui apa yang saya suruh. Itu saya tidak kisahkan, mungkin kerana seronok dan terlalu gembira mencipta sebuah presentation. Mereka sudah dapat melangsaikan satu klip video sebelum saya menyuruhnya lagi.

Ini menunjukkan bahawa minat anak-anak didik saya begitu tinggi dengan foto dan video editing. Namun persoalannya, sejauh mana kemahiran itu mampu mereka latih dengan berterusan? Saya akan menanti hasil-hasil dari kelompok pelapis ini untuk menggantikan mereka-mereka yang telah senior kelak. Saya akan menunggunya!

Inflasi Planet Bumi

Mesir sudah mulai hangat akhir-akhir ini. Matahari yang memacak terik di atas langit sudah menunjukkan tanda-tanda musim panas yang garang akan tiba. Namun Mesir akan tetap menjadi Mesir.

Sudah hampir seminggu lebih akhbar tempatan melaporkan krisis roti di perlembahan Nil ini.

Apa tidaknya, ia menjadi masalah utama yang diperdebatkan oleh pemimpin kerajaan lebih-lebih lagi setelah berlakunya beberapa siri pergaduhan dan pembunuhan di kawasan tempat pengagihan roti.

Biasalah di Mesir. Harga sekeping roti yang naik 5 sen pun sudah riuh dibisingi rakyat dan pergaduhan bakal terjadi di mana-mana. Roti ataupun ‘isyh’ adalah makanan ruji bagi rakyat Mesir, memang patut pun untuk rakyatnya melenting. Silap-silap kerajaan yang memerintah boleh digulung rakyat sekiranya krisis roti ini tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Kenaikan harga gandum di pasaran Mesir kini dikatakan telah menjadi punca utama mengapa harga roti menjadi mahal. Di Malaysia juga berlaku perkara yang sama. Sesetengah pembekal mengambil kesempatan menyorokkan simpanan gandum-gandum mereka dan mengambil kesempatan apabila harganya meningkat tinggi kelak.

Beberapa cadangan telah dibuat. Antaranya menggantikan roti yang biasa mereka makan dengan beras dan makarona. Namun perkara itu tidak ideal, kata sesetengah mereka. Harga beras dan makarona juga kini tidak stabil, dan sedang mengalami kenaikan. Ia juga dijangka akan terus naik lagi dalam beberapa bulan yang akan datang.Saya terbaca dalam satu ruangan yang ditulis oleh kolumnis Adly Barsoum. Beliau secara sinis menceritakan idea penyelesaian untuk krisis ini melalui dialog dengan beberapa orang rakannya. Salah seorang rakannya mencadangkan agar kerajaan Mesir membeli segala hasil gamdum dari para petani dan menjadi pembekal terus ke pasaran kedai-kedai. Hal ini dapat mengatasi masalah kenaikan harga yang disebabkan oleh kerenah yang dilakukan oleh golongan pembekal.

Namun secara sinis kolumnis itu berbisik kepada rakannya, menyuruh dia berhati-hati. Golongan ahli perniagaan dan orang-orang politik yang berselindung di sebalik kenaikan harga gandum ini pasti sahaja melenting jika mendengar idea ini dari mulut rakan kolumnis itu. Ya, ada udang harimau di sebalik maggi goreng!

Begitulah senario kenaikan harga gandum dan roti yang secara tidak lansung menyebabkan setiap barang di kedai runcit juga tidak terlepas dari kenaikan harga. Kata orang-orang Mesir - roti adalah umpama udara - adakah boleh diberikan udara itu sesuka hati kepada mereka yang mahu dan dihalangnya daripada orang yang tidak mahu udara? Roti adalah hak rakyat mereka. Biarlah digigit hati dan jantung mereka, tetapi jangan digigit roti mereka!Bisik-bisik :

/* Semua barang naik harga, agak-agaknya apalah barang yang tidak naik harga?
/* Ermm... mungkin harga diri, bukan sahaja harganya tidak naik, malah dikatakan semakin murah. Ya, hanya RM 830 (130 pound) untuk seorang genius !...

Friday, March 21, 2008

Kelahiran


Selamat menyambut Maulidul Rasul s.a.w,
Selawat dan salam ke atas Junjungan Baginda s.a.w serta para sahabat dan ahli baitnya...

Saturday, March 15, 2008

Melukis Hati

Setelah menjejakkan kaki ke bumi Mesir, saya rasakan seperti sudah betul-betul selamat ketika berada di tanah Sinai. Dan waktu melalui gurun-gurun batu di tanah Nuwaiba, perasaan lega sudah mula untuk memuncul dan dapat dirasakan yang permusafiran selama hampir tiga minggu ini akan bakal berakhir sebentar lagi. Ini bererti, saya hampir menamatkan rukhsah qasar dan jamak dalam solat yang saya telah lakukan selama tiga minggu berturut-turut sebelum ini. Pujian untuk Allah s.w.t.

Syria
, Lubnan dan Jordan. Ketiga-tiga tanah Arab ini sudah saya jelajahi. Walaupun mereka semua ini dalam kelompok bangsa yang sama, juga bahasa yang sama, namun struktur geografi tetap membawa angin yang berbeza dalam kehidupan di negara masing-masing.

Di Syria, saya tidak dengar hiruk pikuk manusia, tiada keserabutan di jalan raya, tiada pencemaran bunyi hon-hon kereta, dan yang paling membuatkan hati ini jatuh cinta adalah manusianya yang berbudi. Mungkin tidak adil membezakan kelompok bangsa manusia, namun saya mudah melihat ini dari sudut yang umum dan keseluruhan.

Pernah di Syria suatu ketika setelah selesai bersolat di Masjid Qadam, kami diperlawa oleh seorang tua untuk menjamu kami makan tengah hari di rumahnya sedangkan orang tua itu tidak kami kenali dan itu kali pertama pertemuan kami dengannya. Kawan-kawan kami di Syria berkata, perkara ini sudah terlalu biasa di sini. Lebih-lebih lagi kalau mendengar nama Malaysia, kami dimuliakan dengan begitu tinggi sekali sehingga kami sendiri timbul rasa malu dengan budi dan ikram (kemuliaan) yang diberikan oleh masyarakat Syria di sana.

