Thursday, May 29, 2008

Ada Pada Kalam

Saya baru selesai dari menduduki ujian bagi kertas tauhid. Rakan-rakan bilang barangkali inilah kertas ujian yang paling sukar setakat ini. Baru satu jam suku ujian berjalan, ramai yang sudah bangun menghantar kertas jawapan.

Ada dua kemungkinan. Sama ada terlalu mudah atau terlalu senang. Itu kebarangkalian yang klise wujud. Namun setelah keluar, masing-masing mengadu soalan tadi begitu sukar.

Tetapi saya melihat, bukan soalan itu yang sukar sebenarnya tetapi kerana terlalu banyak dalil yang perlu difahami dan dihafal menyebabkan ia berserabut, ditambah lagi dengan bahasa kitab yang cukup tidak memahamkan. Kami bersetuju untuk bertawakkal sahaja.

"tawakkal aja lah, asal tak jadi nasrani sudah". Berseloroh.

Ramai sebenarnya yang kurang faham, mengapa dikatakan subjek tauhid adalah subjek yang susah.

Saya menjawab, sebenarnya yang susah itu bukanlah tauhid. Tauhid tidaklah sesukar mana pun. Asal kita faham apa yang dimengertikan pada surah al-ikhlas "Qul Huwallahu Ahad", itulah tauhid. Tauhid adalah monotheisme, menyembah tuhan yang satu.

Yang membawa kepeningan kepada ramai itu sebenarnya adalah ilmu kalam, bukan pemahaman tauhid. Maka, secara pandang kasarnya dapat kita katakan bahawa ilmu kalam dan konsep tauhid adalah dua kondisi yang berbeza.

Jadi, perspektif ini dapat digambarkan sebagai berikut.

Tauhid adalah suatu matlamat, dan ilmu kalam adalah sebuah alat. Antara alat dan matlamat adalah perkara yang tidak dapat dipisahkan. Seperti dunia dan akhirat. Kehidupan akhirat adalah matlamat setiap makhluk, dan alat untuk sampai kepada tujuan akhirat itu adalah kehidupan dunia. Sebab itu dunia dikatakan sebagai jambatan kepada akhirat.

Maka secara tidak lansung, ilmu kalam juga dipanggil dengan nama ilmu tauhid kerana matlamat kalam ini adalah untuk menegakkan konsep tauhid.

Mengapa digelar ilmu itu dengan ilmu kalam?

Ilmu Kalam adalah ilmu yang membicarakan tentang kepercayaan (aqidah) dalam agama Islam yang didasari dengan dalil yang yakin (al-Quran dan as-Sunnah).

Ia juga digelar dengan ilmu al-tauhid, ilmu usuluddin, ilmu al-feqh al-akbar dan ilmu al-aqidah.

Dan ilmu ini begitu masyhur dengan panggilan ilmu kalam adalah dikatakan kerana ia dimulakan dengan perselisihan tentang kalamullah (adakah ia bersifat qadim atau hadis), juga dipanggil 'ilmu kalam' adalah kerana setiap perbahasannya akan dimulai dengan tajuk bicara (kalam) golongan-golongan yang berselisih itu (contoh: al-kalam fi an-nubuwwah).

Atau juga kerana terlalu banyak perbicaraan golongan yang berselisih, atau juga disebabkan kekuatan yang diberikan Allah s.w.t untuk berbicara tentang aqidah keimanan orang-orang Islam.

Sebahagian ulama juga ada yang menyatakan bahawa ilmu kalam dan ilmu usul feqh adalah merupakan tunjang kekuatan masyarakat Islam, kerana ilmu ini adalah mantik bagi orang-orang Islam. Dua ilmu ini juga merupakan sebuah mantik yang menggantikan identiti ilmu mantik yang dicipta oleh orang-orang Yunani.

Ada kawan-kawan saya yang selalu bergurau dengan saya. Katanya 'buat apa belajar ilmu kalam ni, sesat semuanya'. Saya ketawa. Saya tak marah mereka sebab mereka ini memang suka bergurau. Namun saya suka sindiran sinis ini kerana ia membuatkan saya berfikir mengapa saya belajar ilmu kalam ini.

Di Malaysia saya pernah juga mendengar ada suara-suara pedas yang sinis terhadap ilmu tauhid. Bukan calang-calang orang yang berkata tu. Dari kalangan mufti yang suka kontroversi. Dia kata "itulah orang Malaysia ni, balik-balik belajar sifat 20, tak membawa kepada perkembangan minda masyarakat".

Saya faham, hanya orang kurang pengetahuan sahaja yang akan mengeluarkan tuduhan yang entah apa-apa. Lalu saya ambil keputusan untuk tidak bertindak menyerang kembali. Saya hanya tersenyum dari belakang sebab saya tahu yang berkata itu bukanlah orang yang ahli dalam ilmu kalam. Biarkan orang yang semufti dengannya sahaja yang membetulkan.

Memang kebanyakan kata-kata tohmahan terhadap ilmu kalam kebanyakannya datang dari orang yang bukan ahli dalam ilmu kalam. Jarang saya jumpa mereka betul-betul memahami kalam dalam masa yang sama juga mencela ilmu kalam.

Saya berfikiran, bahawa sebahagian besar dari mereka memandang sinis terhadap ilmu kalam ini terbina atas realiti tidak sealiran dengan orang yang meletakkan dasar ilmu kalam ini seperti Imam al-Asya'ari, Imam al-Maturidi, Imam al-Ghazali dan lain-lain. Masalah kesalafian barangkali. Saya diajar guru-guru untuk selalu bersangka baik dengan mereka ini.

Seperti yang saya katakan, ilmu kalam adalah sebuah alat yang meletakkan suatu dasar dan juga syarat untuk mengisbat (menetapkan) zat dan sifat Allah s.w.t mengikut dalil-dalil yang disepakati. Maka ilmu kalam adalah suatu manhaj (metodologi) yang memelihara pemikiran makhluk daripada menyatakan sesuatu yang tidak layak bagi Allah s.w.t sebagai al-Khaliq.

Dasar inilah yang mengandungi di dalamnya sifat-sifat 20 yang dikatakan sebagai kunci untuk mengenal siapa Tuhan kita. Para ulama terdahulu, mereka adalah golongan yang begitu memahami hak-hak Allah s.w.t.

Sepanjang hayat mereka telah dikorbankan semata-mata berusaha untuk meletakkan satu jalan yang perlu dipatuhi bagi setiap orang muslim dalam perihal untuk mengenal dan mengetahui tentang zat dan juga sifat Tuhan mereka. Jalan dan dasar inilah yang dinamakan sebagai ilmu kalam.

Tebing Air Terjun


Saya mahu berdiam sebentar untuk melepaskan beberapa lagi baki peperiksaan. Katanya ibarat tebing air terjun, 'semakin menuju ke penghujung, semakin bertambah derasnya'....

Thursday, May 22, 2008

Lagu Raya


al-fatihah.

Bagi anda yang selalu ke rumah saya dan kerap singgah di masjid bersebelahan melalui jalan celah-celah pokok, ada berita yang menyedihkan.

Dua hari lepas, kucing gemuk yang selalu bermain di taman celah-celah rimbunan pokok di situ telah mati. Saya amat sedih. Perutnya kembung dan bau amat menusuk hidung. Saya tak tahu apa punca kematiannya. Tetapi yang paling menyedihkan adalah saya tak dapat bermain-main lagi dengan kucing berwarna kelabu itu.

Kucing yang penuh lemak ini sering didengki oleh saya setiap kali saya ada peluang. Mendengki bukan bererti tak suka. Kadang-kadang ia lebih membawa kepada kemesraan dan persahabatan. Ia adalah seekor kucing yang malas dan lembap. Saya tak pasti usianya, namun pastinya ia merupakan seekor kucing tua yang sangat 'otai'.

Biasanya kalau saya berjalan melalui celah taman itu untuk ke masjid, pasti kucing-kucing lain lari. Namun ia tidak berlaku bagi kucing montel dan gemuk ini. Malah dia boleh segera terlena apabila nampak saya lalu. Ini ciri-ciri seekor kepimpinan yang 'otai'...!

Namun, siapalah yang mampu menjangkakan ajal. Ia bukan kuasa makhluk. Apabila telah sampai waktu ajalnya, tiada yang mampu untuk mempercepatkan malah tidak mampu juga untuk melambatkan ajal itu. Ia telah pergi.

Peperiksaan

Fakulti Usuluddin di Kaherah sudah memulakan peperiksaan seminggu yang lalu. Namun jabatan saya baru memulakan peperiksaan pada 19hb Mei yang lepas dan bakal berakhir pada 9hb Jun nanti.

Namun, peperiksaan adalah peperiksaan. Tak lebih dari menjawab segala soalan yang dikemukakan dalam kertas soalan. Selepas itu pulang, dan bersiap untuk kertas yang akan datang.

Namun, bila pulang dari peperiksaan, saya jarang untuk terus pulang. Antara kegemaran saya adalah singgah di kedai buku. Baru dua hari peperiksaan diadakan, saya telah pun membeli 4-5 buah buku, khususnya saya cari untuk dibawa pulang ketika cuti nanti.

Saya suka untuk berkongsi buku-buku yang bagus kepada anda semua.

Antara buku yang menyelerakan saya telah jumpa adalah 'Thawali' ul-Anwar min Mathali' il-Anzhar'. Kitab ilmu tauhid ini ditulis oleh Imam al-Baidhawi dan di'tahqiq' oleh dekan fakulti usuluddin ketika ini yang merupakan guru saya, Dr Muhammad Rabie' al-Jauhari. Tahqiq ini juga adalah merupakan thesis kedoktoran (PhD) beliau yang diperoleh pada tahun 1976.

Selain itu, kitab al-Fikr al-Maddiy al-Hadis (The Modern Materialisme) juga merupakan antara kitab yang amat berharga yang saya jumpai setakat ini. Ia juga merupakan merupakan thesis kedoktoran (PhD) yang ditulis oleh Prof Mahmud Abdul Hakim Atman, seorang profesor di kuliah aqidah dan falsafah universiti al-Azhar, kaherah.

