Hari ini agak letih. Semalam baru pulang dari
Shibin el-Koum, menghadiri slot penulisan sehari suntuk bersama
Zaki M.Noor. Ini adalah kali pertama ke
Shibin,
muhafazah kedua yang telah dilawati selepas
Iskandariah. Huh?
Tidak lupa juga ingin mengucapkan tahniah buat Seluruh calon SPM dan STAM 2005 yang berjaya dalam dua peperiksaan tersebut.
Dalam pada itu, apa yang saya masih lagi fikirkan tentang situasi ini (iaitu kejayaan pelajar-pelajar dalam dua peperiksaan ini) adalah sejauh mana kayu ukuran diantara kejayaan mereka dengan kekuatan ilmu yang mereka ada.
Mungkin agak kabur lagi penyataan saya. Tapi saya akan cuba membawa pembaca kepada realiti situasi yang sebenar.
Saban tahun kejayaan calon dua peperiksaan ini semakin meningkat. Saya seperti tidak percaya. Persoalan yang kerap bermain di fikiran saya adalah adakah calon-calon pelajar semakin bijak dewasa ini ataupun soalan peperiksaan yang semakin mudah? Cuba fikirkan?
Jika di era
80an atau
90an, dikatakan soalan cukup sukar. Para pelajar yang boleh lulus dengan cemerlang adalah pelajar yang begitu hebat, genius dan bijak. Malah disesetengah sekolah, kadar peratusan pelajar yang mendapat agreget 1 adalah boleh dikira dengan jari !

Perbandingan ini saya bawa dalam situasi hari ini dimana pelajar yang mendapat 'A' atau Mumtaz dalam semua kertas peperiksaan adalah boleh dianggap sebagai bersepah-sepah, dan kalau setakat 2-3 'A' atau
Mumtaz itu, orang tidak pandang. Sesetengahnya agak malu untuk memberitahu kepada orang lain keputusan mereka yang
'sedikit A' itu.
Masalah yang berada disini bukanlah banyaknya 'A' atau
Mumtaz yang seseorang miliki, tetapi sejauh mana 'A' atau
Mumtaznya itu menjadi kayu ukur bagi kekuatan ilmu yang calon tersebut ada.
Saya tertarik beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh
Prof Emiritus Dr. Khoo Kay Kim, seorang sejarawan yang saya kagumi dan saya hormati. Beliau meluahkan tentang anak bangsa yang belajar sekarang ini tidak berkualiti.
Sebabnya mereka belajar hanya pakai hafal dan bukannya pakai otak. Berbeza dengan ketika zaman beliau belajar. Pelajar semua pakai otak bukan hafaz dan sebab itu dia pilih bidang sastera ketika di universiti kerana kos itu banyak menggunakan akal.
Penulis sebenarnya tidak hairan kalau sekiranya pelajar terutamanya dari sekolah di kawasan bandar boleh mendapat kejayaan yang
'gila-gila'.
Salah satu sebabnya, gurunya dilatih untuk melatih pelajar cara menjawab soalan.
"Jika soalannya begini, cara menjawabnya begini". Apa lagi jika wujudnya syarikat
'perunding ilmu' seperti
'Easy Math' dan lain-lain lagi.
Sepatutnya mereka(guru) mengajar pelajar hakikat sebenar pelajaran itu dalam kehidupan dan mengajar pelajar cara dan kaedah berfikir. Dalam erti kata yang lain, mengajarkan anak bangsa falsafah ilmu itu yang sebenar.
Ketika di sekolahlah pelajar perlu dilatih berfikir. Bukan menghafal. Supaya mereka ini boleh menggunakan ilmu berfikir itu ketika memasuki pintu gerbang universiti kelak.
Kesan menghafal ilmu ini jelas kita lihat di sekitar universiti-universiti tempatan, yang kononnya digelar taman ilmu dan budi (
bukan hanya UIA sahaja). Gejala ini mereka praktikkan hingga mereka berjaya memperoleh ijazah, dan akhirnya semakin ramailah graduan yang tidak berkualiti '
dikilangkan' oleh universiti.
Tidak hairanlah jika kita perhatikan diantara keluhan majikan yang ingin mengambil calon graduan, mereka agak memilih untuk mengambil pekerja bekerja dengan mereka. Dan ini juga mungkin menjadi sebab mengapa terjadinya lambakan graduan menganggur di tanah air. Kebanyakan mereka ini (minta maaf saya katakan) tidak berkualiti.
Mungkin sekali jika saya katakan memberi 'A' yang keterlaluan kepada calon adalah sesuatu yang bahaya. Pertama, calon yang cemerlang akan terasa dirinya hebat dan pandai sedangkan ilmunya tidak seberapa.
Kedua, nilai 'A' akan menjadi rebutan oleh calon peperiksaan, bukannya ilmu yang bermanfaat yang ada di persekitaran sekolah.
Ketiga, lama-kelamaan nilai 'A' dalam peperiksaan menjadi tidak bernilai. Terlalu mudah untuk diperoleh oleh sesiapa yang menghafal kaedah menjawab peperiksaan.
Berbalik kepada calon yang cemerlang dalam peperiksaan mereka. Sedarlah, ijazah itu hanya secebis kejayaan kamu yang tidak seberapa. Dihadapan kamu terlalu jauh perjalanannya dan terlalu banyak liku-liku yang perlu kamu lalui.
Gunakan kejayaan kamu yang sedikit itu untuk menjadi peransang kamu berjaya dimasa hadapan. Janganlah terlalu berbangga kerana mungkin rakan kamu yang gagal dalam peperiksaan itu akan menjadi 'bos' kamu ketika kamu bekerja kelak.
Kejayaan kamu itu terlalu jauh untuk dibandingkan dengan ilmu kamu. Kamu hanya beruntung kerana apa yang kamu baca dan hafal itu terkeluar soalannya dalam kertas peperiksaan.
Dan kepada yang gagal, usahlah bersedih. Gagal kamu itu bukan gagal yang selama-lamanya. Mungkin kamu lebih hebat dari mereka yang berjaya, tetapi Tuhan memberi kamu peransang agar kamu terus berjaya di kemudian hari.
Berapa banyak orang yang berjaya dalam peperiksaan, tetapi tidak berjaya dalam hidup. Tetapi berapa banyak orang yang gagal dalam peperiksaan, telah berjaya dalam hidup. Peliharalah ilmu kamu...
/* Kalau fikiran dah tercerna, segala-galanya boleh dicerna.