Tutur kata yang penuh lemah lembut dan berlagu membuatkan hati ini sentiasa tertewas jika berlaga harga dengan mereka ketika melakukan urus niaga dan tawar menawar. Saya fikir, di Mesir saya ini bolehlah juga dikatakan sudah handal dalam urusan pujuk-memujuk untuk menurunkan harga, namun di sana kerap juga tertewas kerana senyuman muka dan aksi lemah lembut mereka ketika me’moja’. Sungguh saya katakan, ini sesuatu yang agak sukar untuk saya temui di Mesir!

Syria
, bilad Syam yang sungguh aman dan damai. Kecantikan pemuda dan pemudi ikut juga tertumpah di negara bersebelahannya, Lubnan. Walaupun orang-orang gereja nampak kelihatan agak berkuasa lebih-lebih lagi di kota Beirut, namun Lubnan yang hanya dua hari saya ke sana tidak membawa apa-apa pengalaman yang menarik selain dari menikmati keindahan suasana ibu kota yang sedang berada dalam musim peperangan.

Jordan yang mahal membuatkan kami sukar untuk lincah merayap. Harga minyak dan gas yang semakin mahal menyebabkan kos sara hidup di sana betul-betul ‘cekik darah’. Menukar tong gas didapur untuk memasak hanya memerlukan hampir kira-kira RM 6 nilainya jika ditukar di bumi Mesir berbanding RM 50 jika tong gas itu ditukar di Jordan. Sungguh boleh membuatkan tabiat berbelanja terencat secara tiba-tiba jika anda ke Jordan!

Namun
, Jordan adalah kota yang cantik dan menggiurkan. Walaupun tidak banyak tempat pelancongan di sana, namun bagi saya berjalan-jalan sekitar bandar Amman sudah membuatkan hati ini jatuh cinta dengan suasana Rom di sana. Apabila melalui jalan-jalan berbukit di ibu kota Amman, saya rasakan seperti berada di bandar Rom lama. Dengan batu-batu putih yang klasik bersepahan di keliling bandar dan rumah-rumah yang banyak dibina di kawasan bukit, tiada apa lagi yang dapat menambat hati ini melainkan dengan kecantikannya.

Pengalaman


Saya merasakan perkara yang paling penting sekali dalam kehidupan manusia adalah pengalaman. Ia adalah pembeza kedua yang utama dalam kehidupan makhluk selepas ilmu. Suatu perkara yang tidak akan saya lupakan dari kembara tiga minggu ini adalah pengalaman yang berharga.

Saya selalu teringat guru-guru menyebut bahawa hampir kebanyakan para Rasul a.s yang diutuskan untuk ummat manusia, kebanyakan mereka pernah mempunyai pengalaman mengembala kambing. Sehingga boleh dikatakan bahawa mengembala kambing itu adalah sunnah yang berlaku dalam kehidupan para Rasul a.s.

Persoalan yang kerap membenak pemikiran saya adalah mengapa kerja mengembala kambing itu sesuatu yang berharga dalam kehidupan para Rasul a.s? Secara realitinya hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu tentang rahsia sunnah itu, namun secara psikologi seorang manusia, saya melihat bahawa pengalaman dan kesabaran yang dilalui oleh seorang pengembala kambing merupakan suatu pencerahan dalam medan dakwah dan tarbiyah mereka kepada ummat.

Sesiapa yang belum kenal dengan kambing, jangan terlalu cepat untuk menolak hikmah ini. Berhadapan dengan perpuluh-puluh ekor kambing, hatta mungkin juga beratus-ratus ekor, dapat mengajar erti kepayahan, kesabaran dan segala macam pengalaman yang mencerahkan pemikiran manusia. Dan selain dari mengembala kambing, suatu proses yang juga menjadi sunnah orang-orang terdahulu yang hampir boleh dikatakan serupa dengan sunnah mengembala kambing ini adalah mengembara dan bermusafir.

Mengembara dan melancong mungkin kelihatan seperti aktiviti yang sama, namun ia tetap berbeza. Bermandi jakuzi panas dan tidur lena di hotel empuk sudak cukup untuk membezakan antara dengan minum air paip dan tidur dengan kesejukan di stesen bas. Ini mungkin adalah contoh perbezaan yang kita perolehi antara mengembara dan melancong. Namun kedua-duanya juga memperolehi pengalaman. Cuma mungkin nilai dan budi yang bakal kita dapat dari keduanya ini membezakan diantara hikmah mengembara dan melancong.

Terima kasih untuk mereka yang memudahkan urusan kami. Di Syria, Payal, Taufiq, Fatah, Lukman dan Mat sentiasa dalam ingatan kami. Syabab dan ahli rumah Nasir di Mafraq yang sentiasa memberi keselesaan kepada kami bertiga, juga melayan kami di gelanggang PES ketika berada di sana. Ustaz Fakhrurrazi dan Khairi di Amman yang tidak jemu-jemu melayan kerenah dan jenaka kami walau mereka dalam kesibukan. Di Mu’tah, Azmi dan seluruh ahli rumahnya yang begitu membuatkan kami rasa terhutang budi. Semoga Allah s.w.t memudahkan urusan kalian semua dunia dan akhirat.

Juga untuk mereka yang menjadi ‘sifu’, yang banyak memberi pendidikan tentang kehidupan kepada kami sepanjang perjalanan ini. ‘Makcik Cina’ yang begitu berani dan selamba meredah laut Mediterranean seorang diri. Najiha, si gadis Jepun yang menarah hati di atas kapal AB Maritime. Jean, pemuda Barcelona yang kami kagumi kerana sedang dalam kembara mengelilingi dunia dengan keretanya. Juga tidak lupa kepada pakcik drebar lori ke Amman yang kami kenali di atas kapal ke Aqabah. Moga ketemu lagi di kembara yang akan datang InsyaALLAH….

Wednesday, March 05, 2008

Setelah Hampir Dua Minggu

Ketika beberapa hari memulakan perjalanan :
"Wah, seronoknya...!!!"

Ketika masuk hampir dua minggu bermusafiran :
"Tidak... mahu pulang segera!!! Rindu Mesir, rindu katil. Duit keluar macam air, Jordan sangat mahal...!!!"
Jerash, Jordan.