Saya tak pasti adakah sudah ada terjemahannya dalam bahasa inggeris, namun jujurnya saya memang begitu teruja dengan kitab ini. Ia mengolah pembaca kepada pemikiran materialisme dalam bentuk moden dan kedudukan Islam dalam menilai baik-buruk pemikiran 'dajjal' ini.

Sebuah lagi buku, adalah yang tebal sedikit berbanding dua buku yang saya sebut sebelum ini, sekitar 700 muka. Tajuknya 'Syeikhul Islam Abdul Halim Mahmud'. Saya memang begitu menghendakkan buku ini kerana ia memuatkan perkara yang sangat penting mengenai salah seorang daripada idola yang saya sangat kagumi iaitu Prof Dr Abdul Halim Mahmud.

Jangan mengaku anda pelajar al-Azhar sekiranya anda tidak kenal dengan Dr Abdul Halim Mahmud. Seorang tokoh yang banyak berjasa dengan al-Azhar dan namanya diambil untuk dipakai di salah sebuah dewan di fakulti Usuluddin.

Apa yang menarik dalam buku ini adalah ia merupakan koleksi pemikiran dan penulisan peribadi yang diutarakan oleh Dr Abdul Halim Mahmud sepanjang hidupnya, pemikirannya tentang al-Azhar, pandangannya tentang Islam dan penduduk Eropah, juga tentang falsafah ilmu.

Tidak ramai tokoh-tokoh ulama yang mempunyai pandangan luas tentang Eropah. Namun Dr Abdul Halim Mahmud adalah tokoh yang paling layak memberi pandangan tentang eropah kerana beliau telah menghabiskan masa menulis thesis master dan kedoktoran (PhD) di Perancis.

Saya ada lagi lima kertas untuk diduduki. Tidaklah banyak, namun tidak juga mudah. Yang pasti cuti musim panas ini saya akan pulang bersarapan roti canai di Malaysia lagi. Walaupun masih di awal peperiksaan, namun lagu raya sudah pun seminggu berkumandang di rumah saya!

Sunday, May 18, 2008

Sejenak Tentang Pemikiran (4)

[ Ini adalah entri sambungan Sejenak Tentang Pemikiran (3) ]

Ketika kajian mengenai fizik kuantum menjadi buah mulut dalam dunia sains, sukar untuk tokoh-tokoh fizik klasik menerima teori mekanik kuantum ini termasuklah tokoh fizik zionis, Albert Einstein. Beliau sendiri mengungkap bahawa 'Tuhan tidak bermain dadu dalam alam semesta' (I cannot believe that God plays dice with the universe) untuk menggambarkan penolakannya terhadap konsep kebarangkalian (probabalic) ini.

Apabila teori Mekanik kuantum sudah begitu pesat diterima oleh komuniti ahli-ahli fizik moden, teori ini digunakan untuk mengkuantumkan alam semesta dan dikaji secara mendalam oleh Hawking, Hartle dan lain-lain yang membenarkan kewujudan alam semesta ini daripada ‘tiada’ kepada ‘ada’ melalui proses penerowongan (fluktuasi vakum).

Pada dasarnya, kita hanya dapat mengetahui berlakunya sesuatu peristiwa kuantum itu di tempat ataupun pada ketika yang tertentu sahaja, tetapi tidak dapat mengetahui serentak di mana sesuatu atom (atau mana-mana zarah juzuknya seperti elektron) berada dan bagaimana ia bergerak.

Dengan teori mekanik kuantum ini, maka secara sinisnya telah meruntuhkan teori mekanik Newton, kerana tenaga tidak lagi dianggap bergerak secara selanjar tetapi secara diskret (terputus-putus). Prinsip Newton mungkin benar di alam makro namun dalam alam mikro ia tidak dapat mematuhi hukum mekanik Newton.

Objek dalam alam mikro seperti elektron dan proton kadang kala seperti gelombang. Berdasarkan teori fungsi gelombang Erwin Schrodinger, dalam keadaan-keadaan tertentu ia dapat meramalkan kelakuan sesuatu zarah atom hingga ke suatu tahap sahaja. Tetapi selepas itu fungsi tersebut menunjukkan keanehan-keanehan pada kelakuan zarah.

Ini secara tidak lansung telah membawa pencerahan kepada para saintis bahawa fizik kuantum bukan sahaja dikaitkan dengan hakikat kuasa Tuhan dan mistisisme, bahkan juga merupakan hujah bagi kewujudan 'ar-ruh'. Perihal ketidaksempurnaan hukum fizik ini juga diutarakan oleh sesetengah saintis untuk menghuraikan masalah yang melanda dunia magnetik dan radioaktif.

Di sinilah titik pemisahan dan perpindahan dari sebuah lapangan ilmu yang dipenuhi dengan hukum-hukum fizik kepada suatu bentuk lapangan yang keluasannya melampaui pemikiran manusia yang dinamakan metafizik.

Malah tidak hairan jika saya terbaca dalam cerita mengenai para auliya' yang sekejap berada di sini, tiba-tiab sekejap lagi berada di tempat lain. Baru sebentar tadi berada di sebelah kita, tiba-tiba dua-tiga minit berlalu sudah berada di Kota Suci Mekah!

Konsep seakan-akan ‘pengklonan diri' ini bermakna pemecahan fungsi gelombang boleh dilaksanakan seperti yang boleh dibuktikan secara ujikaji fizik. Malah satu fenomena kebalikan ‘penyatuan diri’, contohnya penyatuan fungsi-fungsi gelombang berlaku dalam pembentukan kondensasi Bose-Einstein yang berlaku pada suhu hampir sifar Kelvin.

Banyak riwayat tentang kekeramatan ahli-ahli sufi ini yang boleh memendekkan masa dan menerowong ke tempat yang jauh dengan sekelip mata, satu perkara yang tidak mustahil seperti yang diberitakan oleh al-Quran.

Bahkan di dalam surah an-Naml sendiri terdapat kisah seorang hamba Allah pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman yang menawarkan untuk memindahkan sebuah singgahsana demi Nabi Sulaiman dalam kiraan masa tidak sampai sekedip mata (within the twinkling of an eye!). Firman Allah :

قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari AI Kitab: "Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip". Maka tatkala Sulaiman melihat singgasana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: "Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia"
(An-Naml : 40)

Selain daripada itu, suatu aspek baru yang timbul dari kajian fizik kuantum ini juga adalah teori kekabutan kuantum ataupun 'quantum chaos'.

Menurut teori chaos, walaupun pada prinsipnya terdapat hukum sebab dan akibat dalam alam semesta sehingga dapat diramalkan kejadiannya (seperti hukum graviti), tetapi terdapat juga fenomena-fenomena semula jadi lain yang tidak dapat diramal, seperti kes ramalan cuaca. Kes-kes seperti ini mempunyai sifat 'kebarangkalian' (probabalic) kerana tidak ada hubungan yang jelas antara sebab dan akibat.

Maka, sifat inilah yang mengungkap bahawa penemuan fizik kuantum pada hakikatnya telah mengangkat kepercayaan agama terhadap kosmologi pada penciptaan alam semesta ini, sekali gus mengesahkan dan mengiktiraf keagungan Tuhan yang Menciptakannya.

Sains moden secara tidak sedar telah membuktikan bahawa kelansungan alam tabi'i yang sedang berlaku ketika ini bukanlah dipengaruhi oleh hukum causality (sebab dan akibat) yang ditaklid dari mekanik Newton-Descartes, bahkan ianya disebabkan oleh iradat (kehandak) Allah s.w.t yang meliputi seluruh kejadian alam ini. Mungkin kelansungan dari hukum sebab dan akibat tadi boleh kita letakan ia sebagai suatu bentuk kesempenaan (occasionalisme) dalam hukum alam.

Sesungguhnya, pemerhatian kita terhadap kegagalan ujikaji fizik moden pada hari ini secara tidak lansung telah menghubungkan kembali pengaruh metafizik yang terhimpun dalam agama. Ia secara beransur-ansur telah membawa kepada wujudnya kecenderungan di kalangan fizikawan untuk menyelesaikan fizik kuantum yang tidak lengkap dengan menoleh kepada pengalaman agama, sepertimana yang banyak dilakukan oleh fizikawan muslim.

Mekanik kuantum secara tidak sedar telah membawa dunia sains kepada sebuah bentuk transasi, iaitu dari gelanggang sains fizik kepada sebuah lapangan metafizik. Tidak hairan jika sebahagian ahli fizik menyatakan bahawa dengan kemunculan teori kuantum ini seolah-olah telah membawa dunia sains fizik moden kepada suatu titik penghujung.

Tambahan: Beberapa cendikiawan dan saintis Islam dalam kajian mereka mengenai fizik kuantum ini telah menemui suatu hakikat, bahawa dengan keruntuhan mekanik Newton yang sekular itu telah membuka suatu pencerahan kepada akal manusia moden ini mengenai pemikiran al-Ghazali suatu ketika dahulu mengenai konsep kewujudan alam fizikal.

Bagaimanakah pemikiran al-Ghazali ini dikatakan boleh menyelesaikan kekalutan yang melanda bidang mekanik kuantum dan teori fizik moden yang lain?

Saya akan terus menulis untuk mereka yang mahu berfikir.

(bersambung)

Saturday, May 17, 2008

Selamat Menempuh Peperiksaan


Kepada pengunjung yang budiman, saya mengharapkan kerendahan hati kalian untuk mendoakan kami serta kawan-kawan yang bakal menghadapi peperiksaan bermula sekitar bulan ini. Kerendahan hati kalian moga diganjarkan oleh pahala yang besar dari Allah s.w.t kelak...

Friday, May 16, 2008

Untuk Mereka Berdua


Bagi saya, setiap hari adalah 'Hari Ibu' dan setiap hari juga adalah 'Hari Guru'. Mereka ini tak pernah saya lupakan, kecuali ketika tidur!

(hehe... alasan terbaik setelah terlupa mendedikasi keduanya ini (ibu dan guru) di blog saya)

Baru saya tahu kenapa dengan mee goreng yang dimasak sebelum ni.

Jawapan : sebab tumis tak pakai bawang putih....!

Saturday, May 10, 2008

Sejenak Tentang Pemikiran (3)

[ Ini adalah entri sambungan Sejenak Tentang Pemikiran (2) ]

Saya akan terus menulis untuk mereka yang mahu berfikir.

Seperti dalam artikel saya siri yang pertama bertajuk Sejenak Tentang Pemikiran (1), kita sudah maklum dengan perkembangan revolusi sains di eropah yang telah membawa kepada kemunculan golongan materialis yang menolak agama. Mereka sekular yang hanya mempercayai sesuatu yang bersifat materi (fizikal) dan menolak segala yang berada di balik materi (metafizikal).

Selaras dengan tercetusnya aliran sekularisme, maka telah lahirlah juga konsep dualisme dalam bidang sains. Ini bukan tradisi timur, bahkan ia jelas merupakan tradisi barat yang terkesan dengan proses sekularisme sejak sekian lama.

Dualisme telah berjaya memisahkan antara bidang sains tabi'i dan sains kemasyarakatan sepertimana terpisahnya urusan duniawi dan urusan ukhrawi dalam pemahaman sekularisme.

Revolusi sains yang berlaku di eropah telah berkembang hingga akhirnya membawa kepada kemunculan satu aliran dalam dunia sains moden yang dinamakan aliran mekanistik. Pandangan-dunia mekanistik (mechanistics worldview) ini telah dikemukakan oleh Rene Descartes, dan dimantapkan lagi oleh Isaac Newton dengan konsep alam yang serba tetap, berdasarkan hukum sebab dan akibat (causality).

Mereka percaya bahawa setiap perkara yang terjadi itu adalah dari penyebabnya, dan dengan sebab itu melahirkan suatu akibat. Prinsip dikenali sebagai hukum 'causality' dalam lapangan sains fizik. Ini bermaksud alam semesta bergerak mengikut hukum determinisme (serba tentu) atau serba tetap dan tidak berubah untuk selama-lamanya.

Prinsip mekanik Newton ini dapat digambarkan sebagai sesuatu yang 'predictable'. Ia bukan sahaja dapat diterangkan secara objektif, malah dapat diramalkan kejadiannya. Sejak lebih dua abad lamanya ahli-ahli sains berpegang kepada teori mekanik Newton ini yang menyatakan bahawa setiap objek akan bergerak dengan tenaga selanjar dan berterusan, justeru setiap fenomena yang berlaku akan dapat diramalkan secara pasti dan tetap.

Sebelum penemuan mekanik kuantum, kalangan saintis barat percaya bahawa lapangan fizik sudah lengkap dengan segala hukum fizikalnya, di mana menurut mereka setiap tabi'i alam ini telah mematuhi prinsip kebersebaban (causality) dan segalanya yang terjadi ini hakikatnya bersifat 'serba tentu'.

Apabila munculnya penyelidikan mengenai mekanik kuantum ini pada awal tahun 1900, ia kelihatan seolah-olah telah merombak konsep sains moden yang sebelum itu sering disekutukan oleh sumbangan Rena Descates dan Isaac Newton. Tersentak dengan itu, teori sains mekanik Newton yang selama ini didewakan telah mula dipersoal.

Fizik kuantum pada dasarnya turut dikenali dengan nama mekanik kuantum. Ia merupakan suatu penyelidikan sains fizik yang melibatkan lelaran antara jirim-jirim di dalam kosmologi dan alam semesta. Secara mudah, fizik kuantum dijelaskan sebagai penyelidikan terhadap zarah-zarah yang terdapat dalam alam mikroskpik.

Hakikat kuantum itu sendiri secara fiziknya telah membuktikan bahawa sesetengah kuantiti fizikal (ketulan kecil) tidak bergerak secara selanjar tetapi secara diskret atau terputus-putus. Ia juga telah membuktikan kegagalan fizik Newton-Descartes untuk menghuraikan secara metematik bagaimana berlakunya keruntuhan fungsi gelombang sepertimana yang dipegang oleh pendukung Copenhangenisme.

Copenhangenisme adalah sebuah pegangan yang diasaskan oleh Werner Heisenberg yang pernah bekerja dengan Niels Bohr, dan telah membawa gagasan teori mekanik kuantum berasaskan prinsip indeterministik (tidak tentu).

Dengan prinsip ini, maka semua peristiwa kuantum atau fenomena atom dan juzuk-juzuknya tidak mungkin dapat diramalkan secara tepat mengenai tempat ataupun waktu berlakunya fenomena dan peristiwa itu. Pegangan copenhangenisme waktu kini dikatakan adalah pegangan yang paling kuat dan berasas sekali untuk menggambarkan hakikat kuantum.

Oleh itu, nyata kebenarannya kini bahawa konsep deterministik (serba tentu) yang didasari prinsip sebab-akibat (causality) oleh Newton secara separa sedar telah diruntuhkan oleh kemunculan teori fizik kuantum ini!

Di barat, mekanik kuantum diungkapkan dalam buku 'The World’s 20 Greatest Unsolved Problems', bahawa tanpa idea yang dikemukakan melalui mekanik kuantum, maka tidak akan ada telefon bimbit, pemain CD dan komputer riba. Mekanik kuantum bukanlah satu cabang daripada fizik. Ia merupakan hakikat fizik itu sendiri.

Justeru, apakah kaitannya keruntuhan mekanik Newton (yang sekular itu) dengan lapangan metafizik? Bagaimana pula fizik kuantum mampu membawa sains berjenama sekular ini kepada suatu bentuk sains yang mengiktiraf iradat Tuhan, seterusnya membuktikan kekeramatan sufistik sebagai sesuatu yang bukan sekadar cerita-cerita kosong?

Saya akan menulis untuk mereka yang mahu berfikir.

(bersambung)

Tazkirah Musim Peperiksaan

Surah al-Mu'minun :

قَالَ كَمْ لَبِثْتُمْ فِي الأرْضِ عَدَدَ سِنِينَ
Allah bertanya: "Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?"
(112)

قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ فَاسْأَلِ الْعَادِّينَ
Mereka (orang-orang kafir) menjawab: "Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung"
(113)

قَالَ إِنْ لَبِثْتُمْ إِلا قَلِيلا لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui"
(114)

Thursday, May 08, 2008

Sejenak Tentang Pemikiran (2)

[Ini adalah entri sambungan Sejenak Tentang Pemikiran (1)]

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya
(An-Nur : 39)

Dahulu ketika di awal sekolah menengah, saya gemar membaca buku 'Tazkiratul Auliya'. Saya tidak ingat siapa penyusunnya. Namun buku itu menjadi salah satu buku yang penting dalam hidup saya. Saya banyak mengenal diri dan jiwa, mencari hakikat kehidupan, dan yang paling utamanya saya terpesona dengan hikmah-hikmah dan nasihat yang ditinggalkan oleh puluhan kekasih Allah s.w.t yang dimuatkan di dalam buku kecil itu.

Namun, saya jumpa ramai kelompok manusia yang mengingkari kekeramatan yang dimiliki sesetengah para auliya'. Saya faham, penolakan ini berlaku mungkin disebabkan kekeramatan (khawariqul a'dah) itu tidak berlaku dihadapan mata mereka, atau mungkin juga mereka ini sudah terkesan dengan dalil-dalil saintifik. Selagi mana perkara itu tidak dapat dibuktikan secara empirikal, selagi itu mereka meletakkan ia sebagai sebuah cerita kosong yang tak punya asas apa-apa.

Dalam kelansungan yang berlaku ini, saya begitu tertarik dengan beberapa kajian penting yang dilakukan oleh para ilmuan akhir-akhir ini. Terutamanya bagi kajian yang melibatkan 'fizik kuantum'. Lapangan sains akhir-akhir ini telah membuktikan suatu pencerahan yang amat hebat untuk sekalian manusia-manusia yang mahu berfikir.

Mungkin bagi mereka yang telah biasa dengan asas sains, pasti mengira bahawa fizik adalah sesuatu yang begitu biasa. Namun belum tentu mereka ini sudah terbiasa dengan suatu lafaz yang berlawanan dengan fizik, iaitu 'metafizik'.

Fizik lazimnya digambarkan sebagai sesuatu yang kebendaan dan dihuraikan berlandaskan fenomena alam yang berbentuk fizikal dengan hukum-hukum tabi'i, maka metafizik memberi makna yang sebaliknya.

Metafizik pula secara mudahnya dimaknakan sebagai sesuatu yang bersifat ghaib, tidak mampu dilihat dan dirasa oleh pancaindera. Ia merupakan suatu istilah yang merujuk kepada kegagalan kita (manusia) untuk menerangkan sesuatu fenomena yang berlaku secara empirikal, mantik dan bersistem.

Metafizik bukan sahaja terbatas terhadap malaikat, jin dan syaitan, malah ia merangkumi segala jenis perkara yang tidak terjangkau oleh pemahaman pancaindera manusia. Maka jika sesuatu kejadian itu melibatkan perkara yang tidak tercapai oleh akal manusia, maka boleh kita katakan ia sebagai termasuk dalam kelompok lapangan metafizik.

sebagai contoh, seorang yang mampu berjalan di atas air. Secara hukum fiziknya, seseorang yang cuba berpijak di atas air, pastinya kakinya akan tenggelam ke dasar air. Namun apabila berlaku suatu keanehan atau keajaiban, iaitu dia mampu berpijak di atas air seperti berpijak di atas daratan, maka hukum fizik ketika itu tidak mampu menyelesaikan masalah ini berdasarkan prinsip-prinsipnya. Ianya telah mulai masuk ke suatu lapangan kajian metafizik.

Metafizik bukan membahaskan tentang siapa itu Tuhan, tetapi dalam kes berjalan di atas air, ia membicarakan tentang 'bagaimana ianya boleh berlaku?', 'siapa yang memberi kuasa untuk orang itu berjalan di atas air?', dan kita pasti menakul bahawa ada suatu kuasa ghaib yang 'Maha Kuasa' telah meng'hendak'kan perkara itu untuk terjadi.

Mungkin itu suatu contoh mudah dari saya untuk menggambarkan perihal lapangan metafizik yang amat luas itu kerana ianya suatu perbahasan yang melangkaui hukum fizik kehidupan, dan pastinya perkara yang berada di belakang penglihatan kita itu (yang kita tidak nampak) merupakan suatu daerah yang lebih luas dari daerah yang kita nampak.