Thursday, February 28, 2008

Satu Jam Yang Penuh Getir

"Kamu masehi (kristian)?"

"Tidak, tentulah kami Muslim". Masing-masing menunjukkan kad matrik kuliah universiti al-Azhar, mahu memberi bukti keislaman kami.

"Kamu pernah dengar tentang Hizbullah?"

"Ada, kami baca dalam akhbar"

"Kamilah Hizbullah.", mereka tersenyum.

Kami turut tersenyum walaupun dibaluti sedikit perasaan takut. Masing-masing lutut sudah bergetar barangkali. Yalah, di negara orang. Negara yang asing sedikit dari orang-orang Malaysia.

Hampir satu jam kami ditahan oleh orang-orang Hizbullah. Pakcik Adel, pemandu teksi yang membawa kami ke sini telah dibawa ke markaz untuk disoal siasat. Setelah beberapa ketika melalui kawasan al-Manar, iaitu bangunan bekas stesen televisyen utama puak Hizbullah. yang telah dibom dan diserang teruk oleh tentera Israel suatu ketika dahulu, kami ditahan oleh sekumpulan perisik Hizbullah beberapa detik setelah melalui kawasan itu.

Salah seorang dari kami telah gatal-gatal tangan merakam gambar kawasan berkenaan. Kawasan Dhakhiyyah adalah kawasan kubu kuat Syed Hassan Nasrullah di Kota Beirut. Kami menaiki teksi yang dipandu oleh Pakcik Adel ke kawasan itu, dia orang asalan Lubnan yang sudah biasa selok belok kawasan di sini.

Passport kami diambil. Beg-beg sandang kami juga habis ditahan dan diperiksa. Kali ini muka kami memang seperti 'pelancong-pelancong tertekan', seperti kata Taufik menyindir. Mereka sebenarnya telah ternampak salah seorang dari kami yang mengambil gambar dengan telefon bimbit. Kawasan ini adalah kawasan panas, mereka sedang dalam keadaan berjaga-jaga dan penuh hati-hati. Keadaan memang betul-betul tegang apabila kereta Mercedes bercermin hitam mereka menderas laju dan serta merta berhenti dihadapan kami. Nampak raut muka masing-masing begitu kaget walau dihiasi dengan senyuman plastik.

Pada hakikatnya, bukan kamera telefon bimbit Taufik sahaja yang beraksi, tetapi yang lebih dikhuatirkan adalah kemera besar saya yang berwarna hitam itu juga turut merakamkan suasana di sekitar kawasan tersebut.

Alhamdulillah, mujur saya berjaya sembunyikan kamera itu tanpa pengetahuan mereka. Walaupun saiznya besar menggebu, namun dengan izin Allah kamera kesayangan itu berjaya disimpan dengan tenang. Saya fikir kalau ianya dirampas, mungkin sayalah orang yang paling tidak duduk diam waktu itu.

Hizbullah. Mereka tidak punya angkatan polis, namun penuh dengan orang-orang risikan. Walaupun Beirut tenang dengan suasananya, namun mereka masih dalam keadaan berjaga-jaga. Letupan dan serangan boleh berlaku bila-bila masa. Mujur ziarah kami ke Lubnan tidak lama, hanya dua hari. Namun pengalaman ditahan selama sejam oleh tentera Hizbullah. tidak akan kami berlima lupakan.

Mereka orang-orang beriman yang tidak takut mati. Mereka sedang menunggu giliran untuk syahid. Kami beruntung memasuki kawasan dan bertemu dengan mereka. Itu adalah pengalaman yang jarang-jarang sekali didapati. Bersalaman dan berlaga pipi dengan para syuhada'. Semoga mereka berjaya mempertahankan diri, dan terus membersihkan tanah suci Palestin dari perangai haiwan Israel laknatullah.

Tuesday, February 26, 2008

Satu Hari di Dimasq


Bludaan, Syria.


Batok yang mengidam ABC. Mengenang mesin pengisar ABC rumah Johor yang telah hilang...

Friday, February 22, 2008

Antara Berus Gigi & Pintu-Pintu Damascus

Berus gigi. Salah satu benda paling penting dalam hidup manusia. Kalau dikatakan agama itu yang paling penting dalam kehidupan manusia, maka berus gigi barangkali menjadi perkara yang kedua terpenting dalam diri manusia selepas agama. Saya sebutkan ‘barangkali’, mungkin saja ia boleh berlaku.

‘Jangan lupa bawa berus gigi’. Itu adalah pesanan dari ibu saya setiap kali mahu balik kampung atuk. Hatta hingga umur saya hampir suku abad ini sekalipun, pesanan itu tidak dapat dielakkan. Bukanlah saya tidak rajin menggosok gigi, tetapi disebabkan faktor suka melengah dan ‘pelupa’, menyebabkan saya lalai membawanya kemana-mana.

Dan kalau sudah tertinggal, alamatnya perlu dibeli dengan berus gigi baru. Sebab itu bukan ibu saya sahaja yang gemar mengingatkannya, bahkan ayah saya juga turut selalu campur tangan sama untuk mengingatkan. Mungkin kerana ayah malas mahu turun singgah di kedai runcit untuk beli berus gigi baru. Justeru, pesanan ini mungkin boleh sahaja diturunkan oleh ibu kepada isteri saya kelak jika perkara tertinggal berus gigi ini tidak hilang.

Tetapi untuk kali ini mereka tidak usah khuatir. Berus gigi adalah perkara pertama sekali yang saya kumpulkan dalam beg. Walaupun di Jordan dan Syria nanti terdapat beribu-ribu kedai runcit yang menawarkan penjualan berus gigi, namun saya tak perlu risau kerana ia sudah dibawa dan dikumpul sejak awal lagi.

Antara Jordan dan Syria, kalau diikut hati, saya lebih ghairah pada Syria. Bukan kerana gadis-gadisnya yang sememangnya comel, tetapi sejarah lalu telah menghambat saya untuk menyintai negara pemisah antara Syam dan Hijjaz itu. Damascus atau Dimasyq hakikatnya lebih saya cintai berbanding Amman. Bukan bermaksud memperkecil-kecilkan dan mencari beza dengan Amman, tetapi seperti yang saya katakan sebentar tadi, sejarah silam telah memahat faktor percintaan ini.