Justeru, perbahasan mengenai metafizik ini tidak banyak disentuh dalam kerangka sains dan teknologi, namun ianya lebih popular untuk dibahaskan dalam kerangka falsafah.

Ini disebabkan oleh keinginan manusia yang mahu mencari hakikat sebenar mengenai kehidupan, 'siapa diri mereka?', 'siapa yang menciptakan mereka?' dan 'untuk apa mereka diciptakan?'. Maka, perkara ini lebih cenderung dikupas dalam bentuk falsafah kerana prinsip-prinsip sains dan teknologi tidak mampu untuk menyelesaikannya.

Maka, apakah kaitannya di sebalik metafizik dan teori fizik berkaitan mekanik kuantum ini?

(bersambung)

Wednesday, May 07, 2008

Kenal Diri Kenal Tuhannya


Saya fikir, apabila telah tamat peperiksaan nanti sudah tentu ada ruang untuk melegakan fikiran lantaran cuti yang sedikit panjang. Namun, ianya terbukti salah dan menyimpang. Ia bahkan lebih sibuk dan teruk jika dibandingkan ketika minggu peperiksaan berlalusebelum ini.

Buat pertama kalinya dalam sejarah di tanah orang ini saya dipanggil untuk membuat pembentangan. Pertam
a, di Kem Penulisan anjuran PMRAM yang berlansung di rumah Johor minggu lalu. Dan yang kedua, saya diajak sama oleh Syafiq untuk mendiskusikan dan memimpin bengkel penulisan ilmiah yang diadakan di rumah Sabah, dua hari yang lepas.

Sungguh, ini adalah pengalaman baru dan sudah tentu saya tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan cemas dan kaget dengan sebaiknya!


Memberi ucapan dihadapan khalayak dan audiens yang ramai bukanlah sesuat
u yang mampu dilakukan oleh semua orang saya fikir. Banyak kejadian aneh yang pernah saya lihat. Termangu-mangu, menggigil, kaget, merepek entah apa-apa, mungkin lebih teruk dari ini muka akan kelihatan bertukar kemerah-merahan dan kadangkala kekuningan pucat jadinya!

Saya tidak tahu apa yang pendengar umpatkan ketika saya sedang memberi ucapan barangkali. Pendek kata, apabila
 anda diminta untuk berucap maka anda juga sebenarnya diminta untuk berhadapan dengan psikologi diri anda sendiri. Cemas dan menggigil adalah perkara yang biasa dan lazim berlaku. Namun kekuatan untuk menghadapinya adalah sesuatu yang sangat mahal dan berharga dalam pengalaman hidup manusia.

Selama ini saya hanya berteori sahaja di dalam subjek khitobah
 ataupun ‘rhetoric’ di kuliah. Bahkan untuk menjadi seorang pendakwah, displin ilmu ucapan ini adalah sesuatu yang perlu dan sukar untuk dipisahkan. Memberi ucapan dan ceramah adalah sebahagian dari kehidupan dan kerja seorang pendakwah walaupun ramai yang mahu lari darinya.

Dalam menghadapi situasi yang cemas dan perasaan gemuruh apabila berhadapan dengan khalayak ramai, 
saya selalu menggunakan kunci-kunci istimewa untuk menangani perasaan campur baur ini.

Tasawwuf


‘Barangsiapa yan
g mengenali dirinya, maka dia mengenali Tuhannya’. Kunci utama untuk menangani perasaan yang berlubuk dalam diri adalah dengan mengenal diri sendiri. Manusia terdiri dari 2 bahagian utama; pertama, tubuh jasmani yang nampak secara zahir, dan yang kedua adalah jiwa yang terdiri dari ruh.
Apa yang di dilihat, dirasa, dihidu dari pancaindera adalah dari tubuh jasmani yang bekerja. Dan yang melibatkan hati dan perasaan pula adalah perkara yang terkait rapat dengan jiwa. Jika seseorang itu merasa cemas, takut dan gementar, punca utamanya bukanlah lahir dari tubuh jasmani. Ia pada hakikatnya adalah sesuatu yang lahir dari suara jiwa dan muncul dari arus psikologi.

Nah, masakan da
pat dibendung perasaan gemuruh ini dengan panadol? Atau dua tablet Uphamol?

Masalah yang berlaku dari lapangan jiwa adalah berpunca dari jiwa, dan sudah tentu ubatnya juga adalah jiwa. Anda harus kenal diri sebelum berhadapan dengan diri orang lain. Ini adalah persoalan siapa kita dan apa tugas kita. Siapa kita dan untuk apa kita berhadapan sambil berdiri memberi ucapan di hadapan khalayak yang ramai?


Jika matlamat yang dimaksudkan selari dengan hati yang ikhlas dan suci, maka sudah tentu tiada masalah lagi untuk berhadapan dengan khalayak ramai, bahkan dengan sesiapa sahaja sekalipun. Kuncinya adalah pembersihan diri dan tazkiyatul nafsi, yang memberi kelapangan jiwa kepada sesiapa jua yang berusaha kepadanya.


Benarlah sepertimana yang disebut di dalam al-Quran. Tatkala Nabi Musa a.s berdoa agar Allah S.W.T memberi kelancaran pada lidah baginda, maka permintaan baginda didahului dengan kelapangan hati dan jiwa, kemudian disusuli dengan kelancaran lidah dan kata-kata. Firman Allah S.W.T :


(Berkata Musa: "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku)
Thaaha : 25-28

Tuesday, May 06, 2008

Edisi Otak Tepu

(Entri ini barangkali berlagu dengan nada yang agak (baca: sangat) santai)

Sudah lama tak menulis 'report'. Mungkin kebanyakan entri saya akhir-akhir ini bernada serius. Kebanyakannya ditulis dengan rima akademik. Ayatnya pasti skema, teratur kemas, dengan susunan noktah dan diselangi dengan jarak sebelum memulakan huruf bagi ayat yang baru.

Kepala berat, namun syukur hati makin tenang. 19 hb mula peperiksaan, namun buku-buku banyak yang belum dilangsai. Sekarang sudah masuk minggu-minggu persediaan. Biasanya kalau waktu-waktu macam ni, aku selalu bertapa di rumah. Lebih tenang berbanding menahan sinar matahari di luar.

Huh, sudah pening. Malam ini, alhamdulillah. Dapat juga habiskan kitab kedua untuk subjek aliran pemikiran (tayyarat). Sehari suntuk berpulas. Kitab kecil yang tidak berkulit ini sangat berat. Berat bukan pada dasar ukuran kilo, tapi diukur dari segi isi dan huraian yang betul-betul akademik dan philosophic.

Pechot (housemate) dah start exam tadi. Lepas ini bakal diikuti dengan yang lain, Firdous, aku, Kemal dgn Haziq (semua ni housemate). Semoga semua housemateku ini (termasuk diri sendiri) dapat natijah yang cemerlang dalam exam diorang ni. Yang asyik berangan2 nak bina masjid tu, aku pun harap2 dipermudahkan. Nanti takde la asyik nampak macam ala2 meroyan jer.

Seronok belajar ni sebenarnya. Tapi nampaknya makin lama kepala aku makin botak!

Aku pernah usulkan mende ni kat ibu ngan ayah aku dulu. Pasal krisis rambut ni. Huhu.. Ayah aku ketawa. Dia kate suruh tengok macam kepala die, dah nak botak dah bahagian depan. Aku cakap, memang ler, tu 'standard' la bagi orang2 yang dah berumur. Tapi aku ni umor baru je nak masuk suku abad, dah alami kebotakan. Aku tak nak time kawin nanti, tanjak aku asyik2 jatuh jer!!

Mak aku lagi best. Sambil ketawa dia cakap, "okay ape, baru nampak macam profesor!!!"

Tapi tu dulu, tahun lepas mungkin. Tapi sekarang alhamdulillah dah kurang skit. Aku rasa mybe sebab aku dah tukar dari pakai gel kepada minyak zaiton. Nampak macam dah ada kurangnya. Paling ketara bila tiba time exam. Tapi bila abis exam, tengah cuti2 Malaysia, takde pulak gatal2 rambut ni nak gugur.

Berbalik pasal rambut ni, aku pernah tanye sorang doktor kat klinik mase aku hantar emak aku pegi klinik dulu.

Aku tanye die, "doc, ade tak petua2 macam mane nak kurangkan kebotakan pada rambut?"

Dia kata biasanye kebotakan ni adalah penyakit keturunan, ataupun orang yang terlalu banyak stress, mybe pasal kerja or something else. Aku pun angguk je la tanda paham. Aku malas pulak nak tanya die lebih2, sebab kepala die pun dah tinggal separuh jugak keluasan rambutnya.

Tapi pada aku rambut ni bukanlah masalah utama, sebab kalau takde rambut pun boleh hidup jugak. Aku tengok orang arab yang botak tu rilek jer. Rambut botak, perut boroi, tapi orang macam tu la yang selalu dapat pimpin awek2 yang cun pegi jalan2. Tak gitu?

Philosophic

Ni lagi satu hal. Dalam diri aku ni sebenarnya ada keinginan yang sangat kuat terhadap dua perkara. Pertama, fotografi. Kedua, yang philosophic. Aku tak tahu kenapa aku terus segar kalau dua topik ni dibicarakan. Bukan bermaksud aku ni tak bernafsu pada orang perempuan, bukan begitu. Kena paham situasi okay? Nanti2 la kalau aku ade masa aku cerita pasal falsafah cinta ni.

Sekarang ni kita go on to the topic. The Philosophic... Aku semacam kenal dengan dunia falsafah ni sejak tingkatan empat. Waktu tu belajar tentang sejarah ketamadunan dunia, khususnya eropah. Waktu tu aku baca tentang tamadun. Dalam bahasa arab disebut 'hadarah' dan dalam bahasa inggeris disebut 'civilization'.

Waktu tu fikiran aku semacam bermain catur. Memikir teori dan strategi. Aku nampak bahawa kebanyakan tamadun dunia yang berkembang dan memuncak disebabkan oleh peranan golongan yang dipanggil ahli falsafah.

Tak kira tamadun apa sekalipun, Yunani, Rom, tamadun Islam, eropah dan tamadun2 yang sebelum diorang pun. Diorang ni semua bangkit dengan kekuatan ilmu dan falsafah masing2. Falsafah Yunani sebagai pemula (walaupun dikatakan bahawa sebelum Yunani dah ada falsafah dari Asia timur seperti Mesir, India dan China). Tapi falsafah Yunani ni terkenal hanya dengan Socrates, Plato dan Aristotle jer.

Yang paling aku kagum ialah falsafah orang2 muslim. Falsafah telah membangunkan keilmuan orang2 Islam kerana ia selari dengan apa yang dianjur dalam al-Quran. Aku lagi kagum sebab orang2 eropah pun kagum dan mencedok teknologi, sains dan falsafah dari orang Islam.

Kemudian dibangun tamadun eropah juga dengan falsafah. Namun banyak pro dan kontra dalam falsafah moden di eropah.

Aku pun berfikir. Kenapa falsafah begitu memberi kesan dalam pembinaan tamadun? dan jelas orang2 Melayu tidak mampu membangun tamadun kerana mereka tidak mempunyai kekuatan falsafah melayu yang tersendiri. Aku nampak walaupun melaka dulu menjadi terkenal dengan pusat perdagangan, tapi masih tidak mampu menjadi tamadun yang gemilang dan disanjung dunia.

Mase tu baru tingkatan empat. Walaupun aku tahu peranan orang falsafah, namun aku sendiri tak tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'FALSAFAH'!!!

Maka sejak itulah aku berminat untuk tahu pasal falsafah. Waktu lepas STAM, aku jenguk2 di universiti2 tempatan kalau2 ada yang menawarkan kursus falsafah. Ada. Di UKM, degree usuluddin dan falsafah jika aku tak silap. Namun aku fikir2, alang2 nak menuntut ilmu, baik cari guru yang sebaiknya. Maka, aku pilih al-Azhar sebagai guru.

Walaupun di sini sudah tahun yang ketiga, namun aku baru masuk ke pengkhususan falsafah baru setahun yang lalu. Sekarang ni alhamdulillah, pencerahan demi pencerahan yang aku dapat. Namun ilmu ini bukan hanya setahun dua untuk didalami. Ia perlu kepada kematangan. Kerana banyak pro dan kontra dalam falsafah. Semua tu kena melalui banyak proses analisis.

Namun syukur alhamdulillah kerana aku dicerahkan dengan falsafah dalam ruang lingkup islami. Amat bahaya bagi orang muslim yang menceburi bidang ini tanpa metodologi Islami kerana ia banyak melibatkan akidah dan kepercayaan.

Jadi, jiwa 'philosophic' tu macam dah sebati dalam jiwa aku. Sebab itu aku beritahu, dalam diri aku ada 2 perkara yang betul membuatkan aku bernafsu. Sekiranya ada topik perbualan tentang perkara ini pasti aku akan jadi segar. Iaitu berkenaan dengan kekameraan (fotografi) dan sesuatu yang philosophic.

Kalau boleh aku tambah dua lagi. Satunya, bolasepak. Dan satu lagi, amat segan untuk aku beritahu. Namun sebagai seorang yang bujang, aku diajar untuk tidak pandai menipu. Mungkin aku hanya boleh beritahu ianya adalah gabungan dari huruf P+E+R+E+M+P+U+A+N. Alhamdulillah. Ya, aku adalah lelaki diparas normal.

Friday, May 02, 2008

Sejenak Tentang Pemikiran (1)

Fikrah Maddiyah selalu diterjemahkan ke dalam bahasa melayu dengan maksud pemikiran kebendaan. Dalam aspek kehidupan, kebendaan atau meterialisme ini sering meniti di bibir-bibir manusia dengan maksud psikologi dan sahsiah diri, yang mana menyatakan sikap segolongan manusia yang gemar mencari sesuatu yang bersifat duniawi sambil mengenepikan aspek nilai dan ukhrawi.

Apabila kita bercerita mengenai seorang perempuan simpanan kepada seorang bergelar dato’ atau mana-mana ahli perniagaan dan politik yang kaya, kita pasti tergambar akan sikap perempuan simpanan itu yang ‘tukang kikis’, untuk menggambarkan maksud materialisme dalam erti kata psikologi. Mereka ini kebanyakannya bertuhankan hawa nafsu dan kebendaan. Ia selari dengan apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah al-Furqaan ayat 43 :

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا

Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada pengambil rasuah, ahli persatuan yang menyelewengkan dana persatuan, ahli politik yang menyongsangkan duit rakyat, hospital swasta yang hanya tahu mencekik duit pesakit dan bermacam-macam lagi gelaran materialis yang dilemparkan terhadap golongan yang hanya tahu mencari keuntungan duniawi dan mengenepikan sesuatu yang bersifat akhirat termasuk nilai etika dalam dirinya.

Tetapi dari sudut epistemologi dan falsafah, materialisme pada hakikatnya telah lama wujud dalam lipatan sejarah. Ia telah awal muncul sejak gagasan ini mengambil alih pemikiran ketuhanan dan spiritual dalam diri manusia, lebih-lebih lagi apabila berlakunya satu gerakan pembebasan dari keterikatan pihak gereja ketika munculnya gerakan renaisans pada zaman pertengahan di eropah sekitar tahun 1500 – 1700.

Pemberontakan jiwa dan pemikiran yang berlaku di eropah telah menyebabkan lahirnya beberapa kolompok manusia yang menolak pemikiran agama. Kebencian akibat tindakan kuku besi dari pihak gereja telah merubah orientasi masyarakat ketika itu kepada suatu gagasan yang menolak agama seterusnya menafikan kewujudan Tuhan yang mencipta alam.

Munculnya gagasan ini telah melahirkan masyarakat yang memandang bahawa kewujudan itu hanyalah apa yang dapat dirasai dengan pancaindera (bersifat empirikal). Ia secara tidak lansung telah menafikan wujudnya sebuah konsep ketuhanan dan menolak segala sesuatu yang wujud di sebalik meteri (benda).

Seterusnya aliran ini telah membawa suatu gerakan besar yang paling dahsyat dalam sejarah ketamadunan manusia dengan wujudnya Atheisme, Marxisme, Kapitalisme, Sekularisme, Eksistensialisme, hedonisme dan pelbagai lagi isme yang didasari oleh falsafah materialisme ini.

Ketika inilah munculnya kepopularan beberapa istilah dalam falsafah seperti istilah metafizik, iaitu sebuah lapangan ontologi yang membicarakan tentang kewujudan di sebalik materi. Istilah ini mula disedari apabila meluasnya titik-titik revolusi sains di eropah. Ia mula menjadi buah mulut para pengkaji apabila beberapa masalah fizik seperti masalah kuantum tidak dapat diselesaikan dengan prinsip-prinsip fizik. (Dengan izin Allah saya akan menulis berkenaan falsafah kuantum ini dalam entri yang akan datang).

Justeru, bagi golongan meterialis ini, revolusi sains yang berlaku dalam tamadun eropah telah memberi kredit tambahan buat meterialisme untuk muncul dengan gah. Dengan lahirnya aliran mekanistik (mechanistic wordview) yang dicambah terutamanya ditangan Newton dan Descartes, seolah-olah telah membataskan lagi kuasa Tuhan dalam kehidupan manusia.

Permulaan gerakan revolusi sains ini tidak dapat dipisahkan dengan beberapa individu yang sangat memberi kesan kepada pihak gereja. Antaranya adalah Nicolas Copernicus, ahli astronomi Poland yang mengetengahkan teori heliosentrik mengenai matahari sebagai pusat alam (sun-centered cosmos). Teori ini secara tidak lansung telah meruntuhkan teori geosentrik, iaitu teori bumi sebagai pemusatan alam (earth-centered cosmos) sebuah teori kosmologi yang dibawa Aristotle dan Ptolemy.

Teori ini dipegang kuat sekian lama oleh pihak gereja kerana dikatakan selari dengan apa yang terdapat dalam Bible. Pada dasarnya teori ini tidaklah begitu mashyur sehingga ianya dikemukakan semula oleh seorang ahli astronomi Itali, Galileo Galilei. Perbezaan teori ini telah membawa kepada terbukanya pekung kezaliman pihak gereja. Pihak gereja dengan zalim telah memenjaranya di mahkamah Inkuisisi sehingga mati kerana tindakan Galileo yang cuba membuktikan kesilapan yang dibawa gereja.

Hal ini secara tidak lansung membawa kepada gerakan pembebasan besar-besaran oleh masyarakat eropah terhadap kepercayaan agama disebabkan pencabulan yang dibawa oleh pihak gereja.

(bersambung)

Tuesday, April 29, 2008

Menilai Pada Bayang-bayang

Semakin lama diintai, semakin dekat rupanya bayang-bayang itu datang. Dan ia datang kali ini seperti selalunya, menguji dan terus menguji. Namanya peperiksaan.

Tidak sampai sebulan, malah hampir beberapa minggu sahaja lagi peperiksaan akhir akan bermula. Semester kali ini semacam tidak nampak bumbu-bumbu masalah. Bahkan subjek-subjek kali ini mungkin jumlahnya lebih sedikit berbanding semester yang pertama dahulu walaupun masih terdapat yang sukar.

Cuma apa yang selalu disebut oleh jiwa saya adalah skeptisme yang serupa, bahawa peperiksaan itu adalah perkara yang sama sahaja tidak kira apa jua jenis peperiksaan, sama ada ianya susah atau senang.

Peperiksaan memang selalu ditempias rasa kekesalan dan pandangan serong dari saya. Saya agak tidak berapa suka dan gemar dengan peperiksaan. Itu memang saya akui, bahkan sejak dari dulu lagi.

Saya akui, rasa pesimis dengan peperiksaan bermulanya ketika saya menaiki tangga sebuah pentas, di sebuah dewan sekolah menengah yang serba sederhana beberapa tahun yang lalu. Sekolah Menengah Ulu Tiram barangkali, saya kurang pasti. Ketika itu tangan saya disambut oleh Menteri Pendidikan dan juga Pengarah Kementerian Pendidikan yang berada di sisinya.