Kedua-dua ibu kota ini amat bernilai disebabkan oleh zaman lalunya. Syria terutamanya suatu ketika dulu menjadi antara kawasan petempatan yang terawal dicatatkan di dalam sejarah ketamadunan manusia justeru sungai Euphrates dan sungai Tigris menjadi lambang kehidupan empayar Assyria.

Saya memancing rakan sepermusafiran. Saya bilang, kalau sudah ke Syria, amat rugi kalau tak singgah ke Aleppo atau dikenali sebagai Halab. Dan kalau sudah ke Halab, lebih rugi kalau tidak hirup kabus-kabus pagi di Turkey, kerana Halab sudah betul-betul bersempadan dengan Turkey. Mereka menggigit bibir, tanda turut berfikir. Hasutan saya betul-betul masuk ke telinga mereka.

Walaupun pada hakikatnya kos perjalanan dan survival hidup di Turkey agak mahal, namun Turkey adalah sebuah lagi negara yang telah menghambat hati saya untuk ‘jatuh cinta’. Sekurang-kurangnya jika tidak dapat ke Istanbul, dapat meluangkan masa ke wilayah Konya pun sudah memadai, tempat cinta saya berputik.

Setidak-tidaknya waktu pagi disana dapat diluangkan mencicip kopi emas turkey di antara kabus dingin, juga dapat waktu emas menziarahi pemilik ‘republik cinta’ Mathnawi, Maulana Jalaluddin ar-Rumi. Rasanya itu pun sudah cukup untuk melegakan hati. Lagi untung kalau dapat menonton ritual putaran Sema ‘The Whirling Dervishes’ oleh para sufi Maulawi dengan tarbus tinggi mereka itu di negara tempat jatuhnya khilafah Islamiyah yang telah berlalu hampir tiga suku dekad yang lalu.

Saya mahu bermusafir. Seboleh-bolehnya mahu menggali segala sejarah yang ada di sana, menziarahi rumah-rumah para solihin. Gadis-gadis comel di sana bukanlah faktor utama, saya telah jatuh cinta dengan sejarahnya. Sejarah kegemilangan yang hanya tinggal di dalam buku. Walhal di negara sebelah, Israel, saudara-saudara saya juga hanya mampu menatap sejarah itu, sedangkan mimpi mereka selalu merah, penuh dengan warna darah. Damascus. Ya, sejarah hanya tinggal untuk ditertawa.

Saturday, January 12, 2008

Mahu Jadi Adil

Orang yang beriman adalah orang yang adil dalam melakukan sesuatu perkara. Adil yang dimaksudkan adalah meletakkan sesuatu betul-betul pada tempat yang sewajarnya. Manakala lawan bagi adil pula adalah zalim, iaitu meletakkan atau menghukumi sesuatu bukan pada tempatnya yang sebenar.

Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya bukanlah suatu perkara yang subjektif dan rumit untuk dibincangkan, malah manusia telah dikurniakan panduan dan akal fikiran oleh Allah s.w.t untuk membuat penilaian. Ia juga
tidak bermakna bahawa akal adalah sesuatu neraca bagi setiap keputusan, malah sebagai orang mukmin kita wajib berpegang kepada akidah dan syariah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t melalui kalam-Nya iaitu al-Quran dan juga melalui hadith kekasih-Nya yang terpilih iaitu junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam menyentuh tentang keadilan,
Allah s.w.t menyatakan di dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

(Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat)
an-Nisa’ : 58

Sebahagian besar dari ahli falsafah Yunani pada zaman sebelum Masihi menggunakan akal fikiran mereka dalam mengadili segala perkara. Segolongan besar dari mereka menggunakan fikrah nisbiyyah, iaitu segala perkara yang baik dan buruk itu dapat diketahui dengan neraca akal. Maka, apa yang dirasakan baik pada akal mereka maka ianya disangka adalah perkara yang baik. Begitu juga sebaliknya pada perkara buruk. Ini dapat dilihat berdasarkan pemikiran dan falsafah yang diadun oleh Protagoras dan rakan-rakannya yang lain dari golongan Sophist.

Perkara yang sama juga berlaku ketika zaman pemerintahan khilafah Islamiyah. Telah muncul perkara yang sama - fikrah nisbiyyah - dalam kelompok masyarakat Islam iaitu dengan kemunculan golongan muktazilah yang diasaskan oleh Wasil Bin Atha’. Prinsip kebaikan dan keburukan yang dibawa oleh mereka dinilai berdasarkan nilai akal fikiran manusia. Antara frasa popular yang selalu kita dengar adalah dari golongan Muktazilah adalah; Sesuatu yang baik adalah apa yang dinilai baik oleh akal, manakala sesuatu yang buruk itu adalah apa yang difikirkan buruk oleh akal.

Pada zaman yang moden kini, unsur-unsur nisbi ini tidak terlepas dari cengkaman fikiran-fikiran manusia. Sebahagian besarnya diserapkan dalam pemikiran mereka yang menerima konsep berfikir scara lateral. Mereka ini dikenal juga sebagai rasionalis (pengguna akal) bahkan sebagai Free-thinker, Freidenker, 'pemikir bebas'. Sifat asas pemikiran ini iaitu generatif dan kreatif dilihat mempunyai persamaan dengan unsur-usur yang ajaran kaum Sophist. Bukan kreativiti yang dipersalahkan dalam berfikir mengikut cara ini, tetapi golongan ini sering menganggap bahawa segala idea-idea mereka yang banyak dan baru itu adalah sentiasa betul dan benar belaka.

Maka dari sudut ini, pemikiran lateral dilihat sebagai sebuah konsep yang tiada bezanya dengan ajaran Sophisme disebabkan mereka beranggapan bahawa setiap pendirian oleh seseorang individu itu boleh dibenarkan belaka dan kebenaran itu ada pada setiap manusia. Hal ini berlaku kerana bagi Protagoras, manusia adalah pengukur bagi mengadili setiap sesuatu. Ya, itulah kesan dan unsur fikrah nisbiyyah yang turut dipegang juga oleh golongan pemikir lateral, sehingga ia dianggap sebagai aliran neo-Sophisme.

Etika

Dalam perihal menyatakan keadilan, manusia tidak boleh lari dari beretika dalam menyatakan fikirannya. Etika (ethics) mempunyai dua pengertian. Yang pertama adalah ilmu yang mengkaji etika dalam kehidupan manusia dari sudut konteks yang tertentu. Makna yang kedua boleh disimpulkan sebagai suatu perilaku yang baik dalam kehidupan manusia. Tiap-tiap bidang kehidupan mempunyai asas moralnya yang tersendiri, yang juga mengajar ahli-ahlinya bagaimana cara berperilaku yang ideal. Lalu apabila asas-asas moral tersebut diperincikan dalam bentuk penulisan, maka ia dikenali juga sebagai kod etika (code of ethics).

Etika dan keadilan adalah dua perkara fundamental yang mempuyai keterikatan dan sukar untuk dipisahkan. Kedua-dua perkara ini saling berkait rapat dan memerlukan antara satu sama lain kerana sesuatu perkara yang adil itu adalah perkara yang selari dengan etika, dan etika yang selari dengan tabi’e manusia akan melahirkan insan yang adil. Etika yang dimaksudkan ini adalah akhlak dan undang-undangnya.

Menegakkan kebenaran dan keadilan adalah ciri-ciri yang penting bagi seorang yang beriman kerana Allah s.w.t menjadi saksi terhadap segala keadilan yang ditegakkan oleh manusia. Keadilan yang ditegakkan oleh manusia adalah sebahagian dari unsur rohani yang memberi kekuatan kepada hati dan secara tidak langsung ia melahirkan asas takwa dan taqaarub kepada Allah s.w.t. Maka tidak lain dan tidak bukan, orang yang bertakwa itu adalah orang yang beradil dengan manusia dan berakhlak (beretika) seperti mana yang diajarkan di dalam al-Quran.

Allah s.w.t menerangkan di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

(Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan)
al-Maidah : 8

Dan sesungguhnya, akhlak Nabi Muhammad s.a.w adalah akhlak yang paling mulia dan tertinggi di antara sekalian manusia kerana akhlak baginda itu lahir dari hikmah-hikmah yang terkandung di dalam al-Quran.

Maka, sesuatu kebenaran dalam diri manusia itu adalah yang lahir dari susunan akhlak dan etika seperti yang diajar di dalam al-Quran, bukan mengikut fikrah nisbiyyah seperti yang diajar oleh filsafat-filsafat terdahulu. Al-Quran telah datang sebagai mukjizat yang terbesar untuk sekalian manusia. Ia akan tetap kekal berterusan menjadi panduan kepada manusia sehingga berlakunya hari kiamat kelak.

Justeru, akal dan hawa nafsu jika keduanya ini yang dijadikan kayu ukur bagi kebaikan manusia, nescaya segala kebaikan itu akan menjadi bukti alat kehancuran dalam sejarah ketamadunan dan peradaban manusia.

Monday, January 07, 2008

Kau Dan Aku - Sama

Bukan senang dapat menaip dalam keadan sibuk. Seperti orang yang berlari untuk finale pecut 100 meter, bukan senang untuk dia berhenti sebentar dan minum seteguk air. Ya, mencuri sebentar masa untuk menaip dalam keadaan berlalunya peperiksaan satu persatu. Masih berbaki 5 subjek di hadapan ini serasa saya.

Siang tadi selesai sudah saya duduki antara salah satu subjek yang rasanya agak sukar bagi semester ini. Buktinya, beberapa tajuk tidak dapat dihabiskan. Anaxagoras, Leucippus, Xenophanes dan beberapa nama lagi adalah antara tajuk yang saya tak sempat baca di Mesjid Al-Azhar pagi tadi. Saya berangan semalam kiranya kalau dapat membaca sekilas lalu antara bingkis-bingkis cahaya matahari dan sejuk pagi di rawaq mesjid, namun terpaksa juga ditutup kitab falsafah Yunani itu tanpa memerhati beberapa tajuk, terutamanya tentang falsafah-falsafah dari sekolah Elea.

Tetapi rezeki Tuhan, siapalah yang dapat meramalnya. Hanya soalan-soalan yang ditanya sekitar zaman golongan para sophist dan zaman-zaman selepasnya sehinggalah yang terakhir sekitar teori pertengahan (ausat) oleh Aristotle. Huh, al-hamdulillah, sebahagian pening-pening saya untuk semester ini sudah hilang!

Walaupun mantiq moden akan dilalui selepas ini, namun hakikatnya fikiran ini telah berada di hari-hari selepas peperiksaan nanti. Saya ada dua program utama pasca-imtihan. Rehlah ke Sinai dan program penulisan. Kalau ikut nafsu dan kelazatan seperti teori orang-orang sophist, saya akan memilih untuk ke Sinai. Boleh juga memanfaatkan Olympus kesayangan yang sudah lama tak beraksi. Namun ada tanggungjawab dari kem penulisan untuk dipikul di awal Februari nanti. Saya belum pasti lagi.

Untuk adik saya di Malaysia, saya ucapkan tahniah. 9A dalam PMR bukan suatu yang mudah. Saya pun tak merasa waktu duhulu. Namun perjalanan ini masih jauh. Nilai A nya itu hanya bagai sekelumit jika mahu dibandingkan dengan ujian-ujian yang akan ditempuhinya dalam kehidupan dewasa nanti. 'A' bukanlah yang terpenting, tetapi yang maha pentingnya adalah ilmu dan bagaimana ilmu itu dapat digunakan dalam kehidupan di hari kelak.

Sebab saya telah lalui zaman itu dengan rakan-rakan seangkatan yang lain. Berapa ramai rakan-rakan seperjuangan saya yang mampu peroleh berbakul-bakul A terutamanya dalam mata pelajaran berteraskan pendidikan Islam, namun sejauh mana terdidiknya akhlak kami dengan Islam? adakah akhlaknya seakan al-Quran atau akhlaknya seperti syaitan? bukan tugas saya untuk menghukum manusia, tetapi ia adalah pengajaran. Bukan hanya pengajaran untuk saya sahaja, atau adik saya sahaja, atau rakan-rakan saya sahaja, bahkan persoalan ini untuk semua yang pernah mengambil mata pelajaran pendidikan Islam dalam hidup mereka!