Bukan sahaja disambutnya saya dengan jabat tangan, malah dia terus memeluk saya apabila disebut oleh jurucakap mengatakan saya anak kelahiran Johor. Dia cukup berbangga ketika itu kerana dua orang anak kelahiran Johor mengungguli carta pelajar terbaik keseluruhan. Saya bagi pelajar STAM dan Nur Amalina Che Bakri bagi pelajar SPM.

Hakikatnya bermula sejak detik itu. Saya mula berfikir, sekadar dengan peperiksaan itu sahaja saya sudah jadi begini. Beberapa detik selepas itu saya dipanggil lantas wartawan menyuruh saya itu dan ini. Saya semacam bingung waktu itu. Dan akhirnya, ketika gambar saya diambil dan para wartawan dari berita harian mengajak untuk menemu ramah, maka itulah detik permulaan rasa kesal saya terhadap peperiksaan.

Entah kenapa ketika itu saya betul-betul ragu dan malu pada diri saya sendiri. Saya rasa ketika itu seumpama ilmu yang saya ambil dari guru-guru saya telah dijual dengan harga sebuah kemahsyuran yang terlalu murah!

Saya mula bernada kesal dengan peperiksaan semenjak dari detik itu kalau anda semua ingin tahu. Sungguh saya katakana bahawa ini bukan cerita dan karya fiksi saya. Kisah ini telah menjadi sebahagian dari sejarah hidup saya, dan ia sama sekali telah melanggar etika yang telah saya semai dalam jiwa saya.

Saya telah membayangkan harga sebuah kemahsyuran dengan harga beberapa cebis ilmu saya yang sedikit. Saya memang begitu malu walaupun malu itu tidak saya zahirkan hadapan muka.

Saya rasa sangat malu kerana dimayhurkan dengan peperiksaan. Peperiksaan itu pada hakikatnya hanya berlaku 2 minggu sahaja, dan ianya telah mengukur suatu ukuran ilmu yang sama sekali salah dalam pendidikan hidup manusia. Manusia tidak lansung boleh diukur keilmuan dan tahap ‘pelajar terbaik’nya dengan ukuran peperiksaan, kerana peperiksaan selalu menipu.

Mengapa kita selalu ukur nilai pelajar cemerlang itu dengan peperiksaan? Mengapa kita gemar mendakwa orang yang berjaya dalam peperiksaan itu orang yang bijak dan berilmu? Ternyata memang manusia selalu tersilap.

Saya suka apabila membaca sebuah baris ayat karangan Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ‘al-Munqidh Min al-Dhalal’. Katanya:

‘Ilmu itu lebih mudah untuk aku capai berbanding amal’.

Mudah sekali tuan-tuan. Kita selalu menganggap peperiksaan itu adalah sesuatu yang paling sukar. Oleh itu, jika kita selalu mengukur keilmuan dan kebijaksanaan dengan ukuran peperiksaan, maka selayaknya juga kita mengukur ilmu dan bijaksana itu dengan ukuran amalan, kerana sesungguhnya mengamal itu lebih sukar dari menerima ilmu. Ya, pengamalan itu sepatutnya dinilai lebih sukar tahapnya berbanding dengan peperiksaan.

Itu yang sepatutnya. Tetapi yang sering berlaku zaman ini adalah yang tidak sepatutnya. Anak-anak yang cemerlang dinilai dengan ‘A’nya. Pelajar-pelajar yang cemerlang diukur dengan ‘mumtaz’nya. Kemudian diberi anugerah dan kemasyhuran. Sehinggakan kita sering berlumba-lumba untuk lebih masyhur, siapa yang lebih hebat dalam peperiksaannya. Sehingga bila anak yang bijak dan cemerlang itu akhirnya menjadi jalang pelacuran, barulah terjeda dan membeliak mata, ‘ooh, sekarang barulah kami tahu bahawa kami telah salah menilai erti cemerlang’!

Ingatlah firman Allah,

وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

Kami tinggikan derajat orang yang Kami kehendaki; dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.
Surah Yusuf : 76

Sepatutnya, saya tidaklah jadi sampai sebegini negatif terhadap peperiksaan. Mungkin sejarah lalu menyedarkan saya bahawa manusia selalu tersalah dalam menghukum dan menilai manusia. Kalau diikut, saya tidaklah begitu berfikiran negatif (pesimis) terhadap peperiksaan ini. Saya kirakan bahawa peperiksaan cuma sekadar kayu ukur untuk menilai penguasaan seseorang pelajar terhadap apa yang dipelajari. Itu sahaja, tidak lebih dari itu.

Saya pun ada kalanya terasa manfaatnya dari peperiksaan. Dengan peperiksaan, kita dapat sebuah gambaran secara keseluruhan mengenai ilmu yang dipelajari. Ia juga membantu menaikkan semangat belajar apabila bayang-bayang peperiksaan bakal muncul. Selain itu, saya banyak berdiskusi dengan rakan-rakan dan juga mengajar orang lain menjelang musim peperiksaan.

Itu semua manfaat yang baik dari peperiksaan. Cumanya pemahaman salah kita mengenai peperiksaan telah menyebabkan kita mencabuli dunia keilmuan, kerana kita selalu menilai orang yang bijaksana itu melalui peperiksaan. Walhal hasilnya tidak lain hanyalah sekadar sehelai kertas sijil yang tidak menjanjikan apa-apa.

Saturday, April 26, 2008

Hujjatul Islam

Pastinya ramai yang mengenali Imam al-Ghazali. Walau tidak secara detail, justeru apabila disebut dengan gelaran al-Ghazali, pasti ada yang mengangguk dan berbisik ‘saya kenal dengan ulama ini’. Namun belum tentu kita tahu apa yang beliau telah lakukan sehinggakan beliau digelar dengan gelaran ‘Hujjatul Islam’. Kita pasti sudah kenali Imam asy-Syafi’e dengan mazhab feqhnya, Imam al-Bukhari dengan ilmu hadisnya, Imam al-Muhasibi dengan bidang tasawwufnya, namun apakah yang kita tahu mengenai syakhsiyah Islamiyah yang bergelar al-Ghazali ini?

Besar kemungkinan ramai yang mengenali al-Imam al-Ghazali, ulama kelahiran Thus, Khurasan ini melalui ‘magnum opus’nya, iaitu Ihya’ Ulumiddin. Sayyid Muhammad Rasyid Redha ketika berkomentar mengenai kitab Ihya’ dengan mengangkatnya sebagai al-ustaz al-awwal yang bermaksud guru pertama yang mana kitab ini diiktirafnya sangat memberi kesan dalam perjalanan kehidupannya. Begitu tinggi sekali pujian yang diberikan Sayyid Muhammad Rasyid Redha terhadap kitab Ihya’ karangan al-Imam al-Ghazali dalam majalah al-Manar.

Tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikan ruh dan kekuatan yang terdapat dalam magnum opus Imam al-Ghazali ini. Mungkin hanya segelintir Wahhabi jadian (baca: yang buat-buat tahu tentang ilmu agama) yang dengan bangga menolak kitab Ihya’ ini dengan alasan terdapatnya hadis palsu dan dha’if, ditambah lagi dengan semangat anti-sufi dan tasawwuf yang galak membuak-buak dalam hati kotor mereka, yang tidak mampu untuk dibersihkan lagi.

Itu hal mereka. Namun, keistimewaan Ihya’ Ulumiddin ini secara umumnya boleh diletakkan pada intisari kitab, yang mana ia melalui proses penggabungan nilai antara ilmu feqh dan ilmu tasawwuf, antara ilmu syariat dan ilmu hakikat, juga antara pemikiran dan penyucian hati.

Saya pasti anda sedia maklum bahawa Ihya’ adalah sebuah kitab tasawwuf yang menekankan tentang pembersihan jiwa dan kombinasi diantara ilmu dan amal yang membawa kepada matlamat as-sa’adah yang bererti ‘kebahagiaan’, justeru dianggapnya oleh Imam al-Ghazali sebagai matlamat terakhir dalam perjalanan kesufian.

Walaupun kitab Ihya’ diangkat sebagai antara kitab rujukan utama dan terpenting dalam bidang tasawwuf, namun saya fikir ada faktor lain selain Ihya’ yang telah menyebabkan Imam al-Ghazali digelar dan dikenali oleh para ilmuan dengan gelaran Hujjatul Islam.

Kehidupan Imam al-Ghazali dalam saat emasnya boleh dibahagikan dalam dua fasal. Fasal pertama ketika menjadi tenaga pengajar di Madrasah Nizamiyyah, kota Baghdad, ketika zaman pemerintahan Nizam al-Muluk. Dan fasal kedua di akhir hayatnya, ketika beruzlah dan menjadi ahli tasawwuf yang mana ketika itu beliau menulis kitab Ihya’ Ulumiddin.

Mungkin pada zaman moden ini al-Ghazali lebih dikenali ramai kerana tasawwuf dan Ihya’nya. Namun 900 tahun yang lalu, kota Baghdad pasti begitu berbangga kerana Madrasah Nizamiyyah mempunyai seorang ulama ulung yang berjasa membersihkan nama agama dengan ilmu dan kalamnya. Ketika berumur 34 tahun, Imam al-Ghazali telah dilantik untuk mengajar di Nizamiyyah setelah Nizam el-Muluk, pemerintah ketika itu begitu tertarik dengan keilmuan yang dimiliki oleh Imam al-Ghazali.

Keilmuan Imam al-Ghazali banyak diperturunkan daripada gurunya, iaitu Imam al-Haramain al-Juwayni yang mengajar beliau dengan ilmu-ilmu usul dan furu’ termasuk mantik, hikmah dan falsafah. Ketika mengajar di Nizamiyyah, al-Ghazali banyak menumpukan kajiannya dalam ilmu falsafah dan menelaah kitab-kitab falsafah yang terdahulu seperti tulisan-tulisan al-Farabi dan Ibn Sina.

Ketika itulah beliau menulis sebuah kitab ‘Maqasid al-Falasifah’ yang sudah cukup untuk membuktikan penguasaan al-Ghazali di dalam bidang falsafah.