Sejauh manakah amali manusia itu mampu selari dengan teori keilmuan mereka selama ini? itu sesuatu yang amat berat dan paling berat dalam kehidupan manusia. Saya selalu terfikir dan merisaukan tentang perkara ini.

Dalam Al-Quran ada menyebut :

(Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah - jika kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya)
as-Saff : 2 & 3

Akhlak adalah antara matlamat yang hakiki dalam persoalan mengapa seseorang manusia itu perlu beragama dan beriman. Sesungguhnya Nabi S.A.W diutuskan keatas seluruh ummat manusia untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. Akhlak ummah yang sempurna akan menjadikan bentuk agama Islam itu semakin cantik dan sempurna. Mengapa kita cukup berat untuk mendidik diri menjadi seorang yang sempurna (berakhlak mulia)?


Tuesday, January 01, 2008

al-Wakeel


وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلا
(Dan kepunyaan Allah jua apa yang ada di langit dan apa yang di bumi.
Cukuplah Allah sebagai Pemelihara)
an-Nisa' : 132

Selamat Berimtihan

Thursday, December 13, 2007

Menambat Unta

Kepada insan-insan yang sudi menegur blog saya yang agak sunyi sepi akhir-akhir ini, syukran jazilan. Terima kasih kerana sudi mengingatkan. Saya sendiri yang sedang mengalami cultural shocked ini pun kadang kala terlupa bahawa saya mempunyai sebuah laman blog yang harus sentiasa di'update' waktu demi waktu.

Ya, memang boleh dikatakan kejutan budaya. Saya terkejut dengan budaya pembelajaran yang tidak pernah saya lalui sebelum ini. Jika pada tahun lepas dan tahun sebelumnya, pada semester awal saya hanya perlu mengambil sekadar 5-6 subjek seperti yang menjadi ketentuan kuliah. Tetapi kali ini 8 subjek. Walaupun ada diantara mereka yang perlu mengambil lebih dari itu, tetapi yang pasti 8 subjek ini bakal menjadi budaya yang akan mengejutkan budaya-budaya yang saya telah biasakan sebelum ini.

Mengapa perlu terkejut dengan budaya ini?

Banyak perkara dan budaya yang berlainan dengan corak yang sebelumnya. Tahun ini saya berhadapan dengan subjek-subjek baru yang tidak pernah saya tergambar sebelum ini. Yang pasti, dalam sesuatu keadaan, gambaran (tasawwur) asas secara ijmaliy perlu dilakukan sejak dari awal agar seseorang itu tidak terkejut dan dapat bersedia dengan budaya yang baru.

Hal ini lazim terjadi kepada jemaah yang mengerjakan umrah dan haji. Sekiranya mereka pertama kali mengerjakan umrah atau haji di Makkah, pada awalnya mereka pasti terkejut kerana berhadapan dengan situasi dan lakaran budaya yang berlainan. Sebab itu sekiranya jika anda bertanya kepada orang yang sudah pertama kali pergi ke Makkah, pasti mereka mengharapkan trip umrah atau haji untuk kali yang kedua. Ini kerana mereka merasakan banyak perkara yang kurang sempurna dilakukan akibat daripada kejutan budaya dan masyarakat.

Kerana itu sesetengah orang menasihatkan agar pergi mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum mengerjakan haji, supaya kita dapat tasawwur (gambaran) tentang kota Makkah dan budayanya. Lagi pula jika musim haji ditambah dengan jutaan manusia yang dikumpul dengan kerenah dan budaya mereka yang tersendiri, memang sudah cukup untuk membuatkan jiwa terencat.

Tetapi tidaklah mengapa untuk yang mendapat seru haji lebih awal dari umrah. Sekurang-kurangnya mereka terlebih dahulu sudah memasuki kursus dan mendapat gambaran dari peserta dan orang yang telah dahulu pergi. Dan lebih dari itu, sekurang-kurangnya mereka itu lebih beruntung kerana dipilih untuk menjadi tetamu Allah s.w.t berbanding dengan mereka yang lansung tidak dijemput dan dipanggil untuk ke Tanah Suci Kota Makkah.

Hal sebegitu juga seolah-olah menjadi klise kepada kejutan budaya yang saya hadapi. Saya seharusnya mendapatkan gambaran awal tentang subjek bakal saya hadapi dari orang yang telah melaluinya. Itu barulah jalan yang terbaik. Tetapi perkara itu tidak saya lakukan, maka saya terpaksa menghadam kepayahannya dan terpaksa berhadapan dengan budaya baru yang saya masih belum bersedia dengannya.

Pada hakikatnya, itu bukanlah sebab untuk saya mengaku kalah. Saya perlu lebih bersedia, dan paling tidak pun ditambah lagi dengan doa-doa yang dikirimkan oleh para pembaca sekalian sudah cukup untuk membuatkan saya bersemangat semula untuk menghadami ilmu-ilmu baru yang mulai menepu ini. Saya juga terpaksa berhadapan dengan istilah-istilah baru yang lebih mencabar, lebih analitikal, lebih kritikal dan barangkali lebih 'basikal'.

1hb Januari 2008 nanti adalah tarikh pertama untuk menguji kefahaman dan ilmu saya. Saya perlu menguasai beberapa ilmu sebelum tarikh ujian itu sampai. Antaranya seperti subjek Khitobah [1/1/08], Psikologi [3/1/08], Falsafah Yunani [7/1/08], Mantiq (Logik) Moden [10/1/08], Tasawwuf [14/1/08], Tafsir [17/1/08], Perbandingan Agama [21/1/08] dan Feqh [24/1/08].

Sepanjang keberadaan saya di sini, perkara yang penting dan asas untuk menghadapi peperiksaan di Al-Azhar adalah senjata 'tawakkal'. Sepanjang pengalaman yang sedikit ini saya sering menyimpulkan bahawa sekuat mana kita bertawakkal, maka sekuat itulah kita akan berjaya melepasi peperiksaan di sini. Dan tawakkal itu pula tidak akan dinamakan dengan 'tawakkal' sekiranya ia tidak didahului dengan usaha seperti mana perlunya menambat unta dengan tali di tunggul kayu sebelum bertawakkal meninggalkannya.

Maka, apakah erti lulus dalam peperiksaan jika diri kosong dari ilmu?

*/ Selamat menyambut Hari Raya AidilAdha dan selamat menghadapi bulan peperiksaan....

Saturday, December 01, 2007

Itulah Pengalaman


Benar sekali, ia merupakan suatu pengalaman yang paling menarik dan berharga dalam diri saya dan dalam bidang fotografi. Saya belajar banyak perkara ketika membuat liputan (coverage) di Karnival Kerjaya TImur Tengah 2007 di Cairo International Conference Center (CICC) minggu lalu. Walaupun ada sesetengah perkara yang menjelirkan lidah dan meloyakan tekak, namun apa yang pasti pengalaman ini mengajar saya mengenai banyak perkara.

Betullah kata-kata mereka. Fasal pengalaman adalah pendidikan yang paling memberi kesan. Menghadami teori dan menyelami falsafah adalah dasar yang asas dalam keilmuan. Walhal, praktikal dan pengalamanlah yang menjadikan diri dan tingkah laku kita semakin matang dan berhikmah.

Saya cuma sempat untuk meng'upload' beberapa keping gambar sahaja yang diambil ketika liputan. Untuk melihat sila klik di sini.

Sunday, November 25, 2007

The Assignment


Hampir seminggu lebih blog ini dilupakan. Saya banyak tugasan, dan ada bertimbun-timbun komitmen di sisi bahu dengan tugas belajar dan mengajar.

Sungguh tak disangka, dalam rimbunan-rimbunan tanggungjawab itu, saya mendapat tugas yang lain pula. Assignment kali ini cukup mencabar fizikal dan mental. Saya dapat rasakan deru gegarannya seawal lagi. Karnival kerjaya dan lawatan rasmi Perdana Menteri yang akan diadakan esok nampaknya begitu mencabar dan mengujakan dalam tugas untuk mematangkan kerja fotografi saya.

Kali ini saya mendapat tugas dari Kedutaan Malaysia untuk merakam suasana sekitar karnival yang bakal berlansung esok. Ini memang sesuatu yang ditunggu. Jarang-jarang saya mendapat tugas rasmi sebegini selain di tanah air sendiri. Arrgh, yang paling merisaukan adalah, bateri flash tak cukup....

Thursday, November 15, 2007

What A Wonderful World

Minggu ini, lagu nostalgia perang vietnam nyanyian Louis Armstrong ini telah menjuarai carta senarai lagu dalam komputer riba saya.


WHAT A WONDERFUL WORLD

I see trees of green, red roses too
I see them bloom for me and you
And I think to myself,
what a wonderful world

I see skies of blue and clouds of white
The bright blessed day, the dark sacred night
And I think to myself,
what a wonderful world

The colours of the rainbow, so pretty in the sky
Are also on the faces of people going by
I see friends shaking hands,
saying "How do you do?"
They're really saying "I love you"

I hear babies crying, I watch them grow
They'll learn much more than I'll ever know
And I think to myself, what a wonderful world
Yes, I think to myself,
what a wonderful world.

download


Thursday, November 08, 2007

Kebergantungan Informasi

Reuters, AP, UPI dan AFP adalah nama yang tidak asing lagi dalam bidang penyiaran, termasuk juga dalam bidang kewartawanan. Mudah ceritanya, Reuters, Associated Press (AP), United Press International (UPI) dan Agence France Presse (AFP) adalah sebahagian dari agensi-agensi berita utama dunia yang dimiliki oleh Barat.

Walaupun pada hari ini bi
langan penduduk Islam di dunia dianggarkan berjumlah lebih daripada satu bilion, namun dalam aspek ekonomi, politik, ketenteraan dan teknologi, hampir kebanyakan negara-negara Islam masih lagi bergantung kepada negara-negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat (AS), negara-negara Eropah dan Jepun. Hal ini merupakan semacam malang kepahitan yang terpaksa ditelan oleh rata-rata rakyat di negara Islam. Begitu juga halnya dengan sumber maklumat dan berita yang dibawa kepada masyarakat Islam secara umumnya.

Jika diimbas kembali dari sudut sejarah, selepas perang dunia kedua, AS telah menjadi salah satu kuasa besar dunia yang sering kali dimomokkan sebagai sebuah sebuah model negara yang sempurna, terutamanya dalam aspek memperjuangkan sistem demokrasi. Pendemokrasian ini juga justeru dapat dilihat jelas dalam aspek penyebaran informasi yang dilakukan senario politik mereka.


Konstitusi utama pada Amerika Syarikat tentang kebebasan informasi mengungkapkan seperti
berikut; ”Congress shall make no law... abridging freedom of speech or of the press” (Kongres tidak boleh membuat undang-undang… untuk menjambatani kebebasan berbicara atau akhbar). Konsep ini pada hakikatnya mengandaikan bahawa pihak pemerintah tidak boleh mengganggu proses penyebaran berita oleh pihak media. Maka itu, secara teorinya, akhbar mestilah bebas berdiri di luar pemerintah dengan kemungkinan segala macam idea, baik mahupun buruk, mestilah dibenarkan bergerak melalui pasaran idea (market place of ideas) untuk mencapai kebenaran.

Hakikatnya, kebebasan informasi ini bukanlah suatu konsep yang remeh tetapi merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan sistem peradaban dan merupakan akar ideologi Barat. Ia dapat dilihat mempunyai keterikatan yang kuat dengan konsep laissez-faire (a general principle of non-interference). Sudah tentu perang dunia kedua yang lalu telah membawa keuntungan yang besar buat Amerika Syarikat, bahkan ia muncul sebagai sebuah kuasa besar yang mempengaruhi negara-negara
lain di dunia.

Teknologi baru di da
lam bidang komputer, setelit dan televisyen yang diadun dengan jaringan perniagaan yang hebat telah mendorong AS untuk menduduki tempat utama dalam bidang ekonomi dunia, sedangkan pada masa itu, negara-negara lain di dunia masih lagi dalam peringkat pembangunan.

Dengan munculnya banyak negara-negara yang baru merdeka, iaitu sekitar akhir tahun 1950-an hingga awal 1960-an, banyak negara-negara dunia ketiga itu mula mengambil tempat dalam forum-forum dunia
seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perkembangan ini memboleh Amerika Syarikat menunjukkan tanduknya dalam membawa idea kebebasan informasi ala Barat yang bersifat sehala sahaja, iaitu dari negara-negara maju ke negara-negara miskin.