Jelas pada kita bahawa akidah dan ilmu kalam merupakan tunjang utama dalam kefahaman seseorang muslim itu terhadap agamanya. Justeru, jika akidah dan kepercayaan menyimpang, maka hampir pasti boleh menyebabkan individu muslim itu tersasar dari landasan yang sebenar, dan seterusnya hampir-hampir mengheret mereka itu ke neraka Allah s.w.t akibat kekufuran dan kekafiran mereka.

Ketika itulah Imam al-Ghazali bangun dan melihat banyak kekusutan dan kecelaruan telah berlaku dalam ilmu kalam oleh golongan yang terdahulu, terutama sekali apabila prinsip-prinsip falsafah telah masuk ke dalam ilmu kalam untuk membahas tentang ketuhanan. Dalam masa yang sama terdapat kecelaruan lain yang dibawa oleh beberapa golongan yang terdahulu antaranya kelompok muktazilah dan mujassimah yang cuba menyamakan zat Allah s.w.t dengan ciri-ciri makhluk.

Imam al-Ghazali dalam hal ini begitu menentang keras golongan yang membuat cuba menghidupkan reka-rekaan dalam agama ini. Beliau lantang menentang kelompok ahli falsafah yang banyak terpengaruh dengan neo-Platonisme dan pemikiran Yunani ini dengan menulis sebuah kitab yang begitu masyhur hingga ke hari ini, iaitu ‘Tahafut al-Falasifah’.

Tahafut yang bererti keruntuhan atau juga serangan telah membawa 20 fasal masalah yang berkaitan dengan zat Allah s.w.t, alam ciptaan dan nafs. Ia merupakan sebuah kitab yang dianggap telah berjaya meruntuhkan salah faham dan kekalutan yang berlaku dalam ilmu kalam. Imam al-Ghazali sangat hikmah dan memahami golongan ahli falsafah dan muktazilah ini.

Imam al-Ghazali merasakan bahawa golongan yang menggunakan akal ini tidak harus ditumbangkan dengan dalil-dalil nas dan syarak, bahkan kumpulan ini perlu ditumbangkan dengan prinsip-prinsip mantik dan teori-teori falsafah yang mereka dewa-dewakan selama ini. Beliau telah menggunakan ilmu mantik dan kalam untuk menewaskan pencarutan dan pencabulan yang dibawa sendiri oleh golongan mutakallimin yang menyimpang dari manhaj yang sebenar.

Al-Ghazali seterusnya menulis beberapa lagi kitab berkaitan dengan ilmu kalam dan kaedah-kaedah aqli dan naqli yang sesuai untuk dijadikan manhaj atau metodologi bagi golongan ahli sunnah wal jamaah.

Antaranya ditulis kitab ‘al-Iqtisad fil-I’tiqad’ dan ‘Qawaid al-Aqa’id yang menentang kecelaruan yang dibawa oleh beberapa kelompok seperti muktazilah, batiniyyah, mujassimah dan ahli falsafah, seterusnya meletakkan sebuah metodologi yang sesuai dipakai bagi golongan ahli sunnah agar ianya terpelihara dari sebarang dakhil dalam persoalan yang berkaitan dengan aqidah dan pegangan sebagai seorang muslim.

Di penghujung umurnya, al-Ghazali kemudian memutuskan kehidupan dunia demi mencari cintanya. Lalu menulis sebuah karangan agung yang telah membersihkan hati orang-orang mukmin dan meresapkan cinta di atas segala kecintaan, iaitu sejak dari 900 tahun yang lalu hingga kini.

Lalu, apakah jenis kemuliaan yang selayaknya bagi insan yang telah berjuang menyelamatkan aqidah muslimin sejak 900 tahun itu? Iaitu jiwa yang telah menabur jasa menyelamatkan manusia dari hampir-hampir terjerumus ke tebing neraka, iaitu tebing yang dipenuhi dengan nama kekufuran dan kekafiran?

Setelah fikiran saya hampir tepu menghadami pemikiran seorang insan yang digelar al-Ghazali ini, saya gamam dan termenung seketika. Setelah satu persatu hujah-hujahnya saya amati, hati saya bertambah yakin bahawa hujah ini bukanlah hujah-hujah dari ilmu manusia, ia adalah hujah dari penciptanya untuk membersihkan kesucian agama. Hanya air mata ini sahaja yang mampu menggelarkan beliau dengan gelaran ‘Hujjatul Islam’.

Wednesday, April 23, 2008

Monday, April 21, 2008

Mencerna Pemikiran v2

Jangan mempertikaikan kedudukan Kazhimah di mana. Justeru mungkin saya hanya mampu katakan bahawa Kazhimah itu adalah nama sebuah tempat yang terletak di Madinah al-Munawwarah.

Apa rahsianya?

Saya sendiri tidak mengetahui rahsia di sebalik Kazhimah secara total, namun ianya betul-betul telah membuatkan saya menangis. Pergilah ke Iskandariah dan tanya sendiri pada gerangan insan yang mencoret baris-baris keramat ini. Pergilah, dan saya tak mahu menghalang.

Minggu Yang Menekan

Setelah hampir tiga minggu saya membiarkan laman ini menjadi kilang penapaian, saya tiba-tiba berubah hati. Ini adalah kali pertama blog ini bertukar wajah setelah hampir dua tahun berada dalam wilayah coklat. Entah kenapa tiba-tiba terasa bahawa perubahan itu suatu yang memberi inspirasi kepada diri.

Yang pastinya, setiap diri harus berubah. Dan kalau tidak mahu berubah sekali pun, ia telah menjadi hukum alam bahawa seluruh jisim yang bernama makhluk akan berubah. Jika tidak berubah maka kewujudannya itu adalah kewujudan yang wajib. Maka kewujudan yang wajib itu tiadalah haknya keatas diri yang bernama makhluk, kerana kewujudan yang wajib itu adalah zat yang digelar al-Khaliq.

Jika saya meneruskan ayat untuk perenggan di atas, hampir pasti menjadi 2-3 muka panjangnya nanti. Dan anda akan menggelarkan saya pencetus kepada gerakan ilmu kalam.

Cukuplah hanya itu, saya minggu ini cukup-cukup ditekan dengan permasalahan ilmu kalam. Walaupun memberi tekanan yang cukup hebat, namun itu pasti menjadi pencetus yang hebat dalam perbahasan tauhid yang cukup mendalam.

Saya sedang menghadami manhaj dan pemikiran Imam al-Ghazali. Dalam waktu yang sama terkait rapat juga dengan beberapa syakhsiyah Islamiyah, antaranya al-Kindi, al-Farabi dan Ibn Sina yang beberapa potong dari fikrah mereka itu disangkal oleh hujjatul Islam al-Ghazali terutamanya yang berlebih-lebihan dalam permasalahan ketuhanan dan filsafat.

Buat masa ini, saya perlukan masa untuk berselimut dalam ruangan akademik. Mengambil sedikit masa untuk menganalisis, mencerap dan menyimpulkan dengan secukup kudrat yang saya mampu. Bahkan, peperiksaan akhir yang hampir pasti tidak sampai sebulan sahaja lagi pastinya menambah terik keperitan.

Doakan saudaramu ini diberi kekuatan untuk terus berjuang....!

@
:-p Selamat hari lahir yang ke-22 buat **** semalam. Semoga sihat, panjang umur, murah rezeki, dan dikurniakan sakinah oleh ALLAH s.w.t. Moga success selalu!

/* Saya menghadapi masalah tak boleh gunakan huruf besar dalam posting.
/* Ada sesiapa yang boleh bantu?

Tuesday, April 01, 2008

Inflasi Planet Bumi

Setelah selesainya sesi pembentangan kertas kerja modul untuk Adobe Photoshop beberapa hari yang lalu, saya sebagai panel pengisi mengandaikan bahawa - sampai bila kemahiran yang saya turunkan kepada mereka pada hari ini dapat mereka gunakan?

Lalu saya bertanya kepada salah seorang peserta tahun lepas. Jawapan jujurnya sangat lancar.

“Lepas habis kursus tu, boleh la buat sikit-sikit. Tapi lepas dah dua tiga bulan, lupa!”

Ya, itu jawapan yang mudah bagi mereka yang kurang melakukan latihan. Sabtu lepas, sekali lagi saya dijemput untuk mengisi slot berkaitan ‘video editing’. Hasilnya, mereka sangat teruja dan tanpa disuruh pun mereka sudah melangkaui apa yang saya suruh. Itu saya tidak kisahkan, mungkin kerana seronok dan terlalu gembira mencipta sebuah presentation. Mereka sudah dapat melangsaikan satu klip video sebelum saya menyuruhnya lagi.

Ini menunjukkan bahawa minat anak-anak didik saya begitu tinggi dengan foto dan video editing. Namun persoalannya, sejauh mana kemahiran itu mampu mereka latih dengan berterusan? Saya akan menanti hasil-hasil dari kelompok pelapis ini untuk menggantikan mereka-mereka yang telah senior kelak. Saya akan menunggunya!

Inflasi Planet Bumi

Mesir sudah mulai hangat akhir-akhir ini. Matahari yang memacak terik di atas langit sudah menunjukkan tanda-tanda musim panas yang garang akan tiba. Namun Mesir akan tetap menjadi Mesir.

Sudah hampir seminggu lebih akhbar tempatan melaporkan krisis roti di perlembahan Nil ini.

Apa tidaknya, ia menjadi masalah utama yang diperdebatkan oleh pemimpin kerajaan lebih-lebih lagi setelah berlakunya beberapa siri pergaduhan dan pembunuhan di kawasan tempat pengagihan roti.

Biasalah di Mesir. Harga sekeping roti yang naik 5 sen pun sudah riuh dibisingi rakyat dan pergaduhan bakal terjadi di mana-mana. Roti ataupun ‘isyh’ adalah makanan ruji bagi rakyat Mesir, memang patut pun untuk rakyatnya melenting. Silap-silap kerajaan yang memerintah boleh digulung rakyat sekiranya krisis roti ini tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Kenaikan harga gandum di pasaran Mesir kini dikatakan telah menjadi punca utama mengapa harga roti menjadi mahal. Di Malaysia juga berlaku perkara yang sama. Sesetengah pembekal mengambil kesempatan menyorokkan simpanan gandum-gandum mereka dan mengambil kesempatan apabila harganya meningkat tinggi kelak.