Para pengkritik ketika itu mula melihat bahawa pihak media barat sering memuatkan liputan yang tidak seimbang dan hanya menampakkan sikap imperialisme melalui medianya. Laporan Perang Teluk misalnya dilihat penuh dengan ketidakseimbangan, begitu juga laporan perang di Iraq. Ada juga negara yang mengkritik bahawa madia barat hanya memandang keuntungan semata selain membawa dan menyebarkan budaya yang kurang sihat.

Howard Kurt dalam bukunya Media Circus: The Trouble with America’s Newspapers, mendakwa media barat khususnya media di Amerika Syarikat telah hilang arah. Kebebasan media yang dibawa mereka telah menghilangkan etika kewartawanan di Barat. Beliau sendiri meminta agar para wartawan di AS supaya berusaha kembali menjulang kegemilangan zaman silam mereka dalam bidang kewartawanan.

Laporan-laporan yang dibawa dari AS dan Eropah seringkali dilihat mempunyai peranan dan propaganda politiknya yang tersendiri. Apa sahaja yang menjadi lambang Islam sudah tentu menjadi musuh media Barat. Peristiwa hancurnya World Trade Center di New York dipropagandakan untuk menuduh Islam sehingga tercetusnya ruh Islamophobia di kalangan rakyat mereka yang memakan ’muntah’ tanpa menyelidik kebersihannya terlebih dahulu. Bagi media Barat, kebangkitan Islam merupakan suatu ancaman dan ditakuti. Inilah teori yan
g dikemukakan oleh Samuel Huntington dalam bukunya Clash of Civilization.

Mustaffa Masmodi, bekas Menteri Penerangan Tuniasia adalah merupakan salah seorang tokoh utama yang memperjuangkan soal orde baru dalam bidang komunikasi. Beliau menegaskan bahawa orde baru ini bukanlah bertujuan untuk menyekat arus informasi, tetapi semata-mata untuk mencapai ’keseimbangan informasi antarabangsa’. Isu ini begitu giat diperjuangkan dan masih tidak selesai sehinggalah Setiausaha Agung UNESCO menubuhkan sebuah suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Sean MacBride.


Menerusi laporan MacBride, banyak perkara yang dibincangkan tertamanya mengenai kawalan
arus informasi yang didominasi oleh media-media barat seperti Reuters, AP, UPI dan AFP. Kesannya, pada dekad 1980-an, Amerika Syarikat memboikot dan menarik diri dari menyertai UNESCO kerana dikatakan badan itu sudah dijadikan badan yang berbaur politik.

Sesuai dengan seruan di dalam Laporan MacBride, negara-negara sedang membangun terutama negara-negara Islam sepatutnya mencari jalan keluar dengan bersatu antara satu sama lain bagi menghasilkan satu saluran mutlak negara Islam untuk disalurkan ke seluruh dunia. Hasilnya, pada hari ini kita dapat melihat perkembangan sihat saluran media Al-Jazeera yang bermula sejak tahun 1996.


Dengan bermodalkan 150 juta dolar, al-Jazeera yang berpusat di Doha, Qatar itu kini telah berjaya menjadi saluran transformasi yang dikelaskan sebagai alternative media. Ia juga telah berjaya menjadi supplier yang telus dan bebas dari gangguan politik untuk dijadikan sumber-sumber terkini kepada seluruh penduduk negara Islam yang lain.


Setelah lebih 27 tahun Laporan Suruhanjaya MacBride diterbitkan, debat orde baru masih lagi berlansung. Reaksi terhadap Laporan MacBride memang bermacam-macam. Apa yang diharapkan oleh seluruh negara Islam adalah hanya satu, iaitu jaringan komunikasi dunia yang tidak sahaja dikuasai oleh negara-negara maju, bahkan mencerminkan kerjasama antara negara-negara maju dan kelompok negara-negara membangun.

Friday, November 02, 2007

Membelakangi Hitam-Putih

Sudah hampir seminggu saya pulang ke gelanggang arena. Hampir bermula kembali sepak terajang yang hebat-hebat seperti yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Saya kini kembali bertemu lagi dengan rakan-rakan sepasukan yang lain.

Saya ketemu dengan Islam ketika sedang mengambil jadual kelas. Dia masih lagi tenang seperti dahulu. Wajah anak kelahiran Faiyoum ini semakin cengkung, dan janggutnya m
akin panjang. Dia kini di syukbah hadis, dan saya makin cemburu amat bila ramai kawan-kawan seangkatan yang berada dalam kelas hadis. Nampaknya mereka masih boleh lagi bertukar-tukar nota dan membuat ulangkaji bersama.

Seorang lagi sahabat lama, Thoha Idris pula saya ketemu di Masjid Al-Azhar, seusai solat zuhur. Memang cukup rindu setelah 4 bulan tidak ketemu. Dia menjadi rakan rapat saya sejak dari tahun satu dahulu. Budak asalan Bani Suwayf ini memang luar biasa kepandainya. Dia mendapat mumtaz dalam imtihan yang lalu. Kini sudah berada dalam pengkhususan tafsir.


Masuk tahun tiga di kuliah usuluddin, setiap pelajar harus membuat pilihan untuk
pengkhususan mereka. Sama ada Tafsir, Hadis, Aqidah Falsafah dan Dakwah.

Nampaknya tahun ini adalah tingkat yang lebih mencabar buat
saya. Saya telah mendapat syukbah pengkhususan yang Thoha katakan sebagai ’susah’. Sepanjang minggu ini, saya hanya lihat sekitar 3-4 orang sahaja rakan asia di kelas ini. Ramai rakan-rakan asia lain di syukbah hadis dan tafsir. Walaupun secara peribadi saya cukup minat dengan subjek-subjek pela-sampah (baca: falsafah) yang bakal saya harungi tahun ini, namun saya terpaksa kehilangan ramai rakan-rakan tempat rujukan yang masing-masing sudah membawa haluan di lorong mereka yang tersendiri.

Kaherah masih lagi belum sejuk sepenuhnya. Ia membuatkan pagi saya selalu segar dengan kerja-kerja luaran. Sangat seronok bila sekali sekala dapat menulis tentang diri sendiri ditempat orang seperti ini.