Beberapa cadangan telah dibuat. Antaranya menggantikan roti yang biasa mereka makan dengan beras dan makarona. Namun perkara itu tidak ideal, kata sesetengah mereka. Harga beras dan makarona juga kini tidak stabil, dan sedang mengalami kenaikan. Ia juga dijangka akan terus naik lagi dalam beberapa bulan yang akan datang.Saya terbaca dalam satu ruangan yang ditulis oleh kolumnis Adly Barsoum. Beliau secara sinis menceritakan idea penyelesaian untuk krisis ini melalui dialog dengan beberapa orang rakannya. Salah seorang rakannya mencadangkan agar kerajaan Mesir membeli segala hasil gamdum dari para petani dan menjadi pembekal terus ke pasaran kedai-kedai. Hal ini dapat mengatasi masalah kenaikan harga yang disebabkan oleh kerenah yang dilakukan oleh golongan pembekal.

Namun secara sinis kolumnis itu berbisik kepada rakannya, menyuruh dia berhati-hati. Golongan ahli perniagaan dan orang-orang politik yang berselindung di sebalik kenaikan harga gandum ini pasti sahaja melenting jika mendengar idea ini dari mulut rakan kolumnis itu. Ya, ada udang harimau di sebalik maggi goreng!

Begitulah senario kenaikan harga gandum dan roti yang secara tidak lansung menyebabkan setiap barang di kedai runcit juga tidak terlepas dari kenaikan harga. Kata orang-orang Mesir - roti adalah umpama udara - adakah boleh diberikan udara itu sesuka hati kepada mereka yang mahu dan dihalangnya daripada orang yang tidak mahu udara? Roti adalah hak rakyat mereka. Biarlah digigit hati dan jantung mereka, tetapi jangan digigit roti mereka!Bisik-bisik :

/* Semua barang naik harga, agak-agaknya apalah barang yang tidak naik harga?
/* Ermm... mungkin harga diri, bukan sahaja harganya tidak naik, malah dikatakan semakin murah. Ya, hanya RM 830 (130 pound) untuk seorang genius !...

Friday, March 21, 2008

Kelahiran


Selamat menyambut Maulidul Rasul s.a.w,
Selawat dan salam ke atas Junjungan Baginda s.a.w serta para sahabat dan ahli baitnya...

Saturday, March 15, 2008

Melukis Hati

Setelah menjejakkan kaki ke bumi Mesir, saya rasakan seperti sudah betul-betul selamat ketika berada di tanah Sinai. Dan waktu melalui gurun-gurun batu di tanah Nuwaiba, perasaan lega sudah mula untuk memuncul dan dapat dirasakan yang permusafiran selama hampir tiga minggu ini akan bakal berakhir sebentar lagi. Ini bererti, saya hampir menamatkan rukhsah qasar dan jamak dalam solat yang saya telah lakukan selama tiga minggu berturut-turut sebelum ini. Pujian untuk Allah s.w.t.

Syria
, Lubnan dan Jordan. Ketiga-tiga tanah Arab ini sudah saya jelajahi. Walaupun mereka semua ini dalam kelompok bangsa yang sama, juga bahasa yang sama, namun struktur geografi tetap membawa angin yang berbeza dalam kehidupan di negara masing-masing.

Di Syria, saya tidak dengar hiruk pikuk manusia, tiada keserabutan di jalan raya, tiada pencemaran bunyi hon-hon kereta, dan yang paling membuatkan hati ini jatuh cinta adalah manusianya yang berbudi. Mungkin tidak adil membezakan kelompok bangsa manusia, namun saya mudah melihat ini dari sudut yang umum dan keseluruhan.

Pernah di Syria suatu ketika setelah selesai bersolat di Masjid Qadam, kami diperlawa oleh seorang tua untuk menjamu kami makan tengah hari di rumahnya sedangkan orang tua itu tidak kami kenali dan itu kali pertama pertemuan kami dengannya. Kawan-kawan kami di Syria berkata, perkara ini sudah terlalu biasa di sini. Lebih-lebih lagi kalau mendengar nama Malaysia, kami dimuliakan dengan begitu tinggi sekali sehingga kami sendiri timbul rasa malu dengan budi dan ikram (kemuliaan) yang diberikan oleh masyarakat Syria di sana.

Tutur kata yang penuh lemah lembut dan berlagu membuatkan hati ini sentiasa tertewas jika berlaga harga dengan mereka ketika melakukan urus niaga dan tawar menawar. Saya fikir, di Mesir saya ini bolehlah juga dikatakan sudah handal dalam urusan pujuk-memujuk untuk menurunkan harga, namun di sana kerap juga tertewas kerana senyuman muka dan aksi lemah lembut mereka ketika me’moja’. Sungguh saya katakan, ini sesuatu yang agak sukar untuk saya temui di Mesir!

Syria
, bilad Syam yang sungguh aman dan damai. Kecantikan pemuda dan pemudi ikut juga tertumpah di negara bersebelahannya, Lubnan. Walaupun orang-orang gereja nampak kelihatan agak berkuasa lebih-lebih lagi di kota Beirut, namun Lubnan yang hanya dua hari saya ke sana tidak membawa apa-apa pengalaman yang menarik selain dari menikmati keindahan suasana ibu kota yang sedang berada dalam musim peperangan.

Jordan yang mahal membuatkan kami sukar untuk lincah merayap. Harga minyak dan gas yang semakin mahal menyebabkan kos sara hidup di sana betul-betul ‘cekik darah’. Menukar tong gas didapur untuk memasak hanya memerlukan hampir kira-kira RM 6 nilainya jika ditukar di bumi Mesir berbanding RM 50 jika tong gas itu ditukar di Jordan. Sungguh boleh membuatkan tabiat berbelanja terencat secara tiba-tiba jika anda ke Jordan!

Namun
, Jordan adalah kota yang cantik dan menggiurkan. Walaupun tidak banyak tempat pelancongan di sana, namun bagi saya berjalan-jalan sekitar bandar Amman sudah membuatkan hati ini jatuh cinta dengan suasana Rom di sana. Apabila melalui jalan-jalan berbukit di ibu kota Amman, saya rasakan seperti berada di bandar Rom lama. Dengan batu-batu putih yang klasik bersepahan di keliling bandar dan rumah-rumah yang banyak dibina di kawasan bukit, tiada apa lagi yang dapat menambat hati ini melainkan dengan kecantikannya.

Pengalaman


Saya merasakan perkara yang paling penting sekali dalam kehidupan manusia adalah pengalaman. Ia adalah pembeza kedua yang utama dalam kehidupan makhluk selepas ilmu. Suatu perkara yang tidak akan saya lupakan dari kembara tiga minggu ini adalah pengalaman yang berharga.

Saya selalu teringat guru-guru menyebut bahawa hampir kebanyakan para Rasul a.s yang diutuskan untuk ummat manusia, kebanyakan mereka pernah mempunyai pengalaman mengembala kambing. Sehingga boleh dikatakan bahawa mengembala kambing itu adalah sunnah yang berlaku dalam kehidupan para Rasul a.s.

Persoalan yang kerap membenak pemikiran saya adalah mengapa kerja mengembala kambing itu sesuatu yang berharga dalam kehidupan para Rasul a.s? Secara realitinya hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu tentang rahsia sunnah itu, namun secara psikologi seorang manusia, saya melihat bahawa pengalaman dan kesabaran yang dilalui oleh seorang pengembala kambing merupakan suatu pencerahan dalam medan dakwah dan tarbiyah mereka kepada ummat.

Sesiapa yang belum kenal dengan kambing, jangan terlalu cepat untuk menolak hikmah ini. Berhadapan dengan perpuluh-puluh ekor kambing, hatta mungkin juga beratus-ratus ekor, dapat mengajar erti kepayahan, kesabaran dan segala macam pengalaman yang mencerahkan pemikiran manusia. Dan selain dari mengembala kambing, suatu proses yang juga menjadi sunnah orang-orang terdahulu yang hampir boleh dikatakan serupa dengan sunnah mengembala kambing ini adalah mengembara dan bermusafir.

Mengembara dan melancong mungkin kelihatan seperti aktiviti yang sama, namun ia tetap berbeza. Bermandi jakuzi panas dan tidur lena di hotel empuk sudak cukup untuk membezakan antara dengan minum air paip dan tidur dengan kesejukan di stesen bas. Ini mungkin adalah contoh perbezaan yang kita perolehi antara mengembara dan melancong. Namun kedua-duanya juga memperolehi pengalaman. Cuma mungkin nilai dan budi yang bakal kita dapat dari keduanya ini membezakan diantara hikmah mengembara dan melancong.

Terima kasih untuk mereka yang memudahkan urusan kami. Di Syria, Payal, Taufiq, Fatah, Lukman dan Mat sentiasa dalam ingatan kami. Syabab dan ahli rumah Nasir di Mafraq yang sentiasa memberi keselesaan kepada kami bertiga, juga melayan kami di gelanggang PES ketika berada di sana. Ustaz Fakhrurrazi dan Khairi di Amman yang tidak jemu-jemu melayan kerenah dan jenaka kami walau mereka dalam kesibukan. Di Mu’tah, Azmi dan seluruh ahli rumahnya yang begitu membuatkan kami rasa terhutang budi. Semoga Allah s.w.t memudahkan urusan kalian semua dunia dan akhirat.

Juga untuk mereka yang menjadi ‘sifu’, yang banyak memberi pendidikan tentang kehidupan kepada kami sepanjang perjalanan ini. ‘Makcik Cina’ yang begitu berani dan selamba meredah laut Mediterranean seorang diri. Najiha, si gadis Jepun yang menarah hati di atas kapal AB Maritime. Jean, pemuda Barcelona yang kami kagumi kerana sedang dalam kembara mengelilingi dunia dengan keretanya. Juga tidak lupa kepada pakcik drebar lori ke Amman yang kami kenali di atas kapal ke Aqabah. Moga ketemu lagi di kembara yang akan datang InsyaALLAH….